Monday, March 9, 2009

Susupan Tengahari

Hishamuddin Menghukum Dengan Sebelah Mata

KATA Hishamuddin bin Hussein bin Onn bin Jaaffar, himpunan membantah PPSMI Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang. Alasannya mudah sahaja sebab beliau ada nampak pemimpin pembangkang menyertai himpunan berkenaan.

Hukuman Hishamuddin itu terlalu mudah dan seolah-olah dibuat oleh mereka yang berfikir secara kebudak-budakan atau hukum sebelah mata. Tuduhan Hishamuddin itu bersifat politik untuk menuduh Pas supata rakyat bencikan Pas.

Dengan tuduhan itu juga beliau membayangkan kebijaksanaan dan pandangan jauh beliau selama ini di mana apa yang disangkakan itu benar. Bahawa dalang di sebalik anti PPSMI itu ialah pembangkang, khususnya Pas.

Mungkin Hishamuddin tidak membaca pun memorandum yang serahkan oleh Dr Hassan Ahmad dan rombongan GMP kepada beliau dan beberapa menteri dan ahli Parlimen lain di parlimen tidak lama dulu. Kalau ketua Pemuda itu membaca dan memahami intipati memorandum itu beliau tidak akan membuat tuduhan murah begitu.

Beliau akan menjaga lidahnya dan tidak berselindung di sebalik ting kecil untuk menyelamatkan diri dan menjaga maruah politiknya. Tetapi kerana beliau bercakap tanpa berfikir menyebabkan Hishamuddin telah mendedahkan kedangakalan akal fikir siasahnya.

Sebagai Menteri Pelajaran sepatutnya Hishamuddin seorang yang banyak membaca dan berfikir dengan menggunakan otak dan bukan dengan kulit kepala. Perjuangan memansuhakn PPSMI bukan baru. Ia bermula sejak mula-mula ia hendak dilaksanakan lagi.

Sudah berpuluh seminar, konvensyen, forum, ucapan, pandangan, tulisan dan sebagainya diadakan sebagai membantah perlaksanaan dasar berkenaan.

Yang membantah dan menyuarakan kebimbangan mereka bukan saja pemimpin pembangkang tetapi pemimpin Umno sendiri dan juga para cerdikpandai lain yang tidak ada apa-apa kepntingan politik. Tengku Razaleigh Hamzah adalah antara tokoh yang menentang dasar pendidikkan PPSMI ini.

Ada juga kalangan pemimpin Umno yang boleh dikira ada nama turut sama menentangnya. Tetapi kerana mereka Umno yang kena menjaga kedudukan dan kepentingan penentangan itu dilakukan secara sorong tarik, macam kura-kura menyembunyikan kepalanya.

Saya percaya orang Umno bawahan juga tidak setuju dan keliru dengan polisi berkenaan berkenaan. Tetapi disebabkan dasar itu diperkenalkan oleh parti mereka, mereka terpaksa menyokongnya walaupun dalam hati mempertikaikannya. Sebabnya mudah kerana orang-orang Umno diluar bandar juga (yang cerdik dan tidak taksub dengan parti) menyedari akan masalah yang dihadapi murid berhubung PPSMI ini.

Walaupun penentangannya kini secara meluas dan memorandum mengenainya sudah memasuki Istana Negara, namun masih juga ada yang belum faham mengapa PSPMI dibenci. Hishamuddin dan mereka yang sebebal dengannya hendaklah sedar isu PPSMI bukan merupakan ideologi mana-mana parti politik.

Gerakan menentangnya kerana hendak mendaulatkan kedudukan bahasa Melayu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi murid-murid luar bandar berhubung isu berkenaan tanpa mengira warna kulit dan keturunan.

Kerana sikap berkata sebelum berfikir menyebabkan ramai yang tidak tahu hujung pangkal mengenai PPSMI tetapi malangnya mereka ingin juga mengambil bahagian maka timbullah kekeliruan. Bila sudah jadi begini maka jadilah mereka mengkritik terhadap apa yang mereka tidak faham dan tidak tahu.

Bagi pengetahuan yang masih keliru, apabila GMP menentang PPSMI bukan bermakan GMP dan sekelian orang menyokongya menolak pembelajaran bahasa Inggeris. Mereka bukan berfikiran sempit dan membenci kepada bahasa penjajah itu tana tentu fasal. Apa yang diperjuang dan dipersoalkan mengenai pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang menjejaskan pendididan dan peratus kelulusan anak-anak sekolah di kampung. Itu saja.

Bacalah kajian dan analisa mengenai keputusan USPR tatkala PPSMI dikuatkuasakan. Tengok secara jujur dan ikhlas kesan dan implikasi ke atas dasar berkenaan dan jangan cuba menegak benang basah atau rela menerimanya sebagai bagus kerana ia dibuat oleh Umno.

Kenapa orang-orang Umno seperti ini sudah membuang mata zahir dan mata hatri mereka untuk menilai mana yang buruk dan mana yang baik.

Kepada Hishamuddin dan orang sebebal dengannya pula jangan mudah menundign jari kepada pembangkang. Yang jelas isu PPSMI bukan isu parti politik. Masa perarakan tempoh hari tidak ada pun pemimpin tertinggi PKR dan DAP? Apakah ianya isu pembangkang? Kata Hishamuddin beliau tidak nampak pun muka-muka Umno di dalam himpunan berkenaan? Apakah wajah orang Umno ada tanda khusus?

Nampaknya semakin hari Hishamuddin semakin besar kepala dan keras kepala. Sikap Hishamuddin yang tidak langsung memberi reaksi kepada ‘sunggutan’ Abdulah Ahmad Badawi mengatakan isu PPSMI sudah menjadi isu besar dan perlu diatasi segera menunjukkan Ketua Pemuda itu sudah tidak ada hormat langsung kepada bakal bekas Perdana Menteri itu.

Sikap dan cara Hishmauddin berdolak dalih dalam isu PPSMI ini ia menyedihkan orang Melayu. Sudah pasti rasa sedih dan terkilan itu juga akan terbawa ke dalam perhimpunan agung Umno kelak. Sekiranya Hishamuddin terus bebal dan berdegil dengan sikapnya kini tidak mustahil beliau akan diajar oleh perwakilan kelak.

Kedudukan beliau yang kini dikataskan calon favourite untuk Naib Presiden mungkin boleh jatuh mendadak kalaupun tidak tergolek terus. Sekiranya Hishamuddin tergolek ini bermakna perwakilan Umno pada 24 – 28 Mac ini masih ada hati dan kecintaan kepada bahasa ibunda mereka.

Sebaliknya kalau Hishamuddin masih menang jelas bahasa Melayu sudah hilang dari hati Umno. [wm.kl 2:00 pm 09/03/09]

7 comments:

Fadli Halim said...

Ini yang susah bila negara ada menteri kurang cerdik.

Dia melihat semua isu dari sudut kerajaan vs pembangkang. Bukan fact & figure.

Ahli politik kita makin lama makin bodoh pula jadinya. Sekarang lagi teruk... masing-masing berlumba-lumba nak tunjuk siapa lebih bodoh.

Anonymous said...

Salam Sdr. MSO,
Sudah ada suara2 UMNO hendak membahaskan isu PPSMI dalam Usul Pendidikan semasa PAU hujung bulan ini. TS Muhyiddin selaku Pengerusi JK Usul sudah mengesahkannya.

Saya menjangkakan, perwakilan2 UMNO yang membentang dan membahaskan isu PPSMI nanti akan memberikan beberapa kritikan dan cadangan terhadapnya.

Justeru, usul akan diluluskan seterusnya akan menjadi dasar kepada pelaksanaan PPSMI itu di masa depan -- samada dimansuhkan, atau dipinda, atau dikekalkan.

Akhirnya, UMNO yang akan mendabik dada mengatakan bahawa merekalah yang memperjuangkan PPSMI walhasil daripada PAU Mac itu..

Maka, tidak peliklah keputusan tentang PPSMI nampak semacam ditangguh2 oleh kementerian..

Apa pandangan saudara??

Anonymous said...

satu usul lagi patut dipertimbangkan ialah nama UMNO hendaklah ditukar kepada PEKEMBAR atau PKMM.baru layak ia memperjuangkan bahasa melayu.sapa stuju?

zahirsyabin said...

Tuan

Saya berpendapat bahawa buku-buku sains dan teknologi banyak yang dalam bahasa inggeris. Aktiviti penterjermahan kita lemah. Di mana kita hendak mencari masa yang singkat untuk menguasai ilmu ini. Ahli-ahli doktor kejuruteraan kita hanya kerja di waktu pejabat dan suka mengahbiskan cuti tahun dengan bercuti dan berjalan2. Mereka ini saya katakan penderhaka bangsa dimana mempunyai ilmu tapi tidak manfaatkannya. Kerajaan memberi gaji yang cukup untuk mereka duduk selesa dan leka dengan kemewahan dunia. Jika mereka ini mengenal dasar Islam yang tak pernah berhenti bekerja dan beribadat hingga akhir nyawa, maka kita sudah pasti telah ada senjata yang moden dan hebat seperti di Pakistan. Golongan kedua yang boleh dikatakan celaka)meminjam kata Tok Guru Haji Hadi) ialah golongan sastera yang tak membantu langsung dalam usaha penterjemahan. Melepak dengan bersyair tapi tidak dapat melenakan anak2 miskin yang lapar. Apakah langkah mereka ambil untuk membangunkan negara? MSO, jawablah dengan jujur. Adakah Quran itu syair atau Muhammad itu penyair? Golongan sastera marah ketika singa kehilangan gigi. Apakah ini dikatakan keberanian?? Lagi satu, memang Hisahmuddin itu penakut dan tiada pendirian..Ini pun bukan pemimpin yang akan baik. Begitu juga Najib. Dua tokoh ini tiada karisma dan keberanian seperti Tun. PAS dalam isu ini maka boleh saya katakan ia hanya memanipulasikan keadaan. Cuba selak Arkib Harakah yang lepas, bila PAS mula berminat dengan isu ini dan mengapa?? Banyak cadangan Tun yang dianggap tidak betul tapi kita menikmatinya hari ini dan jelas jika ianya tiada maka akan menyusahkan. Dalam isu ini saya namapak golongan penentang PPSMI dan penyokong PPSMI seperti umat Islam tapi bermazhab lain2. Maka apa yang saya cadangkan ialah diadakan pungutan suara untuk isu ini. Pungutan suara hanya diundi oleh kaum Melayu sahaja. Yang mana majoriti, itulah yang kita ikut tanpa bantah.

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

Tulisan ini menyentuh dasar kerajaan khususnya dasar Pendidikan,saya kira sebagai ibubapa yang mempunyai anak murid yang sedang mengikuti pembelajaran PPSMI perlu melahirkan pendirian masing masing,salah satu jalan yang terbaik jika sekiranya PIBG juga turut membincangkan isu ini, jadikan juga suara PIBG turut sama bolih menentukan dasar yang akan dibuat olih Kementerian Pendidikan itu sendiri.Sudah sampai masanya PIBG kena membincangkan dasar pembelajaran mata pelajaran Sains dan Mathematik ini didalam agenda mesyuarat tahunan mereka, kerana dasar ini telah banyak dipersoalkan,mungkin dikampung kampung pendalaman,soal ini para ibubapanya menjadi pak turut sahaja atas alasan semua dasar yang dibuat olih kerajaan kononya untuk kebaikan,ini merupakan satu dahyah yang diperkenalkan olih kerajaan dengan alasan suara selain daripada datang olih kerajaan itu sendiri dianggap hanya suka membangkang secara melulu.

Sebanarnya kalau kita baca maklumat dari wadah rakyak melalui internet misalnya pasti kita dapati kenapa tidak sama dengan apa yang dipaparkan dari kaca televison, Jawapannya ialah kerana apa yang dipaparkan itu semata mata mengikut sebelah kacamata (kerajaan) sahaja dan bukannya memenuhi kehendak dan suara rakyat terbanyak.Jika kerajaan mengambil tanggungjawab memuaskan hati semua pehak,kita pasti tidak akan berlaku perarakan besar besaran baru baru ini untuk menyerah memorandum kepada Duli yang maha mulia Raja yang DiPertuan Agong.Rakyak sudah tiada "flatform" lain selain berarak dijalan raya dan jika ada pun orang politik yang terlibat dalam perarakan tersebut ini bukan bermakna mereka telah dijadikan alat atau ada dalang disebalik isu PPSMI ini.Kehadiran orang politik mungkin sekadar tanda cakna dan turut prihatin serta bersimpati dengan masa depan bahasa melayu yang dilihat dari sehari kesehari kedudukannya semakin terhakis,yang menghakiskan nasib bahasa ini bukan orang asing, bukan bangsa asing tetapi olih satu bangsa yang bernama melayu itu sendiri.Dengan ini isu PPSMI ini tidak bolih dilihat ianya telah dipolitikkan.

Kita bukan ingin sempitkan fikiran,kerana anak anak dizaman ini perlu diberi pendidikan mengikut peredaran masa mereka,akan tetapi persoalannya apakah kita mahu melihat 20 ke 30 tahun akan datang kesemua 26 juta rakyat Malaysia yang mempunyai anak pada hari ini kesemuanya ingin melihat anak mereka menjadi seorang pakar akauntan,menjadi seorang pakar saintis,jika begitu bagaimana dengan kerjaya seorang ahli sastrawan dan wartawan,bagaimana kerjaya seorang ustaz,bagaimana dengan kerjaya seorang wirawan seperti tentera dan polis dan sebagainya.Apakah kita perlu mewajibkan mereka turut sama lulus cemerlang dalam sains dan mathematik dalam bahasa inggeris ini.Apakah bahasa inggeris "pertuturan" sahaj tidak mencukupi .Bagaimana dengan kerjaya politikus yang hanya tahu memakan labu kononnya dengan niat untuk membaiki labu tersebut.Ini jelas Isu PPMSI ini diera tahun 60an dulu kita sudah ada dasar pelajaran dua pilihan iaitu satu aliran sastera/agama dan satu lagi aliran Inggeris,olih itu sebabnya kita lihat ada keputusan LCE dan juga MCE.Olih yang demikian kita dapati dasar PPSMI ini satu racun yang akan membunuh bahasa melayu secara beransur ansur. percayalah....

Jika kita lihat dari sudut kaca mata agama,ada batasan batasan dalam cara beribadat,sebagai contoh kita lihat seorang muslim/islam ada dalam bidang bidang tertentu seperti pengkhususan dalam bidang ilmu ahli falak,ahli ilmu wahyu,usulluddin,bidang perundangan syariat dan muamalat. Olih yang demikian islam sendiri ada tokoh saintis yang termasur dalam bidang perubatan iaitu Ibnu Sinar,Jadi persoalannya apakah pehak kerajaan tidak mahu selesaikan isu pembelajaran mata pelajaran Sains dan Mathematik ini sebagai fardhu kifayah (memberi pilihan) kepada rakyat yang kurang bersetuju dengan dasar PPSMI ini? kerana hanya inilah sahaja jalan cara penyelesaian yang terbaik memulihkan keyakinan rakyat (yang semakin geram) terhadap isu ini supaya tidak terus berlanjutan...

Anonymous said...

salam sdr.

saya menghormati sdr berdasarkan hujah2 bernas & berani dr dulu dan sehingga sekarang pun. cuma dlm kes PPSMI ini, saya kira sdr keliru:

(i) pada saya, hishamudin menyatakan 'himpunan' membantah PPSMI Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang. itu tulis sdr. tidak timbul soal PPSMI tetapi soalnya 'himpunan'.

(ii) Hishamudin adalah org politik & menteri yang terikat dgn dasar kerajaan. mustahil sdr tidak faham kaedah melaksanakan dasar kerajaan. Pada saya, hishamudin masih ingin menjaga dasar yg telah diputuskan oleh kerajaannya. mungkin beliau kena belajar daripada org PAS yang sudah bercanggah pendapat di parlimen dlm isu penggunaan perkataan 'Allah'. Pengalaman itu jelas menunjukkan adanya 'bijak pandai' dalam PAS yang nak tunjuk pandai sendiri tanpa menanti keputusan, pendirian dan ketetapan yang dibuat oleh majlis syura ulama Pas.

(iii) Benar kata 'pengomen' dlm blog ini yang mengatakan usul akan dibentang dlm perhimpunan agung umno nanti. sama ada positif atau sebaliknya, bermakna Hishamudin ingin mendengar apa yang akan dibincang dlm perhimpunan agung UMNO yang mana parti itu adalah tunjang kerajaan. Hishamudin tidak mahu buat pandai2 sendiri spt sesetengah pemimpin Pas.

(iv) Kenyataan Pak Lah bukan bermakna Hishamudin perlu menjawab secara 'on the spot'. "diselesaikan segera" dlm kenyataan pak lah itu bersifat relatif. mungkin bermakna menteri berkenaan perlu mengemukakan segera cadangan dan syor kpd kabinet, bukan bermakna perlu diumumkan utk menghapuskan segeraka PPSMI itu. lagi pun, pada saya, Pak Lah sudah nyanyuk & tak boleh dipakai lagi sbb dah nak kena tendang. sepatutnya kenyataan beliau ialah meminta laporan segera drp menteri dan kementerian pelajaran untuk kerajaan putuskannya. sbb sbgai menteri hishamudin perlu membuat keputusan dgn merujuk kepada kabinet dan diputuskan oleh kabinet berdasarkan cadangan dan syor. hishamudin mungkin mengambil pengalaman Pak Lah yg nyanyuk tu dlm isu2 lain sblm ini, pada mana menteri umumkan tetapi ditimbulkan semula oleh PM. Apa kejadahnya Perdana Menteri sebegitu?

(v) Marilah kita berfikir secara rasional. tiada orang melayu yang inginkan bangsa dan bahasanya tergadai. tetapi perlu mengikut cara, lunas dan kesopanan Melayu dan Islam yang dituntut. bukan mengikut sentimen dan fahaman untuk kepentingan politik semata-mata. anak2 yg mengikuti PPSMI tidak tahu apa-apa perihal politik, jgn kita yang 'bijak pandai' spt MSO ini menyogok isu-isu politik dlm kepala anak2 bangsa kita.

(vi) Sy bukan org politik, jadi sy minta tolong MSO supaya maklumkan kepada pemimpin2 Pas supaya sama-sama memperjuangkan masalah sosial pada mana 90 peratus yang terlibat adalah anak-anak Melayu yg sedang berlaku di serata negeri dlm negara tercinta kita ini termasuklah di negeri2 yg dikuasai Pas/PR.

(vii) Jgn kita meletakkan masalah itu kpd kerajaan semata-mata, kerana itu adalah tanggungjawab bersama sebagai seorang Islam yang dituntut dan disuruh oleh Allah, sedang dalam masa yang sama, Pas melaung-laungkan kononnya memperjuangkan Islam. Ajaklah ahli Pas berhimpun 100 ribu orang menuntut supaya dasar Islam dilaksanakan di negara ini & insya-Allah, Islam mampu membendung gejala sosial, khususnya yg berlaku di kalangan anak Melayu Islam akan dapat dikurangkan.

Wallahuaklam.

Adnan Naim said...

Saudara MSO,

Apa kata kita cadangkan agar kerajaan mewujudkan semula sistem sekolah aliran Inggeris dan Melayu seperti tahun 1970an dulu, bagi memuaskan hati semua pihak?

Cadangan saya, di setiap daerah diadakan satu atau dua sekolah yg mengajar sains dan matematik atau semua subjek dalam Bahasa Inggeris. Ini bergantung kepada ibu bapa yg mendaftar anak-anak di PPD atau JPN..Mungkin ada daerah yg mempunyai lebih banyak sekolah aliran Inggeris berbanding dgn Melayu atau sebaliknya.

Kepada guru-guru yang tidak sanggup kehilangan imbuhan bayaran kerana mengajar subjek tersebut dalam Bahasa Inggeris, boleh lah memohon untuk mengajar di sekolah yg berkenaan.

Mungkin cadangan ini akan menyelesaikan segala permasalahan yg timbul berkenaan PPSMI..

Sekian, Wallahualam...