SERONOK juga Murai membaca berita mengenai Ezam Mohd Noor yang memuji dan memuja Najib Razak. Menurut Ezam Najib adalah manusia yang cerdik. Katanya kecerdikan Najib itu disahkan sendiri oleh Anwar Ibrahim. Ezam kata dia pernah bertanya Anwar siapa paling cerdik dalam Pemuda, maka jawab Anwar, Najib paling cerdik.
Ezam menggunakan cop mohor Anwar untuk ambil hati Najib.
Bila membaca berita Ezam itu Murai tiba-tiba teringat kisah Murai bersama datuk sewaktu sambil mengail ikan di sungai masa kecil dulu. Murai bertanya kepada datuk Murai, mana yang lebih laju larinya antara gajah dengan kuda? Jawab datuk Murai; tentulah gajah yang kuat. Kenapa? Murai bertanya. Sebab gajah besar, jawab datuk Murai selamba.
Murai percaya hidup-hidup apa yang datuk Murai cakapkan itu. Iyalah, ikut logik akal masa tu, gajah besar tentu dia kuat lari berbanding dengan kuda. Setelah Murai besar, bersekolah dan pandai membaca dan mengeja baru Murai tahu yang kuat larinya bukan gajah tetapi kuda. Rupanya jawaban datuk Murai itu untuk tes IQ Murai saja.
Begitulah juga agak Murai dengan cerita Ezam itu. Kenapa Anwar kata Najib yang cerdik kerana ingin tes IQ Ezam saja. Bila Ezam percaya kepada jawaban Anwar itu bermakna otak dan akal Ezam tidak berapa cerdik dan cekap untuk memahami ujian Anwar. Ezam masih menggunakan otak kebudak-budakannya.
Paling kebudak-budakan lagi ialah apabila Ezam kini telah menggunapakai jawabannya itu untuk memuji Najib. Tak tahulah Murai apakah Najib menerima pujian Ezam itu.
Biarlah... cuma Murai terfikir kenapa akhir-akhir ini Ezam memuji Najib tinggi-tinggi; cerdik, bijak, pintar dan pandai dan macam-macam lagi. Jawabnya mudah saja sebab Ezam sudah bersama Najib dan Najib pula sudah nak jadi PM, jadi Ezam nampak Najib besar macam gajah seperti mana Murai tengok masa belum khatan dulu.
Murai percaya lepas ni bukan saja Ezam akan mencerita ke hulu ke hilir dalam tiga pilihan raya kecil yang sedang berjalan sekarang ini mengenai kebijaksanan Najib, tetapi Ezam juga akan menceritakan mengenai kemuliaan dan kehebatan Rosmah Mansor sebagai wanita pertama Malaysia.
Tentunya Rosmah akan dilukiskan begitu hebat dan angguh melebihi Wan Azizah ataupun Jaenne Abdullah. Tak mengapa puji dan ceritalah duhai Ezam... tak dak orang nak marah pun. Cuma jangan pula Ezam jual cerita kononnya dia pernah bertanya kepada Wan Azizah isteri siapakah paling bijak dan cantik?
Kalau Ezam nak puji Rosmah, gunalah 'hadith' sendiri dan jangan mencari-cari hadith orang lain. Dan tidaklah kena bagi Ezam kalau sudah memuji Najib tidak pula memuji Rosmah. Kena puji dua-dua baru adil namanya. Kan dua-duanya dah besar!
Murai: Hanya kenal Nyonya Mansor.
No comments:
Post a Comment