Rezki Tambahan Penulis Politik Di Perhimpunan Agung Umno
BIASA menjelang perhimpunan agung Umno apa lagi kalau perhimpunan itu melibatkan pemilihan pemimpin banyaklah buku-buku politik akan muncul. Penulis akan mengambil kesempatan dari pesta perhimpunan itu untuk mencari rezeki lebih. Begitulah selalunya berlaku, sambil menyelam minum air! Di samping dapat juga menitikkan idea dan kritikan kepada Umno khasnya dan politik negara dapat juga duit lebih untuk menukar handset baru.
Menjual buku pada perhimpunan agung Umno menghasilkan pendapatan lumayan. Lebih lumayan lagi kalau penulis pandai mengambil kesempatan mengangkat mana-mana calon yang bertanding dalam apa juga jawatan. Untung-untung buku itu dijadikan bahan kempen dan ada yang membeli secara pukal, maka raya Hindulah mereka.
Sebenarnya begitulah yang diharapkan oleh penulis politik terutamanya yang muncul secara bermusim itu – menulis ketika pemilihan agung Umno saja lepas itu lenyap kembali ke profesyen asal yang berbagai-bagai latar belakang itu.
Kerana kelaziman itu semalam wartawan kanan The New Stratis Time, Zubaidah Abu Bakar menghubungi saya bertanyakan apakah buku yang saya tulis sempena perhimpunan agung Umno kali ini. Katanya esok (keluaran hari ini) dia akan mengupas mengenai penulisan buku politik di kolomnya.
Saya memberi tahunya saya tidak menghasilkan buku tahun ini kerana tidak ada masa dan tidak ada selera yang baik. Lagipun saya bukan penulis yang digemari Umno! Benar, masa begitu terhad apabila terlibat dengan surat khabar dan mengendalikan blog ini.
Blog ini pun satu kewajiban utama pula apabila kena buka dan diisinya setiap hari kalau tidak akan dimarah penjenguk yang tidak memahami kebajikan kita adakan secara volunteer.
Selain itu kerana selera. Selera saya untuk menulis buku jadi tumpul disebabkan saya merasakan sia-sia saja mengkritik orang politik yang sifatnya macam tiang besi. Mengkritik orang politik tak ubah memukul besi yang keras dan tupat saja. Ia tidak bergerak kerana tidak ada perasaan, hati dan jiwa. Jadi perbuatan kita adalah sia-sia saja. Hipokrit adalah makanan lazat orang politik.
Pada saya orang politik kita degil! Mereka bukan saja nakal tetapi degil untuk mendengar nasihat. Katalah...tulislah apa saja baik nasihat, pandangan, kritikan dan sebagainya mereka tidak mudah untuk menerimanya. Bertolak dari rasa kecewa itulah menjadi selera saya tumpul. Lainlah kalau menulis benar-benar kerana ingin mencari gas untuk di dapur rumah walaupun selera tumpul kena paksa juga.
Bagaimana pun saya memberi sedikit komen kepada Zubaidah berhubung penulisan dan penerbitan buku menjelang perhimpunan agung Umno. Saya berharap kalau ada buku-buku yang diterbitkan biarlah berkualiti dan dapat dimanfatkan untuk memperbaiki politik Umno yang semakin parah kini. Jadilah buku umpama kitab-kitab agama.
Tidak ada guna tulis buku puji pemimpin tetapi tidak menegur dan memberi nasihat bagaimana untuk memperbaiki politik negara. Apa lagi kalau jelas pemimpin itu korup, cemar, tidak berprinsip tetapi diangkat dan dijulang atas tandu keramat penulis (pen dan kertas), adalah tidak wajar sekali. Itu juga dinamakan kita bersubahat menyuburkan kemungkaran.
Berhubung mengenai menulis buku ini saya bukan menulis ketika ada perisitwa besar politik saja. Saya menerbitkan buku sepanjang tahun tanpa mengira musim. Cuma penulisan menjadi lebih rancak bila ada berlaku tragedi politik. Sekarang ini saya sedang cuba menyusun buku berhubung pergolakan politik di Perak sebagai dokumen dan rakaman peristiwa berkenaan. Mungkin tajuknya Politik Tempoyak di Perak.
Berbalik kepada penulisan buku menjelang perhimpunan agung Umno saya yakin nama-nama besar dalam dunia penulis tidak akan ketinggalan akan muncul dengan buku masing-masing. Pak Habib (Syed Hussein Alattas), Pak Ya (Yahaya Ismail), Norza Kepol – satu-satu penulis buku politik wanita yang konsisten negara ini pasti akan muncul dengan buku masing-masing. Dan tentunya juga penulis-penulis bermusim lain akan tampil dengan buku tersendiri dengan gaya dan lengguk tersendiri pula.
Walaupun calon-calon yang bertanding Majlis Tertinggi Umno, Timbalan Presiden dan Naib Presiden memperolehi saluran kempen baru iaitu menerusi SMS dan internet, blog, namun buku tetap juga akan menjadi pilihan. Bagi mereka yang mementingkan kepada kepuasan tidak sah kalau tidak memegang buku daripada membaca komen di blog atau internet yang pendek dan ringkas.
Kelebihan buku juga ialah pada gambar-gambar dan ilustrasi yang dimasukkan, lebih-lebih lagi buku Pak Habib yang bijak mengeksplotasikan foto dengan caption sinikal dan kreatif.
Semalam juga saya menerima sebuah buku berjudul “Konspirasi Politik Melayu” yang ditulis oleh sdr Musli Oli kawan saya dari Sabah. Mendengar tajuknya saja sudah dapat membayangkan buku ini penuh kritikan yang membawa satu pandangan yang agak kritikal terhadap 'ragbi' politik orang Melayu.
Memang benar sekali setelah membelek-beleknya semalam ada beberapa petikan dan kritikan langsung yang dilakukan Musli Oli sungguh menggerunkan. Kritikan kepada Umno dan sikap orang Melayu berpolitik sesuatu yang dinyatakan dengan jujur dan jarang mahu didengari oleh orang Melayu. Sebenarnya apa yang dibilang Musli itu sudah kerap didendangkan sebelum ini namun orang politik (Melayu) tetap menari mengikut rentaknya juga.
Pada saya Musli Oli ikhlas dalam membuat kritikan ini. Buku beliau kali ini pada saya yang terbaik kerana memberi pandangan yang adil, telus dan berani tanpa mengira kedudukannya sebagai salah seorang ahli Umno dan perwakilan dari bahagian Kota Belud. Tatahias (layout) buku ini juga menarik yang diselang dengan gambar berwarna dan petikan-petikan semasa yang merangsangkan akal.
Buku ini juga dimulai dengan sebuah sajak berjudul Sida-Sida Perkasa tulisan yassinsalleh, yang lebih memaknakan lagi kelahiran buku ini dalam situasi kini.
Beberapa tajuk atau peristiwa politik yang dirakamkan merujakan pemikiran ialah seperti; hal-hal berhubung di sekitar Anwar Ibrahim dan tindak tanduk politiknya. Walaupun sudah ada cerita mengenai ini tetapi tidak ada yang seberani dan berterusan seperti Musli menggarapkannya.
Lain-lain topik yang dikupas secara ikhlas ialah mengenai Najib Razak sebagai bakal Perdana Menteri. Musli mempersoalkan apakah Najib mampu menyamai rekod kepimpinan ayahnya, Razak Hussein. Musli juga cuba memberi bayangan apakah era pemerintah Najib nanti akan turut dibayangi dengan perisitwa-perisitwa yang kurang menyenangkan. Dan scara tersirap Musli tidak percaya kepada Najib sebagai seorang pemimpin!
Semestinya buku ke – 8 Musli ini juga turut mengangkat beberapa calon MT yang disukainya.
Apakah beliau benar-bear percaya kepada kredibiliti dan kehebatan calon yang diangkat ini ataupun ia adalah satu strateginya memilih mereka kerana mereka bakal membeli buku Musli? Musli yang tahu. [wm.kl. 11:30 am 06/03/09]
1 comment:
Assalamu'alaikum wbh,
Saya salah seorang peminat penulisan MSO. Ini kali pertama meninggalkan komen di sini.
Sebagai 'orang baru' kenal dunia penulisan, saya sangat menghargai komentar seputar dunia penulisan buku.
Walau sering mengikuti perkembangan dunia politik, namun kurang berminat menulis tentang politik. Tidak pandai dan tiada ilmu mengenainya. Lebih-lebih lagi saya wanita, isteri dan ibu; fitrah wanita itu bukan pada politik. Jarang-jarang sekali ada yang berminat.
Justeru tidak pelik kalau sukar menemui penulis politik di kalangan wanita. Kalau wartawan, ramailah juga.
Terima kasih atas perkongsian pengalaman di sini.
Ummu Abbas
Post a Comment