Monday, March 16, 2009

Susupan Tengahari

Sidang Kemuncak Untuk Apa?

DUA tiga hari lepas saya menerima kad jemputan bersampul putih. Isinya berwarna kuning ada lambang tengkolok berwarna hitam dan bayangan keris digenggam menjulang ke atas dalam bentuk shadow. Di luar kad jemputan itu tertulis “Perhimpunan dan Sidang Kemucak Pribumi Perkasa Negara.”

Saya tidak pasti apakah kad berkenaan tersalah c/o ataupun memang sengaja dikirimkan ke alamat rumah saya.

Bersama kad itu juga disertakan sekeping flyer yang menjelaskan tujuan majlis itu diadakan dan sesiapa yang berhak dan patut menghadirinya.

Di bahagian dalam ditulis aturcara majlis berkenaan, ia bermula jam 8:00 pagi berakhir 6:30 petang. Peta di mana berlangsung persidangan itu juga diserta di bahagian belakang.

Persidangan itu akan diadakan di Jalan Bangsar Ahad, 22 Mac.

Sekeping kertas berwan biru muda sebagai stiker untuk parking juga disertakan sama. Ini bermakna saya menerima kad jemputan bertaraf VVIP.

Siapakah yang mengirimnya? Alamat yang tertera untuk dibalas samada hadir atau tidak mencatatkan, Suite 808 Grand Season Avenue, 72 Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Saya telah membalasnya hari ini mengatakan tidak dapat hadir. Bukan apa kerana kebetulan pada hari yang sama saya akan menghadiri pelancaran buku Zaid Ibrahim berjudul "Aku Pun Melayu" yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, di Petaling Jaya.

Tidak pula dijelaskan siapakah orang-orang bersar yang akan hadir pada majlis berkenaan. Melayu manakah yang menjadi juaranya? Kenapa tidak dicatat namanya. Apakah ia sengaja diselindungi dengan ada tujuan dan matlamatnya. Ataupun ia tektik bagi mengelirukan orang ramai, di mana kalau nama juara itu dicatat menyebabkan orang akan berfikir empat kali untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

Cara kad itu semacam mahu mempedayakan orang saja!

Persoalan kini apakah diperlukan lagi persidangan-persidangan seperti itu. Sudah beribu persidangan diadakan atas nama Melayu dan kepentingan Melayu namun masalah Melayu tetap juga tidak selesai. Bahkan makin berbelit-belit dan bertele-tela jadinya masalah Melayu. Persidangan atau konvensyen tidak ubah seperti budak main pondok-pondok saja.

Apa yang saya nampak persidangan seperti itu bukan ikhlas hendak menyelesaikan masalah Melayu. Ia dibuat kerana kepentingan pihak tertentu. Dijadikan alat politik ataupun kepentingan diri pihak itu saja. Saya syaki badan yang menganjurkan persidangan itu juga menjadi perkakas politik pihak tertentu ini.

Mengenai persidangan itu diluar sudah diketahui orang yang akan memberi ucaptamanya ialah Dr Mahathir Mohamad. Saya tidak tahu apakah undangan ke atas Mahathir itu relevan untuk memberi ucaptama. Tentunya mereka yang memperjuangkan bahasa Melayu dan PPSMI tidak akan bersetuju.

Ketika orang Melayu masih bergelora dan panas dengan isu PPSMI apakah orang sanggup mendengar ucapan Dr Mahathir yang bertanggungjawab memperkenalkan PPSMI itu? Pada saya undangan ke atas Mahathir itu sebagai satu ejekan kepada para pejuang bahasa Melayu saja. Sebenarnya daripada undang Mahathir lebih baik terus undang Najib Razak!

Apa pun kerana kad jemput itu tersalah c/o kepada saya, saya tetap berterima kasih dan saya menerima tanpa prejudis. [wm.kl 2:15 pm 16/03/09]

1 comment:

mzpharmacy said...

Tuan..

Kalau ikut alamat tu..comfirm penghantarnya BRAHIM ALI.