Saturday, March 14, 2009

Analisa Sabtu

Mahathir Terus Ragui Abdullah

DR MAHATHIR Mohamad nampaknya istiqamah terhadap kepercayaanya (perasaan politik) yang Abdullah Ahmad Badawi tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Mohd Najib Razak meskipun Abdullah memberi laluan untuk nAJIB menang tidak bertanding sebagai Presiden Umno. Menurut Mahathir kemungkinan Najib akan jadi Presiden Umno tanpa memegang jawatan perdana menteri.

Keraguan dan perasaan politik Mahathir itu dikemaskan lagi dengan apa yang berlaku sebelum ini. Katanya di zaman beliau dulu, Hussein Onn masih jadi PM walaupun dia menjadi Presiden Umno, walaupun untuk beberapa minggu. Maknanya sudah ada precedent mengenai hal itu.

Tegasnya perlembagaan tidak mengatakan Presiden Umno itu mesti menjadi PM dan apa yang diamalkan sebelum ini hanya konvensyen di dalam Umno saja.

Pandangan Mahathir itu walaupun berbau cemburu dan provokasi kepada Abullah namun ia ada logik dan 'sanadnya'. Mungkin Mahathir sudah mendapat menghidu rahsia dan tanda-tndanya yang Abdullah tidak akan mudah melepaskan jawatan PM kepada Najib.

Perkembangan yang begitu drastik sekarang ini di sekitar diri Abdullah memungkinkan Mahathir terus istiqamah dengan teori itu dan sekaligus membimbangkannya takut idman hatinya Najib tidak dapat menjadi PM.

Ada tanda-tanda menunjukkan teori Mahathir itu akan berlaku. Sekiranya teori itu tidak benar masakan Mahathir terus membuat provokasi demikian, yang mana dengan harapan supaya Abdullah mengotakan janjinya. Sepatutnya Mahathir tidak terus menyerang psikologis Abdullah apabila Yang di-Pertuan Agong sendiri sudah pun merakamkan penghargaan kepada Abdullah pada pembukaan sidang parlimen lalu. Apakah rakaman itu juga sandiwara?

Pertemuan Abdullah dengan Anwar di Hulu Langat masih menjadi satu yang misteri. Mungkin insiden ini menjadi bahan kajian mendalam dalam makmal politik Mahathir di Yayasan Perdana. Pertemuan itu turut sama merujakan veteran politik itu.

Walaupun keduanya kata tidak ada perundingan, tetapi bagi mereka yang percaya politik itu serba mungkin mengangap perjumpaan itu bukan sekadar makan tengah hari saja, tetapi tentu lebih jauh dari itu. Lagi pun sifir politik kalau tidak itu bermakna ya, dan kalau ya itu bermakna tidak. Jawaban yang tegas dalam politik ialah 'mungkin'.

Samada dalam pertemuan makan tengah itu disertai perundingan atau tidak tergantung dan terserah kepada Anwar dan Abdullah yang berada di dalam rumah berkenaan selama satu jam. Dalam tempoh satu jam macam-macam yang boleh dibincangkan.

Selain itu teori Mahathir itu juga tentu berpandukan kepada perkembangan terkini mengenai desakan agar Abdullah supaya tidak melepaskan jawatan kepada Najib juga semakin banyak yang datang dari berbagai pihak. Cuma kenapa desakan itu tidak nampak kerana ia tidak dibuat secara zahir seperti desakan rakyat Perak agar DUN Perak dibubarkan. Tetapi pergerakan bawahan sedang berlaku ke saat ini.

Gerakan untuk mempertahankan Abdullah tetap diadakan. Munasabahnya mereka yang sayangkan kepada Abdullah, yang bimbang negara ini dlilepaksan kepada Najib atau mereka yang mahu menumpang tuah Abdullah mereka tentu tidak mendiamkan diri tanpa berbuat sesuatu.

Sanusi Junid pernah bermadah mengenai Abdullah Badawi ini di mana saya pernah rakamkan dalam sebuah buku. Kata Sanusi, "Abdullah macam kura-kura di depan orang dia melindungi kepalanya dan bila orang tidak ada dia akan mengeluarkan kepalanya." Apakah sifat kura-kura yang dikatakan Sanusi itu masih ada kepada Abdullah?

Kemungkinan ilusi politik Mahathir itu menjadi kenyataan juga apabila Tengku Razaleigh Hamzah begitu yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong dikatakan tidak akan memberi perkenan kepada Najib.

Tengku Razaleigh seorang tokoh yang bercita-cita untuk menjadi PM. Namun dakwaan dan cakap-cakapnya itu tidak boleh di kesampingkan begitu saja. Pastinya Razaleigh mempunyai asas dan maklumat mengenai hal itu. Pengalaman dan kontek dalaman Razaleigh lebih kurang hebat dengan apa yang ada kepada Mahathir.

Apakah Razaleigh percaya yang beliau akan dipilih Yang di-Pertuan Agong untuk jadi Perdana Menteri? Dalam wawancara dengan Siasah, Razaleigh menjanjikan dia akan membentuk kerajaan perpaduan kalau beliau jadi PM. Jaminan Razaleigh itu menunjukkan beliau yakin dia akan dipilih menggantikan Abdullah. Jika beliau tidak ada keyakinan adalah aib baginya untuk membuat janji demikian.

Kesimpulan dan kesudahan yang menarik untuk diramalkan apakah akan berlaku sekiranya teori dan ilusi politik Mahathir itu menjadi kenyataan – Abdullah tidak akan melepaskan jawatan PM kepada Najib.

Apakah Najib akan diam? Tidak... tindakan dan desakan terus akan dilakukan oleh orang-orangnya. Tindakan pertama akan berlaku dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno. MT akan mendesak supaya Perdana Menteri diganti segera. Saat ini nanti akan berlaku kekecohan dalam Umno di mana orang Najib akan berperang dengan orang Abdullah.

Takdirnya Abdullah tetap berkeras ia menyebabkan isu ini akan terheret ke Dewan Rakyat. Pihak Umno yang tidak suka kepada Abdullah akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Pulak...! Situasi inilah yang ditunggu-tunggu oleh Abdullah. Sekiranya ini berlaku dan Abdullah sedia menghadapi undi tidak percaya beliau akan berada dalam keadaan selesa. Kalau undi tidak percaya dilakukan Abdullah pasti akan menang kerana ahli parlimen Pakatan Rakyat akan bersama Abdullah. Lama sebelum ini Ketua Pembangkang, Anwar sudah memberi jaminan yang Pakatan Rakyat sedia menyokong Abdullah di parlimen, mungkin termasuk mengekalkan Abdullah sebagai PM. [d'kota kl 11:00 am 14/03/09]

1 comment:

En.Ilyasak said...

Tuan, jangan lupa DS Najib juga licik orangnya - macam kucing, alim bukan main. Pandai memanipulasikan ancaman dan kelemahan menjadi peluang dan kekuatan. Beliau sedar kalau bertarung secara berdepan beliau akan tewas, belaiu akan menggunak kaedah dan strategi yang dipelopori oleh Machievelli. Mahir dan masak dalam percaturan politik UMNO. Jika Tuan imbau kembali malam keputusan PRU12, di mana jelas daripada bahasa badan dan riak muka beliau dan isteri yang tersenyum sinis yang saya tafsir sebagai ingin mentalqinkan DS Pak Lah.

Simpati dengan DS Pak Lah kerana ketiadaan General dan Panglima yang hebat seperti TDM akan mempertahankannya di sepanjang waktu hatta sehingga kini walaupun sudah tiada jawatan.

Sebahagian dari tewasnya Panglima-panglima DS Pak Lah kerana ketiadaan karisma dan mungkin juga dibayangi oleh karisma KJ itu sendiri.

Diperingkat awal juak-juak DS Pak Lah (dan UMNO yang lain) juga merungut kerana karenah KJ yang menjadi Gate-keeper kepada DS Pak Lah.

Saya yakin DS Pak Lah bukanlah calang-calang ahli politik yang boleh dikesampingkan begitu saja. Sama-sama kita tunggu kebijaksanaan beliau berdepan dengan penderhakaan pemimpin UMNO terhadap beliau.