PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang meminta Mohd Najib Razak membersihkan dirinya terlebih dahulu sebelum menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6. Ini menurut Abdul Hadi perlu kerana Najib bukan saja ketua kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Adalah menjadi hak kita sebagai rakyat meminta Najib membersihkan dirinya terlebih dahulu kerana Islam mementingkan kepada pemimpin yang bersih dari segala dosa,” tegasnya dalam pertemuan eksklusif di pejabatnya tengah hari ini.
Abdul Hadi merujuk kepada beberapa isu yang melingkari diri Najib Razak yang diperkatakan sejak lama dulu.
Keburukan mengelilingi diri Najib katanya bukan saja diketahui oleh rakyat negara ini tetapi seluruh dunia mengetahuinya apabila ia disiarkan dalam media massa antarabangsa.
Antara tuduhan atau persepsi buruk yang dilekatkan kepada Najib berhubung dengan kelakuan rendah moral dan juga jenayah.
Kes-kes seperti ini amat besar kesannya dan memalukan serta tidak perlu ditempelkan kepada seseorang yang bakal menjadi pemimpin nombor satu negara.
“Najib mungkin tidak melakukannya dan ia juga mungkin semua itu fitnah, tetapi apabila ia sering disebut ini menyebabkan diri Najib kotor dan Najib wajar menjelas dan membersihkannya,” jelasnya.
Tegas Abdul Hadi lagi, selagi Najib menepisnya begitu saja dan mendiamkan diri selama itu tuduhan-tuduhan huduh itu akan melekat kepada dirinya.
Untuk membersihkan dirinya Najib boleh melakukan menerusi saluran atau bentuk, menerusi mahkamah atau parlimen.
Misalnya Najib boleh mendakwa pihak-pihak yang menuduh ke atasnya dan biar mahkamah menentukan.
Beliau merujuk kepada dirinya sendiri yang satu masa dituduh oleh media Barat mengatakan beliau adalah seorang pengganas dan orang nombor tiga dalam jemaah al-Qaida.
“Saya saman media berkenaan dan mahkamah mendapati semua itu adalah fitnah,” jelasnya lagi sambil berharap Najib akan membuat tindakan yang sama.
Setelah mahkamah atau parlimen menentukan diri Najib bersih barulah beliau boleh memegang jawatan berkenaan. Manakala katanya sementera Najib dalam proses menyucikan diri Abdullah Ahmad Badawi bolehlah terus memegang jawatan Perdana Menteri. "Tidak ada sebab untuk Abdullah melepaskan jawatan PM yang dipegangnya kini," tegasnya.
Manakala menyentuh mengenai pertemuannya dengan Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu minggu lalu, Abdul Hadi menjelaskan pertemuan itu bagi mendapat pandangan mengenai beberapa perkara daripada Nik Aziz.
Pertemuan yang turut sama dihadiri Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan timbalan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din turut sama membincang strategi Pakatan Rakyat dan juga mengenai idea mengagaskan unity government.
"Alhamdulilah Tok Guru Nik Aziz telah memberi beberapa nasihat dan pandangan yang baik yang akan dijadikan pedoman dalam membincangkan idea ini," jelasnya.
Menjawab pertanyaan kenapa Nik Aziz mengkritik idea itu secara terbuka baru-baru ini, Abdul Hadi menjelaskan ia bukan disengajakan tetapi kerana beliau (Nik Aziz) tidak mendapat maklumat dan penjelasan yang sebenarnya. "Bagaimana pun alhamdulilah kini semuanya sudah selesai," jelasnya. [wm.kl. 4:00 pm 31/03/09]
2 comments:
Salam Tuan Haji MSO,
Penjelasan DS Hj Hadi ada kebenaran dan rasional sekiranya itu langkah terbaik buat DS Najib membersihkan diri beliau dari kencaman, hentaman, tuduhan oleh pihak media antarabangsa berkenaan skandal beliau. Contoh pemimpin yang pernah berani mengambil langkah tersebut membersihkan diri atas tuduhan yang dilemparkan oleh pihak media luar adalah Mantan Menteri Kewangan, YBM Ku Li semasa pertuduhan skandal BMF pada tahun 1980an dan telah terbukti YBM Ku Li memenangi kes dan didapati bersih.
Ikuti kisah ini yang telah dimuatkan dalam blog YBM Ku Li :-
http://razaleigh.com/2009/03/25/come-clean/
Coretan kisah YBM Ku Li boleh dijadikan panduan sekiranya itu langkah terbaik untuk DS Najib membersihkan diri beliau dari pertuduhan skandal yang menyelubungi beliau, bak kata pepatah "berani kerana benar, takut kerana salah".
Salam MSO,
Saya amat bersetuju dengan pandangan Presiden Pas serta komen dari saudara Zeme. Najib seharusnya membersihkan namanya yang telah tercemar oleh beberapa isu yang diketahui umum. Sikap beliau yang hanya menafikan segala tuduhan tidak dapat memulihkan pandangan rakyat Malaysia terhadap kredibiliti beliau. Mungkin Najib sedang menunggu masa yang sesuai untuk membuktikannya? Hanya beliau sahaja yang dapat menjawab persoalan itu. Diharapkan apa apa jua tindakan yang akan diambil, biarlah ianya dapat membersihkan kredibiliti serta memulihkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap beliau.
Post a Comment