Kosmetik Perpaduan Umno Mencabar Rakyat
PERHIMPUNAN agung Umno minggu lalu memberi semangat dan menambahkan keyakinan baru kepada orang-orang yang bimbang mengenai nasib parti berkenaan. Mereka yang sudah reput tulang dengan kekalahan BN dalam pilihan raya umum lalu tiba-tiba seakan terpulih daripada stroke kecil yang menakutkan itu.
Sedikit sebanyak perasaan takut dan cemas mengenai nasib Umno Barisan Nasional (UBN) seperti terubat sedikit. Kalau ibarat luka ia terbalut. Semuanya kerana Abdullah Badawi mengumumkan secara rasmi beliau akan berundur dan serahkan kuasa kepada Mohd Najib Razak.
Biarlah peralihan itu berlaku. Pembangkang (Pakatan Rakyat) tentunya akan sedia berhadapan dengan sesiapa saja dan tidak menegiskan semangat mereka. Hatta kalau ada seribu Najib dalam Umno pun ia sedikit pun tidak akan mematahkan semangat pembangkang. Kembalilah seribu orang seperti Mahathir ke dalam Umno pun ia sedikitpun tidak akan melemahkan semangat pembangkang.
Atau pun ambillah seribu orang macam Salentia ia seguris pun tidak merawangkan rakyat dan jiwa pembangkang. Pengembalian Mahathir atau penerima Salentia tak ubah seperti tulang-tulang kering yang disangkut didinding untuk diasapkan bagi menghalau hantu dan jin sahaja! Tidak lebih dari itu.
Orang-orang Pas, PKR dan DAP yang sebelum ini yang tergencat dengan beberapa kasus yang menimpa dan berlaku dalam parti masing-masing kini bangkit semula setelah mereka melihat Umno mula menyancang dan menyusun barisan baru. Kelebihan pembangkang ialah mereka akan bersatu sebaik saja hala lintar berbunyi dan kilat memanah awan. Mereka cepat-cepat menyediakan payung sebelum hujan turun.
Kesediaan Mahathir menampalkan najis ke mukanya sendiri dan ditunjukkan pada hari akhir perhimpunan Umno itu ia turut memberi semangat kepada rakyat yang menuntut perubahan dan Malaysia Baru. Kehadiran Mahathir yang dilihat suatu foya-foya politik itu membangkit jiwa pembangkang untuk berjuang.
Datang dan marahlah Mahathir kami sedia menunggu! Mungkin begitulah seruan gelap yang menjadi tangkai pendinding diri para pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat bawahan.
Dengan kosmetik perpaduan itu lalu Umno pun dilihat sebagai berpadu. Tangan-tangan kalangan Umno yang kerapu dan bernajis sebelum ini kerana mengkritik sesama sendiri pun dilihat bergandingan dan berpelukan. Selawat ke atas Junjungan dialunkan persis menyambut kelahiran bayi baru bernama Umno.
Media massa lalu meratib seolah-olah Umno baru dilahirkan semalam dengan disambut seribu malaikat dan diletakkan atas dulang emas berlapikkan ‘seperah’ putih bersih bertahta bening 'sutramara'. Begitulah gambaran yang dikosmetikkan.
Kehadiran rakyat ke pusat penamaan calon di Taiping dan Bukit Selambau semalam sungguh luar biasa dan membuktikan rakyat sudah membina pasukan perang? Dalam ekonomi yang kering, rakyat dikatakan tidak ada wang, tidak ada kerja dan susah untuk cari makan, namun mereka boleh berhimpun, bersorak dan bertakbir, Allahuakbar....ini bermakna hambatan kehidupan semasa tidak menghalang jihad dan azam mereka.
Hanya kuasa dalaman dan semangat ghaib saja yang boleh menghimpun puluhan ribu begitu bagi menyambut kemaraan Umno yang dikatakan berpadu itu.
Tiga piliihan raya kecil itu, P 59 Bukit Gantang, N Bukit 2, Selambau dan Batang Air memberi signifiken baik kepada BN dan Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi Bukit Gantang memberi makna besar kepada Pas dan Umno.
Ia akan memberi petanda dan menjadi penunjuk arah yang jelas dan lurus kepada rupa dan suasana politik selepas ini. Kemenangan kepada Pakatan Rakyat maka terbina highway untuk membina kerajaan baru selepas pilihan raya umum ke-13 nanti. Selepas ini tidak ada sesiapa lagi boleh mesabotaj pembinaan jalan lurus ke Putrajaya bagi pembangkang!
Dalam konteks Perak sendiri Bukit Gantang tidak dapat tidak akan dijadikan ukuran populariti antara Mohamad Nizar Jamaluddin dengan Sultan Azlan Shah. Ia menjadi neraca kepada rakyat bagi menentukan apakah hukuman ke atas Nizar sebagai derhaka itu benar ataupun tindakan Sultan Perak itu dilihat sebagai salah di mata rakyat!
Walaupun mahkamah sedia menanti dengan keputusannya namun pilihan raya Bukit Gantang akan membuat keputusan dengan 55,471 pengundi sebagai hakim agung yang mutlak. Pastilah hakim rakyat lebih berbisa berbanding dengan segala hakim lain kecuali Rabul Jalil. Keputusan hakim rakyat tidak boleh ditolak dan dinafikan oleh mana-mana mahkamah.
Kita tidak mahu memikirkan apakah kesan dan akibat selepas keputusan itu dibuat. Namun yang nyatanya begitulah hakikat pilihan raya itu. Allah seakan senagaja membawa pulang Allahyarham Roslan Shahrum keribaan-Nya bagi mewujudkan sebuah mahkamah rakyat bagi mengadili kemelut politik di Perak. Allah juga seakan menggerakan hati Umno untuk melakukan rampasan kuasa bagi menguji sejauh mana besar dan hebatnya kuasa rakyat. Tanpa rampas kuasa itu penentuan ini tidak boleh dilakukan.
Demikian juga halnya di Kedah. Pilihan raya Bukit Selambau memberi petunjuk kepada masa depan kerajaan Kedah. Bukit Selambau adalah penentu dan bakal menjadi benteng ampuh samada kepada kerajaan Kedah atau BN. Sekiranya BN berjaya meruntuhkan Bukit Selambau ini bermakna mereka akan mara untuk meruntuh Gunung Jerai, Pokok Sena, Padang Serai, Padang Terap dan lain-lain atau merampas Pantaloon.
Di Sarawak pula Batang Ai akan menjadi pancang kepada Pakatan Rakyat. Kekalahan sudah dalam tangan namun kemenanagan di Batang Ai akan menjadi pancang bermulanya gerakan rakyat menghancurkan hegemoni Taib Mahmud dan BN. Kemenangan PKR bermakna panji keadilan rakyat sudah terpacak di bumi Kenyalang itu.
Bagi PKR kekalahan tidak membawa apa-apa implikasi. Kerana BN Sarawak seawal lagi membendung dan menghalang pemimpin Pakatan Rakyat daripada memasuki Sarawak. Demokrasi di Sarawak adalah pagar berduri bagi pembangkang! Perlawanan PKR di Batang Ai adalah perlawanan dengan semangat dan simbol-simbol sahaja. Bagaimana pun ia satu peluang terbaik untuk melihat kemampuan PKR yang dikatakan sudah mulai menyentuh hati nurani rakyat Sarawak.
Tiga pilihan raya kecil 7 April ini juga menentukan apakah kosmetik perpaduan yang dicipta dalam Umno minggu lalu akan ternoda atau sebaliknya? [wm.kl. 11:30 am 30/03/09]
No comments:
Post a Comment