Friday, March 27, 2009

Analisa Kepimpinan Umno

Najib Kini Bergelar 'Maharaja Jib' Yang Gagah Perkasa

DI DALAM rumah sendiri (Umno), kini Mohd Najib Razak berada dalam keadaan selesa dan selamat. Beliau tidak perlu membuang masa berfikir untuk mententeramkan Umno dan menjaga keselamatan kuasa yang beliau miliki. Perwakilan Umno yang membuat pemilihan semalam benar-benar menterjemahkan keinsafan keinginan ahli mahu memperbaiki parti tersebut. Keperitan dialami semasa pilihan raya umum ke-12 lalu dijadikan pengajaran cukup baik.

Tepat seperti mana ramalan dan analisa sebelum ini bahawa Najib memang mempunyai pengaruh yang kuat. Umno kini hampir 90 peratus dikuasai oleh Najib berdasarkan kepada orang-orang dan penyokongnya. Kemenangan orang Najib menjelaskan pengaruh Najib menyeluruh dalam Umno.

Justeru, Najib akan melangkah ke Putrajaya menjadi perdana menteri ke-6 yang kuat, penuh bersemangat dan penuh keyakinan bertitle sebagai seorang maharaja, Maharaja Jib.

Ternyata isu-isu peribadi yang dilontarkan pembangkang terhadap Najib tidak dipedulikan perwakilan. Orang Umno tidak menerima dakwaan ke atas Najib, dan tetap menganggap sebagai anak dewa politik yang lahir dari sanggama orang tuanya di langit biru.

Atas semangat itu dan apa yang ditunjukkan para penyokongnya, maka Najib akan selamat dalam Umno, walaupun di luar masih simpang siur dan beliau disirami persepsi buruk dan hanyir!

Realiti ini tentu mengayatkan hati pembangkang. Bagi penyokong pembangkang yang berakal panjang dan tidak emosi dapat menebak sesuatu dan menimbulkan sedikit rasa bimbang. Nyata bayangan bahawa perhimpunan kali ini memberi kesan buruk kepada Umno silap. Perpecahan yang diharapkan daripada hasil pemilihan ini juga tidak berlaku. Walaupun pemilihan Umno penuh dengan kotoran, rasuah dan sebagainya namun itu tidak menjadi masalah dan tidak mencacatkan Umno kerana budaya dan amalan itu sudah 'diijamakan' (konsensus) Umno sebagai halal.

Jika diperhati dan ditelitikan hampir semua mereka yang terpilih menganggotai Majlis Tertinggi (MT) terdiri daripada orang-orang Najib. Mereka yang menyokong Najib sejak zaman pemuda Umno lagi; yang kagum dengan Najib. Semua mereka yang dikatakan orang Abdullah tewas dan kalaupun ada yang menang mereka yang sempat menukar baju T berwajah Najib di saat-saat akhir.

Dua menteri yang dikenali pasti sebagai orang kuat Abdullah, Shahrir Abdul Samad, Azalina Othman Said tewas. Begitu juga menteri besar, Pahang, Adnan Yaacob dan menteri besar Negeri Sembilan, Mohammad Hassan tewas. Jarang MB tewas dan gagal menempatkan diri di kerusi MT atas kapastitinya selaku pengerusi perhubungan. Tetapi kelaziman itu kini dihanyutkan oleh pengaruh dan aura Maharaja Jib.

Hanya dua orang saja menteri yang dianggap sebagai orang Abdullah menang, iaitu Shaziman Abu Mansor dan Zulhasnan Rafique. Manakala yang lain seperti Ahmad Shaberi Cheek, Ismail Sabri Yaaob, Hamzah Zainuddin yang dikatakan orang Abdullah juga menang tetapi setelah mereka juga mula menunjukkan kesetiaan kepada Maharaja Jib.

Dengan Muhyiddin Yassin menjadi timbalan dan dibantu dengan tiga naib presiden, Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafei Afdal kedudukan Najib bagaikan maharaja yang mempunyai hulubalang dan sang setia yang gagah perkasa dan akan sehidup semati. Mereka inilah yang akan memegang lembing dan tombak sepanjang masa sambil duduk, berdiri dan baring untuk mempertahankan Maharaja Jib.

Kalaupun Najib merasa sedikit teralat ialah dengan kemenangan Khairy Jamulddin sebagai ketua pemuda Umno. Itu pun tidak ada masalah, pengaruh Khairy tidak sampai ke mana dalam pemuda. Kahiry juga sebagai seorang yang sudah seronok berkecimpung dalam Umno selepas ini juga berikhtiar untuk menjadi hamba Maharaja Jib yang baik.

Manakala wanita pula, tidak usah ceritalah, mana ada wanita yang keras dan tegas. Shahrizat bukan serikandi persis Chut Nyek Din atau Kartini yang akan berani mengkritik Maharaja Jib. Shahrizat adalah wanita yang berhati wanita. Saya sering bermadah mengenai wanita, hanya satu perkara saja yang keras yang ada pada wanita iaitu mulutnya, yang lain semua lembik dan lembut.

Selepas ini Shahrizat Abdul Jalil akan 'bersujud sawi' kepada Maharaja Jib mengambil alih peranan tukang masak untuk menyiapkan juadah santapan presiden yang dipegang oleh Rafidah Aziz sebelum ini.

Dengan realiti itu Najib kini memperolehi sokongan kuat dalam Umno. Beliau tidak ada apa-apa masalah yang perlu dikhwatirkan lagi. Keadaan ini akan ditambah dengan sokongan dari luar, daripada bekas PM, Mahathir Mohamad yang dari hari Jumaat sampai hari Khamis menghentam melanyak Abdullah untuk membolehkan Najib dimasyorkan sebagai Maharaja Jib.

Umno kini juga sudah tidak ada blok-bok tertentu. Tidak ada siapa yang akan menjadi ketua blok untuk berhadapan dengan blok dan kekuasan Maharaja Jib.

Apa yang hendak dibentangkan di sinilah ialah semoga senario yang ada dalam Umno kini diperhati oleh pembangkang atau mereka yang ingin mencari untung dengan berlakunya perpecahan dalam Umno dengan harapan dapat membina kerajaan baru.

Pembangkang yang ingin menangguk di air keruh dengan perbalahan Umno hendaklah mula berfikir mencari strategi baru. Laba diharap menerusi perbalahan dan perpecahan Umno nampaknya sudah tipis dan kabur.

Saya tidak mengira orang-orang yang kecewa, kalah, yang semuanya kalah bersama Abdullah akan bangkit membela diri dan menentang Najib secara diam. Tidak ada! Lagipun Abdullah sendiri sudah melafazkan ikrar dan taat setia kepada Najib dan beliau rela menurunkan maruahnnya dari bekas seorang general menjadi sang setia nombor satu bertaraf saldadu ‘kaki pekal’ = kaki bengkok.

Apabila general sudah mengaku kalah apa lagi dengan panglima dan para saldadu kaki pekal pun turut merapat sembah dan meniarap bila general baru melintas, atau mereka akan terus tabik bila terdengar saja batuk general walaupun bayangannya belum nampak.

Justeru, perkembangan dalam Umno kini memberi syarat jelas kepada pembangkang agar berhati-hati dan membuat perkiraan baru. Pembangkang perlu bertindak mengubah strategi daripada mahu mengambil kesempatan atas perpecahan Umno kepada pengukuhan diri sendiri. Pembangkang (Pakatan Rakyat) perlu perkemaskan ikatan pakatan. Pembangkang akan kecewa kalau masih terus mengharapkan perpecahan dalam rumah tangga Umno.

Yang penting selepas ini serangan ke atas Umno, memomokkan kononnya Umno akan hancur dan sebagainya perlu dirihatkan sedikit dan tumpukan kepada mencari helah dan modal lain. Pembangkang lebih baik terus meracuni pemikiran umum dengan masa depan Umno yang sudah tidak diyakini kerana permasalahan, idealisme, budaya, tradisi dan juga iltizam perjuangannya yang tidak menentu itu, dan bukannnya terus bercerita mengenai perpecahannnya dan juga menghimpun segala macam masalah peribadi (termasuk fitnah) ke atas pemimpinnya.

Sebagai seorang maharaja yang berkuasa, ada wang dan segalanya, Najib sudah tentu akan menyediakan makanan dan juadah harapan indah kepada orang Umno yang bertaraf pemimpin. Najib tidak akan membiarkan mereka, akan diberi makan dan dikurung agar tidak mencakar mukanya. Dan orang Umno sangat jinak diperlakukan begitu.

Kesimpulannya hasil pemilihan Umno telah berjaya meletakan parti itu dalam satu pasukan yang kuat dan bersemangat. Najib telah mendapat saf kepimpinan yang hampir 100 peratus mereka yang mendokongnya. Impiannya agar diberikan saf tersendiri sudah tercapai.
Pastinya juga saf itu akan mula berfikir mengubah corak perjuangan parti itu serta menyesuaikan dengan tuntutan semasa rakyat yang kini makin ghairah disangkutkan ke bahu Pakatan Rakyat. Sekiranya Umno dan Najib dapat merubah ia memberi impak yang buruk kepada pembangkang untuk pilihan raya akan datang! [wm.kl. 6:00 am 27/03/09]

3 comments:

AhmadRazinHjYob said...

Salam,

Ulasan yang seronok untuk di baca dan di renung bersama. Bila kuasa di dalam tangan maka secara langsung tumpuan akan di arahkan kepada beliau. Penerimaan khalayak adalah faktor terpenting dalam menilai keupayaan seseorang pemimpin. Kita tidak boleh hanya menerima secara melulu dan tanpa rasional dalam menilai kepimpinan sesebuah negara. Yang penting ialah bagaimana diri kita sendiri bertindak samada untuk menerima ataupun menolak. Penilaian ini adalah berbentuk subjektif. Pemimpin tidak bolah memuaskan hati semua pihak. Hanya yang benar benar kuat , tahan lasak dan mungkin ada faktor bantuan nasib sahaja yang berjaya melepasi sesuatu ujian terutama pilihanraya. Rakyat semakin terbuka dan masing masing sudah sedar akan hak masing masing. Menguruskan negara kini sudah tidak sama macam 10 tahun yang lalu. Ramai cerdik pandai, professional malah di seluruh pelusuk kampung pun sudah punyai kesedaran yang luar biasa di dalam menentu hala tuju sesebuah pemerintahan. Di samping memfokuskan tentang masalah negara, negeri , kawasan setempat , kita juga jangan lupa untuk memfokuskan kepada diri kita sendiri. Apakah aku juga mampu berubah ? Arah dan tujuan adalah pilihan masing masing.....

Unknown said...

Salam MSO,

Artikel dan gelaran yang menarik. Namun maharaja jib juga perlu diingatkan agar berhati hati dengan musuh dalam selimut bagi pihak nya sendiri. Mungkin sekarang beliau boleh berasa selesa dengan apa yang telah ada di dalam genggaman. Tetapi tidak siapa tahu akan masa hadapan. Silap cara, apa yang digenggam sekarang mungkin akan tercicir sekiranya beliau tidak berhati hati dan meneliti segala tindak tanduk pengikut setia beliau. Harapan mengunung dari akar umbi harus didengari kerana mereka lah yang akan menilai keberkesanan pentadbiran beliau. Jika beliau mahu dilihat sebagai pemimpin yang dapat mengubah persepsi pihak pembangkang, kotakan segala apa yang dijanjikan sewaktu berucap tempoh hari. Jangan ianya dilihat sebagai omong omong kosong sahaja.

D'Rimba said...

Kami anak bangsa lebih rela mendengar dan mempercayai pejuang bahasa yang ikhlas jiwanya mempertahankan jatidiri bangsa. Kami tidak lagi rela dengan segala drama pentas episod luka lama berdarah kembali. Tidak cukupkah mereka semua berjaya memansuhkan tulisan Jawi sekaligus mengikis nilai Islam itu sendiri dalam diri dan mengurangkan kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara hingga makin menghakis jatidiri anak bangsa....Sesungguhnya ya Allah aku bermohon kepadaMu setulusnya Kau berilah kejayaan kepada mereka yang benar mengutamakan Islam setulusnya. Kau kembalikanlah kami kepada acuan Islam yang sejati. Ya Allah, sesungguhnya kami hambaMu yang telah teraniaya setelah sekian lama. Kau kabulkanlah permiantaan hambaMu yang lemah ini. Kau hapuskanlah mereka yang mengutamkan acuan barat dalam segenap aspek kehidupan yang mengundang Muslim menuju kehancuran ya Allah. tolonglah Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani. Tolonglah kami yang telah teraniaya ini...............