Benarkah Yahaya Ismail Ugut Khairy?
SEJAK tengah hari tadi saya menerima panggilan bertalu-talu dari rakan dan juga peminat blog Merah Tinta berhubung dengan laporan polis yang dibuat oleh calon ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terhadap penulis buku politik Yahaya Ismail.
Jenuh saya hendak menjawabnya kerana tidak berapa tahu duduk perkara sebenarnya. Sehari dua ini saya membataskan pergerakan kerana kurang sihat. Saya faham pemanggil itu bertanyakan saya kerana Yahaya adalah 'kroni' kami dalam penulisan buku politik. Sebagai penulis politik kami kenal antara satu sama lain dan sedikit sebanyak tahu kegiatan masing-masing.
Harapan para pemanggil ialah ingin tahu apakah yang menjadi punca Khairy sampai membuat laporan polis. Kalau sudah sampai ke balai polis bermakna adalah bahagian-bahagian tertentu dalam buku berkenaan yang boleh memeningkan Khairy.
Yahaya juga tidak menceritakan detail mengenai bukunya yang berjudul Khairay Jamaluddin: Tuan dan Sial yang menjadi masalah itu. Tetapi cakap-cakap Yahaya akan menulis dan menerbit buku mengenai Khairy sudah kedengaran sebulan lalu.
Menjadi tradisi kepada penulis politik akan menulis buku menjelang perhimpunan agung Umno. Lebih-lebih lagi bila Umno mengadakan pemilihan pemimpin, makin bertambahlah jumlah buku-buku politik yang dihasilkan.
Boleh dikatakan sebahagian besar penulis menghasilkan buku masing-masing kecuali beberapa orang tidak berbuat demikian termasuk saya. Saya menulis bukan saja menjelang perhimpunan agung Umno tetapi sepanjang musim sebab penulis adalah kerja dan profesyen.
Hinggalah mendengar berita sekejap tadi menerusi siaran berita tv baru tahu cerita sebenanya. Menurut laporan berita itu seperti mana dijelaskan Khairy, beliau membuat laporan polis itu kerana Yahaya menggugutnya minta RM100,000. Menurut Khairy, Yahaya datang sendiri berjumpa degannya minta wang sebanyak itu kalau tidak ditunaikan buku itu akan diterbitkan. Dakwa Khairy buku itu akan dibahagikan kepada perwakilan pemuda Umno.
Kalaulah dakwaan Khairy itu benar ini ia sesuatu yang malang kepada penulis politik. Tindakan sebegitu boleh merosakan reputasi dan menjatuhkan maruah penulis politik seluruhnya. Selama ini pun penulis politik sudah dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Saya sendiri tidak terkecuali turut sama dituduh melakukan peras ugut dan mencari makan memelihara anak isteri dengan melakukan peras ugut ke atas menteri! Tuduhan menerusi SMS itu saya simpan sampai ke hari ini sebagai kenangan!
Kalau yang membuat tuduhan itu pemimpin Umno tidak jadi masalah kerana pemimpin Umno tahu apa yang berlaku dalam dunia penulis buku politik, penulis mana yang diupah, makan upah atau tidak sanggup menerima upahan. Tetapi pemimpin itu ialah dari parti pembangkang yang mengaku sebagai warak dan tangan senantiasa tergenggam al-Quran. Apakah dia pernah mengupah penulis menyebabkan boleh melemparkan tuduhan najis sebegitu?
Tuduhan-tuduhan begitu menunjukkan betapa buruknya perangai penulis politik. Jadi apabila Khairy membuat laporan ke atas Yahaya menyebabkan persepsi umum terhadap wujud penulis upahan semakin menebal dan ia boleh merosakkan penulis lain yang tidak terlibat.
Sebagai seorang penulis secara peribadi saya berharap semoga dakwaan Khairy itu disiasat polis bagi menentukan apakah dakwan itu benar atau tidak. Sesiapa pun tidak dapat membuat penghukuman sendiri atas sesuatu dakwaan. Kerana sudah ada laporan polis elok serahkan tugas itu kepada polis dan polis juga perlu mempercepatkan siasatan.
Saya mencadangkan kepada penulis politik yang tidak terlibat dengan kegiatan-kegiatan rendah moral, ugut, fitnah, ambil upah dan sebagainya membuat kenyataan bersama menjelang perhimpunan agung Umno. Sekurang-kurangnya kenyataan itu boleh menjelaskan kepada umum bahawa buku semua penulis politik tidak bermoral. Kenyataan itu juga sebagai menafikan yang penulis politik tidak ikut sama main politik wang. [wm.kl. 9:00 22/03/09]
No comments:
Post a Comment