Kali ini Mukhriz lebih cerdik dari bapaknya
KESEDARAN dan pandangan siasah Mukhriz Mahathir mengenai kepentingan perpaduan Melayu lebih sihat daripada pandangan dan pemikiran politik bapaknya. Mukhriz mungkin terelak daripada turut mewarisi genetik kebencian melulu kepada Pas seperti mana yang dianuti oleh bapaknya, Mahathir Mohamad.
Bapaknya adalah seorang pembenci Pas yang tegar. Bagi Mahathir beliau melihat Pas samalah seperti Israel melihat rakyat Palestin! Bagi Mahathir Pas adalah parti politik yang munafik dan sempit, tidak progresif. Walaupun dia pernah menumpang pentas Pas sewaku dipecat dari Umno tahun 1969, namun Mahathir tidak boleh menerima ideologi Pas dan cara Pas berpolitik.
Mahathir menganggap Pas juga parti yang berubah-rubah dan tidak konsisten mengenai Melayu.
Dalam hal ini mungkin Mahathir benar bahawa Pas tidak konsisten mengenai Melayu. Tetapi beliau haru memperbesarkan kanta matanya lebih dahulu melihat apakah perubahan itu ke arah mengempitkan pemikiran politik ataupun sebaliknya. Mahathir harus mengkaji perubahan Pas itu mengikut idealisme para penerajunya serta keperluan semasa bukan terus berpegang kepada paradigma lama Pas.
Perubahan pendekatan, tektik dan strategi tidak menjadi masalah, asalkan jangan pada dasarnya. Mana-mana parti boleh dan perlu melakukan perubahan untuk kemajuan perjuangannya. Perubahan kepada teknik tidak menjadi masalah kerana Pas juga menerima pakai politik Machiavellisme.
Tetapi kali ini Mukhriz melihat di luar kerangka yang bapaknya lihat mengenai cadangan peribadi Presiden Pas, Abdul Hadi Awang perlunya diwujudkan kerajaan perpaduan atau unity goverment. Penerimaan Mukhriz mengenai cadangan Abdul Hadi itu atau kepentingan Melayu bersatu terkesan apabila ahli Parlimen Jerlun itu membelasah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng yang ingin menanyakan lebih lanjut Abdul Hadi berhubung cadangan itu. Bagi Mukhriz sikap Guan Eng itu sebagai kurang ajar.
Mukhriz mentafsrikan sikap Guan Eng itu sebagai orang yang mahu melihat Melayu terus berpecah kerana dengan perpecahan itu DAP akan mengambil kesempatan. DAP akan mencari makan dari kelompongan perpaduah Melayu!
Kata Mukhriz sikap Guan Eng itu sebagai kurang ajar. Jarang kita mendengar Mukhriz mengeluarkan kata-kata keras dan berani begitu. Walaupun masa kini Mukhriz sedang berkempen untuk memenangi jawatan ketua pemuda Umno dan kenyataan itu sebahagian daripada alat kempennya, namun apa yang disuarakan itu patut dihormati dan ia satu tuntutan bersama.
Orang Melayu perlu mengenepikan perbezaan dan ideologi politik untuk duduk sekali merancang dan berfikir mengenai masa depan kuasa politik mereka.
Keberanian dan pandangan Mukhriz itu juga agak anih kerana ianya kontras dengan pendirian dan sikap politik sekular bapaknya. Mahathir masih lagi terus membenci Pas dan tidak meletakan setitik kepercayaan pun kalau Pas dan Umno boleh duduk sekali.
Mahathir ketika diminta mengulas cadangan Abdul Hadi itu awal-awal lagi menolak dengan mengatakan ia tidak payah dilakukan. Alasannya percubaan itu sudah dibuat pada tahun 1970-an dulu tetapi gagal disebabkan Pas tidak berfikir seperti Barisan Nasional.
Mahathir nampaknya begitu pesimis terhadap cadangan Abdul Hadi itu dan tidak berusaha untuk melenturkan hatinya walaupun sudah tidak lagi menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri. Sepatutnya sebagai barang klasik dalam politik, Mahathir juga dapat mengurangkan ramuan-ramuan panas dan pedas dalam juadah pemikiran politiknya sesuai seperti menu orla yang tidak boleh makan pedas dan terlalu manis.
Ketidakyakinan atau rasa serit Mahathir untuk melihat Umno dan Pas duduk sekali itu sama dengan sikap dan pendirian Mursiydul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz bila setiap kali bercakap mengenai kerjasama antara Pas dengan Umno akan membalik-balikkan perisitwa lama tahun 1974, peristiwa terkeluarnya Pas dari BN.
Bagi Nik Aziz perisitwa itu cukup memberi pengajaran dan ia mula melihat BN dan Umno itu seolah-olah birai neraka yang panas yang tidak wajar dihampiri.
Sebenarnya kerumitan untuk orang Melayu dalam dua badan siasah itu untuk bersatu ialah kerana menerima pakai fatwa dan formula kedua orla – orang lama ini. Selagi kedua orla ini tidak mengubah pemikiran dan sikap politik mereka yang penuh dengan rasa curiga maka selama itulah perpaduan yang diharapkan itu tidak menjadi kenyataan. Dan kedua orla ini merasakan mereka sebagai tunggal keramat apabila ada segelintir animisme dalam kedua parti masing-masing masih terus menyembah mereka.
Bagi orla seperti Mahathir, sepatutnya beliau tidak melihat Pas dalam sudut semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu. Beliau harus ubah sudut pandangan dan kaca mata yang digunakan untuk menilai Pas atau mana-mana pihak bagi membawa perpaduan demi orang Melayu. Beliau harus sedar dengan tuntutan semasa dan ancaman akan datang yang sangat bahaya kepada kuasa politik Melayu.
Adalah silap kalau Mahathir masih melihat dengan menggunakan kaca mata lama, sedang sekarang ini sudah ada kanta sentuh yang tidak perlu kepada bingkai dan cermin yang tebal dan berat lagi. Selagi Mahathir meliahat Pas dengan cermin mata tebal, maka selama itulah Mahathir akan melibat arca Pas itu seperti mana arca Pas yang pernah dilihat dulu.
Tentang Mukhriz tadi apakah pandangannya itu benar dan dibuat mengikut perspektif politiknya sendiri? Sekiranya Mukhriz kekal dan tulus dengan pandangannya itu – yang berbeza dengan bapaknya, nescaya Mukhriz dapat merubah dan membawa sesuatu kalau beliau menang ketua pemuda Umno kelak. Sebaliknya kalau kenyataan membelasah Guan Eng itu sebagai modal tambahan untuk memenangi jawatan ketua pemuda Umno saja maka apa yang boleh disifatkan keberanian itu tidak membawa apa-apa pun melainkan modal politik murahan saja. [wm.kl. 10:00 am 15/03/09]
No comments:
Post a Comment