Saturday, January 28, 2012

Belasungkawa

Bekas Adun Bukit Tuku Kembali Ke Rahmatullah

Bekas Adun Bukit Tuku, Tuan Guru Hj Hussein Ibrahim telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 5:15 minit petang ini disebabkan serangan jantung. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital Daerah Lati dari rumahnya di Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Pagi tadi Allahyarham telah menghadiri majlis anjuran Dewan Ulamak di Madu, Machang Kelantan.

Katanya sebaik majlis itu selesai Allahyarham mengadu keletihan dan sesak nafas dan dibawa pulang ke rumahnya di Pondok Lubuk Tapah.

Sesampai di rumah anaknya telah membawa ke hospital apabila keadaanya semakin tenat.

Sebelum menerima rawatan Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir dipercayai kerana serangan jantung.

Allahyarham dijadualkan akan menjalani pembedahan jantung pada bulan hadapan. Beliau mengetahui menghadapi masalah jantung setelah mendapat pemeriksaan jantung di Kota Bharu sekembali dari lawatan ke China bersama rombongan Dewan Ulamak Kelantan pada bulan lalu.

Hj Hussein merupakan sepupu kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah dan merupakan penyandang kuat kepada institusi Pondok Lubuk Tapah.

Allahyarham pernah menjadi wakil rakyat Pas apabila menang kerusi Dun Bukit Tuku pada tahun 1990 mengalahkan Mohd Zain Ismail dengan kelebihan undi sebanyak 2,093. Beliau mendapat 6,336 manakala Mohd Zain mendapat 4,243. Pada tahun 2004 Allahyarham tewas ditangan Mohd Zain dengan kekurangan 868 undi.

Sepanjang penglibatannya dalam politik Pas beliau menjadi anggota Dewan Ulama Kelantan, Ketua Unit Halaqah dan pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Pas Rantau Panjang selama satu penggal.

Allahyarham mulai aktif dalam politik Pas menjadi Ketua Dewan Ulamak Pas Rantau Panjang sekembali dari Makkah. Beliau menghabiskan separuh usianya tinggal di Makkah. Allahyarham mempunyai hubungan yang intim dengan penulis dan pernah beberapa kali bersafan (tidur) di rumah penulis terutamanya waktu berlangsung muktamar Pas di Taman Melawar.

Sesuatu yang penulis tidak dapat melupai budi Allahyarham ialah setiap kali beliau akan datang bermuktamar bersama beberapa orang termasuk bapa mertua penulis Allahyarham Hj Yaacob Awang Besar beliau akan membawa beras seguni sebagai buah tangan.

Allahyarham Hj Hussein seorang yang peramah dan menghormati rakan dan lawan tanpa merasakan megah dengan ketinggian ilmu yang dimilikinya. Kali terakhir penulis menemui beliau ialah sewaktu dalam satu majlis di Kota Bharu tahun lepas. [wm.kl.7:09 pm 28/01/12]

No comments: