Tuesday, January 3, 2012

Susupan Petang

Kenapa Wan Rahim Nak Lepas Jawatan?

Berita yang saya dengar semalam Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah telah membuat kenyataan dia telah melepaskan jawatan Yang Dipertua Pas Kota Bharu berkuatkuasa 1 Januari 2012. Perkhabaran ini katanya ada diuar-uarkan dalam ruangan Fbnya.

Sejajar dengan itu juga beliau dikatakan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu.

Berita seperti ini biasa dalam parti, orang yang sudah lama, berusia dan sakit-sakit wajar meninggalkan apa-apa jawatan yang dipegangnya dan sebaiknya menunjukkan pengganti berwibawa.

Tetapi tidak pula saya dengar yang Wan Rahim sakit atau uzur. Jadi kenapa beliau berhajat hendak tinggalkan Pas Kota Bharu? Apakah Pas Kota Bharu menghadapi apa-apa masalah waktu ini.

Tindakan melepaskan jawatan sebelum disuruh dan diasak adalah tindakan terpuji. Orang berjiwa besar selalunya akan bertindak demikian. Orang yang alim dalam politik pula usahkan batuk berdehem pun orang sudah dapat mentafsirkan apa maksudnya. Manakala orang yang uzur teruk selalunya akan berpindah rumah berhampiran pusara.

Rasanya orang boleh setuju kalau beliau melepaskan kerusi Parlimen Kota Bharu tetapi bukan jawatan dalam parti. Ahli Parlimen sebenarnya tidak sepenting jawatan dalam parti. Bagi mereka yang tidak memahami apa itu perjuangan, tanggungjawab saja merasakan menjadi wakil rakyat itu penting, dan jawatan itu kemuncak kepada perjuangan. Tanggapan itu sebenarnya salah. Kemuncak jawatan ialah kita mampu membawa kejayaan tanpa mengira apa kedudukan kita. Sebab itu dalam hal ini istiqamah lebih penting dari populariti.

Suatu malam ketika minum di sebuah hotel di KL, beliau secara spontan melafazkan di hadapan saya yang beliau sudah keletihan kerana tua. Katanya usianya sudah 62 tahun jadi padanlah dia menjadi wakil rakyat. "Saya rasa dah letih bagi ke orang muda pula," begitulah antara yang dilafazkan.

Saya tabik atas kesedaran Wan Rahim dengan keputusan itu. Saya puji tindakan itu kerana beliau tidak mahu menjadikan jawatan (wakil rakyat) sebagai bantal, lembek dan keranda dalam hidup. Beliau tidak pun sebut jawatan YDP , jadi bila jawatan juga hendak dilepaskan ia mengejutkan.

Tidak diketahui apa sebab musababnya. Rasanya kalau setakat kerana ada desas desus kerusi itu hendak diberikan kepada orang lain, ia tidak membawa kepada perletakan jawatan. Tentu ada masalah lebih besar. Saya tidak fikir Wan Rahim akan bertindak ke peringkat itu hanya kerana desas desus itu. Wan Rahim bukan setahun jagung dalam politik Pas Kelantan.

Satu perubahan yang dapat saya lihat akhir-akhir beliau banyak berperanan di luar Kelantan. Misalnya semasa berlangsung majlis Anak-anak Kelantan di Perantauan beliau begitu aktif. Dalam dua majlis besar parti yang diadakan hujung Disember lalu tidak ternampak kelibat wajahnya. Padahal kedua majlis itu tidak patut kalau orang seperti beliau tidak ada sama.

Dalam pada itu saya pernah terdengar yang beliau memperakui peranannya di Kelantan waktu ini tidak sehebat dulu. Beliau tidak diundang lagi dan apa-apa majlis tidak sampai ke pengetahuannya. Kenapa ini berlaku? Apakah disebabkan keadaan ini menyebabkan beliau memohon untuk melepas jawatan dan merasa tidak penting? Keacuhan terhadapnya itu menjadikan bekas Speaker Dun Kelantan itu berjauhan hati?

Kalau ini puncanya bagi saya Wan Abdul Rahim yang saya anggap sebagai salah seorang arkitek dan penganalisis politik Kelantan (statistik) tidak wajar merajuk atau berkecil hati. Masih banyak lagi cara dan kaedah lain untuk beliau boleh bergerak membantu parti kalaupun jawatannya disalin.

Sebagai orang lama dan berpengalaman ilmu yang ada kepada Wan Rahim tidak sepatutnya dilupakan begitu saja. Pas memerlukan 30 tahun untuk mendapat seorang Wan Rahim. Itupun belum tentu nilai dan kepakarannya sama dengan beliau. Mungkin boleh diberi laluan atau perlepasan kalau beliau tidak mahu menjadi wakil rakyat, tetapi untuk mensia-siakan kebolehan yang beliau ada satu kesilapan.

Malam kelmarin saya sudah menyatakan kekurangan dalam Pas Kelantan kini yang saya rasai kepada seorang yang menghubungi saya. Saya bagi tahu kepada orang itu jentera pilihan raya Pas semacam sedikit kelesuan dan tidak mantap. Lantas saya bertanya ke mana Wan Rahim dalam dua majlis yang saya jenguk?

Saya mencadangkan kepada orang itu, tenaga dan kepakaran Wan Rahim perlu dipergunakan sepenuhnya. Beliau tidak boleh dibiarkan, kata saya. Kalau pun ada orang ingin mengambil tempatnya, (kerusi KB) tetapi kena usaha agar beliau mempunyai tugas dan fungsi besar dalam menghadapi pilihan raya. Saya berseloroh mungkin Wan Rahim boleh dimanfaatkan menjadi Penasihat Jentera Piliharaya Pas Kelantan.

Biarlah kalau pun tidak mahu dia berperanan lebih luas, tetapi cukup untuk memastikan dia berada dalam ketumbukan jentera pilihan raya.

Serentak itu juga saya menyebut perihal Husam Musa boleh dilantik menjadi Pengarah Operasi Jentera pilihan raya. Manakala pengarah pilihan raya kekal kepada Pengarah JPPKn sekarang Wan Nik Wan Yusuf.

Ketiga fraksi ini perlu digembeling dan digabungkan. Kalau salah satu ketumbukan ini - Wan Rahim dengan pengalaman dan kepakarannya, Husam dengan kebolehannya memobilisasikan orang media dan juga bijak memancing isu jentera pilihan raya Pas akan menjadi lemah. Bukan bererti mereka yang dilantik mengemudikan jentera pilihan raya kini tidak layak tetapi dengan ada bantuan langsung kedua fraksi itu akan menjadi lebih kuat.

Adalah diharap Pas Kota Bharu tidak akan menerima perletakan jawatan Wan Rahim sebagai Yang Dipertua. Kalau beliau sudah uzur sangat, beliau boleh letak jawatan selepas pilihan raya atau menjelang muktamar depan. Tidak baik kita meletakkan jawatan saat kenduri besar hendak tiba? [wm.kl.3:10 pm 03.01/12].

No comments: