Serang Azizan Razak Tidak Bijak
Saya tidak mengikuti isu membabitkan MB Kedah Azizan Razak yang dikatakan menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sudah kesekian lama diperjuang untuk dihapuskan. Saya tidak tahu apakah 'konsekuens' isu itu di sebaliknya. Sebesar manakah atau sejauh manakah Azizan telah menyokong akta yang kini dibenci kerana dikatakan telah menyekang mahasiswa itu.
Khabarnya sampai ada protes besar-besaran dalam media massa, menerusi blog, muka buku dan sebagainya.
Ada sebab kenapa saya tidak mengikuti atau mempedulikan isu berkenaan. Kerana isu itu berlegar dalam lingkungan sesama sendiri, maka tidak wajar saya kira ia diperbesarkan. Isu itu seharusnya diselesaikan secara baik dengan diam tanpa gemercingan ke luar.
Dalam saat pilihan raya menjelma sepatutnya semua pihak mengelakkan dari bertembung sesama sendiri dan bersikap mendiamkan apa-apa yang masing-masing tidak berkenaan di antara satu sama lain. Jangan membuka banyak lubang intip untuk mengintip musuh nanti musuh akan mencuri peluang menerobos melalui lubang itu. Pembangkitan isu berkenaan boleh diibaratkan sebagai membuka lubang untuk musuh.
Mulut sesama sendiri perlu diam saat hendak melakukan serangan ke atas musuh. Kalau saat hendak ambush musuh tetapi sesama sendiri masih bercakap dan bercakaran bukan saja musuh terlepas tetapi diri sendiri akan menjadi mangsa kelak.
Apakah motif atau isu sebenarnya di sebalik serangan ke ataz Azizan Razak saya tidak tahu. Hanya hari ini apabila saya membaca laporan di sebuah portal melaporkan Abdul Aziz Bari juga mengecam Azizan Razak sampai minta Azizan Razak menyertai BN kalau hendak sokong AUKU baru saya tahu mengenai isu berkenaan. Kenyataan atau protes Aziz Bari itu saya kira agak keras dan menjadikan saya bingkas untuk mengulas.
Serangan kepada MB Kedah itu puncanya kerana Azizan menyokong tindakan Kolej Insiniah Kedah (KUIN) menggantung lima orang pelajarnya yang terlibat dalam tunjuk perasaan. Itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Jadi mereka yang mahukan AUKU dihapuskan marah kepada sokongan Azizan itu, menterjemahkan Azizan tidak bersama mereka.
Sokongan itu diheret kepada soal ikrar dalam Buku Jingga. Kononnya dengan pendirian Azizan itu beliau telah bersikap menyanggah kandungan Buku Jingga. Tidak dinafikan dalam Buku Jingga ada dinyatakan untuk menghapuskan AUKU. Pernyataan dan janji di dalam Buku Jingga itu sudah menjadi manifesto Pakatan Rakyat dan sudah diterima sebahagian besar rakyat.
Memanglah dari segi prinsipnya tindakan Azizan itu bertentangan dengan aspirasi Buku Jingga. Tetapi adalah melampau kalau beliau diserang dengan berbagai cemuhan, apa lagi serangan itu sama jenis serangan ke atas Najib Razak, Sharizat Abdul Jalil atau Rosmah Mansor. Bagi saya kenyataan Abdul Aziz Bari seperti dipetik itu saya lihat tidak cermat dan agar boros. Kalaupun beliau anti kepada AUKU tetapi Aziz tidak sepatutnya begitu lancang menyerang Azizan.
Beliau kena ingat dan faham sebusuk dan seburuk mana Azizan dia masih bersama Pakatan Rakyat dan MB kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Saya kira mereka yang menyerang Azizan Razak sudah melupai adat dan terbawa-bawa dengan emosi kerana terlampau geramkan UBN. Tidak boleh juga bila kita tidak senang dengan stail dan sikap seseorang kita terus menyerang mereka bila timbul saja isu yang dibangkitkan sedangkan ia boleh dibahas atau diselesaikan secara baik.
Kalau semua faham tindakan (kenyataan sokongan) Azizan itu sebenarnya ia tidak ke mana dan mudah gelabah. Ia tidak sedikitpun pun menghalangkan cita-cita untuk menghapuskan AUKU. KUIN adalah sebahagian daripada ratusan Pusat Pengajian Tinggi (IPT) yang masih mengguna pakai akta berkenaan atau tertakluk dengan akta najis itu. Bukan KUIN sahaja yang mempraktikannya, tetapi pusat-pusat pengajian lain juga berbuat demikian.
Saya percaya Azizan juga tidak bersetuju dengan akta yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara itu. Apa lagi Azizan adalah pemimpin Pakatan Rakyat (oposisi) yang sangat memerlukan kepada kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa untuk mendokong Pakatan Rakyat. Kenapa beliau menyokong tindakan itu, perlu di lihat dari sudut lain yang lebih profesional dan akademik serta politik, bukan secara harfiah. Inilah kita kadang kala kerana terlalu emosi sangat tidak dapat menyelami erti di sebalik makna. Tidak dapat menyelami erti lain daripada apa yang kita difahamkan. Ada kalanya kita terbawa-bawa dengan rasa dendam kepada seseorang itu ke mana saja.
Apa yang perlu difahamkan, KUIN tidak boleh bertindak di luar mana-mana akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia terikat dengan syarat-syarat dan undang-undang tubuhnya. Walaupun KUIN itu dibawah kerajaan negeri yang prinsip politiknya tidak suka kepada akta itu, ia tidak boleh tidak dari memperakui akta berkenaan dan tidak boleh mengabaikannya. Mana-mana ada mahasiswa yang bersalah dan perlu dihukum maka akta itu masih relevan dan digunakan.
Kalau KUIN tidak menggunapakai akta itu pasti ia bertentangan dengan akta penubuhannya yang mana kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi yang menghendaki menggunapakai akta berkenaan. Semua kena akui bahawa AUKU walaupun dalam proses penghapusan masa kini, tetapi ia masih belum dihapuskan, jadi ia masih valid untuk KUIN juga.
Contohnya begini, kita tidak suka dengan tol yang dikenakan oleh pihak menguruskan lebuh raya sekarang ini kerana ia membebankan. Malahan kita berjanji untuk menghapuskannya kalau kita memerintah. Tetapi selagi kita belum memerintah, lebuh raya itu tetap terikat dengan perjanjian kerajaan, kita wajib membayarnya. Tidak membayar bermakna kita melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.
Jadi bila Azizan Razak menyokong tindakan KUIN itu tidak bermakna beliau bersetuju dengan akta itu. Begitu juga bila kita membayar tol bukan bermakna kita bersetuju dan redha dengan pengenaan tol itu. Beliau menyokong sebagai menghormati keputusan institusi berkenaan yang bertindak menggunakan undang-undang yang masih berlaku (valid). Manakala kita membayar tol dalam paksa itu juga kerana menghormati syarat-syarat yang dikenakan kepada kita. Kedudukannya sama bukan?
Kaedah atau hal-hal seperti ini perlu difahami secara mendalam. Baik mahasiswa, pemimpin pelajar dan ahli politik perlu fahami mengenai perkara ini dan kedudukan sebenarnya. Apa guna kita menyerang sesama sendiri, kalau tindakan itu akan dilihat sebagai kita berpecah belah sesama kita, tiada ada guna langsung.
Kepada saya, (maaflah) mereka yang mempertikaikan tindakan Azizan, membesar-besarkannya apa lagi menyerang termasuk sampai mengungkit perangai dan peribadinya tidak bijak dan bukan orang yang memakai minda politik sepanjang masa. Mereka tidak ada sikap tasamuh di dalam politik. Mereka hanya berfikir dengan apa yang ada di hadapan mereka saja dan tidak melihat kebenaran-kebenaran lain yang berlegar di sekeliling mereka. Maaflah...
Nasib baik dalam kes ini para pemimpin tertinggi nampaknya faham dan tidak terikut dengan nafsu amarah yang mentah itu.
Perhatikan apakah kenyataan sokongan Azizan kepada tindakan KUIN itu adakah dibangkit oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat? Bukan saja dari Pas, tetapi PKR dan DAP juga. Rasanya tidak ada. Ini menunjukkan para pemimpin lebih bersikap profesional dan tahu waktu mana hendak bergaduh dan waktu mana untuk tutup mulut. Bermain politik ibarat kita berlakibini kita kena tahu waktu mana hendak bergaduh masa mana hendak bertengkar fasal nasi hangit. Kalau waktu senja kita bergaduh ertinya sepanjang malam kita akan kerugian...
Justeru mahasiswa, bloger yang anti AUKU dan sebagainya silalah tututp mulut anda. Hasrat dan matlamat untuk hapuskan AUKU itu tidak akan terhenti dengan hanya Azizan Razak membuat kenyataan menyokong tindakan KUIN itu. Malahan cara anda menyerang Azizan itu ia sedikit sebanyak boleh menghilangkan tumpuan untuk menghapuskan AUKU yang telah dimeteraikan dalam Buku Jingga itu.
Kalau anda bijaksana anda tidak ungkitkan secara terbuka kenyataan Azizan Razak itu dan menerima tindakan KUIN itu. Anda patut berjumpa dan berbincang dengan Azizan. Dalam pertemuan itu anda secara senyap mengemukakan memorandum agar Azizan campur tangan melepaskan pelajar berkenaan. Cara ini paling fatanah dan menggambarkan anda - orang-orang yang mengkritik secara terbuka adalah orang yang bijaksana dan berfikiran tenang. Saya rasa Azizan juga akan bersetuju dengan permintaan anda secara diplomasi itu.
Bijaksanalah di dalam melayani isu-isu politik dan pilihlah subjek-subjek untuk diperkatakan, jangan pakai 'rawal' semua sekali. Politik perlu bijaksana yang bijaksana. Dan Abdul Aziz Bari yang baru melangkah kaki secara rasmi dalam lautan politik itu juga saya rasa sudah mula menunjukkan sikap tidak bijaksananya. Aziz sepatutnya tidak serang Azizan seperti itu yang mana boleh melukai hati penyokong MB Kedah itu, tetapi yang afdal memberi penjelasan kenapa Azizan membuat kenyataan sokongan itu. Mendamaikan dan bukan menghuruharakan lagi minda itulah politik harmonis. [wm.kl.7:14 pm 26/01/12]
9 comments:
Tuan MSO.. Penjelasan yang terbaek setakat ini dalam isu MB Kedah ni.. Saya sendiri pun jadi keliru bagaimana mahu menangani isu ini. tersepit antara nak sokong atau tak sokong tindakan MB Kedah ni. Dgn penjelasan tuan MSO ni, baru boleh kita huraikan kpd yg masih belum memahami. menjernihkan kembali air yg dah sedikit keruh tu..
TQ tuan MSO..
Tuan MSO, Huraian yang matang dan berpandangan jauh. Ini bezanya orang yang berpengalaman di arena politik berbanding dengan orang yang berpengalaman sebagai aktivis.
Isu ini mengambarkan warna sebenar Prof Aziz Bari. Beliau amat bercahaya di bidang akedemik tapi agak malap di bidang politik. Tutur katanya tidak mencerminkan beliau arif dalam arena politik.
Walaupun saya kurang berminat dengan permikiran Pak MSO kebelakangan ini.
Tetapi dalam tulisan kali ini, nampak Pak MSO berfikir sealiran dengan saya.
Cuma yang saya harapkan janganlah ada lagi klon2 Hasan Ali dalam PAS lagi. Susah nak menerangkan kepada otak2 kemetot.
1. Jelas Bahawa AUKU itu dibawah kawalan KPT.samada Azizan Setuju atau tidak iannya tetap terpakai di KUIN.
2. Azizan Membuktikan bahawa Kerajaan PR tidak menggangu tugas pegawai di KUIN, tidak spt IPTA lain sering dikawal oleh Org politik UBN.
Itulah lebihnya politik org tua ni....
Terima kasih MSO..sikit sebanyak menyejuk hati kami pengundi Kedah..Pentadbirannya yg cekap tidak mudah untuk kami menghukum Us. Azizan jika dia salah tindakan dalam isu KUIN. Siapa kenal KUIN sebelum ini??Orang Kedah sendiri tertanya KUIN itu apa,inikan pula orang luar..Us. Azizan tidak sekejam seperti mereka sangka..Us. Azizan ni bekas pensyarah,dia amat cintakan akademik dan keintelekturan..Kita lihat bagaimana usaha beliau membina kampus tetap untuk KUIN..Sumber hasil kedah bakal dan sedang kehilangan 41 juta setiap tahun untuk membayar kepada Bank Islam.. Kehilangan 41 juta setahun bukan untuk siapa untuk KUIN..Kami sedih tindakan serangan peribadi Malaysiakini,Malaysiakini telah memberi persepsi buruk kepada Pas sendiri dimata masyarakat Malaysia. Hakikatnya di Kedah persepsi jumud terhadap Pas makin hilang..Masyarakat Cina, India sudah yakin dengan pedtadbiran ustaz azizan..jangan jadi pengkianat,menghilangkan persepsi mereka..
Saya menyanggah kata-kata tuan. Walaupun KUIN tertakluk dibawah AUKU namun kuasa pentadbiran masih terletak di bawah negeri Kedah(Ust Azizan. Ust Azizan boleh minta rektor KUIN menggugurkan dakwaan/meringankankan hukuman.
Melainkan rektor tu memang kiblat umno. Memang kita tak boleh memecatnya secara drastik. Itu yang saya rasa.
Aziz Bari pula tak sepatutnya cakap camtu. Lapik la cikit
sudah banyak buah tangan dan nasihat emas secara percuma telah diberi pada pengamal-pengamal politik ini dalam blog tuan yg dikendali tuan sendiri secara percuma dan berlaku jujur..
amatlah malang sekiranya mereka tidak membacanya artikel2 terdahulu utk tatapan dan rujukan mereka dalam politik
kepada prof. aziz bari anda sebenarnya baru bertatih dalam politik...
kepada prof aziz bari buku 'politic for dummies' diserah utk tatapan anda...
maaf tuan haji...selalunya saya mmg sgt bersetuju dgn pandangan tuan haji..cuma dlm kes ust azizan, saya mempunyai pandangan yg sedikit berbeza..bg saya ini satu bentuk muhasabah kpd kepimpinan ust azizan...ia adalah lebih kpd soal sikap..ust azizan sbg seorang MB dr jemaah islam, PAS sepatutnya lebih berhemah dan berlapang dada dgn teguran dr mahasiswa...ini soal prinsip...teknikalnya ust azizan betul, tp moralnya ust azizan tidak menunjukkan kualiti kepimpinan yg mesra rakyat...sbgimana lembutnya TGNA, TGHA malah Anwar Ibrahim sendiri dlm menghadapi segala mcm kritikan, ust azizan juga perlu bersikap sebegitu..bukannya secara keras mempertahankan AUKU sehingga melukakan hati mahasiswa yg selama ini mendokong perjuangan rakyat...tak guna harakahdaily nak menunjukkan ketawadukkan ust azizan kalu tak disertakan dgn sikap mesra rakyat...
ya memang tol terikat dengan perjanjian kerajaan. tetapi kuasa masih terletak pada kita, sama ada hendak menggunakan lebuh raya atau guna jalan tidak bertol.
sama seperti kes di kuin. walaupun tertaluk di bawah auku, kuasa masih terletak pada kerajaan negeri sama ada mahu 'impose' auku untuk kesalahan pelajarnya.
Post a Comment