Tuesday, January 10, 2012

Menjelang Tengah Malam

Muslimat Pas Sudah Terlebih?

Semasa menyantap stay di Jalan Ampang sekejap tadi sahabat malam saya taukeh Kopi Janda, sdr Zulaimi Kazin bertanya saya apakah saya sudah tenguk atau tidak klik video yang menunjukkan bagaimana kegembiraan muslimat Pas menyambut pembebasan Anwar Ibrahim semalam. Katanya dia agak terkejut dengan gelagat muslimat Pas itu. Saya bertanya kepada beliau siapakah yang memimpin kumpulan itu jawabnya, Aiman Atirah Al Junid kalau tak salah.

Saya difahamkan Atirah al Junid seorang mujihidah Pas yang berani berjiwa bugis. Dia tidak bersuami dan merupakan ahli jawatan kuasa muslimat Pas Malaysia. Sudah beberapa kali Atirah ini ditangkap kerana terlibat dengan demonstrasi.

Saya tidak tahu apakah dia ada kes mahkamah, maksudnya didakwa kerana berdemonstrasi. Tetapi melihat kepada sikap agresifnya, hampir semua demonstrasi disertainya... saya rasa mungkin dia pernah didakwa. Melihat kepada keberanian, komitmen dan kesungguhannya saya meramalkan wanita ini akan menjadi wanita besi dalam Pas.

Sesampai di rumah saya mencari klik video berkenaan di muka buku dan menontonnya. Memang dalam klik video itu ada seorang muslimat memegang pembesar suara sedang menyanyi dan memimpin sekumpulan wanita. Semuanya menutup kepala dan bertudung labuh. Semua wanita dalam kelompok itu menyanyi mengikut rentak dan seni kata yang diucapkannya. Tidak dapat dipastikan apakah yang pegang pembesar suara itu Atirah al Junid atau siapa seperti diagakkan oleh Zulaimi.

Tidak pula saya nampak mana-mana pemimpin tertinggi yang berada di situ atau mata saya kabur untuk melihat satu persatu kerana saya tidak akan percaya kalau muslimat Pas boleh berkeadaan seperti orang Asli Kenya menari lagu asli mereka sambil menungging punggung kepada penonton.

Apakah muslimat berkenaan budak-budak dari kalangan siswi? Tetapi yang jelasnya seperti mana kata Zilaimi, keadaan itu agak mengejutkan. Tidak sesuai saya rasanya ia diperlakukan oleh muslimat yang berada dalam harakah Islam seperti Pas. Kaum wanita Islam bukan tidak boleh menyanyi dan melahirkan kegembiraan, berhibur, menari...boleh tetapi ia masih ada batas-batas dan haknya.

Di zaman nabi kaum muslimat berlarian kegembiraan sambil menyanyi untuk menyambut kepulangan panglima perang dengan nasyib-nasyid pujian dan sanjungan ala-ala Ta'albadru... sebagai tanda kegembiraan. Namun mereka masih menjaga aurat dan adat sopan santun.

Ada wanita berupa isteri dan anak menerkam kepada lelaki yang baru pulang itu. Mereka seronok dan rindu malam. Memeluk dan mencium mereka, tetapi lelaki itu adalah suami atau ayah mereka. Pergaulan dan sentuhan mereka dalam keadaan halal kerana hubungan muhrim. Dalam erti kata lain mereka berseronok dalam batas yang halal.

Selain muslimat Pas itu melompat dan melolong-lolong mereka menyanyi dengan seni kata rekaan mereka yang kurang sedap didengari. Ia agak kasar pada telinga kita orang Melayu dan Islam. Misalnya perkataan "Umno mampos... Umno mampos" tidak wajar digunakan. Bagi perempuan agak huduh menggunakan perkataan itu. Kalau pun marah tidak sepatutnya perkataan itu digunakan. Bahasa yang bombastik begitu layak diucap si salentia saja.

Yang mengejutkan bukan itu saja, selepas habis menyanyi dan melaung-laung ala Badwi di padang pasir, kebetulan sepasukan polis menghampiri kumpulan mereka. Disalaminya polis itu satu persatuan. Bagi polis wanita tidak menjadi masalah, tetapi polis lelaki juga diserbu dan disalami sama. Saya tahu itu berlaku secara spotan kerana keseronokan atas pembebasan sang hero mereka. Memang tidak ada niat lain disebalik itu dan persalaman itu tidak pun sempat menaikkan syahwat. (Syahwat ni gat nafsu sex la). Tetapi suasana sebegitu amat tidak manis bagi muslimat Pas.

Apakah ini hasil liberalisasi dalam muslimat yang diperjuangkan selama ini? Sebelum ini muslimat beriya mahu meruntuhkan kekuasaan muslimat yang berselimut mahu diganti dengan muslimat yang profesional - bertudung pendek bersulam manik?

Kerana pada pandangan mata saya gelagat dan suasana begitu (kilik video) tidak berapa manis elok kalau pemimpin Pas memberi perhatian dan teguran mengenai kejadian ini. Terutamanya ketua dan timbalan ketua muslimat boleh membuat penilaian semula akan relevansi dan tepatkah tindakan itu dengan menghayati video berkenaan.

Para ulama dalam Pas khususnya Ketua Dewan Ulamak juga patut menilai apa yang berlaku. Harun Taib selaku ketua ulamak perlu menyaksi video berkenaan dan minta penjelasan dari muslimat kalau tindakan mereka itu tidak syarie.

Ikhlas saya kata, saya bukan anti kepada muslimat ataupun kolot dalam fahaman sosial dan politik serta hak asasi, tetapi saya tetap mempercayai batas-batas dan kesopanan perlu dijaga oleh muslimat. Rasanya tidak kekok untuk mslimat Pas membuat penilaian ini kerana segala tatacara dan peraturan sejauh mana penglibatan wanita dalam peperangan boleh dibaca dan dan dijadikan panduan.

Sudah lama saya membimbangi akan keterbukaan kaum wanita (Pas) di dalam politik mutakhir ini. Alasan zaman ini zaman wanita bangkit bersama bukannya lesen atau permit untuk muslimat bergerak bebas melangkau sempadan kewanitaan. Muslimat Pas juga tidak perlu jauh terikut dengan gaya liberalisasi wanita PKR atau Umno. Wanita Pas perlu kekal dengan identitinya sendiri sebagai wanita solehah, sebagai mujahidah beriman dan serikadi bersopan santun.

Ingatlah muslimat tetap muslimat yang sudah digarispisahkan dengan lelaki oleh Allah s.w.t. Jangan sesekali kita cuba melewati garis pisah itu. Moga teguran ini diberi perhatian dan muslimat Pas dapat menerimanya dengan baik. Biarlah yang berlaku itu satu kesilapan untuk membetulkan dan memastikan apa juga tindakan selepas ini betul dan tepat dengan apa yang kita yakini sejajar dengan prinsip dan dasar perjuangan. [wm.kl.12:02 t/malam 03/01/12]
Post a Comment