Monday, January 9, 2012

Ulasan Pembebasan Anwar

Anwar Ingatlah Lekuk Di Mata Ini Wujud Kerana Menangisimu

[kemaskini] Pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi suntikan semangat baru kepada Pakatan Rakyat. Pembebasan itu yang dinanti dengan penuh debaran serta dalam keadaan separuh mati seolah-olah memberi tambahan oksigen bertong-tong kepada Pakatan Rakyat. Gabungan itu sebelum ini yang sudah agak tergancat sedikit sekiranya Anwar dijatuhi hukuman bersalah kini boleh menarik nafas lega persis pesakit jantung yang baru menjalani by pas.

Malahan keputusan mahkamah itu yang menafikan Anwar meliwat pembacuh kopi memberi suntikan keyakinan kepada Anwar untuk muncul sebagai pemimpin negara di masa depan. Sudah tentu mereka yang sebelum ini sudah konfius, keliru dan putus harapan kembali memadukan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Anwar sendiri juga tidak percaya dengan keputusan yang diterima hari ini.

Apakah keajaiban keputusan ini merupakan laluan-laluan ajaib yang akan membawa beliau ke kerusi perdana menteri?

Baik DAP dan Pas yang menjadikan rakan kepada PKR di mana mereka telah bersetuju meletakkan Anwar sebagai tunggak utama juga kembali bersemangat. Harapan yang mereka rasakan pudar dan samar sebelum ini kini bersinar kembali. Saya yakin individu yang goncang keimanannya terhadap perjuangan dibawa Anwar ekoran tuduhan itu akan kembali menguatkan pancangan mereka kepada parti dokongan masing-masing.

Tuhan itu Maha Adil dan maha segala-gala. Tidak sampai 24 jam Hasan Akidah mempersoalkan soal moral Anwar, meragui kesucian Anwar kerana kesuciannya lebih tinggi, tiba-tiba mahkamah memberi jawaban di atas keraguan itu. Apakah Hasan Akidah sedia untuk membetulkan akidahnnya terhadap Anwar ini? Kalau dia bermoral itulah yang patut beliau lakukan, memohon maaf secara terbuka kepada Anwar sebagai mewakili seluruh orang yang menjijikkan Anwar.

Seorang yang mempunyai integriti yang tinggi, bijaksana seperti Hasan Akidah tidak perlu berfikir lama untuk melakukan itu kerana itu juga tuntutan agama yang diperjuangkan Hasan Akidah. Namun apabila melihat Inchek Ibrahim mendampingi ia boleh menceritakan segala-galanya. Bagi Hasan Akidah, Inchek Ibrahim jauh lebih baik dari Anwar.

Kembali kepada pembebasan Anwar itu, teringat saya kepada kata-kata seorang rakan Fb saya, bahawa tarikh 09/01/12 itu adalah tarikh di mana berkebetulan pada ketika itu bulan sedang mengambang penuh. Iya tarikh itu memang keramat dan berkat. Yang sangat pentingnya keputusan mahkamah itu juga telah menutup rapat isu seorang bijaksana dalam Pas yang kini telah dinyahkan oleh parti berkenaan. Harapan Hasan Akidah untuk menjaja keburukan Anwar dengan keputusan yang diharap Anwar bersalah, punah ranah dan koyak rabak.

Apa yang berlaku hari ini hendaklah disambut dengan solat sujud dan pernyataan kesyukuran yang maha tinggi kepada Allah taala oleh semua penyokong Pakatan Rakyat. Yang bukan beragama Islam wajar berdoa kepada Tuhan masing-masing dengan cara dan ritual keagamaan tersendiri. Ini bukan soal pluralisme. Itu rakan Anwar yang berjubah lusah harus memahami kewajiban ini. Kebenaran itu mengatasi segala berapa jumlah yang dimasukkan ke dalam jubah anda.

Dalam pada itu kita ingin tahu sejujur mana pula pihak-pihak yang bermati-matian yakin dengan dakwaan oleh pembacuh kopi itu yang Anwar meliwatinya. Sebelum ini mereka telah menyampahkan Anwar, menghina Anwar dengan seribu penghinaan. Hari ini ternyata penghinaan mereka berdasarkan kepada pengakuan bohong oleh pengaduh telah memberi jawaban.

Apakah mereka seorang demi seorang akan berbaris ke rumah Anwar untuk memohon maaf? Meminta ampun kepada Anwar di atas keceluparan dan kemabukan kerana bencikan Anwar disebabkan mereka dihasut atau diupah sebuku garam? Tidak mungkin!

Barang kali mereka akan berbuat begitu secara senyap selepas Anwar dinobatkan sebagai perdana menteri. Mereka akan mendatangi rumah Anwar dari pintu depan dan belakang, rusuk kiri dan rusuk kanan. Mereka akan membawa jambangan bunga pujian dan sanjungan besar. Mereka akan bercerita sehingga Anwar akan terpesona dan memaafi mereka.

Biarlah kalau mereka datang membawa bunga manggar kemaafan kerana sifat Anwar begitu. Anwar akan memaafi dan mencium setiap setanggi yang dibawa kepadanya tanpa menyelidiki apakah setangi itu dicuri atau apa. Saya yakin Anwar tidak akan peduli segala cacian itu. Kepadanya perjuangannya untuk membebaskan rakyat dari belenggu kekuasaan yang kurafat, yang bidaah yang menzalimi rakyat. Anwar akan memaafi sesiapa saja yang memohon kepadanya.

Rakyat yang insaf hanya perlu mengucapkan terima kasih saja kepada Anwar. Dia telah mengorbankan segala-galanya dalam hidupnya untuk rakyat. Dia hampir kehilangan maruah kerana diserang bertubi-tubi. Bahkan dia hampir mati. Anwar menangis tidak siapa tahu melainkan Tuhan dan malaikat yang menjaganya saja.

Namun Anwar tidak mengharap balasan dari segala pengorbanan itu kerana pengorbanan itu adalah sunah bagi orang sepertinya. Tetapi apa yang Anwar dan kita semua harapkan dengan pengorbanan dan perjuangan itu, rakyat perlu menyatakan sokongan dan membalasnya dengan menjatuhkan kerajaan mitos yang dipikul 'pocong-pocong' yang ada hari ini.

Hendaknya dan sama-sama berdoa semoga tiada lagi cabaran dan dugaan selepas ini. Biarlah orang yang sekuturnan dengan Datuk Mandaliar, Pati Karma Wijaya, Si Kitol dan sesukunya sudah tidak ada lagi dan mereka sudah insaf dan keturunannya pupus serta merta. Biarlah negara ini merekodnya orang-orang jahat dan pemfitnah setakat apa yang ada hari ini. Jangan kita panjangkan senarai orang jahat dalam negara ini.

Ingatan kepada Anwar di dalam menerima sahabat yang baru, teman-teman penyokong yang baru jangan lupa kepada kawan lama. Ingatlah dan renunglah parut, kesedihan dan bekasan linangan air mata yang bertakak di bibir mata yang wujud kerana terlalu banyak menangis nasibmu. Jadikan itu sebagai memori dan tanda sayang dan kasih mereka kepada kamu.

Dan aku telah lama menyenaraikan satu persatu siapa yang mengkhiantimu, siapa yang suci hati kepadamu dan siapa yang sedang mencari lubang untuk memasuki ke rumah semula sesudah kau bebas. Aku sudah tahu dan aku akan menanam onak dan duri serta menyebur racun agar petualang itu tidak akan mendekati kediamanmu. [wm.kl.11:00 am 09/01/12]
Post a Comment