Shafri Shamsuddin Sudah Tiada
Semalam saya menerima sms daripada bekas staf Pn Dang Fatihah memberitahu bekas staf juga sdr Shafri Shamsuddin, 42 (foto) dimasukkan ke hospital. Tidak pasti apakah sakitnya tetapi dari sms itu menggambarkan ia tenat. Pagi ini Dang Fatihah memberi tahu yang Shafri sudah koma dan sakitnya dipercayai kanser hati. Oph...

Jam 6:00 petang Dang memberi tahu khabar kedukacitaan, Shafri telah kembali ke Rahmatullah jam 5:15 petang di wad 25. Oph ... saya terluka dan tersendu. Sedih tetapi meredhanya tidak sempat menatap wajahnya semasa hayatnya.
Sebaik tahu saya bergegas ke HKL untuk melihat dan mengiringi jenazahnya dibawa pula ke rumah. Juga terlepas. Sesampai di perkarangan HKL sewaktu hendak parking kereta, saya mendapat maklum jenazahnya sudah bergerak ke rumah emaknya di Gombak.
Dalam perjalanan pulang singgah di restoran Yusuf Haslam untuk minum, (sebenarnya untuk berjumpa kawan-kawan Allahyarham yang juga kawan saya yang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya di Jalan Pahang) untuk bertanya khabar dan mengetahui maklumat lanjut mengenai keadaan Allahyarham sebelum ini. Hanya Aziz Muda dan seorang kawannya singgah dan minum bersamanya. Dari Aziz dapat maklumat lanjut tentang arwah sebelum saat dia ditimpa sakit sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Cerita Aziz, Shafri sakit hanya dua minggu sahaja. Sebelum ini dia masuk ke hospital Selayang tetapi gagal mengesani penyakit dihidapinya. Kemudian ke HKL yang mengesahkan arwah menghidap sakit barah hati - kanser tahap empat.
Biarlah yang sudah pergi, biar ia pergi dengan tenang menanti kita di alam sana. Kita yang akan pasti juga singgah di alam itu untuk menghadapi perbicaraan kemudian akan hidup kekal abadi. Shafri meninggalkan seorang isteri Syarifah Nurhayati Al Yahya dan lima orang anak berumur 8 hingga 16.
Semasa berbual dengan Aziz timbullah cerita ceriti yang tidak sedap didengari. Kematian orang kecil selalunya berlalu begitu saja dan menyepi. Menurut Aziz, semua staf tempat arwah berkerja - Harakah, menziarahi. Malangnya orang besar yang mengurus Harakah tidak sempat menjenguk.
Menurut Aziz hanya dua pemimpin Pas yang menziarahi Shafri semasa sakit di HKL. Mungkin mereka adalah wakil kepada jemaah Pas atau organisasi tempat Shafri berkerja. Mereka ialah Naib Presiden, Sallahuddin Ayub dan Husam Musa. Tidak mengapa bagi saya itu bukan sesuatu yang perlu ditimbulkan. Yang penting mereka sudah pun menziarahinya. Apa-apa bantuan dan kebajikan untuk keluarga arwah boleh disalurkan selepas ini.
Cuma apa saya hendak sebut kalau yang sakit itu pemimpin besar atau pun kematian itu orang besar pasti ianya akan dijenguki ramai. Bagi Shafri tidak menjadi masalah kalau tidak dijenguki, dia sudah terpisah dengan aktiviti kehidupan alam fana ini. Namun hati orang yang masih hidup, keluarga dan rakan-rakan beliau pedulikan, kerana kepedulian itu akan memberi semangat dan perangsang.
Shafri, saya mengenali lebih awal dari staf atau rakanya di Harakah mengenali beliau. Saya mulai kenal tahun 1992. Ketika itu dia berkerja dengan Kamal Koh di Setapak sebagai pereka bentuk buku. Allahyarham sempat membuat layout sebuah buku saya berjudul : Antara Anwar Dollah dan Sanusi: Tuhan Pilih Siapa? Kalau tidak silap buku itu adalah buah tangannya yang pertama.

Sebagai seorang adik, dia mengikut perjalanan saya dan juga merupakan pembaca buku saya dan menjadi pengikut blog saya. Kehadiran di Siasah sedikit sebanyak kerana untuk membantu saya. Seorang yang bersifat setiakawan dan suka berterus terang. Dia berani dan mengatakan sesuatu secara bersemuka. Kalau ada apa-apa yang dimusykilkan dalam blog saya dia akan terus bertanya dengan saya tanpa segan silu.
Perhubungan dengan beliau terhenti apabila saya tidak mengendalikan Siasah. Tetapi beliau terus bekerja dengan Harakah. Suatu hari semasa berjumpa di satu majlis saya ternampak dia memegang kamera dan mengambil gambar. Rupanya dia berubah profesyen dari perekabentuk menjadi wartawan. Saya baca tulisan dan laporannya dalam Harakah.
Semoga rohnya ditempat di makam orang-orang soleh. Takziah buat isteri, anak dan keluarganya. Al Fatihah. [wm.kl.8:15 pm 31/01/12]
No comments:
Post a Comment