Najib Razak Kena Tipas Di Pekan?
Ha Najib Razak menerima pukulan kecil tetapi memedihkan (kena tipas) apabila bekas Ketua Penerangan Umno Pekan yang juga bekas Adun Pulau Manis Mohd Ariff Sabri Aziz (foto) dikatakan telah meninggalkan Umno untuk menyertai DAP.
Walaupun Ariff kini hanya ahli biasa tetapi memandangkan beliau bekas pimpinan peringat bahagian Pekan dan bekas wakil rakyat tindakan Ariff itu memalukan Najib sebagai presiden Umno. Seperti mana yang dilaporkan dan dicatat dalam blognya "Sakmangkol", Ariff menjelaskan dia kecewa dengan perjuangan Umno kini.
Tindakan Ariff itu mencerminkan usaha Najib untuk melakukan transformasi Umno tidak menjadi dan mendapat kepercayaan orang yang berada di bawah dagunya sendiri.
Antara lain Ariff dipetik sebagai menganggap Umno kini telah bertukar menjadi Frankenstein yang tidak lagi boleh dikawal. Katanya juga Umno kini telah menjadi wadah untuk mencuri harta rakyat.
Mungkin apa yang dimaksudkan Ariff itu mengambil apa yang berlaku dalam NFC. Pemberian dana khas kepada orang Umno untuk membangunkan projek lembu gemuk bernilai RM250 juta cukup menjengkilkan beliau.
Katanya lagi Umno kini menjadi tempat orang Melayu meminta sedekah dan bukan pemberian rezeki kepada orang Melayu.
Berdasarkan catatan beliau di dalam blog yang dipetik itu memberi gambaran Ariff akan meninggalkan parti berkenaan dan akan menyertai DAP. Mengenai DAP pula kata Ariff dia kagum dengan parti berkenaan dan percaya DAP kini relevan dan berfungsi daripada Umno dalam membina negara demokratik dan bebas.
Beliau menunjukkan contoh, katanya; "dalam DAP saya boleh bercakap tentang jerih perih Melayu terpinggir dengan lebih bertenaga berbanding dengan di dalam Umno. Manakala Umno kini menutup sebelah mata terhadap rasuah dan salah guna kedudukan politik."
Sementara itu bekas tokoh Umno tahun 80-an Aspan Alis juga dikatakan meneyertai DAP. Beliau dikatakan akan bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dalam pilihan raya akan datang.
Saya akan cuba mendapatkan Aspan petang ini untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung kedudukan dirinya dan juga beberapa remours yang bertiup ke belakangan ini. [wm.kl.1:28 t/hari 03/12/12/]
No comments:
Post a Comment