Menyirat Nasib Anwar Ibrahim
KURANG dua jam lagi nasib Anwar Ibrahim akan ditentukan, apakah dia akan dijatuhi hukuman bersalah atau tidak. Yang sudah pasti dan diduga ramai termasuk Anwar sendiri beliau akan dijatuhi hukuman penjara. Berapa tahun dan berapa lama itu saja yang menjadi pertanyaannya.
Didapati bersalah sudah pasti! Anwar sendiri sudah menyiapkan diri untuk menghadapi hukuman. Seluruh keluarganya, anak isteri, waris dan para penyokongnya sudah sedia menghadapi apa saja kemungkinan.
Apa yang menjadi persoalannya apakah beliau akan terus diseret ke Sungai Buloh sebaik hukuman dijatuhkan atau pun diberi jaminan.
Kalau tindakan (pendakwaan) itu atas semangat dan motif politik Anwar akan terus diseret ke Sungai Buloh dan malam ini dia akan mulai menjadi penghuni penjara kembali. Sebelum ini saya meramalkan sebaik Anwar ke Sungai Buloh Parlimen pun akan dibubarkan. Sebaliknya kalau perbicaraan itu untuk mencari keadilan dan kebenaran, Anwar akan dibenarkan jamin dan mendapat proses keadilan seterusnya.
Dalam hati saya kuat mengatakan Anwar akan diberi jaminan. Kerajaan Ha Najib Razak tidak akan bertindak sekejam kerajaan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Jaminan itu bukan sangat kerana Najib baik, tetapi untuk menampakkan kepada rakyat dia lebih baik sedikit daripada Mahathir. Kalau Anwar dipenjara hari ini ternyata Najib mengikut plot yang dilakar dalam skrip tulisan Mahathir Mohamad seperti mana tahun 1998 dulu.
Betul Najib tidak boleh mencampuri keputusan hakim. Tetapi Najib adalah perdana menteri. Perdana Menteri adalah orang paling berkuasa dalam sesebuah negara. Sekiranya keputusan atau tindakan mengheret Anwar nanti memberi implikasi kepada kerajaan sekarang ini, Najib terpaksa berfikir lebih 23 kali untuk tidak campur tangan. Teka teki mengenai nasib Anwar dalam perbicaraan dan keputusan hari ini juga merupakan teka teki dan hujung jatuh nasib Najib.
Edah atau period sekarang ini period pilihan raya. Sudah tentu implikasi dari tindakan itu difikir semasak-masak oleh Najib. Memenjara orang memang seronok seperti mana kita memenjara seekor harimau jantan yang ganas. Tetapi risiko dari tindakan itu dahsyat. Kalau pun harimau itu terus berada di dalam kurungan tetapi perlu diingati di luar masih ramai harimau atau hewan lain bersimpati dengannya.
Mereka akan bertindak balas dan bertindak membela sang macan dikurung itu. Serangan kerana rasa tidak puas hati sungguh dahsyat dan hebat. Ini yang perlu dan mungkin sudah difikirkan oleh Najib. Najib juga berifkir mengenai ledakan rakyat sedang kebangkitan itu bukan mudah untuk ditangani pada saat Najib mahu melaksanakan transfomasi politik. Ini masalah Najib hari ini.
Justeru hari ini keputusan terbaik ialah memberi jaminan kepada Anwar Ibrahim. Memberi ruang untuk dia melalui semua proses keadilan sebelum beliau direngkukkan dalam penjara. Adalah silap kalau Najib berfikir UBN akan selesa kalau Anwar di penjara. Itu hanya ilusi dari orang yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Orang yang hilang kekuatan dan sokongan merasa demikian.
Sama-sama kita tunggu keputusannya nanti. Dalam pada itu saya tegaskan sekali lagi, percayalah keputusan hakim Mohamed Zabidin Md Diah tidak akan banyak merubah suasana. Kalau pun Anwar dijatuhi hukum penjara atas tuduhan liwat, para penyokongnya tidak akan berubah hati. Tidak akan ada di hadapan mahkamah hari ini akan mengumumkan diri keluar dari PKR atau Pas atas alasan kerana Anwar disahkan peliwat oleh Mahkamah. Adapun kenyataan Hasan Akidah kerana dia dipecat kerana Anwar itu tidak lebih dari sebuah motivasi basi saja.
Saya sudah katakan dalam ledakan arus dan selera ingin merubahkan kerajaan hari ini Anwar bukan lagi menjadi faktor yang besar. Faktor Anwar hanya 50 peratus sahaja. Yang menjadi faktor dan tentangan kepada Najib ialah kejemuan rakyat kepada pemerintah hari ini yang mengamal dan menggunakan sistem yang lama.
Kenapa rakyat bersimpati kepada Anwar - tanpa melihat arang yang dilumuri oleh UBN ialah kerana Anwar menjadi penggeraknya, 'agitator'. Menjadi hero kepada mereka. Anwar juga dilihat ikhlas dan insaf atas apa yang berlaku. Perasaan itu wujud dalam hati semua kaum di negara ini. Janji dan ikrar Anwar untuk merubah dan membawa rakyat dari alam gelap ke alam cerah sangat-sangat diminati rakyat.
Di hujung catatan ini ingin saya berpesan sedikit kerana hari ini akan berlaku himpunan bagi menyatakan simpati dan sokongan kepada Anwar dan juga ada himpunan yang bertujuan sebaliknya, hendaknya tidak ada pertempuran. Pergi dan ayuh marilah kita berhimpunan secara aman dengan membawa hasrat dan doa masing-masing.
Tidak ada gunanya kalau kita bertempur apa lagi sehingga menumpahkan darah. Kerana baik di sebelah sini maupun di sebelah sana membawa tujuan satu mahu menegakkan keadilan dan kebenaran. Kebenaran dan keadilan itu ada dalam pertimbangan kita.
Jika Anwar dibawa ke Sungai Buloh tidak perlu pihak yang menyokong Anwar berarak sama ke Sungai Buloh untuk memecahkan tembok penjara. Apa yang penting selama Anwar meringkuk di sana ayuh semarakkan gerakan untuk memecahkan tembok pemikiran rakyat yang setengahnya masih dilingkupi kegelapan kerana ditutup tabir kebendaan.
Selagi Anwar tidak dapat keluar dari tembok atau tirani itu bermakna pihak sebelah sini masih belum cukup kekuatan untuk merobohkan sebuah kuasa yang kini sedang menuju ke lembah lagenda! [wm.kl.7:54 am 09/01/12]
No comments:
Post a Comment