Sunday, January 22, 2012

Sebelum Lelap Mata

Penggambaran Semula Filem Bujang Lapok
Di Masjid Kampung Pandan


Sebaik sampai dari Senawang, Negeri Sembilan jam 9:30 tadi saya fikir malam ini hendak tidur awal. Selepas menyudahkan sebuah artikel untuk dipostkan esok saya akan terus tidur. Tetapi hajat itu tidak menjadi. Inilah bahana kalau rajin membelek muka buku (Fb). Bila terjumpa sesuatu yang menarik, segala hajat akan terbatal, mata akan terus melekat di skrin laptop ada kalanya sampai jam 4:00 pagi.

Kuasa laman sosial sangat kuat dan ia merubah segala jadual kehidupan sebelum ini. Fenomena ini rasanya bukan saja kepada saya tetapi orang lain juga. Hari ini yang melekat di muka buku bukan lagi kanak-kanak atau remaja tetapi datuk dan nenek juga 'beralik-ralikan' di muka buku.

Apa yang menarik itu? Sebelum ini sudah ada gambar kekal (still foto) yang ditebeng di muka buku mengenai kekecohan yang berlaku di pekarangan masjid di Kampung Pandan. Ada dua tiga keping gambar yang dipaparkan dengan penjelasan menceritakan berlaku kekecohan bila mana tunjuk perasaan (himpunan aman) membantah AUKU oleh satu pihak dan dibantah pula oleh pihak lain.

Melihat kepada mereka yang terlibat baik mengadakan tunjuk perasaan dan membantahnya, semua orang Islam kebanyakan berbangsa Melayu. Dari kekcohan kecil ini yang berpotensi menjadi besar apabila dendam terkesumat menjelaskan bagai mana keadaan orang (Islam) hari ini. Mereka jelas tidak sekata dan senada. Peradaban Melayu sudah rosak.

Gambar yang ditebeng (tag) itu ada menunjukkan seorang lelaki 'bontot' berseluar belang memegang batu jongkong dengan lagak mengacah-acah untuk dibaling ke satu arah penunjuk perasaan. Sementara sekeping gambar lagi seorang lelaki berbaju Melayu sedang membuat isyarat seperti mana MB Pahang Adnan Yaacob lakukan semasa hari penamaan calon pilihan raya kecil Sanggang. Sebelah tangan dikepal dan sebelah lagi menumbuk-numbuk tangan yang dikepal itu. Mungkin aksi itu sebagai isyarat atau signal si pembuat bahawa syahwatnya sedang tegang.

Saya rasa perbuatan ini adalah kegemaran orang yang melakukan begitu dan mereka yang jahil dan kurang tatabudi kerana tempat dia berdiri masih dalam laman rumah Allah. Saya rasa wuduknya pun masih lagi belum tanggal, dan dia boleh terus menunaikan solat sunat sebaik selesai mendirikan solat Jumaat.

Apapun gambar-gambar itu tidak menarik minat saya untuk terus membaca laporan yang disertakan. Saya fikir gambar itu gambar lama yang ditayang semula dengan tujuan tertentu. Al maklumlah di dalam muka buku semua ada termasuk perkara-perkara yang tidak tergamak untuk disaksikan. Jadi saya abaikan begitu saja. Apa lagi ada caption di gambar lain berbunyi, "Umno meroyan". Saya tidak berapa gemar kalau perkataan bombastik digunakan hatta kepada sesiapa juga.

Tetapi tatkala membelek muka buku sekejap tadi ternampak klik video mengenai kekecohan itu. Saya terus menekan punat play dan menyaksikannya. Ternyata klik video itu menceritakan perihal kekecohan yang dimaksudkan itu. Tidak berapa ramai sangat para peserta di campur kedua pihak itu adalah sekitar 120 orang sahaja. Bagaimana pun lagak dan aksinya cukup mengecohkan keadaan dan boleh mencalarkan arang ke bumbung masjid.

Wah bukan main lagi orang Melayu dan jemaah masjid berkenaan. Keadaanya nampak agak tegang dan seperti tidak dapat dikawal. Bunyi riuh randah disulami dengan kata-kata kesat dan maki hamun di antara satu sama lain. Yang kuat memaki hamun ialah pihak yang berada dalam kawasan masjid.

Di tengah-tengah keriuhan itu terdengar suara dari pembesar suara yang melaungkan kata-kata slogan tunjuk perasaan yang kerap digunakan; "Hidup...hidup... hidup rakyat..", "Hapus.. hapus, hapus AUKU." Ini adalah lagu dan irama yang sudah kerap didendangkan.

Apa yang saya nampak dalam klik video itu pihak yang di dalam pagar tidak mahu tunjuk perasaan itu diadakan. Mereka tidak mahu masjid di salah gunakan. Mereka cuba menghalau atau menyuraikan tunjuk perasaan berkenaan. Namun pihak yang mengadakan tunjuk perasaan itu tidak mempedulikannya. Laungan dan takbir terus diperdengarkan. Laungan dan takbir itu benar-benar membakar dan mencabar pihak yang berada dalam pagar.

Pihak di dalam pagar nampaknya lebih emosional. Mereka mula hendak menggunakan kekerasan. Salah seorang yang cuba menyatakan akan tujuan himpunan diadakan, ditolak mukanya oleh pihak yang saya kira menjadi ketua pihak di dalam pagar. Kedudukan atau kekuatan sama rata dan sama hebat. Sama-sama 'henelan'.

Saya tidak merasa apa-apa melihat klik video itu. Tidak marahkan kepada mana-mana pihak. Cuma yang sedikit kesal ialah kenapa kejadian caci mencaci sampai boleh berlaku di kawasan masjid sebaik selesai mendirikan solat Jumaat. Molek kalau Jumaat depan khatib membaca khutbah dan memberi nasihat kepada kedua pihak dan seluruh jemaah supaya senantiasa menjaga kemuliaan dan kesucian masjid. Janganlah sampai isyarat hendak ***** bini pun dilakukan di dalam kawasan masjid.

Kelau hendak dikira pihak yang mengadakan himpunan itu pun salah, kenapa mereka mengambil peluang menyuarakan bantahan mereka di perkarangan masjid. Elok cari tempat lain yang lebih sesuai. Rasanya kalau hendak tunjuk perasaan di perkarangan masjid boleh dilakukan apabila ada isu-isu mengenai agama. Itu lebih sesuai dan afdal.

Isu mengenai AUKU elok diadakan di kampus atau pun di pejabat menteri pelajaran dan lain-lain tempat yang dikira boleh memberi kesan besar. Anak-anak muda di samping bersikap agresif tetapi mereka juga perlu belajar menjaga adat sopan dan tatabudi orang Melayu.

Menyaksikan klik video itu apa yang melucukan dan menyebabkan saya tersenyum sampai saat ini apabila mengenangkan gelagat beberapa gedebe Kampung Dusun yang berada di dalam masjid. Ada sorang dua nampak marah dan berani benar sampai mengambil batu jongkong untuk dibalingkan kepada penunjuk perasaan. Beberapa kali mereka mengacah-acah untuk membaling batu jongkong sambil melaung-laungkan perkataan, pulang... pulang, tetapi sebiji batu pun tidak melayang.

Melihat gaya si gebede ini teringat saya kepada satu babak dalam filem Pendekar Bujang Lapok waktu samseng Ahmad Nisfu menyerang rumah Pendekar Mustar. Wah bukan main lagi si Aziz yang menunjuk gedebenya di hadapan pendekar Mustar untuk berdepan dengan musuh. Di tebing-tebing dada dan ditunjuk-tunjuk urat lengangnya yang kuat. Perbuatannya itu sedikit pun tidak menakut pihak Ahmad Nisfu.

Si pendekar bujang lapok itu hanya mengacah-acah saja untuk membelasah musuh bagi menakutkan tetapi tidak pun berani bertindak. Sebaliknya sewaktu samseng Ahmad Nisfu berpatah balik, bedebuk sebiji batu menimpa kepala Aziz yang menyebabkan timbul dialog, "dia pakai batu, macam mana saya nak elakkkkkk..."

Saya tidak hendak ulas panjang mengenai babak ini penjengok boleh tonton sendiri klik video berkenaan di muka buku. Saya rasa klik video ini adalah terbaik di antara klik video-klik video yang ditebengkan didinding muka buku berkaitan dengan siri-siri tunjuk perasaan.

Saya menyimpulkan apa yang berlaku di masjid Kampung Pandan itu terutamanya di pihak dalam pagar masih lagi belum matang, belum benar-benar berani untuk berlawan sesama sendiri. Lain kali jangan saja acah dan hayun tangan nak lontar batu, elok terus lontarkan sahaja biar pecah kepala. Mungkin darah yang mengalir di laman masjid itu darah syahid, yang kena syahid yang lontar juga mendapat pahala kerana mempertahankan 'agama'. InsyaAllah semuanya nanti akan bertemu kalau tidak di Syurga pasti di Neraka! [wm.kl 10:21 am 22/01/12]

No comments: