Pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat yang dianggap sebagai kemenangan rakyat memberi ellowance baru kepada Pakatan Rakyat (PR). Hakikat ini dirasai banyak orang. Tidak hairanlah kalau seorang kawan saya berkata suasana pada hari itu keputusan itu dibuat seolah-olah PR sudah memerintah Malaysia.
Keseronokan itu terbawa-bawa sampai ke saat ini.
Takdir itu memberi kekuatan dan semangat baru kepada komponen PR. Kenapa tidak, keputusan membebaskan Anwar itu menjadikan PR hilang lebih separuh masalah yang dipanggunginya selama tiga tahun lalu. Sebelum ini apa yang dilihat masalah besar yang akan dihadapi PR dalam pilihan raya ialah mengenai Anwar. PR begitu takut dan cemas kalau Anwar dijatuhi hukuman bersalah.
Sejajar itu keyakinan orang ramai terhadap PR yang sebelum ini teragak-agak sudah kembali semula. Kalau dulu ada yang duduk jauh dan memerhati kini sudah mulai mendekati dan membuka semula bendera PR yang sudah dilipat ataupun dibiarkan lusuh. Tidak hairan kalau sudah ada yang mencari buluh baru untuk dijadikan tiang bendera.
Keputusan pada 9 Januari itu memberi signifiken yang cukup besar dan menjadi nilai tambah kekuatan dan sokongan buat PR. Ia bukan saja kepada Anwar khasnya dan PKR tetapi kepada Pas dan DAP juga. Dengan keputusan itu ia menambahkan keyakinan umum bahawa PR sedang menghampiri Putrajaya. Keriukan ensel pintu Putrajaya kini sudah nyaring di telinga pendokong PR.
Benarlah seperti janji Allah dalam surah An Nasr; Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah berbondong-bondong. Maka (ketikaitu) bertasbehlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampunlah kepada-Nya. Sesungguhnya Ia maha penerima taubat.
Jelas bila kemenangan sudah menyinar maka ramailah yang memberi harapan. Tatkala mentari mulai terbit sepegalahan ketika itulah juga segala ungas, kumbang, rama-rama, lebah, lalat tidak terlupa salentia dan sebagainya akan berterbangan dan merangkak merayakan hari. Nah beginilah yang dapat dirasai apa yang berlaku kepada PR kini.
Sehubungan itu di sini saya ingin bermadah serba ringkas kepada Pas, parti yang mana dilihat berpotensi besar untuk memimpin PR di masa depan. Dengan kekuatan, disiplin, azam dan perjuangan jelas Pas mampu memimpin PR. Kejayaan Pas memerintah Kelantan ditangan Tokguruku Nik Aziz menjadi sumber keyakinan mereka kepada parti Islam ini dan menjadi bukti kepada kemampuan Pas.
Lantaran itu kelebihan dan kehebatan ini perlu disedari ramai. Jangan mengkesampingkan Pas dan meletakkan Pas sebagai parti pengenap gantang atau pencukup timbang semata-mata.
Justeru dalam hal ini Anwar harus sedar yang menyemarakkan kempen membebaskannya adalah Pas. Pas terpaksa membayar begitu mahal untuk membebaskan Anwar. Ruang yang diberi oleh Pas kepada Anwar sangat besar dan luas, di mana dengan ruang dan kerjasam dan bantuan itulah yang mewujudkan sokongan besar mentakdirkan Anwar bebas. Tidak melampau kalau saya mengatakan yang menjadi para seldadu merobek pintu penjara ialah orang-orang Pas.
Ladang hijau
Pas kini boleh dianologikan sebuah ladang hijau yang subur. Penuh dengan rumput yang bergizi dan lazat. Pas kini sudah menjadi perhatian umum. Sekaligus juga menjadi puteri yang ingin direbuti. Sebagai ladang hijau ia dijenguki oleh segala macam herbivorous hatta yang dulunya kelompok yang usahkan hendak menelan, memandang rumput hijau pun tidak lalu. Dalam hal ini tentu para lembu ladang yang hidup secara nomad berpindah mencari rumput dari ruang ke ruang tidak ketinggalan turut sama ingin memasuk ke ladang Pas.
Kini sudah ada sekumpulan lembu ladang sudah pun mula memberi tumpuan kepada Pas. Mereka sudah mula mencari lubang untuk memasuki ke ladang Pas. Mereka sudah melakukan tawaf mencari ruang dan lubang. Orang yang dipercayai dapat membuka pintu juga sudah diterpa dan dilayan seistimewanya, dijamu makan dan diraikan dalam pelbagai majlis.
Setengah ahli kumpulan ini sudah mulai mengenali dan mengamali apa yang menjadi budaya atau pun fesyen orang Pas. Mereka perlahan-lahan menukar warna bulu, perwatakan demi menyakinkan orang Pas.
Misalnya kalau dulu mereka pakai songkok, kini sudah beralih kepada kopiah. Kalau dulu pakai baju Melayu kini sudah pandai berjubah hanya belum berserban lagi.
Saya yaklin dan percaya tidak lama lagi ada kalangan mereka akan ikut memakai serban jadi lebih ekstream dari orang Pas sendiri. Mungkin waktu kini sedang mengikut kursus membelit serban di pondok-pondok tradisi di Kelantan, Kedah dan juga Terengganu.
Sebagai ladang hijau dan parti masa depan, Pas tentu suka menerima kemasukan sesiapa saja. Setiap bantuan dan pertolongan diperlukan. Tanpa bantuan dan sokongan tidak mungkin Pas akan menjadi sebuah ladang yang akan membidangi negara ini.
Bagaimana pun dalam pada itu Pas sebagai tuan ladang kena berhati-hati. Pepatah pisang jangan sampai berbuah dua kali hendak disemat sedalam mungkin di jiwa Pas. Istilah cakap boleh dengar percaya jangan hendak selalu dikenang. Pas jangan mudah teruja dan menganggap ‘teboon’ (bunyi suara lembu) yang sama itu sama dari segi hakikat dan lisan.
Pas kena pastikan kemasukan mereka adalah untuk membantu Pas bukan mencari imbuhan dari Pas. Keikhlasan mereka harus dinilai dan diistkharahi. Pas jangan tersilap hitung mudah tersimpul dengan janji yang akhirnya mereka meninggalkan tahi dalam ladang Pas setelah meragut rumput hijau. Sedarlah lembu ladang ini lebih bahaya dari lembu kondominum.
Pas perlu mencerapi apakah tujuan kumpulan lembu ladang ini tiba-tiba berarak kepada Pas? Tdak mustahil mereka bergerak kerana olekkan angin tanpa ada nawaitu dan motifnya. Ingat mereka berarak mengikut musim yang bukan menentang arus. Jangan mudah terpana dengan sihir dan memorandum politiknya. Apa yang Pas kena pastikan mereka masuk bukan kerana menyokong taukeh ladang itu tetapi hendaklah masuk dengan niat untuk membangun ladang menjadi sebuah estet luas berdasarkan apa yang digariskan.
Pastikan mereka masuk memperjuangkan ladang (Pas) bukannya masuk untuk mengutip hasil yang sudah boleh dituai kini. Pastikan mereka masuk mendokong idealisme Pas berdasarkan Quran bukan teruja dengan sosok pemimpin. Jangan pula kerana terlalu teruja dan gembira sampai Pas memberi ruang rumput hijau yang tebal kepada mereka sementara lembu lama yang berada dalam ladang yang telah melakukan proses penggemburan ladang dengan peluh dan najisnya dibiarkan terjilat-jilat kekurusan di pinggir pagar.
Sebelum Pas hendak menerima mereka sebagai benih pastikan mereka juga mereka masih subur. Ini kerana ada di kalangan mereka merupakan lembu kasi yang telah kalah belaga atau pun yang sudah menopous yang mana tidak mungkin mendatangkan hasil. Jadi kalau Pas turut membiak lembu sebegini hanya boleh menyesakkan ladang saja.
Setiap mereka perlu diberikan kitab perlembagaan. Biar mereka baca dan hayati. Saya nukilkan ini kerana bimbang apa yang berlaku di Pasir Mas akan berulang. Apa yang berlaku dalam ladang PKR akan terikut. Sekiranya mereka ini tidak dikurantin secukupnya, disintuklimaukan secukupnya dan diajar syahadat yang benar dan betul, kemungkinan mereka akan belot dan murtad kembali.
Justeru sekali lagi dingatkan kepada tuan ladang berwaspada dengan kumpulan lembu ladang ini. Mereka adalah politician nomad yang hidup secara berpindah randah semata-mata untuk mencari rezeki. Kenapa saya berkata begitu, kerana kalau mereka ikhlas dan ingin berjuang mereka boleh terus berjuang di ladang lama sampai wafat. Tetapi kerana di ladang lama mereka dinafikan mendapat rumput hijau yang banyak atau kerana clash dengan penjaga ladang maka mereka berarak menuju ke ladang baru bersama beralihnya musim.
Bukan itu saja, saya membuat teguran ini kerana telah terjumpa agenda dan plan tidak manis mereka untuk dilakukan sebaik berjaya memasuki ladang hijau itu. [wm.kl.9:28 am 11/01/12]
No comments:
Post a Comment