Thursday, January 19, 2012

Susupan Tengah Malam

Rumah Anwar Dikunjungi Semula

Pembebasan Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat II benar-benar melonjakkan semangat rakyat khasnya penyokong Pakatan Rakyat. Betapa tidak, mereka yang sebelum ini menyepi atau memerhati dari jauh mengenai nasib dan masa depan politik Anwar kini sudah mendekati balik, kembali semula menjadi tetamu setia Anwar.

Mereka telah mendapat suntikan dan keyakinan baru dari pembebasan Anwar itu.

Tiga tahun - sepanjang perbicaraan tuduhan liwat II itu pengaruh atau sokongan ke atas Anwar agak berkurangan. Penyokong jadi tidak berapa bersemangat, kecuali mereka yang setia kepadanya. Majlis solat hajat dan munajat yang diadakan setiap malam Jumaat di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur tidak semeriah semasa Anwar di pecat dari Umno 3 September 1998.

Ketika itu penyokongnya berkampung dan berkhemah di rumah Anwar di Bukit Damansara. Solat hajat dan munajat dihadiri ratusan penyokong dan keluarga terdekatnya. Persekitaran rumah Anwar umpama 'jenawari', (pesta kenduri). Perkarangan rumah bakal PM itu juga menjadi medan tempat para peniaga seperti buku, kaset dan cenderamata refomasi mencari rezeki.

Berlainan di sepanjang tempoh perbicaraan kes liwat II. Sesekali apabila saya ikut sama membaca yassin dan bersolat hajat timbul juga rasa bimbang dan cemas. Ada kalanya yang hadir tidak sampai 50 orang. Manakala muka-muka yang datang tidak pernah jemu adalah muka yang sama. Cam sangat. Ustaz Shamsul lah menjadi imam besar dan khas membimbing bacaan yassin dan munajat.

Kalau Shamsul bermasalah, Apandi Jeli yang menjadi imam dan membimbing bacaan yassin. Apandi seakan menjadikan tanggunjawab dia hadir ke rumah Anwar. Dalam satu tazkirah ringkas beliau pernah memberi tahu, sepanjang malam dia bersolat hajat untuk kebebasan Anwar.

Di celah-celah itu ada juga diganti dengan imam-imam atau penceramah tazkirah jemputan dari Indonesia atau pun Timur Tengah.

Tidak kira sama ada Anwar ada atau tidak, setiap Jumaat mesti bermunajat dan berdoa memohon keampunan Allah agar menyelamatkan Anwar. Dalam hal ini orang paling sibuk menguruskan dan mengundang teman-teman Anwar dan penyokong rapat ialah adiknya Rosli Ibrahim. Anwar bertuah mempunyai seorang adik seperti Rosli yang tidak tahu penat dan berputus asa dalam usaha membebas dan menyelamatkan Anwar.

Majlis kesyukuran malam tadi yang diisi dengan bacaan yassin agak berbeza dengan majlis sebelum ini. Seperti saya katakan tadi ia sudah berbeza. Ramai yang hadir meraikan majlis kesyukuran malam tadi. Angkanya sudah bertambah. Yang hadir bukan saja yang tingga sekitar Segambut dan menjadi tetamu setianya tetapi ada yang datang dari Sabah.

Muka-muka yang sebelum ini sudah lama tidak nampak muncul kembali. Malam ini penyokong Anwar bercampur kembali. Inilah yang saya katakan pembebasan itu memberi suntikan baru. Ia membuka semula pintu perjuangan untuk menuntut keadilan dan kebenaran yang sebelum ini hampir tertutup.

Di sinilah mungkin terlalu awal untuk saya menyatakan sesuatu kepada Anwar untuk beliau tidak mudah leka dengan kunjungan dan sokongan ramai yang bakal membuak selepas ini. Hendaknya beliau akan tetap mengenal mana tetamu yang muncul di hujung perjuangaan, saat berjaya dan mana tetamu yang setiap malam Jumaat menumpahkan air mata kerana memohon kepada Allah untuk pembebasannya.

Saya tetap yakin tetamu dan pendokong Anwar akan lebih ramai lagi selepas ini. Majlis malam tadi dihadiri sama oleh beberapa sahabat awal Anwar baik semasa dalam kerajaan ataupun Abim. Tetapi yang agak merujakan saya ialah kehadiran Timbalan Presiden Amanah, Abdul Kadir Sheikh Fadzil. [wm.kl.5:42 pm 20/01/12]

No comments: