Monday, January 16, 2012

Reaksi

Bekas Hakim Juga Perlu Isytiharkan Harta

Setuju sangat dengan saranan dan permintaan Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria agar para hakim mengisytiharkan harta milik mereka baik didalam negara dan juga luar negara. Dengan berbuat begitu ia merupakan nilai tambahan kepada integriti hakim yang sangat-sangat diperlukan.

Tindakan itu juga boleh melenyapkan tuduhan buruk kepada hakim yang sememangnya terbuka untuk terlibat dalam rasuah. Apabila semua hakim mengisytiharkan harta mereka, rakyat dapat menilai akan kedudukan dan juga tahap integriti mereka sebagai orang yang boleh dipercayai dalam melaksanakan keadilan.

Cuma di sini saya ingin tambah sedikit kalau tidak menjadi kesalahan dan boleh dilakukan, bukan sahaja hakim yang sedang berkhidmat perlu mengisytiharkan harta mereka tetapi hakim-hakim dan juga bekas Peguam Negara juga perlu berbuat demikian.

Walaupun mereka sudah bersara tetapi bukan bermakna mereka tidak boleh terlibat dengan rasuah atau apa-apa cara pengumpulan harta secara haram. Misalnya mereka berkemungkinan boleh menerima apa-apa imbalan dalam bentuk kekayaan selepas mereka bersara sebagai membalas apa-apa 'jasa' atau 'khidmat' yang mereka beri?

Pemberian atau salah laku ini selamat dan lebih mudah terjadi selepas mereka bersara.

Elok kalau diwujudkan akta untuk membolehkan para hakim dan Peguam Negara yang telah bersara berbuat demikian. Lanjutan dari cadangan Arifin itu mungkin boleh disambung oleh Nazri Aziz yang bertanggungjawab kepada bidang kehakiman di negara ini.

Sedikit tambahan lagi pengisytiharan itu juga boleh diperluaskan kepada kalangan kedua terdekat seperti isteri dan anak-anak.

Cadangan Arifin itu merupakan satu tindakan yang agak pahit tetapi ia adalah demi kebaikan dan meletakkan institusi kehakiman di tempat yang paling mulia. Cadangan itu juga perlulah disegerakan dan ia tidak perlu ada mana-mana pihak cuba membantahnya. [wm.kl.9.16 am 16/01/12]

No comments: