Wednesday, January 18, 2012

Menyapu Awan Menerangi Bulan

Berilah Cenderahati Untuk Tok Guru
Menangkan Nik Abduh


Persoalan mengenai siapakah di kalangan 10 anak Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terdiri dari lima lelaki dan lima perempuan bakal mewarisi atau mempusakai takhta politiknya itu tidak timbul lagi. Dari kalangan keluarga Raja Jembal itu sudah dapat menilik siapakah di kalangan putera-putera Nik Aziz itu yang berbakat dan sudah menyingsing lengan baju dalam politik.

Pastilah Nik Aziz sabagai tokoh politik ulama tidak mahu kerja dakwah dan jihadnya terputus begitu sahaja tanpa disambung oleh zuriatnya.

Pengganti itu tentulah anaknya yang jinak dengan politik ataupun sedang mengepakkan sayap untuk terbang lebih jauh dan tinggi lagi dalam politik.

Siapakah anak itu? Semua sedar hanya seorang saja putera Nik Aziz yang berminat dengan politik dan kini galak mempersiapakan diri. Anak lelaki itu ialah anak ke limanya bernama Nik Muhammad Abduh, 35. Tokguru sendiri dalam percakapan dengannya di Kuching Sarawak memperakui hal itu, katanya Nik Abduh nampaknya berminat benar dengan politik.

Kedudukan Abduh dalam arena politik Pas dan hirearki kepimpinan kini sudah lumayan dan boleh dibanggakan. Beliau kini adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia. Kedudukan itu adalah layer ketiga dalam saf kepimpinan tertinggi parti Pas.

Dengan kedudukan itu logiknya permusafiran Abduh dalam politik selepas ini licin dan selamat, melainkan beliau ada terlalai dan alpa dengan kedudukan itu tidak mustahil beliau boleh berkelana. Secara tradisinya timbalan ketua akan menganjak menjadi ketua. Dan selalunya juga ketua pemuda akan terus menginsut sehingga ke jawatan Naib Presiden.

Sekurang-kurang tiga orang tokoh yang menakhtai Pas kini lahir dari dewan pemuda. Mereka Sallahuddin Ayub, Muhammad Sabu dan Mahfuz Omar. Kekuatan yang ada kepada dewan pemuda boleh mengangkat ketuanya ke jawatan tertinggi. Sebab itu mereka yang tidak berakar umbi pemuda akan merana dan kalau jiwa tidak kuat akan berputus asa.

Dalam dunia politik demokrasi, jawatan dan kedudukan perlu diburu dan dikejar. Mereka yang bersikap kurang 'cakduh' dengan jawatan akan tertinggal dan tercicir serta kurang dihormati. Ilmu saja tanpa jawatan dalam politik tidak cukup gah. Dalam politik demokrasi ala barat populariti di antara salah satu aset kepada seseorang itu. Berjaya menduduki jawatan mencerminkan populariti seseorang itu.

Kedudukan atau jawatan ini juga akan meletakkan seseorang itu di barisan depan gunanya untuk membolehkan mereka memberi sumbangan dan penglibatan seoptimanya dalam parti termasuk menetukan halal tuju atau mengejap dasar dan prinsip asal parti. Tanpa jawatan seseorang itu akan menjadi base giter bukan lead gitar dalam sesuatu orkestra besar.

Menganalisa ini maka Nik Abduh perlu 'mengejar' jawatan dan kedudukan tanpa ada rasa malu dan kompromi. Keikhlasan dalam politik demokrasi menjadikan seseorang itu menangis di tikar sembahyang! Walaupun sikap merebut, berusaha mendapat, mengambil peluang adalah sifat-sifat tercela dalam konteks Islam, namun sifat itulah menjadi ramuan bermutu untuk berjaya dalam poltik ala kita dan ia merupakan sifat positif.

Apa yang hendak saya maksudkan, dalam pilihan raya yang akan datang ini Nik Abduh harus bertanding dan menang dalam pertandingan. Beliau perlu mencari atau ditempatkan di mana-mana kerusi sama ada state atau parlimen bagi mengukuhkan kedudukan dalam politik dan menjadi tapak kepada dakwah dan jihadnya. Dengan status hari ini selaku timbalan ketua pemuda beliau sudah boleh bercakap tetapi kekuatan dan pengaruhnya tidak meluas menjadikan kehadirannya kurang berimpak.

Sebelum ini saya sudah membuka 'sirah' kerusi terbaik buat Abduh ialah parlimen Pengkalan Chepa. Disitu dia akan dapat mengikut jejak ayahnya untuk mengapai jaya dalam politik. Nik Abduh harus belajar berpolitik secarara rasmi dan mengetahui institusi politik secara ilmiah dengan menjadi ahli Parlimen seperti ayahnya dengan berada dalam dewan Parlimen. Parlimen akan melambakkan berbagai ilmu buatnya.

Ayahnya bermula di Pengkalan Chepa sebagai ahli Parlimen apabila menang dalam pilihan raya kecil tahun 1967. Kemenangan itu telah membuka luas minda Nik Aziz dari seorang guru dan ustaz kepada seorang murabi politik, pentadbir dan menjadi ikon politik Islam. Tidak dapat tidak kalau Abduh bercita-cita untuk memakai 'serban' dan 'kopiah' ayahnya dia perlu menuruti jejak itu - ke parlimen.

Tetapi nampaknya cadanagn saya itu sedikit terhalang kerana kerusi Pengkalan Chepa berada sama dalam kawasan di mana kerusi ayahnya sandang kini, Chempaka. Jadi kerusi itu tidak berapa kondusif dan tidak berapa manis kalau dua beranak berada di kawasan sama. Hendak tidak hendak salah seorang perlu berkorban kalau kerusi di kawasan itu juga diminati. Sama ada Abduh menangguhkan hasrat masuk dewan atau Tok Guru tidak bertanding. Dalam hubungan ini bagi saya Abduh perlu didahulukan dari ayahnya.

Justeru Nik Abduh diheret ke Pasir Mas. Alasan yang diberikan kerana di situ beliau dapat menumpang pengaruh bapa mertuanya Abdul Fatah Haron, yang berumah di kampung Mekasar. Bagaimana pun setelah menyedari pengaruh Fatah tidak menebal di situ maka kawasan baru dicari untuk Abduh. Memang Fatah tinggal di Pasir Mas, tetapi dia berpolitik di Rantau Panjang.

Sebagai orang baru yang belum ada pengkalan sendiri serta pengaruh peribadi meluas di sesuatu kawasan, Nik Abduh perlu dicari kawasan yang selamat. Umum tahu modal yang akan dijual atau ditempel kepada diri Abduh dalam kempen-kempen nanti ialah dia anak Tok Guru dan MB. Modal itu sendiri tidak menjamin kemenangan Abduh kerana pengundi hari ini bukan lagi mudah terpengaruh dengan barang-barang klon ataupun saduran. Hendak tidak hendak Abduh perlu ada kekuatan sendiri, dan dalam hal ini kawasan selamat perlu disediakan untuk menjadi kemenangannya.

Secara diam-diam saya ada membisikkan kepada pihak tertentu adalah baik kalau Abduh dibawah ke Rantau Panjang. Ada beberapa alasan, pertama, bapa merutanya adalah Yang Dipertua Pas di situ. Walaupun Fatah sudah tidak sepopular dulu tetapi pengaruh peribadinya masih kuat di situ. Di Rantau Panjang kalau Abduh bertanding di mana-mana kerusi termasuk state pun, baik Meranti, Gual Periok dan Bukit Tuku peluang untuk menang secerah 'cadni' purnma. [Candi candi ni gat bulanlah - bahasa Hindi, nanti kata saya salah ejaa pulak].

Sejajar itu sebagai gantiannya Ahli Parlimen kini Siti Zailah Yusuf boleh dibawah turun ke Dun Gual Periok. Sesuai dengan jawatan dan kedudukannya beliau boleh dilantik menjadi Exco. Keperluan lain untuk Zailah turun di Gual Periok juga bagi menjamin kerusi itu menjadi milik Pas kerana wakil rakyat Ahmad Awang sekarang tersangat lemah.

Tetapi cadangan itu kurang diminati Abduh? Barang kali orang Rantau Panjang sendiri tidak senang kerana kehadiran Abduh boleh menjejaskan peluangnya untuk bertading sekali lagi. Sudah tentu adalah tidak manis kalau Abduh bertanding di Rantau Panjang sedang bapa mertuanya juga bertanding di situ, samalah keadaanya kalau dia bertading di Pengkalan Chepa.

Jadi jika dia dietak bertanding di Rantau Panang bapa mertuanya secara automartik perlu menarik diri. Kalau Abduh diletakkan di parlimen Rantau Panjang Fatah perlu redha dan bersedia untuk tidak dicalonkan di Bukit Tuku.

Kini tidak jelas kepada saya kerusi mana yang akan ditempatkan untuk Abduh. Ada juga kedengaran jauh-jauh Abduh akan dibawa ke Bachok atau Pasir Puteh. Alasan di Bachok kerana Pas Kelantan sudah tidak mahu kepada orang luar lagi. Nasharudin Mat Isa yang kini menjadi burung candik kalah bertanding, rupa cantik tetapi tidak tahu berkokok' tidak lagi akan diberikan peluang di Bachok. Maklumat terbaru katanya dia kian mesra dengan Umno?

Pasir Puteh juga diadukan kepada Abduh. Paling terbaru Abduh akan dibawa ke Machang ekoran kedengaran Saifuddin Nasution Ismail tidak lagi bertanding di Kelantan atau pun ada pertukaran kerusi di antara PKR dengan Pas. Machang dikatakan kerusi selesa buat Abduh. Salah seorang keluarga terdekatnya mengakui anak beranak mereka ramai di Machang.

Tidak kira di mana putra politik Nik Aziz itu diletakkan asalkan beliau menang. Kemenangan adalah penting bukan saja sebagai cenderamata untuk Tok Guru tetapi masa depan politik Abduh sendiri. Kekalahan beliau dalam saat kuasa politik ayahnya sedang menirus sangat bahaya. Dahan yang kukuh untuk dijadikan tempat bergantung sangat penting dalam politik.
Dalam memperhitungkan untung nasib anak Tokguruku kini, saya ada pandangan lain yang mungkin tidak terlintas dalam kepala sesiapa pun. Apa kata kalau Pas Kelantan membawa Nik Abduh turun ke Kubang Kerian. Kubang Kerian adalah kerusi paling selamat, selepas Pengkalan Chepa. Bahkan Kubang Kerian dalam konteks Abduh lagi baik dari Pengakalan Chepa kerana musuh tidak dapat mengeksploitasikan isu kronisme.

Pas sering kali menang di sini dan taburan pengundinya juga menarik terdiri dari golongan agama, inteletual dan rakyat biasa. Kawasan ini sesuai dengan watak Abduh itu sendiri. Cadangan ini lebih konkrit kalau benar Pas Kelantan sudah tidak mahu kepada Sallahuddin Ayub yang sudah dua penggal bermukim di situ. Bagi Sallahuddin rasanya tidak menjadi keberatan dan sebagai pemimpin setia dan penuh sentimental, beliau tidak akan membantah. Apa lagi ke belakangan ini Sallahuddin memberi tumpuan kepada Johor, molek juga kalau beliau membina empayar baru Pas di negeri itu sesuai dengan kemajuan Pas kini.

Penggantian dengan Abduh itu menjadi lebih murni dan harmonis lagi kalau Sallahuddin dipindah ke Pasir Mas untuk berhadapan dengan Inchek Ibrahim Ali. Saya pernah memberi pandangan dan kupas serta justifikasi mengenai hal ini tidak lama dulu.

Walaupun Abduh tidak pernah bermain di Kubang Kerian, tetapi rasanya tidak ada penolakan terhadapnya. Yang Dipertua Pas Kubang kerian, Husam Musa boleh menggunakan kuasa prerogetif dan pengaruh peribaidnya untuk menerima Abduh. Saya tidak nampak kalau Husam sendiri menolaknya kerana inilah ketika untuk Naib Presiden Pas itu menjernihkan suasana. Juga kepada Husam inilah masanya untuk beliau membals budi bosnya (Nik Aziz) yang mendidiknya dalam politik dengan memberi peluang kepada Abduh. Kalau dulu Nik Aziz didik dia, maka beliau pula kena didik anak Nik Aziz. Itulah timba balas dan mengnang budi namanya.

Husam dikekalkan di Salor. Tidak menjadi masalah kalaupun tertakdir Pakatan Rakyat memerintah nanti untuk jadikan Husam sebagai meteri kerana kebijaksanaan dan kekreatifan pemikirannya. Itu soal gampang. Untuk dilantik menjadi menteri Husam tidak perlu bertanding di Parlimen, beliau boleh dilantik menjadi senator. Cara berfikir menteri hanya boleh dilantik dengan menjadi ahli Parlimen itu adalah pemikiran yang singkat dan mereka yang terlupa membaca perlembagaan. Atas kekhilafan membuat terjemah itu menyebabkan orang membuat tanggapan perpindahan Husam tidak lain daripada percubaan mengasingkannya dengan Kelantan.

Sekiranya Abduh di bawah ke Kubang Kerian dan berganding tangan bersama Husamh menuju ke pusat penamaan calon ia banyak menyelesaikan banyak masalah dan membawa jaya. Pertama, menjamin kemenangan Abduh kerana kawasan itu adalah kawasan putih. Kedua, mengurangkan persepsi kononnya hubungan Husam dengan keluarga Tok Guru negatif ekoran beberapa insiden dan salah faham sebelum ini. Peluang ini juga membuka dan melendik semula talisiturahim antara Husam dengan menantu nombor satu Tok Guru, Abdul Ariffahami yang dikatakan 'berkedut' sebelum ini.

Ketiga, memberi peluang kepada Husam dan seluruh Pas Kubang Kerian berbakti dan membalas budi dan jasa-jasa serta pengorbanan Tok Guru selama 22 tahun memimpin Pas walaupun tidak semua terbalas. Kalaulah idea dan saranan ini diterima rasanya Umno sudah ketiadaan modal dan peluang Pas untuk mengulang sejarah 1990, menang 59 kerusi bersama Tengku Razaleigh Hamzah akan berulang. Cubalah selami hikmah di sebalik cadangan ini. [wm.kl.8:32 am 18/01/12]

3 comments:

ust.jaa said...

Bulan dalam bahasa urdu bukan cadni.. Candni.

mohd sayuti omar said...

Terima kasih atas.pembetulan.

Nor Hasin said...

"Husam sangat bersopan santun dengan Tok Guru. Seeloknya perangai dan akhlak begini dipraktikan sama apabila berhadapan dengan orang lain". (foto Husam bersalam dengan Tok Guru)

Pada pandangan saya, bukan setakat husam sahaja, pemimpin besar PAS dan Pakatan yang lain juga harus bersifat sedemikian. Jangan rasa asing bila berjumpa dengan Ahli serta penyokong. Mereka semua tidak akan dapat berada setahap itu kalau tidak ada penyokong.

Akhlak dengan ahli dan penyokong dengan jaga. Ini tidak, bila berjumpa dengan ahli dan penyokong langsung tidak ada senyum. Alasan diberi kerana tidak kenal @ tidak perasan.. Ini alasan yang dangkal. Kalau ingin menjadi pemimpin politik mulut kena manis dan tidak lekang dari senyuman. Kalau tak kenal sekalipun buat2 lah kenal. Penyokong Pakatan Rakyat bukannya pengemis dengan Pemimpin mereka, mereka tidak pernah minta projek atau wang ringgit. Malah wang mereka dibahagi lagi untuk Perjuangan Parti..

Kepada yang bakal jadi calon pun sama. Belajar dari sekarang bermesra dengan rakyat jelata serta penyokong. Jangan muka masam macam cuka. Nanti orang tengok kita pun menyampah.. Ini lah akan menjadi undi protes yang membolehkan Pakatan Rakyat kalah. Jangan terasa angkuh dengan Title yang ada pada kita. Tidak ada gunanya kalau ada pangkat @ Title yang berjela-jela tetapi PR(hubungan dengan orang bawahan)out sema sekali.

Ingat!!! senyuman itu adalah satu sedekah.

Wassalam.

NH Shah Alam