Saturday, May 11, 2013

Husam dan Azmin Senasib, Seirama

NGEPEK PAGI                                                                                

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PAS Husam Musa boleh menerima hakikat mereka tidak berpeluang untuk menjadi menteri besar. Husam di Kelantan, Azmin di Selangor. Husam paling parah dan 'jiwa terseksa' kerana dia sudah berkhidmat sebagai Exco selama 10 tahun tetapi belum sempat menjamah (lagi) jawatan itu. Paling memarahkan jiwa Husam tidak disenaraikan semula sebagai anggota Exco.

Azmin tidak pun menjadi Exco tetapi seorang yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Azmin meletakkan dirinya lebih layak dan mendapat sokongan parti berbanding Khalid Ibrahim.

Mengapa tidak, menurutnya selepas pilihan raya kecil Ijok Anwar Ibrahim sudah menyuruhnya menjadi MB menggantikan Khalid Ibrahim tetapi dia tidak mahu. Kenapa?

Sebenarnya penolakan itu satu kesilapan besar. Sebab dalam politik peluang tidak akan menjelma dua kali. Kadang-kadang sekali pun tidak menjelma. Hanya bagi mereka bernasib baik saja didatang Santa Claus untuk menerima hadiah. Seperti saya yang tidak bertanding dan ada cita-cita politik, peluang untuk jadi MB tidak akan datang! Hehe.

Azmin kata dia tidak kemaruk hendak jadi MB, begitu juga dengan Husam dia bekerja dan berjuang bukan untuk jadi MB tetapi untuk menegakkan yang haq dan mencegah yang batil. Husam mengambil peribadi Khalid al Walid panglima jihad Islam yang dipecat tetapi redha dengan apa yang berlaku. Begitulah kira-kira.

Tetapi yang kedua orang ini seperti gelisah memenjang dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana beberapa teknikal yang mungkin mereka kira menyebabkan mereka terpinggir.

Husam kata beliau tidak dijemput atau diberi tahu semasa mesyuarat hendak lantik MB atau susun Exco yang diadakan sebelah pagi pada 6 Mei. Menurut pihak badan perhubungan dia memang di jemput. Mohd Amar Nik Abdullah juga mengesah bila ditanya wartawan Husam dijemput tetapi dia tidak hadir.

Jawaban Mohd Amar itu menyebabkan Husam seperti marah dan minta bukti kalau dia dijemput? Katanya tidak ada surat, tidak ada pesanan sms dan sebagainya. Sebenarnya Husam tidak perlu menunggu jemputan dan orang datang mengambilnya. Surat atau notis mesyuarat 14 hari tidak perlu dalam keadaan kritikal dan darurat begitu. Dia sebagai Timbalan Pesuruhjaya II perlu peka kepada perkembangan semasa dan berada dalam keadaan siap siaga. Dengan jawatan itu beliau harus memantau apa-apa perkembangan di dalam parti, dan seharusnya dia menampakkan dirinya berada di hadapan. 

Adalah 'wajib mustahil, perut buncit masuk air' kalau Dewan Harian PAS Kelantan tidak menjemput Husam atau memaklum dengan apa cara untuk hadir mesyuarat. Saya tidak yakin PAS tidak akan maklumkan kepadanya. Sebab mesyuarat itu dipengerusikan oleh Tokguru Nik Aziz. Kebiasaanya Tokguru kalau dia lihat ada yang tidak hadir akan ditanya. Lagipun bilangan ahli Dewan Harian tidak sampai 10 orang muda mudah untuk diketahui Nik Aziz.

Perihal Husam tidak hadir mesyuarat atau suka datang lewat dan kadang-kadang meninggalkan mesyuarat yang sedang berjalan ikut suka hatinya sudah menjadi sebutan. Ribuan pengikutnya tidak pernah tahu hal ini, mereka melihat Husam seorang yang punctual, tetapi bagi mereka yang rapat dan kenal yang bekerja dibawahnya tahu akan fiil Husam ini. Kelemahan Husam inilah yang memalangkan nasibnya.

Sambil mengakui beliau tidak berjuang untuk jawatan dan tidak kisah kalau tidak dilantik, malahan gembira, namun secara halus Husam mengkritik apa yang berlaku. Masih ada sindir meyindir dan Husam cuba memberi konotasi dia seolah dianiaya atau pun dipinggirkan. 

Penjelasan MB, Ahmad Yaacob sudah jelas dan sepatutnya ia diterima semua pihak. Usahlah diperpanjangkan lagi kerana malunya kelak akan menimpa diri. Penjelasan Ahmad kepada 100 orang rombongan penyokong Husam yang menyerbu rumahnya menjawab segala-galanya. Begitu juga 'surat' yang dilihat oleh rombongan Dewan Pemuda PAS juga menjawab segala persoalan. Ia tidak perlu berdolak dalih lagi.

Saya hendak tambah di sini seperti apa difahamkan kepada saya. Soal penyerahan jawatan atau cadangan agar Ahmad Yaacob menjadi MB dilakukan Nik Aziz tiga hari sebelum hari mengundi. Satu surat telah dikeluarkan memaklumkan kepada presiden mengenai pengganti Nik Aziz dan presiden membalas menyatakan persetujuan. Tidak timbul perlantikan Ahmad Yaacob itu tanpa pengetahuan Tokguru.

Husam kata dia akan berjuang dalam PAS hingga akhir hayat. Dia juga kata akan berdiri dalam Dewan untuk menegur kerajaanya demi kebaikan. Silakan... alhalan wasalah. Itulah tugas beliau sebaik-baiknya setelah tidak menjadi Exco. Husam boleh di lantik menjadi 'Ketua Pembangkang' - bukan ketua kelab penyokong, bagi pihak kerajaan di samping ketua pembangkang dalam DUN Kelantan yang mungkin akan dipegang oleh Mustapa Mohamed atau Noor Zaidi Omar.

Kita percaya dengan pengalaman, kecekapan dan gaya berfikir yang kreatif Husam mampu menjadi "ketua pembangkang" yang baik dalam DUN Kelantan. Saya juga percaya dengan sifat Husam begitu nanti tidak adalah mana-mana Exco yang cuba hendak 'ranggah' balak atau pun baham tanah lombong. Atau tidak akan adalah nanti mana-mana Exco yang makan gaji buta atau asyik hayun 'palak' ke luar negara.

Mungkin di sinilah hikmahnya Tuhan tidak memberi keizinan kepada Husam untuk jadi Exco atau MB. Kerana kalau dia jadi MB atau Exco dia tidak boleh jadi pengkritik lagi. Peranan dan tanggungjawab Husam nanti saya yakin akan diperhati oleh semua orang bukan saja, rakyat Kelantan tetapi Sultan yang juga dikatakan ambil berat mengenai perjalanan pentadbiran negeri akan memerhati sama.

Husam boleh buktikan kebolehannya dalam aspek ini serta buktikan keikhlasannya. Selainan itu pihak kerajaan juga perlu memberi tugas dan tanggungjawab lain sesuai dengan kapasiti otak beliau. Peranan atau fungsi baik eloklah ia diberi kebenaran bagi beliau meneruskan pelaksanaan projek yang ditelorinya. Kalau Husam dapat melaksanakan tugas dan tangungjawab dengan sempurna insya-Allah beliau akan dihormati oleh dunia.

Berbalik kepada soal Azmin pula, Azmin juga hendak menyalahkan orang lain apabila beliau tidak dapat jadi MB. Juga soal teknik. Azmin marah sebab hanya nama Khalid Ibrahim saja dihantar dan parti tidak berunding atau mendapat pandangan pimpinan lain sebelum hantar nama Khalid.

Ada betulnya. Tetapi logiknya kalau PAS dan DAP sudah menyatakan persetujuan kepada Khalid, Azmin tidak dapat berbuat apa-apa juga, 'tersongeh' juga. Kalaupun PKR bersetuju hendakkan Azmin tetapi kalau DAP dan PAS tidak bersetuju ia tidak boleh dilakukan juga. Azmin walaupun macam mana perlu mendapat persetujuan PAS dan DAP dulu? Apa-apa keputusan berhubung jawatan itu harus kolektif. Azmin juga faham bahawa jawatan MB bukan mutlak hak PKR.

Bila Abdul Hadi Awang bersetuju Khalid jadi MB, Azmin sudah serang Abdul Hadi. Katanya kekalahan Pakatan Rakyat di Kota Damansara adalah tanggungjawab Abdul Hadi Awang. Betul tetapi bukan masa dan ketikanya untuk meletakkan kesalahan itu kepada Abdul Hadi sesudah pilihan raya selesai. Kalau Azmin ikhlas dan benar-benar berani dia perlu sebut perkara itu sebelum hari mengundi. Baru ada faedah.

Dia perlu pergi ke Kota Damansara ceritakan perkara itu kepada penyokong PAS. Kalau Azmin menceritakan itu sebelum hari mengundi, mungkin undi dia di Gombak dan Bukit Antarabangsa juga akan susup. Orang PAS tidak akan beri undi kepadanya. Azmin makrifat mengenai ini.

Kepada Husam dan Azmin bertenanglah. Istiqamahkan diri anda dengan perjuangan. Kedua-dua anda orang yang bestari dan adalah pemimpin parti masing-masing. Untuk Husam saya cadangkan dalam muktamar ini bertanding jawatan lebih tinggi daripada naib, misalnya Timbalan Presiden. Kalau merasakan diri 'rak' lawan.. presiden terus. Apabila kita jadi presiden kita akan mendapat kuasa penuh maka ketika itu kita boleh melakukan atau merombak apa saja yang kita fikir tidak betul, tidak benar dan tidak ikut prosuder.

Kepada Azmin juga begitu, sekarang anda sudah timbalan presiden. Dari segi hirearki anda adalah nombor dua di dalam parti tetapi hakikatnya anda adalah nombor tiga. Nombor pertama dalam PKR ialah Anwar Ibrahim selepas isterinya Azizah baru anda. Jadi anda kena lonjak naik ke presiden baru anda jadi orang nombor dua (presiden). Bila anda presiden anda boleh merubahkan keadaan yang sedia ada. Mudah cerita pecat Khaliud ganti dengan anda. Melihat kepada ramai 'lalat-lalat' politik yang menguhurungi anda semasa sidang akhbar anda cukup bertenaga untuk melawan nonaku, Azizah.

Itulah cara yang dapat disyorkan kepada anda berdua sekiranya anda tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat. Kalau anda sudah teduh fikiran dan redha, alhamdulilah itulah sebaik-baiknya. Kata orang tua kalau fikiran terganggu tidak boleh tidur berwudud dan bacalah Quran. Marilah kita sama-sama memeluk tangga 'mardiah' untuk sampai ke tahkha 'mutmainan.'

Tidak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia. Tugas anda berdua kalau bercita-cita hendak peluk gunung anda kena membuang kabus. Nantilah mentari terbit dan hari hari cerah nescaya kabus dan asap akan lenyap. Ambillah masa, tenangkan jiwa dan kuatkan semangat. Allah bersama-sama orang yang sabar. Waaki musolah. [wm.kl.9: 16 am 11/05/13]

2 comments:

Unknown said...

dalam banyak2 aetikel dan ulasan MSO..ulasan dan teori yang dirungkaikan dalam artikel ini paling tidak senonoh dan agak keterlaluan terutama tentang Husam ytang saya rasakan sepatutnya MSO berpegang pada pendirian pada artikel MSO sebelum ini yang mana HUSAM DIPINGGIR DAN TERPINGGIR disebab konspirasi terancang oleh Nik Abduh !Percayalah jika Nik Abduh tidak menggunakan kelebihan tangan ghain dan kapisiti sebgai anak kepada Tok Guru Nik Aziz pasti hal ini tidak berlaku.Org seperti Husam pasti akan ramai musuh yang tidak diduga dan menunggu waktu untuk diamkan HUSAM SEKETIKA..PERCAYALAH jika bukan kerana HUSAM yang mengawal ekonomi dan mengawal kopiah putih dari mengambil rasuah dari para pembalak,pelombong dan perompak harta kelantan..pasti RASUAH lebih menjadi2 dan akan dilihat sama dgn rejim UMNO..sudah menjadi bualan dan semakin menjadi lumrah bagii geng kopiah putih kelantan mengambil suapan dan memberi balak sesuka hati mereka namum kerana husam gejala ini masih boleh dibendung dan terkawal...OLEH itu sukacita saya mengambil pendirian tanpa HUSAM dipentadbiran kelantan adalah pemerintahan terakhir Pas di kelantan dan hasrat Nik abduh untuk menjadi MB selepas Ahmad Yaakob hanya tinggal kenangan..

Tentang Azmin,Saya sekadar menghormati kesetiaan beliu sebagai org kanan anwar sejak dari dulu tidak pada kemampuan dan sikap beliu yang 2X5 dengan Nik Abduh (gila nak jadi MB).sejak dari tahun pertama Khalid jadi MB lagi beliu memekak dan memelakukan pelbagai cara bagi menunjukkan betapa bangangnya MB selngor nih namum tidak kesampian dan banyak ditangkis dan dipatahkan oleh Faekah (org kanan Khalid/PA x silap)..apalagi semasa kes pemilihan PKR dahulu sewaktu bertembung dgn Zaid bagi jawatan Timb presiden..Dia hanya pandai berlakon tentang ketokohan dan kewibawaan sama seperti adiknya Azwan Ali dan UMMI yang gila glamor tuh..Azmin better ko diamkan adik ko dahulu dari ko nak cita dan buat sarkis dalam PKR tuh..

Goriken San said...

Kepada sdr azmin,jangan dilupa kami yg dibawah yang 'memeberikan kuasa' kepada anda.. Kami dibawah sentiasa memerhati anda dan kami adalah 'bos' sdr..ingatlah kisah lebai malang sebagai pengajaran untuk sdr..suara rakyat suara keramat..