Friday, April 5, 2013

Beberapa Kerusi PAS dan Umno di Kelantan Belum Selesai

ULASAN                                                                                                                            

Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak telah dibubarkan. Negeri-negeri terakhir membubarkan DUN masing-masing ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang membubarkan DUN nya semalam. Pembubaran DUN ini berjalan lancar seperti mana diharapkan oleh SPR bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan serentak.

Dr Wan Suhaimi Wan Daud
Pilihan raya ini menjadi rebutan 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN kecuali Sarawak. 71 kerusi DUN Sarawak tidak dipertandingkan kerana Dewan itu belum genap tempoh lima tahun. Kini apa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat ialah tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi. SPR dijangka akan bermesyuarat Rabu depan bagi menentukan dua tarikh penting itu.

Parti-parti politik kini sedang membuat persiapan terakhir mengenai pembahagian kerusi dan mengenal calon-calon untuk diturunkan. Komponen BN khabarnya telah pun selesai membahagikan kerusi menurut kuota masing-masing. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat pembahagian kerusi peringkat ketiga-tiga parti PKR, DAP dan PAS telah selesai. Bagaimana pun tarik tali untuk beberapa kerusi di antara PKR dengan PAS di Sabah dikatakan masih berlaku.

Kini apa yang sedang giat dijalankan dan diperkirakan ialah mengenai calon. Di Kelantan baik PAS maupun Umno masih belum memuktamadkan calon masing-masing. Pertukaran calon untuk satu dua kerusi masih terus berlaku dan dipercayai ianya akan sampai ke saat-saat akhir. PAS dijangka mengumumkan calonnya pada 11 April dalam satu majlis khas di Kota Bharu.

Bagi kerusi parlimen yang diperuntukan PAS, ada empat kerusi yang belum dimuktamadkan; Pasir Mas, Bachok, Gua Musang dan Jeli. Calon-calon yang disenaraikan untuk dipertimbangkan bagi diletakkan di kerusi berkenaan masih lagi diperhalusi dari berbagai sudut demi menjamin kemenangan. Calon-calon yang dicadangkan ini juga sering bertukar ganti setiap tiga atau empat jam sekali.

Begitu juga dipihak Umno beberapa kerusi parlimen masih belum diputuskan siapa calon. Antara kerusi yang terus bermain tarik tali dan ianya memeningkan kepala Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed ialah, Ketereh, Rantau Panjang, Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas.

Di Ketereh perkiraan dibuat di antara Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad dengan Ketua Bahagian Annuar Musa. Annuar yang sebelum ini sudah menyatakan kurang berminat dengan politik dan ingin menumpukan kepada bola sepak tiba-tiba bangkit semula menginding bertanding di kerusi parlimen Ketereh. Situasi inilah menyerabutkan kepala Mustapa dan juga kalangan pemimpin bahagian Ketereh.

Manakala di Pasir Puteh pula perebutan berlaku di antara Ketua Bahagian, Zawawi Othman dengan Kamaruddin Md Noor. Kedua mereka nampaknya berkeras untuk bertanding di parlimen.

Kamaruddin mendakwa beliau disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Munyiddin Yassin manakala Zawawi mempertahankan kerusi itu atas kapasitinya sebagai ketua bahagian.

Selain itu seorang lagi ialah tokoh perniagaan Khaisan Abdul Rahman juga dikatakan berusaha keras untuk bertanding di kerusi Pasir Puteh.

Di Rantau Panjang pula 'penyingkiran' ketua bahagian Rantau Panjang, Abdullah Mohd Yassin dari menjadi calon disebabkan isu peribadi menyebabkan kerusi berkenaan jadi terbuka. Sekurang-kurang dua orang disebut-sebut sebagai calon, seorang pakar motivasi dan seorang lagi bekas pimpinan Umno Bahagian Rantau Panjang.

Di Machang dua nama masih menjadi perhitungan terakhir Umno Kelantan, bekas ketua Jazlan Yaacob dan bekas ahli parlimen Machang Sazmi Miah. Sementara kawasan Pasir Mas, Umno Kelantan tidak mendapat kepastian apakah mereka akan meletak calon untuk berdepan dengan PAS atau pun diserahkan kepada orang lain. Khabarnya untuk menentukan siapa calon dan bagaimana formula di Pasir Mas, Umno Kelantan menyerahkannya kepada presiden parti.

Ada perkhabaran Inchek Ibrahim Ali akan diberi laluan oleh Umno berdepan dengan PAS tetapi atas lambang Bebas. Kemungkinan ini tidak mudah menjadi realiti apabila akar umbi dalam Umno memprotes tindakan ini. Setengah ahli bersedia kalah dengan calon mereka sendiri daripada diserahkan kepada Ibrahim. Boikot senyap-senyap dari kalangan ahli Umno sekiranya Ibrahim diberikan laluan sudah pun berlaku di Pasir Mas sejak beberapa minggu lalu dan mula panas sejak semalam. Menurut pemerhati angan-angan Ibrahim untuk mendapat by dari Umno adalah tipis sekali.

Kerusi PAS yang belum selesai

Dari pihak PAS pula selain dari Ketua Muslimat Siti Zailah Yusuf yang akan dikirimkan ke Pasir Mas, bekas pegawai tinggi polis yang berasal dari Tendong Pasir Mas juga dikatakan antara individu yang cuba diserasikan dengan kawasan Pasir Mas. Khabarnya sesetengah pucuk pimpinan PAS di Kuala Lumpur berkenan benar dengan pegawai polis berkenaan yang pernah menjadi Ketua Polis Sabah.

Tetapi sedikit timbul masalah apabila pegawai tinggi polis berkenaan dikatakan terlalu lambat mengambil keputusan untuk menyertai PAS ini menyebabkan cadangan itu terpaksa dikaji semula. Sekiranya diukur dari segi latar belakang pegawai polis berkenaan dikira layak untuk menjadi calon PAS apa lagi kalau Umno memberi laluan kepada Ibrahim.

Dalam perkembangan lain PKR juga cuba mengintai peluang di Pasir Mas. Kerabat PAS menerusi Pakatan Rakyat ini sedia untuk memenuhi kekosongan di situ jika 'kemelut' menentukan calon di Pasir Mas berlaku. Tokoh yang boleh dikemukakan PKR ialah Ketua Cabang Pasir Mas, Dr Wan Suhaimi Wan Daud.

Khabarnya ada pihak-pihak tertentu merasakan logik sekiranya formula bagi mengatasi kemelut di Pasir Mas diserahkan kepada PKR sebagai mewakili Pakatan Rakyat. Wan Suhaimi bekas pimpinan Umno dan seorang pemimpin muda yang mesra alam dikatakan berkemampuan untuk berdepan dengan Ibrahim sekiranya Umno memberi laluan kepada bekas Ketua Bahagian Umno Pasir Mas itu. Beliau khabarnya mempunyai pengikut ramai di kalangan Umno Pasir Mas.

Di Bachok PAS juga masih buntu untuk memilih calonnya. Setakat ini ada tiga nama disebut-sebut Ariffin Mahmod seorang kontrektor, Adun Perupok Omar Mohamad atau pun Marzhub Shaari ketua Pemuda PAS Bachok. Khabarnya PAS Bachok sudah pun membuat penilaian akhir tetapi namanya belum diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Kelantan untuk disahkan. Boleh jadi juga nama lain akan menjadi pengganti kepada ketiga-tiga nama berkenaan.

Manakala di Jeli PAS juga masih mencari formula terbaik untuk mencari calon yang boleh menewaskan Mustapa Mohamed. Yang Dipertua PAS Jeli, Apandi Mohamad katanya sudah mengaku kalah dan ingin mencuba kerusai DUN atau sedia dirihatkan. Kalau bukan Apandi mungkin timbalannya yang juga Adun Air Lanas, Abdullah Yaacob akan dikirim untuk berdepan dengan Mustapa. Kerusi Air Lanas akan berpindah kepada Apandi.

Satu lagi nama juga disebut untuk diletak di parlimen Jeli ialah Ketua Pemuda PAS Tanah Merah (lupa nama), dikatakan namanya dicadangkan untuk berlawan dengan Mustapa sebagai latihan untuk belajar menyertai pilihan raya.

Kawasan yang juga kekok bagi  PAS untuk meletak dan belum memastikan calon ialah kerusi parlimen Gua Musang. Setakat ini ada dua nama disebut-sebut tetapi kesemuanya kurang menyakinkan. Antaranya nama Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Cikgu Rahim). Tetapi penghantaran Wan Rahim ke Gua Musang tidak begitu relevan. Mungkin PAS boleh memberi peluang kepada saudara baru PAS Sabree Shafei sebagai calon.

Lain-lain kawasan atau kerusi parlimen katanya PAS sudah pun hampir memuktamadkan calon masing-masing. Kerusi itu ialah Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Tumpat, Kubang Kerian, Rantau Panjang dan Kota Bharu.
[kb.kel.7:20 pm 05/04/13]

No comments: