Tuesday, April 16, 2013

Fikirlah Untuk Elakkan Kalah 5 - 0 di Pasir Puteh

RENUNGAN SUBUH                                                                                                          

Menjelang tengah hari ini Badan Perhubungan PAS Kelantan bermesyuarat untuk mensucikan nama-nama calon PAS seluruhnya sebelum ianya diumumkan malam esok. PAS menghadapi sedikit masalah dalam proses menamakan bakal-bakal calon kali ini. Ada beberapa keputusan tidak 'berlaga angin' dengan pengundi dan pimpinan peringkat kawasan.

Nama-nama yang lebih layak tenggelam terus dan tidak terpandang oleh jawatankuasa pemilih. Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Zulkefli Mamat yang mengakui dia hanya jadi tukang tulis, tidak tertulis nama-nama yang berkelayakan sebaliknya 'tertulis' nama lain yang 'ewek' dan boleh membawa kecelakaan.

Manakala Pengarah JPN Wan Nik Wan Yusuf pula seakan berfikir berat sebelah tanpa menimbangkan kelayakan calon dari semua sudut. Kenapa dikatakan demikian, kerana mereka berdualah orang pertama yang membuat laporan atau menyenarai pendekkan nama-nama bakal calon untuk diserahkan kepada Badan Perhubungan atau Jawatankuasa pemilihan calon.

Dalam perhatian saya di era Tokguru Nik Aziz inilah kali pertama PAS Kelantan menghadapi kerumitan untuk memilih calon. Pelek dan anih juga. Sepatutnya di zaman serba canggih dan parti banyak akses maklumat untuk memilih calon berwibawa dan boleh menang, keadaan jadi sebaliknya. Lagi pun PAS memerintah Kelantan sudah lebih 20 tahun, malu sangatlah kalau perkara-perkara begini berlaku. Tampak sangat PAS tidak profesional dan tidak bersistemetik.


Ada beberapa kawasan yang belum beres dan lendek sepenuhnya. Tindakan berani harus dilakukan pagi ini. Pagi ini adalah ruang terakhir untuk PAS menentukan apakah calon yang dipilih itu memberi suntikan kemenangan atau pun kekalahan. Yang penting diperhatikan ialah mengubah atau meminda mana-mana calon yang boleh membungakan kekalahan. Tidak dapat lari dua individu akan bertanggungjawab atau dipertanggungjawab atas apa-apa masalah yang berlaku selepas ini. Mereka ialah Wan Nik Wan Yusuf dan Zulkefli Mamat. Jika tidak mahu berubah dan masih insaf bahana dan cercaan yang pernah menimpa Wan Ismail Wan Jusoh tahun 2004 yang menjadi pencatur calon ketika itu akan menimpa ke atas pundak Zulkefili dan Wan Nik.

Kawasan yang bermasalah ialah Pasir Puteh. Pasir Puteh bakal menjadi gendang kekalahan untuk PAS Kelantan kalau calon yang kononnya sudah diputihkan diperingkat kawasan tidak ditukar ganti. Dengan apa yang berlaku hari ini tidak mustahil kesemua kelima-lima kerusi di Pasir Puteh akan rebah melentang. PAS akan mendapat telor di Pasir Puteh.

Pemilihan calon di kawasan ini ada sedikit tidak telus dan ia masih berakar umbi kepada soal puak atau kronisme. Laporan-laporan mengenai semua calon tidak sampai kepada pengetahuan Badan Perhubungan maupun Tokguru Nik Aziz sendiri sewajarnya. Laporan secara gelap lebih dipercayai daripada laporan berdepan oleh pimpinan peringkat kawasan. Pendekatan bermesyuarat secara terbuka tidak diamalkan. Protes dibuat oleh penghulu, pemimpin kawasan seakan tidak diedahkan. Semacam ada veto yang hendak digunakan di Pasir Puteh.

Walaupun calon-calon PAS termasuk di Pasir Puteh ini sudah diarah mengisi borang penamaan calon dan diarah mengambil gambar untuk poster calon (walaupun belum ada keputusan rasmi) namun masih ada masa untuk memperbaiki keadaan. Matahari belum naik di sebelah Barat. Mudah-mudahan semua akan cerah mata dan mengelakkan gendang kekalahan akan berbunyi di Pasir Puteh.

Tuntutan yang vokal di Pasir Puteh ialah agar tidak mengekalkan Nik Mazian Nik Mohamaed yang diletakkan bertanding dikerusi Parlimen. Majoriti yang mahu dan pemerhati politik melihat orang layak untuk diletakkan di kerusi Parlimen ialah Yuganu Yunus. Pembuangan nama Yuganus bukan atas dasar beliau tidak memapu membawa kemenangan tetapi kerana ada masalah personal lain yang tidak seharusnya dijadikan perkara tetek bengik.

Adalah pelik bin ajaib juga apabila Nik Mazian yang sebelum ini dilihat begitu zuhud, tawaduh dan ikhlas untuk berundur tiba-tiba menerima tawaran untuk menjadi calon Parlimen Pasir Puteh. Alasan selepas Dr Johari Mat menolak tawaran itu, Nik Mazian sepatutnya mencari candidate lain bukannya bersetuju namanya disenaraikan. Kenapa Nik Mazian tidak iklhas di dalam soal ini dan mengukur badan sendiri?

Tanpa mencadangkan Yuganus di mana-mana kerusi PAS telah menghina beliau. Yuganus ialah Timbalan Yang di Pertuan PAS kawasan. Seorang ahli PAS yang setia, rajin. Beliau juga merupakan aktivis. Janganlah kerana dia hanya berlawan merebut jawatan dengan Drs Zainuddin Awang Hamat maka dia dinafikan haknya. Siapa Drs Zainuddin Awang Hamat sehingga beliau semacam tidak boleh diusik? Apakah dia merupakan burung putih bersayap emas di Pasir Puteh?

Apa yang berlaku sekiranya tidak diperbetulkan ia boleh menjejaskan semangat ahli. Ahli PAS akan bercakap di masa depan dan menjadikan takdir yang menimpa Yuganus itu sebagai panduan. Mereka akan bersunggut, kalau pun kuat dan berjawatan di dalam parti belum tentu akan dipilih menjadi calon. Bagi saya penafian Yuganus ini satu tindakan surut ke belakang.

Kalau bayangan ini salah, sorry. Sepatutnya Zainuddin yang sudah berundur dengan ikhlas dan berjanji untuk melihat kemenangan besar, turut melihat akan kecacatan ini. Beliau perlu melupai apa yang berlaku. Implikasi sekiranya Yuganus terus dilupakan, orang PAS di Pasir Puteh akan melihat bahawa Zainuddin tidak boleh menerima kekalahan dan berdendam dengan Yuganu. Dan dalam soal ini sesiapa juga tidak hanya perlu mengambil hati Zainuddin sahaja, tetapi Yuganus saja. Dendam dan isihati tidak sepatutnya wujud dalam jemaah bernama Islam. Bukan kita semua mahukan kain kafan kita diikat kemas semasa pengusungan ke kuburan dan dibuka semula semasa di linag lahad?

Demikian juga untuk kerusi DUN Selising. Saiful Baharin tidak boleh menganggap beliau adalah calon terbaik untuk Selising apabila Tokguru Nik Aziz mengumumkannya sebagai calon. Mantik dan juga sindiran politik Tokguru Nik Aziz harus dimengertikan. Beliau tidak akan menolak sesuatu apa yang tidak diinginnya secara menguis, tetapi dia akan menipu biarlah angin yang menganjakkan. Kena faham? Pengumuman Saiful sebagai calon itu satu pembelaan besar Tokguru yang sepatutnya dibalas oleh Saiful dengan memohon kepada Tokguru berundur dan sedia beri laluan kepada orang lain sebagai membalas jasa kebaikan dan pembelaan Tokguru? Selama mana dan sejauh mana lagi kita hendak memahami ikatan serban dan jahitan jubah tokguru?

Semoleknya Saiful bersikap gentlemen dan membuat teladan terbaik. Beliau tidak harus bertanding dan mohon kepada Tokguru untuk berundur. Saiful kena sedar masalah dan gelombang yang berlaku di Selising hari ini kalau beliau terus menjadi calon. Tindakan yang diambil oleh Setiausaha PAS Danir Timur Ibrahim Ismail, 63 untuk bertanding calon bebas adalah pukulan besar kepada Saiful. Beliau harus sedar tindakan itu adalah tentangan untuknya. Saifu kena fikirkan nasib PAS bukan nasi dirinya.

Begitu juga di Limbongan. Perletakan ketua pemuda kononnya hanya berasaskan kepada pendidikan bukan satu tindakan yang bijak. PAS harus melihat wibawa atau pun keistimewaan lain lagi sebelum memikirkan untuk meletakkan Nazlan di sini. Difahamkan Nazlan mengatasi calon lain, sebelum ini, Zarir Yaacob dan Mat Yudin kerana pendidikan. Nazlan mempunyai pendidikan agama. Pendidikan sahaja tidak mencukupi, tetapi pengalaman dan hubungan dengan masyarakat dan rakyat lebih penting.

Lagi pun Nazlan baru berapa hari aktif di dalam PAS? Dia masih muda dan mentah untuk mengenali politik dalam erti kata sebenarnya. Bumi Pasir Puteh pun belum rata beliau jejak. Tidak terlewat kalau beliau dicicirkan dari senarai calon. Masa dan peluangnya masih ada. Beri peluang kepadanya membentuk diri dalam kloni politik dan membina syaksiah diri sebagai seorang ahli politik. Sekiranya dia akalah di awal game ia memberi kesan buruk juga buat dirinya. Rasa ikhlas juga harus timbul di sudut Nazlan sendiri untuk mengalah dan bukan menjadi pandir yang juga bernafsu besar.

Alasan kouta pemuda? Berapa banyak PAS Kelantan hendak mengtengahkan pemuda? Bukan tidak boleh tetapi apakah perlu ianya 3/4 daripada 38 kerusi untuk PAS. Hari ini kalau dihitung pemuda yang disenaraikan sebagai calon terlalu ramai dan ini memecah tradisi secara ganjil. Antara pemuda yang disearaikan menjadi calon ialah; Ahmad Baihayaqi Atikullah (Pasir Tumbuh sudah dua penggal), Abdul Latif Abdul Rahman (Mengkebang), Rozi Mohamad (Tendong), Marzub Shaari (Bachok), Dr Rosli Akhlani (Bunut Payung), Zamaksari (Bukit Tuku), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Rantau Panjang) dan khabarnya pengunting akhbar di pejabat MB Fadzli Ashaari di Pasir Mas.

Mungkin PAS Pasir Puteh ada kriteria dan keyakinan sendiri kenapa mereka memilih Nazlan dan mengekalkan Nik Mazian serta Saiful Baharin. Itu adalah hak mereka. Tetap hak itu dalam konteks politik perlu dikongsi dan boleh dikongsi dengan masyarakat umum. Bagi pemerhati seluruhnya apa yang berlaku itu tidak memberi satu keadaan yang kondusif untuk PAS Pasir Puteh. Apakah keadaan ini tetap juga diteruskan terserah kepada PAS Pasir Puteh.

Cuma saya berani mengatakan sekali lagi dengan memerhatikan nama-nama calon Umno di Pasir Puteh yang disenaraikan ia boleh menghuruharakan PAS Pasir Puteh dan menyebabkan kerusi PAS akan terlepas sekiranya anajan tidak dilakukan. Kalau tiga kerusi tidak dapat dipertahankan, Selising, Limbongan dan Parlimen, maka dua lagi kerusi Gaal dan Semerak juga akan hanyut. Limbongan sangat penting untuk dipertahankan kerana ia umpama empulur kepada parlimen Pasir Puteh dengan kedudukannya di tengah-tengah.

Apa lagi kalau kekuatan dan kesungguhan Umno itu, disokong pula oleh rasa tidak puas hati penyokong dan ahli kepada senarai calon dikemukakan PAS, maka harapan Umno untuk menelan kelima-lima kerusi itu semakin membunga. Jadi adalah diharap mesyuarat pensucian calon hari ini hendaklah memberi tumpuan khas kepada masalah di Pasir Puteh di samping sedikit di Machang, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Catatan khas untuk Zulkefli Mamat, di Pulai Chondong untuk mengelakkan pertempuran di antara kumpulannya dengan kumpulan bakal calon yang 'tidak jadi' Sanusi Othman, elok dicari calon alternatif. Orang paling layak ialah timbalan YDP Ustaz Hamzah. Dengan mengambil Hamzah kedua-dua pihak akan berputih mata tetapi rasa dendam mendendami antara satu sama lain tidak ada lagi. Apapun dan di mana kerusi sekali pun hatta di Gunung Stong, Zulkefli tidak boleh dan perlu bertanding lagi kerana anda sudah menjadi liabiliti kepada pasrti. [wm.kl.9:14 am 16/04/13]

No comments: