Malam tadi semasa keluar minum dengan seorang teman (yang insya-Allah akan bertanding dalam pilihan raya akan datang) saya terserempak dengan salah seorang Jeneral (B) askar yang baru menyertai PKR. Bersamanya tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menjadi penggerak acara Sumpah Pemuda yang digerakkan oleh bekas ketua AMK yang kini sudah menjadi usang dan sedang memakan hati berulam jantung dalam Umno.
Razaleigh: Ada undi penentu. |
"Maksudnya dalam PKR atau pun keseluruhan negara?" tanya saya inginkan kepastian dari sisi mana yang diingini.
"Seluruh negara, kedudukan terkini?" katanya menjelaskan isi maksud persoalannya. Saya melihat kepada Jeneral yang baru berkubang dalam politik itu. Saya tidak mahu dia terkejut dengan jawaban saya yang boleh menjungkitkan punggungnya. Semangatnya untuk menumbangkan UBN jangan pula terjejas dengan jawaban saya. Saya pula suka berterus terang walaupun cara itu tidak disenangi. Bagi saya berterus terang lebih baik dari segala-galanya.
"Saya masih meletakkan kerusi yang akan diperolehi Pakatan Rakyat sekitar 90 hingga 100 kerusi sahaja. Maksudnya dapat mengekalkan kerusi yang diperolehi dalam pilihan raya dengan penambahan dua tiga kerusi. Situasi ini bermakna Pakatan Rakyat memerlukan 25 atau 35 kerusi tambahan untuk menjadi pemerintah. Kalau 83 dicampur 25 ini bermakna 108 kerusi. Jadi sebanyak 20 kerusi lagi diperlukan untuk jadi 128, kerusi itu datangnya dari Sabah dan Sarawak," jelas dan hurai saya agak panjang lebar. Matematik itu sangat mudah untuk difahami.
"Macam mana di Sabah dan Sarawak, boleh ke?" Tanya pemuda itu. Dua lagi anak muda yang bersama di meja hanya mendengar dengan teliti dan begitu juga dengan rakan saya. Banyak mengunyah apa yang saya cerakinkan.
"Kondisi di Sabah kini agar berubah sedikit ekoran meletusnya tragedi pencerobohan Lahad Datu. Kalau dulu saya meletakkan 10 kerusi akan diperolehi, tetapi kini untuk mendapat angka itu sakit sedikit. Apabila UBN telah mengistyharkan 10 kawasan sebagai kawasan keselamatan khas semua kerusi parlimen yang terdapat di situ (7) akan menjadi milik mereka secara automatik. Begitu juga 15 kerusi state..."
"Apabila ia dijadikan kawasan keselamatan khas, maka Pakatan Rakyat tidak dapat menjalankan kegiatan kempen secara terbuka dan luas. Ia akan disekat dengan peraturan yang ketat. Sementara UBN boleh bergerak bebas atas nama aktiviti kerajaan dan sebagainya," jelas saya lagi.
"Begitu juga dengan rakyat Filipina yang mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sudah kecewa dengan UBN dijangka akan mengundi Pakatan Rakyat. Tetapi setelah diadakan sekatan itu, mereka tidak akan dapat mengundi lagi. Kebanyakan mereka sudah dihalau pulang ke negeri asal mereka secara berperingkat", sambung saya lagi berhujah.
Jadi, sambung saya.. kerusi yang mulanya diperkirakan akan diperolehi dari Sabah akan hilang satu demi satu. Perkembangan hari ini saya berani mengatakan Pakatan mungkin memperolehi hanya lima atau paling tinggi tujuh kerusi saja di Sabah.
Pemuda itu terdiam sejenak termasuk Jeneral askar itu yang banyak mendengar. Jawaban dan penjelasan saya itu menganggui emosinya. Keyakinannya juga mungkin berubah. Selepas itu dia bertanya saya mengenai Sarawak pula.
Saya menjelaskan di Sarawak keadaan tidak banyak berubah. Sejak awal lagi saya meletakkan sasaran Pakatan Rakyat akan menang antara lima hingga tujuh kerusi sahaja. Yang menyumbang kerusi itu hanya dari DAP. Sedangkan Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurang 10 kerusi di Sarawak. Alasan saya mudah, situasi dan gelora politik di Sarawak tidak seperti di Sabah.
Angin perubahan dan arus hendak tukar pemerintah politik di Sabah belum merebak ke seluruh Sarawak. Faktor pentingnya ialah kerana di Sabah tiada pemberani yang cuba mengolahkan kebangkitan rakyat. Tokoh-tokoh Melayu Islam Sabah masih lagi 'bersetia khurafat' dengan Taib Mahmud sambil mengharap mereka akan diberikan jawatan Ketua Menteri Sarawak. Mereka sanggup menunggu peralihan kerusi dari Taib kepada mereka sampai punggung berakar seperti pohon jejawi.
Wajah anak muda itu sekali lagi menjadi keruh dengan jawaban telus dari saya itu. Jeneral berkenaan juga menjadi lebih diam. Beberapa saat dia seakan merenung ke dalam dirinya.
"Macam mana pula dengan sokongan orang Melayu ke seluruhnya, bang?" dia mengalih topik untuk melihat kepada politik orang Melayu. Pertanyaan ini menarik dan memberikan saya peluang membuat konklusi kepada persoalan berhubung jaya atau gagal Pakatan Rakyat untuk rampas Malaysia.
"Dalam perhatian saya orang Melayu keseluruhnya masih menyokong BN, khasnya Umno. Kedudukan atau prestij kalau boleh saya sebut kira-kira 62 hingga 65 peratuas orang Melayu masih setia dengan Umno. Ini bermakna sekitar 38 atau 35 peratus menyokong Pakatan Rakyat. Jadi dengan angka ini ertinya Pakatan Rakyat hanya boleh merampas paling tinggi 40 kerusi Melayu daripada jumlah semuaaya 150 kerusi.
"Kita andailah dari 42 kerusi Cina berjaya dirampas oleh DAP secara mutlak 42 kerusi manakala kerusi campuran sebanyak 30 disecara mutlak dirampas oleh Pakatan Rakyat dan kerusi Melayu diperolehi 40 kerusi, ia akan menjadi 40 + 42 + 30 = 112. Jumlah ini belum cukup untuk PR menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah 113 kerusi," ujar saya.
Afdalnya kata saya dengan situasi dan kondisi itu Pakatan Rakyat perlu menambahkan antara 3 hingga 5 peratus lagi undi Melayu bagi memperolehi sekurang-kurangnya lima kerusi lagi bagi mengenapkan 112 atau lebih untuk membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan secara mudah.
Anak muda berkenaan terdiam sejenak kemudian mengangguk-angguk seolah-olah faham dengan apa yang saya jelaskan. Lantas beliau bertanya, bagai mana strategi untuk menambah peratus berkenaan. "Apa caranya yang abang fikir?" Tekan beliau serius matanya dicerlung ke wajah saya.
Persoalan itu mencabar minda saya. Dalam pada itu anak muda berkenaan mengemukakan cadangan dan bertanya siapakah tokoh yang boleh dibawa ke tengah masyarakat untuk meraih undi Melayu sebagai tambahan. Cadangan itu baik tetapi saya sendiri tidak nampak siapakah mereka buat masa ini.
Bekas pegawai kerajaan yang sudah bersara tidak mudah untuk dijadikan alat politik kepada mana-mana pihak apa lagi Pakatan Rakyat. Mereka lebih senang dengan kedudukan mereka hari ini bersama anak dan keluarga di samping memakan wang persaraan. Bagi mereka soal bangsa dan negara boleh diurus oleh orang lain. Perkhidmatan mereka beberapa tahun sebelum ini sudah cukup sebagai sumbangan mereka kepada negara, walaupun kemudahan pencen dan sebagainya mereka mahu diberikan sampai mati dan diwarisi anak cucu tujuh keturunan.
Agak sukar untuk mencari ikhtiar bagaimana untuk tambahkan peratus Melayu itu. Pemikiran dan sikap orang Melayu kini seakan sudah dikunci oleh Umno menerusi berbagai isu berkaitan bangsa dan agama yang dimainkan. Isu-isu kalimah Allah, kedudukan agama Islam, ancaman Kristian, soal patriotisme atau tidak serta isu-isu berbentuk provokasi sekiranya Pakatan Rakyat menang negara akan jadi huruhara, pemerintah akan bertukar tangan kepada orang kafir dan sebagainya, dimakan oleh Melayu yang akalnya takah tujuh dan mereka (Melayu) yang tidak mendapat akses maklumat dari media bebas.
Saya menyebut salah satu cara bagi mengatasi kekurangan ini Pakatan Rakyat kena tumpukan kepada pengundi muda yang pertama kali akan mengundi. Bilangan mereka lumayan juga kira-kira 3 juta. Andainya 2 juta pengundi muda mengambil bahagian ia boleh mengubah suasana. Mereka ini harus didekati, diberi kefahaman sebaik mungkin. Sementara pemikiran mereka masih belum tepu dengan pemberian wang poket pilihan raya, mereka boleh diajak membantu ke arah menukar kerajaan secara rasional dan bertanggungjawab.
Selain entiti itu yang boleh membantu memberi undi cukup kepada Pakatan Rakyat, ialah seorang tokoh atau ahli politik bernama Tengku Razaleigh Hamzah. Kehebatan dan pengaruh Tengku Razaleigh tidak boleh dikesampingan. Beliau mempunyai kekuatan dan penyokong tersendiri. Pengaruhnya ada di seluruh negara. Kalau pun beliau tidak dapat memberi sumbangan langsung dalam bentuk kerusi tetapi penyokongnya boleh memenangkan kerusi-kerusi yang margin Melayu.
Ahli Umno yang ikhlas dalam perjuangan bersama Tengku Razaleigh kerana mereka merasakan beliau orang yang ikhlas dalam perjuangan. Mereka ini setia dan sedia menuruti apa yang Tengku arahkan. Jadi Tengku Razaleigh boleh dijadikan pemanggil untuk meraih sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat. Jumlah yang dikehendaki itu sebanyak 5 peratus boleh diperolehi daripadanya.
Persoalannya macam mana hendak pastikan Tengku Razaleigh akan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat? Apakah beliau bersetuju begitu saja tanpa dikenakan apa-apa bayaran ufti? Tengku Razaleigh juga ada agendanya tersendiri dan seorang yang berprinsip. Nah, sekarang ini terpulang maklumkan kepada Pakatan Rakyat, bagaimana untuk mendapat sokongan dan undi Melayu yang berada di tangan Tengku Razaleigh Hamzah itu?
Perundingan boleh dijalankan dan kalau kena gaya, dan lagu rasanya Tengku Razaleigh tidak akan 'kupik' untuk menghulurkan bantuan dan sokongan. Mekanismenya macam mana? Ini yang perlu diwacanakan. Bagi saya, saya cukup yakin Tengku Razaleigh ada kekuatan tersendiri untuk memenangkan Pakatan Rakyat dan begitu juga sebaliknya mengalahkan Barisan Nasional. Jadi Tengku Razaleigh adalah pengadil yang boleh diajak berunding. [wm.kl.11:14 am 02/04/13]
9 comments:
Tuan
Saya berkeyakinan penuh yang YTM Tengku Razaleigh akan bersama-sama dengan PR apabila parlimen terbubar nanti, InsyaAllah.
Salam,
Bagaimana jika kita syurkan Tengku Razaligh tubuh satu group jadi calon bebas ? Dengar cite macam lawak je ! hu hu hu tapi tak mustahil kan ? Pak Karamu mimpi agak nye !
ambo harap(doa) MSO silap mengenai 62 hingga 65 peratuas orang Melayu masih bersama UMNO. ambo lebih suka mengatakan(hipotesis) 10-25 % melayu yang pernah mengundi UMNO dalam PRU 12 akan mengundi pakatan rakyat pada PRU 13 (pengundi atas pagar,pengundi tektik, sentimen dan harapan)(tidak termasuk pegundi hantu dan manipulasi SPR). kerana situasi sekarang lebih baik dari PRU 12 dari segi isu, sebaran maklumat, manifesto PR dan yang paling utama pemaufakatan PR semakin kukuh (dapat bertolak ansur atas isu berbangkit yg tidak dipersetujui bersama) ini juga dapat menambah peratus undi PR dari kaum lain.
Yang penting sekarang kekalkan momentum perubahan dengan lebih OPTIMIS(kemenangan PR) dalam sebaran maklumat dan REALISTIK dalam dan janji manifesto PR(sudah dilakukan oleh PR). ini untuk menarik/mempengaruhi pengundi melayu (pengundi atas pagar,pengundi tektik, sentimen dan harapan) yang bukan "Ultra Melayu".
Bagi saya Tengku Razaleigh ada mempunyai pengaruh kepada "Ultra Melayu" dalam UMNO tetapi Tengku Razaleigh terlalu playsafe dalam politik sehingga menenggelamkan prinsip kerana dia tahu prinsip yang dibawa tidak boleh berkembang dalam UMNO(Kepincangan dan Dipenuhi Ultra Bodek-kem mahadir) dan ia lebih bersifat individu. jika Tengku Razaleigh tidak menyatakan pendirian sebelum PRU-13, bagi ambo dia sudah tidak berminat untuk memperjuangkan prinsipnya tetapi hanya berpolitik(dengan maaf jika Tengku Razaleigh sudah ada niat/tekad/tektik untuk menegakkan prinsip sebelum@selepas PRU13). Harap Tengku Razaleigh dapat bantu PR sebelum PRU
mengenai Chegu Bard, ambo sedikit kecewa. pada ambo Chegu Bard seperti KJ versi PR. Chegu Bard sudah menonjol di peringkat nasional(ikon anak muda) dan amat sesuai untuk kerusi kelabu kawasan bandar. lebih ramai yg kecewa daripada yg "gembira".
Saya melihat selain daripada Kelantan, UMNO akan terus mengungguli DUN2 pengundi melayu melebihi 75%. Bila saya melihat dalam daftar pemilih terbaru, pengundi wanita melayu semakin bertambah hasil kerja kuat wanita UMNO. Pengundi wanita melayu adalah penyumbang terbesar kepada kemenangan UMNO dengan sokongan kepada UMNO melebihi 80%. Sokongan pengundi lelaki melayu kepada PR dan BN adalah setara.
Cuma rakyat melayu usia pertengahan (terutama dari Kelantan) masih dibelai oleh kenangan bersama YTM Tengku Razali dan masih mengharap beliau menjadi Perdana Menteri.
Kalangan pengundi muda langsung tidak kenal akan beliau, kecuali mereka yang suka membaca kisah kisah pahit maung struggle S46 dan UMNO.
Walaupun beliau berpengalaman luas, tapi beliau sudah lama off dari politik, dan pengaruh sudah luntur. Biarkan saja YTM Tengku Razali dengan status negarawannya sekarang, kembali aktif cumalah akan merosakkan status tersebut.
Salam Tuan MSO,,
Bukan jumlah kerusi parlimen 222 ker?? Maknanya PR perlu 112 utk dapat majoriti mudah 2 kerusi, jika PR dpt 113, BN= 109,, cukup utk perintah negara dgn beza 4 kerusi,,
Salam,
Tapi Tengku Razaliegh pernah gagal menggugat UBN di peringkat nasional hingga sanggup membubarkan PS46 dan masuk balik UMNO.
Percubaannya menyanggah Mahathir Mahazalim nyata gagal.
Majoriti mudah 112 kerusi (40+42+30) parlimen. YES PR bisa pak !!
sayangnya golongan muda tak mengenali YM Tengku Razaleigh. cuba kita letakkan semua sumbangan beliau semasa menjadi menteri kewangan dan Dr Mahathir semasa jd perdana menteri. dari penubuhan petronas sampai la bank bumiputra. fleet gorup yg menjadikan umno kaya raya dan mcm2 lagi spt Pernas PNB, bank nasional, pengambilalihan Guthrie dalam the dawn raid...
bandingkan dengan dr M punya dasar penswastaan (bnyk saham dapat kat kroni), proton (gagal di peringkat antarabangsa), MSC yg perkembangannya tak selaju negara lain dan mcm2 projek pembangunan yg kosnya 2 kali ganda dari kos asal. tu lah dr mahathir. satu-satunya projek dr m yg boleh kita rasai skrg ialah pelaburan asing atau FDI. tu pun bukan lah dia yg buat secara unik melainkan dia tiru apa yg telah pun dijalankan di taiwan, korea, singapore dan hong kong.
ayuh anak muda, jgn kalian buta sejarah....kpd graduan uitm, pengasasnya mara ialah tun gahfar baba, bukan dr m tau....wallahualam
Post a Comment