Tuesday, March 15, 2022

MB Johor, lain dicadang lain dilantik

SUSUPAN MALAM

Onn Hafiz yang tidak diumumkan parti
tetapi dilantik jadi MB.
ADUN Benut Hasni Mohamad tidak diberi warkah tauliah untuk menjadi Menteri Besar Johor.
Khabarnya 38 SD telah ditanda tangani oleh Adun Umno Johor menyatakan sokongan kepada bekas MB itu dilantik menjadi MB sekali lagi selepas UBN menang bergaya mendapat 40 kerusi, tetapi SD itu tidak bernilai langsung. 

Yang bernasib baik menjadi MB ialah Adun Machap, Onn Hafiz Ghazi. Hasni setelah menyedari beliau tidak dilantik jadi MB membuat kenyataan, kepimpinan negeri Johor perlu diberikan kepada orang muda. Usia Onn Hafiz 44 tahun. Kenapa Hasni tidak berkata demikian terlebih awal, sebelum hari pengudnian misalnya? Ini menjelaskan perubahan berlaku dengan tiba-tiba diluar dugaannya. 

Dan partinya (Umno) pula tidak dapat berbuat apa-apa atas kegagalannya. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh cakap besar tetapi tidak laku jauh digeruni. 

Semasa kempen pilihan raya Umno mengisytiharkan Hasni sebagai calon MB. Gambar Hasni dijadikan poster boy dalam pilihan raya itu. Nama Onn Hafiz dan gambarnya tidak berbangkit langsung.  

Barang kali semua orang sudah faham kenapa "insiden" mengecewakan setengah orang ini berlaku. Soal perlantikan MB adalah atas perkenaan dan kuasa sultan. Perkara ini ada dimaktubkan dalam perlembagaan tubuh kerajaan Johor. Ianya sangat jelas dan nyata. Tidak ada mana-mana kuasa dan pihak berani menyanggahnya kerana penghormatan kepada institusi raja-raja itu sungguh luhur.

Penyanggahan secara simbolik itu hanya boleh dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor dengan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Onn Hafiz. Tetapi apakah wakil rakyat Umno ada keberanian itu?  Dan tidaklah kalau usul undi tidak percaya dilakukan terhadap MB menjadi pilihan sultan ia akan dianggap sebagai derhaka?

Menterjemahkan kuasa perlembagaan tubuh itu, parti yang mendapat majoriti hanya berhak untuk mencadangkan nama untuk dilantik jadi MB, kata putus dan muktamadnya terletak kepada Sultan atau Raja. Amalan ini berlaku turun temurun sejak negara ini menerima konsep kerajaan demokrasi raja berpelembagaan. Peraturan ini digubal dahulu tentu ada muslihat tertentu.  

Soalnya apakah prosuder ini masih relevan dan tepat mengikut semangat demokrasi sebenarnya? Apakah sesudah lebih setengah abad prosuder itu masih terbaik? Kejadian yang berlaku di Johor membabitkan Hasni itu bukan pertama kali. Ia pernah berlaku dibeberapa negeri lain. Misalnya di Terengganu, Perlis, Selangor dan negeri lain, bila mana nama Adun dicadangkan parti tetapi tidak diterima oleh Istana. Menyebabkan MB dicadangkan parti kantoi.

Istana mempunyai wewenang dalam hal ini. 

Persoalannya apakah amalan itu menjadikan sistem politik kita berada ditempat sepatutnya dan ia memberi kesan yang baik kepada sistem yang dibanggakan ini? Apakah ia juga menepati falsafah demokrasi itu dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat? Disamping itu apakah apabila berlaku insiden seperti di Johor itu ia tidak mencemarkan nama baik institusi raja berpelembagaan. Tidak timbul persepsi buruk kepada raja dan sultan?

Mengenai hal ini saya lihat ada percanggahan atau pertindihan kuasa yang tidak wajar terus diamalkan. Apa yang berlaku seperti di Johor itu pelik dan pincang serta boleh mencemarkan pihak-pihak tertentu. Justeru perlu ada pembaikian atau pembentulan agar ia tidak menampakkan kepincangan dan kecacatan politik kita dalam subjek itu. Bahkan prosuder pelantikan perdana menteri di peringkat Persekutuan itu juga serupa.

Sepatutnya tidak ada mana-mana pihak mengagalkan kehendak parti, apabila parti menamakan mana-mana Adunnya untuk dilantik menjadi Menteri Besar ia patut disetujui tanpa apa-apa bantahan. Kecualilah nama dilantik itu ada masalah. 

Kesan apabila cadangan parti itu ditolak bermakna parti itu tidak mempunyai hak atau pun keistimewaan langsung dalam menamakan MB pilihan mereka. Implikasi ekoran itu parti itu juga dipandang serong oleh rakyat kerana mereka telah menjanjikan seseorang untuk dilantik menjadi MB, tetapi bila tiba masanya ia tidak jadi realiti.

Sesungguhnya "pertindihan" dan kecacatan ini perlu diperbaiki. Ia tidak perlu dibiarkan atas nama satu tradisi dan keluhuran. Ada dua kaedah atau cara untuk mengatasi perkara ini. Kalau tidak memecat atau memansuhkan kuasa melantik MB itu daripada sultan, buat peraturan atau gubal syarat baharu; mana-mana-mana parti politik perlu mengemukakan nama-nama calon MB untuk perkenan sultan atau raja sebelum pengundian berlangsung.

Dan raja-raja atau sultan pula perlu menyatakan persetujuan atau menolak mana-mana calon dikemukakan itu. Keadaan ini bagi menyenangkan parti dan tidak mempermainkan rakyat serta mengelakkan demokrasi kita nampak pincang dan cacat. 

Dengan cara itu juga tidak berlaku atau terjadi kekecewaan seperti mana dialami Umno di Johor itu. Mereka mahukan Hasni tetapi yang diberi perkenan Onn Hafiz. Orang lain dicadang orang lain pula dilantik. 

Atau pun peraturan boleh juga dibuat, dengan perlembagaan tubuh negeri-negeri dan Persekutuan yang memberi kuasa kepada sultan dan raja-raja dalam soal pelantikan MB dan perdana menteri itu dimansuh atau dicabut. Raja atau Sultan hanya berhak dan berkuasa untuk memansyurkan sahaja menteri besar atau perdana menteri yang sudah dipilih. Mereka tidak perlu diberi hak untuk memilih dan menentukan sesiapa sesudah diberikan oleh parti. Mereka tidak perlu diberi kuasa dan hak mengatasi parti politik.  

Setelah lebih setengah abad kita mengamalkan sistem demokrasi sudah wajar untuk kita membuat pembaikan terhadap sistem perlantikan menteri besar ataupun perdana menteri. Kita tidak perlu bermegah dan berbangga dengan sistem yang kita rasakan penuh wisdom tetapi sebenarnya pincang dan menimbulkan ketidakpuasan hati.  [wm.kl.8:29 pm 15/03/2022].


No comments: