Tuesday, November 18, 2025

Pilihan raya Sabah paling gila (Bahagian Pertama)

ANALISA PIRANE SABAH 17

SERAMAI 596 orng telah mendafftar diri dan disah untuk merebut 73 kerusi DUN Sabah dalam pilihan raya negeri ke-17 yang akan berlangsung 29 November nanti. Daripada jumlah itu seramai 524 mewakili 22 buah parti politik manakala 74 orang bertanding sebagai calon bebas.

Jumlah itu kombinasi jantina dan juga usia. Kira kira lebih 60 peratus terdiri daripada veteran dan pemimpin parti manakala selebih golongan muda termasuk gen Z, yang berusia bawah 20 tahun.

Pecahan dari parti politik bertanding menurut kerusi, parti Warisan terbanyak dengan meletakkan calon disemua 73 kerusi, diikuti parti PIS 72, GRS 55, Star 46, BN 45, PN 42, KDM 40, UPKO 25, PH 22 kerusi dan lain lain. Seramai 74 bertanding atas bebas.

Warisan mendahului parti-parti lain dari segi jumlah kerusi ditandingi, ini menggambarkan parti itu tidak bertindih atau mengadakan persefahaman dengan mana mana parti, dan yakin untuk mencatat kemenangan besar. Warisan bertanding secara gentlemen.

Sikap Warisan ini menampakkan ia yakin akan menguasai Sabah buat kali kedua.

GRS (yang dibentuk beberapa buah parti local, PBS, USNO, PHRS, LDP dan PCS) parti yang memerintah kini, melepas 18 kerusi dimana ia memberi laluan atau kerjasama dengan PH. Bagaimana pun dengan BN - GRS berlawan antara satu sama lain. BN parti yang pernah menjadi kerajaan sebelum ini, membentuk kerjasama dengan PH dibeberapa kerusi.

Sebuah lagi parti yang berdiri atas kaki sendiri ialah PIS yang bertangding di 72 kerusi. PIS merupakan parti nasionlis Sabah. Manakala KDM yang sebelum ini bersama Warisan bertanding 40 kerusi, parti ini dominasi kaum Kadazan, Dusun dan Murut pimpinan bekas timbalan presiden Warisan Peter Anthony.

Selain Warisan dan PIS parti lain kurang yakin dapat menguasai Sabah dan bersedia untuk berkolaborasai dengan mana mana parti untuk menubuhkan kerajaan. Dalam hal ini dilihat GRS sedia bentuk kerajaan bersama BN dan PH. Manakala KDM, UPKO juga mengalami situasi yang sama, mereka mahu menumpang mana-mana komponen untuk menyertai kerajaan kerana menyedari tidak dapat berdiri sendiri.

Dilihat kepada kecenderongan atau tendensi, parti Star pimpinan Jeferrey Ketingan lebih menguasai etnik Cina, manakala KDM kepada etnik Kadzan, Dusun dan Murut, parti bersemangat etnik ini menanti untuk menjadi “nasi tambah” kepada mana mana parti dominasi seperti Warisan, PIS atau BN bagi membentuk kerajaan. Begitupun peranan parti ini penting menjadi pengenap. 

Manakala parti BN, PN dan PH pula lebih dilihat parti luar walaupun para pemimpinnya terdiri daripada anak Sabah. Tetapi kerana penubuhannya di luar Sabah, maka ia dianggap sebagai parti pendatang. 

Bagi sesetengah masyarakat Sabah kehadiran Pas, PKR, Umno, sering dicurigai dan dianggap sebagai menganggu atau untuk mengajar mereka mentadbir negeri. Sentimen dan sikap skeptikal ini wujud sejak lama dahulu.

Mereka yang kuat semangat kenegerian (provincial) akan menolak parti ini. Bagaimana generasi muda berumur dibawah 30 tahun tidak lagi merasai sentimen ini atau sentimen ini tidak menebal dalam diri mereka, sebaliknya mereka melihat kehadiran parti parti itu adalah kewajiban bersama dalam politik Malaysia, dan wajar apabila mereka meyedari kemampuan anak Sabah pasca kemerdekaan yang mimpin lampau gagal menyatu dan memakmurkan Sabah.

Pertentangan atau perlawanan merebut kuasa jelas berlaku diantara bumiputera Islam Sabah dengan bumiputera bukan Islam dan ethnik China di kawan bandar. Walaupun konflit ini tidak nyata tetapi itu hakikat yang berlaku. Bumiputera Islam Sabah mendokong BN atau Umno dan Warisan. BN ketika ini dipimpinan oleh Bung Mokhtar Raden bersama bekas Ketua Menteri Sabah Salleh Said Kuak dan lain-lain.

Melihat pirane Sabah ke-17 ini ia sebagai sebuah pesta demokrasi gila, disamping menampakkan politik Sabah terbuka, tanpa mempeduli dan menghiraukan soal prinsip dan moral. Orang Sabah menerima pilihan raya sebagai satu pesta walaupun tujuannya untuk memilih pemimpin bagi mentadbir negeri. Urang Sabah juga tidak pelik dan aneh dengan kejadian lompat melopmpat parti, bagi mereka ia seperti keluar masuk jamban saja.

Sikap inilah mungkin menyebabkan pencapaian pembangunan di Sabah lembam, ketinggalan ketimbang negeri bersempadanan dengannya, Sarawak.

Betapa rencamnya pilihan raya kali ini, apabila ia dilihat seperti rujuk jawa atau pesembur. Perlawanan bukan lagi berdasarkan idealisme atau gagasan perjuangan, di antara parti dengan parti, tetapi ia seperti main-main dan sebuah seloka. Betapa tidak, ada suami isteri ikut sama bertanding, adik beradik berlawan di antara satu sama lain, ayah dan anak bertempur mempertahankan maruah politik masing-masing.

Begitu juga semangat orang lama atau lagenda parti terus dimain dan dibangkit bagi dijadikan model dan aset politik. Misalnya legasi Fuad Stephens, Musa Aman, Sakaran Dandai atau Said Keruak masih dijaja dan dijual.

Calon-calon yang digugurkan dari bertanding, mendaftar diri sebagai calon bebas untuk mempertahankan kedudukan mereka tanpa rasa bersalah. Manakala ada yang dulu mewakil parti sekian sekain kali ini bertindak melawan dan menentang parti yang mendokongnnya dahulu. Situasi ini semua menunjukkan politik Sabah tidak ada prinsip atau integriti. 

Kehadiran begitu ramai calon bebas, 74 orang, juga menjadikan pilihan raya tersebut sebuah pasar malam yang boleh didatangi sesiapa untuk menjual barangan mereka. Mereka ini bukan sangat mengharap kemenangan, atau barangan mereka laku, tetapi sekadar memariahkan pilihan raya semata. Pilihan raya itu sebagai wadah untuk cuci mata di senja hari semata. Pilihan raya buat mereka sebahagian budaya amalan datuk nenek moyang mereka.  Bersambung.[wm.kl.9:39 am 18/11/2025]

Saturday, October 25, 2025

Selamat tiba Donald Trump

SUSUPAN PAGI

SAAT ini negara kita menjadi perhatian dunia bersempena dengan sidang Kemuncak Asean ke-47 yang akan bermula esok. Perhatian itu menjadi lebih besar ketika Malaysia memegang kepengerusian Asean, sidang itu akan turut menjadi gelangang untuk menghimpun para pemimpin dunia terkemuka termasuk dari Amerika Syarikat. Semua pemimpin serantau Asia hadir. 


Selamat datang Mr Presiden.
Kesudian presiden Amerika Donald Trump, untuk bertandang ke sini menjadikan presiden Amerika ketiga pernah datang ke sini selepas Lyndon B Johnson (1996) dan Barack Obama (2014 dan 2015). Sesungguhnya ini suatu kebanggaan jika kita memahami erti dan nilai diplomasi dan tatacara dunia. 


Bukan kita memuja dan sanjung Amerika, tetapi perlu dimengertikan tidak mudah untuk pemimpin negara superpower seperti Amerika itu datang ke negara sedang membangun seperti negara kita. Mereka hanya melihat kita sebelah mata sahaja, apabila tiba-tiba mereka terpanggil dengan ajakan ini bermakna kita ada sedikit sengat dan ada nilai buat mereka. 


Selain Trump yang akan turut sama hadir, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa; Naib Perdana Menteri China, He Lifeng; Perdana Menteri Jepun Takaichi Sanae; Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung; Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, sekurang-kurang enam atau tujuh pemimpin dunia bermukim di Kuala Lumpur.  

Wednesday, October 15, 2025

Keretakan dalam Bersatu sampai klimaks.

ULASAN PAGI

Dua hero dalam Bersatu
KERETAKAN dalam Bersatu sudah sampai ke klimaks apabila parti itu mengambil tindakan ke atas sekurang-kurang enam orang pemimpin parti tersebut termasuk yang berstatus ahli Parlimen. 

Bekas ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugur dipecat, manakala ahli pimpinan tertinggi yang juga ahli Parlimen  Macahang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung sepenggal.

Tindakan ke atas Wan Saiful paling kejam apabila beliau dipecat terus daripada parti berkenaan, manakala Wan Fayshal digantung sepenggal. Tindakan disiplin ke atas Wan Saiful dikira ada sangkut paut dengan serangan peribadi beliau ke atas Setiausaha Agung Bersatu Mohammad Azmin Ali. Wan Saiful mendedah isu video samburit Azmin ada bukti baru. 

Selain itu empat ketua bahagian ikut digantung, mereka ialah Saiful  Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang). Tindakan itu diambil mengikut perlembagaan Bersatu fasal 9.4.1 dan fasal 22.55.

Wednesday, October 8, 2025

Siapa bakal menyamai rekod Fuad Stephens sebagai KM Sabah

ULASAN PIRANE SABAH

Hajiji Noor
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah telah pun dibubarkan. Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Hajiji Noor setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Sabah Tun Musa Aman. Hajiji menghadap Musa 6 Oktober sebelah pagi, petang beliau umumkan DUN bubar. Ini bererti nafirin perang pilihan raya telah ditiupkan secara rasmi.

Pirane – pilihan raya negeri, Sabah akan diadakan dalam tempoh 60 hari bermula hari pembubaran. Hari ini, (8 Oktober), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetap 16 Oktober untuk mengadakan mesyuarat membincang tarikh berkaitan pilihan raya ke-17 Sabah. Mesyuarat itu akan menumpukan kepada penetapan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Mengikut lazimnya, SPR akan menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi selepas mengadakan mesyuarat setelah pembubaran sesuatu Dewan Undangan Negeri. Dengan mengambil kira SPR ada tempoh 60 hari, ini bermakna tarikh tarikh penting itu di antara minggu kedua dan ketiga November manakala hari mengundi dua minggu kemudian.

Saya menjangkakan tarikh penamaan calon minggu ketiga November manakala hari mengundi pertengahan Disember, mungkin 20 Disember 2025. Bagaimana pun SPR ada petunjuk atau pun alasan tersendiri untuk menetapkan tarikh tarikh itu. 

Saturday, October 4, 2025

Pemuda PKR harus fikir bina negara untuk Palestin

PENDAPAT

Kamil Munir ketua pemuda PKR perlu
berfikir lebih jauh dan berani.

SEMALAM Ketua Pemuda Keadilan Muhammad Kamil Munir telah menyerahkan memorandum
kepada kedutaan Amerika di Kuala Lumpur mendesak agar kuasa dunia itu membebaskan 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi flotila yang ditahan oleh regim Zionis.  

Misi flotilla suatu gerombolan armada kapal dari pelbagai negara untuk menghantar bantuan makanan, perubatan dan barangan keperluan kepada rakyat Palestin yang dikepung Israel. Seusai solat Jumaat semalam, pemuda Keadilan bersama beberapa Ngo lain mengadakan tunjuk perasaan mengutuk dan mengecam Israel sambil minta jasa baik Amerika bebaskan segera anggota misi berkenaan.

Memorandum itu katanya diterima oleh pihak kedutaan Amerika, dan disifatkan suatu kejayaan buat PKR.  

Tuesday, September 30, 2025

Balada seorang sahahat

BELASUNGKAWA

Allahyarham menerima buku 
saya Noktah Sebuah Penantian.
MOHD Soberi Shafii
insan kerdil kepada sesetengah orang, bahkan ada yang tidak pun mengenali siapa sosok ini. Tetapi beliau adalah istimewa buat saya sebagai seorang rakan dan sahabat. 

Yang mengenali dan bersahabat dengannya sejak awal 1980-an, kenal dan tahu sangat nilai budi, fiil dan perjuangannya. Manakala yang mengenal di luar dirinya, kenal beliau dengan pelbagai nama dan watak antogonis.

Soberi seorang yang tenang tidak tahu marah. Seorang yang sedia mendengar dan akur. Kehebatannya menahan kemarahan dan tidak tahu menyimpan dendam. Punya PR - hubungan persahabatan yang cukup baik kerana itu beliau punyai ramai kawan dan sahabat. Soberi dikenali dengan "Boh Yie", menggambarkan beliau seorang yang dihormati dan boleh menguruskan manusia. 

Selain itu beliau juga punyai harga diri dan nilai diri tersendiri. Punya prinsip tersendiri yang sukar digugat. Bagi saya beliau seorang yang berjasa dan meninggalkan kenangan hidup yang indah serta membanggakan. Ini saya kembali melihat hubungan persahabatan dengannya. Pantang terdengar khabar saya sakit atau masuk hospital beliau akan bertanya khabar dan bertatih menjengok saya, walaupun keadaannya tidak begitu kondusif.

Dalam kancah politik era tahun 80-an 90-an kehadiran sosok ini; kesetiaannya kepada pemimpin dan perjuangan sangat istimewa khasnya di Kelantan. Walaupun beliau tidak dinobatkan sebagai wakil rakyat, tetapi seorang politis yang cukup signifikan di negeri Kelantan. Peranannya dalam menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada rakyat mengalahkan wakil rakyat.

Diperingkat nasional juga apa dilaluinya, tidak ramai yang tahu, hanya mereka yang hampir dan rapat dengannya saja mengetahui cerita dan balada di sebaliknya. Salah satu misalnya sewaktu Umno diharam tahun 1987 dalam usaha untuk menghidupkan Umno Baru oleh regim Dr Mahathir Mohamad, beliau adalah antara peribadi menjadi hamba atau kuli kepada pimpinan Umno untuk menghidupkan parti keramat itu. 

Beliau yang ketika itu merupakan anak didik atau bermajikan kepada Hussein Ahmad (Allahyarham) selaku Ketua Penerangan Umno Malaysia, menjadi pembantu setia Allahyarham Hussein Ahmad di ibu pejabat Umno di PWTC. Saat itu beliau berkerja dalam keadaan dicemuh oleh orang-orang yang membenci Dr Mahathir sebaliknya mendukung Tengku Razaleigh Hamzah.

Tidak ramai orang tahu akan jasa dan budinya dalam hal ini kepada Umno. Pengorbanan dan usahanya itu ironi apabila akhirnya beliau meninggalkan Umno setelah kecewa dengan permainan politik Umno di bahagiannya Ketereh. Saya masih ingat saat beliau ingin mengumumkan keputusan yang perit untuk keluar daripada parti di sebuah hotel di Kuala Lumpur, saya mengasaknya "apakah demo sudah buat keputusan nekad Yie?" 
Mengacing butang baju Allahyarham
biar smart.

Kekecewaan dialaminya kerana permainan politik peringkat bahagian menyebabkan beliau nekad dengan keputusannya itu. Serentak itu beliau meminta jasa baik saya agar membawanya menghadirkan diri untuk bertemu dengan Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Suatu Subuh hening saya membawanya berjumpa dengan Tok Guru di Pulau Melaka. Di atas masjid Tokguru di Pulau Melaka itu selepas solat Subuh beliau menyatakan hasratnya untuk menyertai Pas. 

Tokguru menerima dengan penuh tawaduk dengan lapaz Alhamdulilah hasrat murninya itu. Kalangan rakannya dari Umno mentertawakan tindakannya dan menuduh beliau sebagai kecewa. Tiada usaha memujuk dan memintanya untuk membatalkan niatnya itu, bahkan tindakannya keluar parti tidak pun diberi apa-apa respon dari ketua Umno bahagian Ketereh. Sebaliknya ada rakan-rakan mentertawakannya. Tidak siapa tahu apa terjadi selepas itu, alih-alih orang yang mentertawakannya itu sendiri menyertai Pas, selepas 10 tahun Soberi mengambil tindakan itu.

Perpecahan dalam Pas sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara mengecewakan Sobree. Beliau seperti pause dalam politik sekejap tanpa mengambil sikap politik, tetapi tetap mendokong PH. Kebersamaan Pas dengan PKR menerusi PH memberi ruang perjuangan baru kepadanaya apabila dilantik menjadi Sekretrait PH Kelantan. Dengan bakat, pengalaman, kegigihannya dan PR yang menyenangkan anak-anak muda beliau gerakkan PH di Kelantan menjelang pilihan raya tahun 2014. Beliau ikhlas bekerja walaupun tidak pernah diberikan apa-apa imbalan. Kemenangan kerajaan PH tidak menghadiahkan apa-apa buatnya, namun beliau setia dengan PH tanpa parti yang jelas.

Mengirang Tok Guru semasa di Sarawak.
Sebagai ahli asal Umno, jasa dan budinya tidak perlu disebut. Ketika era Umno berada di kemuncak tahun 70-an hingga 80-an, beliau adalah antara pemuda Umno yang hebat dan lasak di Kelantan. Jasa besarnya yang tidak diikhtiraf ialah mendokong Anwar Ibrahim yang baru menyertai Umno untuk jadi ketua pemuda Umno. Ketika itu Anwar sedang mengatur langkah untuk mencabar Suhaimi Kamaruddin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno. 

Soberi adalah antara ketua Pemuda bahagian yang memberanikan diri atau dikatakan sebagai menentang arus mengambil sikap mendokong Anwar bersama beberapa Exco lain seperti Tamrin Ghafar, sedangkan sebahagian besar ketua bahagain Umno di Kelantan berpihak kepada Suhaimi. Sayang dan kasihnya kepada Anwar bukan sahaja setakat itu, sewaktu Anwar menerima rawatan sakit belakang di Munich Jerman beliau adalah antara rakyat Malaysia yang datang menziarahi Anwar.

Disepanjang penglibatannya dalam politik Umno beliau pernah diberi peluang sekali bertanding dalam pilihan raya bagi DUN Salor, tetapi kalah. Selepas itu beliau tidak diberi lalu namun tetap istiqamah dalam perjuangan Umno sehinggalah beliau bertindak meninggalkan parti itu selepas dirasa dipermainkan. 

Sedikit sejarah ringkas pengenalan saya dengan beliau, kami mula berkawan awal tahun 1980-an, ketika kami sama-sama berada dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Pada masa itu beliau sudah aktif dalam pergerakan pemuda Umno dengan menjabat jawatan ketua Pemuda Ketereh dan dilantik menjadi Penyelia Kemas. 

Dalam skuad keselamatan parti beliau adalah skuad Pemuda bertindak menjadi pengintip di ceramah Pas untuk dilaporkan kepada pihak atasan bagi diambil tindakan. Semasa bertemu Tokguru Nik Aziz beliau mengakui yang pernah mengintip suatu ceramah Tokguru dan merakamnya kemudian bahan-bahan ceramah itu disampaikan kepada pihak Umno.

Sebagai seorang pejuang dan hamba Allah Soberi tidak terkecuali menghadapi ujian hidup daripada Ilahi. Hampir separuh pengenalan saya, diujung usia beliau sering dimpa sakit dengan berbagai-bagai. Bermula dengan pembedahan jantung, mengalami gangren kaki sekembali dari menunaikan umrah. Gangren itu semakin serius sehinggalah membawa kepada pembedahan sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Disamping itu beliau juga mengalami kegagalan buah pinggang yang terpaksa menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Sejak sebulan lepas beliau terlantar di hospital sehinggalah membawa kepada pembedahan untuk memotong kaki kiri.

Kebetulan sewaktu beliau ditidurkan 25 September saya pula ditahan di ward, untuk beberapa hari hanya mampu komunkasi dari katil hospital dengan isterinya Kak Ani dan anak-anak Renny bertanya khabar. Malam tadi berhajat untuk menziarahi sebaik saya keluar daripada hospital, tetapi bila diberi tahu Soberi akan jalani diliis saya batalkan untuk menjenguknya.

Sebahagian rakan dan sahabat menyolati jenazah
Allahyarham.
Sebaik Subuh tadi saya menerima panggilan daripada isteri dan whatsaap daripada anaknya mengatakan Soberi dalam keadaan kritikal apabila kadar oksigen dalam badannya merosot. Tanpa berlengah saya ke HKL, melihatnya yang sudah begitu tenat. Sebahagian anak-anak dan keluarga terdekatnya sudah berkerumun di katilnya. Saya sempat mengelus elus kepala sahabat saya beberapa kali sambil membisikkan kalimah mulia di kedua cuping telinganya. 

Seluruh kaki Boh Yie sudah dingin dan sejuk. Matanya sudah tertutup rapat. Jam 7:45 pagi Boh Ye berangkat dengan tenang ke sisi Rabbnya. Beliau tutup usia dalam usia 71 tahun, meninggalkan seorang isteri, lima anak, lapan cucu dan seorang cicit. [wm.kl. 7:24 pm 30/09/2025]






Monday, September 29, 2025

Kenapa Melayu tidak dapat bersatu?

PANDANGAN

PARTI politik adalah pertubuhan atau gerakan sosial yang khusus bertujuan menguruskan negara. Parti politik berbeza dengan badan ataupun pertubuhan lain, skopnya lebih luas dan besar. Peranannya lebih signifikan daripada mana-mana persatuan, sebab ia secara langsung bertanggungjawab dan fungusinya untuk mengurus, merancang dan mentadbir negara.

Dalam negara kita ada berpuluh, malahan ratusan parti politik yang ditubuh, bergerak dan ada yang sudah jadi mendiang dan gemulah. Selepas pasca merdeka kemunculan parti politik lebih ketara. Bagaimana pun antara parti yang terawal ditubuhkan masih survive sampai ke hari ini walaupun ada pasang surutnya, seperti Umno, Pas, McA, MiC dan lain lain. 

Thursday, September 18, 2025

Bukan Islam harus elakkan baca Quran untuk politik


PENDAPAT

N Balasubramaniam
TINDAKAN ketua dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Balasubramaniam membaca petikan ayat Quran surah as Saf ayat 4 ketika berucap menggulung perbahasan di muktamar Pas ke-71 di Kedah telah menjadi isu kontroversi.

Para pengkritik Pas berpendapat cara dan tindakan Balasubramaniam itu kurang manis, ada yang menganggap ia mencemarkan kesucian agam Islam. 

Ada pengkritik terdiri daripada influncer pro kerajaan mengira perbuatan Subramaniam itu menempelak Pas yang sebelum ini mengecam seorang pemimpin DAP Haword Lee yang memetik terjamahan Quran dalam pidatonya. Pemimpin DAP itu dikecam sehingga ke parlimen, gara gara itu beliau berjumpa dengan Menteri Agama dan menyatakan kemaafan.

Umat Islam mempersoalkan tindakan ketua DHPP itu apabila tidak ada teguran daripada Pas. Sikap Pas mendiamkan diri dengan kejadian itu dikatakan sebagai double standard apabila mereka membiarkan Subramaniam membaca ayat ayat Quran walaupun tidak betul dari segi makhraj dan tajuidnya. Kalau Subramaniam setakat membaca terjemahnya, seperti sebelum ini mungkin ia tidak menjadi masalah.

Sebelum ini beliau pernah membaca terjemahan ayat Quran dalam ucapan dimajlis sama. Kerana teruja dengan kemampuan Subramaniam itu mendorong pengerusi muktamar ketika itu yang berharap dan mencadangkan untuk masa akan datang Subramaniam membaca ayat Quran sekali. Mungkin kerana menyahut cabaran pengerusi itu, dalam muktamar kali ini beliau berani membaca ayat Quran surah as Saf ayat 4 itu.

Disini saya ingin memberi sedikit pandangan saya dalam hal ini. Sudah lama saya mengikuti kejadian seperti ini, orang Islam memetik ayat Quran sebagai hujah dalam ceramah politik mereka. Tindakan Subramaniam itu bukan baru, lama sebelum ini sudah ada pemimpin parti politik bukan beragama Islam menjadikan ayat Quran sebagai bahan ceramahnya. 

Di Kelantan pada era 80an seorang pemimpin MCA sering membaca ayat Quran dalam surah Ali Imran ayat 103, berbunyi (watasimum bihabilah...) yang bermaksud, "dan berpegang teguhlah sekalian kepada tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai berai," dalam ceramahnya, dalam hajat menyeru agar tidak ada pergaduhan dan berbaik baik sesama insan, sampai pemimpin MCA itu dikenali dengan "Ustaz Watasimum".

Tidak salah, kalau orang bukan Islam memetik dan membaca Al Quran, kerana al Quran itu sendiri bersifat petunjuk universal semua manusia dan makhluk. Tetapi kalau ia dipergunakan untuk kempen politik, ia sudah boleh dianggap mempersendakan Islam, kerana masakan orang tidak beriman dengan Quran, tetapi mengambil isinya sebagai hujah berpolitik. Perbuatan seperti itu jika diibaratkan kepada buah, kulitnya diambil isinya dibuang. 

Bukankah itu mempersendakan Quran, walaupun ia tidak salah, dan dari sisi agama ia dialu alukan kerana menunjukkan isu atau ajaran Islam itu dimanfaatkan, tetapi penggunaan cara itu tetap salah.

Bagi saya perbuatan itu tidak wajar seseorang bukan Islam untuk membaca ayat ayat Quran atau mentafsirnya apa lagi dalam majlis yang majoriti dihadiri umat Islam, terdiri daripada ustaz dan alim ulama. Dalam muktamar Pas itu saya yakin lebih 99 peratus dihadiri orang Islam, situasi itu sangat tidak kena.

Maaf saya katakan, walaupun tujuannya baik, tetapi kaedahnya tidak kena, tidak ada keberkatan kerana bacaan itu tidak ada roh Islami sebab yang membaca itu sendiri belum bersyahadat, atau beriman. Macam mana orang hendak akur dengan dakwah daripada seseorang yang belum mendapat hidayat dan bersyahadat?

Kita faham cara Subramaniam itu untuk menunjukkan kehebatan dan kesukaannya terhadap perjuangan Pas yang digembar gemburkan berlandaskan Islam. Ia cuba memberi gambaran perjuangan Pas diterima umum, dan Pas berbangga dengan kejadian itu. 

Namun dari sudut lain, iman dan akiqah, ia seperti songsong dan memalukan apabila orang bukan Islam, (mungkin juga beragama Hindu) membaca kitab suci al Quran untuk didengari dan difahami oleh orang yang sudah lama menerima hidayah dan bersyahat. Cara Subramaniam itu seperti kura kura atau labi labi dengan telornya, yang mengikut sesetengah mazhab, ibu tidak boleh dimakan, tetapi telor haruskan.

Sekiranya Subramaniam ini mengambil sipiritual agama dalam politiknya elok sahaja beliau memetik ayat-ayat atau pengajaran dalam kitab Hindu, seperti kitab Veda, Upanishad, Dharmashastra, Artha, Karna, Bhagavad Gita dan lain lain.

Melihat kejadian itu apa yang mendukacitakan, kesalahan sebutan ayat Quran itu tidak ditegur oleh para hafiz dan hafizah, ustaz dan ulama yang ada dalam majlis itu. Mereka sendiri seperti terpukau dengan kebolehan Subramaniam. 

Apakah mereka jadi buta atau syaitan bisu apabila tindakan Subramaniam itu menguntungkan dari aspek politik. Kalau begitu, kehadiran Subramaniam itu tidak lebih daripada menjadi lambang kepada lembu merah yang ditunggangi Pas.

Lain kali hal seperti ini patut dihindari, Pas tetap akan nampak lebih Islamik berbanding parti parti lain kalaupun ia tidak dibaji oleh orang atau individu seperti Subramaniam itu.

Dan kepada bukan Islam yang menyertai Pas, mereka dialu alukan kerana menerima menhaj perjuangan Pas sebagai bahtera mencapai cita cita politiknya,  tetapi jangan pandai pandai dan ghairah untuk memetik dan membaca al Quran untuk menunjukkan anda sudah mendalami Islam. Ayat Quran adalah mujizat yang suci dan perlu dihormatinya dan terpelihara.

Apa yang berlaku dalam muktamar Pas itu seharusnya ia diberi perhatian serius oleh menteri yang menjaga hal ehawal agama. Jangan baru hendak bertindak setelah ada laporan, kerana kejadian itu sudah riuh randah di segenap pejuru tanah air. Menteri jangan tidur dan asyik dengan majlis majlis ceremony sahaja, bertindak, gerakan kakitangan Jakim untuk membuat islah. [wm.kl. 8:37 pm 18/09/2025]


Wednesday, September 17, 2025

Percubaan mewujudkan AI Classroom World

ULASAN 

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan khas kepada teknologi Artificial Intelligence (AI). Sesuai dengan penemuan (kreativiti) teknologi baru ini, beliau sendiri juga seperti baru menyedari dan sedang mendalaminya. Anwar seorang pemimpin peka dan cepat bertindak ke atas perubahan global. 

Razman bersama pelajar terlibat
dengan projek perintis AICW
Misalnya dengan kemunculan AI ini, beliau menghabiskan banyak masa untuk memahami akan keistimewaan teknolgi baru ini. Khabarnya beliau memanggil para pakar AI untuk memberi “tausiyah” kepadanya.

Sebab itu dalam setiap ucapan di forum atau majlis himpunan baik dengan pelajar, guru atau penjawat awam beliau tidak ketinggalan menyebut akan kepentingan AI dan menekankan rakyat perlu memguasai dan melengkapkan diri denganya.

“Kejayaan AI bukan terletak pada betapa canggih kodnya, tetapi seberapa banyak ia meningkatkan kehidupan manusia — mencipta peluang, mengatasi cabaran, dan memastikan tiada siapa yang tertinggal.” Demikian ujar PM menunjukkan keperihatiannya terhadap teknologi baru ini.

Keseriusannya jelas apabila dalam masa tidak terlalu lama, kini sudah wujud fakuliti yang memperkenalkan AI di universiti tempatan dimana UITM menjadi universiti pertama menubuhkan fakulti AI.

Mengambil aspirasi.

Bertolak dan menerima cabaran perdana menteri itu seorang pakar IT, sdr Razman Salleh bangkit untuk menyahut seruan dan cabaran PM itu dengan mencipta satu kaedah atau sistem pembelajaran menggunakan AI di sekolah yang dinamakan AI Classroom World. Projek itu boleh membantu murid memahami pembelajaran dan guru dalam pengajaran. Menerusi sistem AI ini murid dapat memahami subjek yang rumit atau sukar. Manakala guru guru pula tidak terlalu dibebani dengan kerja, atau memudahkan penyediaan bahan pengajaran.

Untuk melaksana merintis projek itu Razman mendapat kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Anmad Razali Ampang, (SMKDAR). Pihak PPD, Pengetua sekolah Puan Rose Aliza Sutrisno dan Guru Kanan Mazian Osman sangat membantu. 

Projek ini membabitkan 12 orang murid dan 12 orang guru. Projek ini dibangunkan awal 2024, dapatan atau kajian dari projek itu menunjukkan kurang 40% pelajar berkata mereka memahami topik yang sukar dengan lebih jelas. Kurang 30% mengatakan sistem itu mengurangkan dengan ketara masa untuk kerja rumah dan ulang kaji, manakala lebih 50% meminta akses AI secara kekal.

Kesimpulannya sistem dibangunkan itu berkesan dalam membantu pembelajaran dan pengajaran selain merupakan aspek baru dalam kependidikan di negara ini. Projek rintis ini merupakan kelas atau bilik darjah Chatbot pertama di negara ini.

Sementara dipihak guru pula mendapati sistem atau platform itu dapat menggantikan papan hitam dan buku latihan manual dengan sepenuhnya. Kaedah atau sistem ini juga menjimatkan masa, meringkaskan kerja, tetapi dampaknya tinggi berbanding secara manual. Hanya peralatan tambahan diperlukan iaitu komputer atau laptop. Penambahan device ini bukan membebankan kerana komputer sudah merupakan keperluan di era ini.

Kejayaan Razman dengan projek dinamakan AI Classroom World (AICW) ini telah dilaporkan oleh sebuah portal berita di luar negara - Amerika Syarikat, NY Review dalam segmen Pendidikan Teknologi (EdTect), yang melaporkan kependidikan teknologi diseluruh dunia. Tanpa laporan NY Review mungkin projek perintis secara senyap dan lebih bersifat eksklusif ini tidak diketahui umum. https://nyreview.com/from-one-classroom-to-global-attention-how-a-malaysian-school-dared-to-ai-fy-learning/

InsyaAllah dengan hasil projek berkenaan Razman berharap semoga ia dapat dijadikan sumbangan baktinya dalam dunia kependidikan negara. Beliau sangat berharap projek rintis itu akan dipandang oleh pihak berkuasa, khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan jika diizinkan mahu membentangkan idea ini kepada perdana menteri sendiri. 

Adalah elok kalau pihak KPM mengarah Pejabat Pendidikan Negeri (PPN) untuk mencuba sistem ini di sekolah tertentu sebagai perintis. Untuk tujuan ini KPM tidak perlu mengeluar perbelanjaan dari perbendaharaan mungkin ia boleh ditampung oleh pihak sekolah seperti PIBG, orang perseorangan, korporat dan sebagainya. 

Sekiranya projek ini dilaksanakan di sekolah, dianggarkan seramai 300,000–400,000 pelajar akan mendapat pembelajaran yang adaptif, manakala lebih 20,000 pendidik akan disokong dengan alat AI yang mengurangkan tekanan dan keletihan kerja dan melancarkan pantadbiran. Manakala untuk tujuan itu sebanyak 10,000 bilik darjah akan diubah menjadi ruang digital sepenuhnya yang bersifat tahan lasak.

Sesungguhnya apa yang diusahakan Razman ini dengan inisiatif guru dan murid SMKAR berkenaan akan menjadi pemandu dan dorongan membantu KPM dalam usaha dan hajatnya untuk memanfaatkan teknologi AI sejajar pemesatan dunia pendidikan waktu ini, yang mana ia selaras dengan iltizam dan aspirasi perdana menteri.

Bertanya siapa yang berada di belakang membantunya, Razman tidak segan memberi tahu, seorang ahli perniagaan juga tokoh akademia yang bermurah hati dengannya, dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang kuat mendorong dan beri semangat serta kepercayaan kepadanya bangunkan projek berkenaan. [wm.kl. 6:53 pm 17/09/2025]

Monday, September 15, 2025

Umur PM 70 tahun ke bawah, Hadi hantar mesej kepada Mahiaddin

ULASAN
Tenungan dan fokus Mahiaddin dan Hadi
tidak sehaluan. Foto MK.

ABDUL HADI Awang memberi masej jelas kepada Mahiaddin Yassin yang beliau tidak menerima ahli Parliman Pagoh itu sebagai calon PM untuk Perikatan Nasional (PN). 

Ketika bercakap kepada media selepas merasmi muktamar agung Pas ke 71, di Kedah hari ini, Hadi memberi pandangan seorang PM mestilah berumur di bawah 70 tahun disamping sihat tubuh badan.

Presiden Pas itu mengakui yang dia sendiri tidak layak untuk dicalonkan sebagai PM kerana faktor usia, dan sedia menerima sebagai penasihat sahaja.