Thursday, November 19, 2026

Anwar kena belajar dengan Probowo

PESANAN

AWAL bulan ini, dunia Nusantara dikejutkan dengan satu skandal penyadapan atau
pencerobohan komunikasi secara tidak sah yang membabitkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Penyadapan itu dipercayai dilakukan menggunakan sistem pemantauan komunikasi milik pihak polis.


Skandal tersebut dianggap suatu pengkhianatan ke atas negara itu, menjadi lebih mengejutkan apabila ia membabitkan penglibatan pegawai-pegawai tinggi kepolisian Indonesia sendiri, termasuk bekas Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, serta tiga pegawai kanan yang lain, Inspektor Jeneral Ahrie Santo Nasution, Inspektor Jeneral Eko Hadi Santoso dan Inspektor Jeneral Slamet uliandi.

Listyo Sigit bersama beberapa pegawai kanan polis telah ditetapkan sebagai suspek dan ditahan untuk membantu siasatan, yang lain turut dikenakan tindakan tatatertib sehingga seorang daripadanya Jeneral Eko Hadi dipecat secara tidak hormat dari pasukan polis.

Siasatan ke atas tahanan itu masih berjalan. Ada pihak mengaitkan skandal ini dengan persaingan politik antara Prabowo dengan bekas Presiden Joko Widodo. Bagaimanapun, setakat ini belum ada bukti yang mengesahkan penglibatan Jokowi dalam skandal berkenaan.

Peristiwa ini mengingatkan kita kepada sejarah politik Indonesia, khususnya Gerakan 30 September (G30S) 1965 yang dikaitkan dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan membawa kepada perubahan besar dalam landskap kuasa negara itu. Walaupun kedua-dua peristiwa mempunyai latar belakang yang berbeza, satu pengajaran yang boleh diambil ialah ancaman terhadap kepimpinan negara tidak semestinya datang daripada pihak lawan yang berada di luar kerajaan.

Serangan dari dalam atau orang harapan, lebih berbahaya daripada serangan dari luar seperti mana dilakukan pembangkang.

Iktibar untuk Malaysia.

Walaupun skandal ini berlaku di Indonesia, ia boleh dijadikan iktibar kepada Malaysia. Dalam dunia politik yang semakin mencabar dan ketika teknologi komunikasi boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, Malaysia juga tidak terkecuali daripada kemungkinan berlakunya perkara seumpama itu. Lantaran itu Anwar harus berwaspada.

Bila-bila masa sahaja, skandal yang membabitkan penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan dan permainan politik dari dalam boleh berlaku. Adalah baik bagi Anwar Ibrahim perlu lebih berhati-hati, peka dan jangan terlalu husno’zan.

Dengan apa yang terjadi di Indonesia ke atas rakannya itu Probowo, Anwar juga perlu sedar dan insaf. Ciri-ciri untuk merosakan reputasinya sebagai PM sudah kelihatan dan sedang berjalan.

Lihat sahaja gelagat dan tindak-tanduk sesetengah pemimpin kerajaan seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Ahmad Maslan dan lain-lain. Keduanya Zahid dan Ahmad Maslan berada dalam kerajaan, Zahid selaku timbalan presiden, manakala Ahmad Maslan timbalan menteri. 

Walaupun ada aksi dan kenyataan mereka yang mungkin dianggap sebagai gurauan atau strategi politik, untuk mengelirukan musuh, namun ia boleh menimbulkan persoalan tentang kedudukan dan penghormatan mereka terhadap Perdana Menteri.

Adakalanya gurauan mereka melampau dan melebihi batas, seperti sindiran Zahid terhadap Anwar dalam persidangan agung Umno (PAU) tempoh hari, dan cara Ahmad Maslan memohon maaaf atas keterlanjuran dengan berpantun.

Dalam politik, sesuatu yang dianggap gurauan oleh pelakunya tidak semestinya dilihat sebagai gurauan oleh orang lain. Apatah lagi apabila ia membabitkan kedudukan seorang Perdana Menteri. Ada kalanya, sindiran dan tindakan memperlekeh seseorang pemimpin membawa maksud politik yang lebih besar daripada apa yang dituturkan. Malang lagi ia diterjemahkan sebagai serangan antara satu sama lain yang kemudian digunakan musuh sebagai senjata.

Bukan gelagat itu sahaja usaha pihak-pihak yang mahu menggugat Kerajaan Madani dan menjatuhkan Anwar juga berterusan dengan menjadikan institusi Raja-Raja Melayu sebagai modal politik. Setiap kali tercetus isu yang membabitkan instituasi raja, ada sahaja pihak yang pantas menuding jari kepada kerajaan atau individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan. Tujuannya satu untuk menunjukkan kerajaan Madani anti raja.

Terbaharu, kita melihat bagaimana bekas Ahli Parlimen Damansara daripada DAP Tony Pua, dikaitkan dengan dakwaan mempertikai dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong apabila beliau mendedahkan minit mesyuarat pengampunan. Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki telah menghantar mesej jelas mengenai tindakan Tony Pua itu.

Situasi ini harus difahami Anwar akan tujuan semua tindk tanduk itu. Dalam keadaan seperti ini, Anwar tidak boleh hanya melihat dan menghitung hari tanpa mengambil tindakan sewajarnya. Beliau perlu belajar daripada apa yang dilakukan Prabowo dalam menangani ancaman yang datang dari dalam institusi pemerintahannya sendiri untuk meleburkannya. 

Ambil iktibar daripada Indonesia, dan belajar dengan Prabowo. Bertindak sebelum terlambat, jangan sampai nasi menjadi bubur, atau kepompong menjadi tebuan. [wm.kl. 11:32 am 19/11/2026]

No comments: