Thursday, December 19, 2024

PN mencari penawar untuk pulih keretakan

ULASAN

Melepas jawatan tepat pada masa sesuai
pada kerika, kata Samsuri.
PELETAKAN jawatan sebagai Bendahari Agung PN oleh Ahmad Samsuri Mokhtar masih diperkatakan. Rata-rata pemerhati politik atau mereka yang faham dan tahu baca aura politik tidak mudah untuk mengatakan apa yang berlaku itu perkara biasa. Ia tentu ada sebab musababnya.

Apa lagi bila Presiden Pas Abdul Hadi Awang cuba mengelak daripada mengulas peletakan jawatan Samsuri itu dengan alasan beliau tidak berapa sihat ketika diekori para wartawan selepas memberi kuliah. 

Keadaan ini menjadikan ia seperti ada sesuatu yang hendak disembunyikan.

Agak pelik sedikit kenapa tiba-tiba presiden Pas senyap atau pun loket untuk memberi ulasan, selalunya sambil duduk pun (kalau tak sihat) beliau akan memberi ulasan, apa lagi perkara itu dilihat satu kejadian yang sedang mendapat perhatian di peringkat nasional yang perlu segera dituntaskan. Apa lagi Hadi selalunya pantang disuakan mikrofon, maka akan keluarlah nama-nama binatang emoji politiknya.

Peletakan jawatan itu dilihat serius apabila sebelum Samsuri umum lepas jawatan, berlaku sedikit perkara diluar dugaan bila mana nama Takiyuddin Hassan tidak diumum sebagai Setiausaha Agung PN seperti dijanjikan. Sebelum ini Pas sudah mencadangkan agar jawatan itu diberikan kepada mereka, dan nama disebut ialah Taikyuddin. Pas beri alasan untuk Takiyuddin menjabat jawatan itu berdasarkan pengalaman dan senioritinya dalam politik.

Bukan itu sahaja, Samsuri pula dalam memberi penjelasan berhubung peletakan jawatan itu menyatakan tindakannya tepat dan sesuai pada masanya. Pernyataan ini jelas bahawa peletakan jawatan itu bukan atas sukarela tetapi atau ada maksud tersirat. Dalam pada itu beliau memberi tahu peletakan jawatan itu akan diuruskan oleh parti.

Ketika mentafsir tindakan Samsuri itu saya membuat catatan dalam Facebook mengatakan tentu ada arahan dari pemimpin dengan tindakan itu. Saya tidak yakin kalau ia pandai-pandai Samsuri kerana PN adalah sebuah pakatan atau gabungan bersama Pas dengan Bersatu dan Gerakan yang ghairah untuk menawan Malaysia.

Dalam Pas menanti harapan itu dipenuhi tiba-tiba nama Azmin Ali yang diumum oleh Mahiaddin Yassin ketika PN mengadakan mesyuarat tertinggi mereka. Justeru khalayak melihat peletakan jawatan Samsuri selepas dua hari mesyuarat itu sebagai satu protes kepada apa yang tidak berlaku itu.

Bertolak dari situ maka timbul berbagai spekulasi dan telahan, tetapi semuanya tidak dibuktikan dengan tepat dan betul apa yang sedang berlaku dalam PN dan dengan keputusan Samsuri itu. Lantas isu Samsuri itu seperti mati begitu sahaja apabila khalayak digemparkan pula dengan cerita Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hendak menyertai PKR. Isu politik cepat berlalu, jika kita tidak fokus ia akan terlepas begitu sahaja. Pas mengira, begitu akan jadi dengan isu Samsuri ditelan oleh isu Zafrul.

Tetapi tidak begitu rupanya. Peletakan jawatan Bendahari Agung PN oleh Samsuri itu ada cerita lain diseblik itu dan ia merupakan isu yang meretakkan hubungan jiwa dalam PN. Ada orang kecewa dan terkilan dengan apa yang berlaku, malahan ada yang demam masih belum kebah. Maka benarlah apa yang saya tafsirkan itu. 

Khabarnya peletakan Samsuri itu atas arahan pucuk pimpinan merupakan satu protes. Sebenarnya selain Samsuri ada lagi penjawat jawatan dalam PN daripada Pas yang ingin ikut serta untuk meletak jawatan, tetapi ia dilarang. Penjawat itu dibenarkan berada dalam PN atas maslahat tertentu, mungkin buat sementara. 

Disini nampak jelas bahawa kejadian sehingga Samsuri meletak jawatan itu telah melukai hati Pas. Apa yang boleh difahami kesan daripada itu menyebabkan berlaku keretakan dalam PN ketika ini yang belum ada penawar untuk menyembuhnya. Khabarnya beberapa bomoh dan pawang telah dipanggil untuk menenangkan jiwa Pas yang berombak itu.

Apa yangilankan dan mengecewakan Pas, saya difahamkan oleh satu sumber malam tadi, katanya sebelum PN mengadakan mesyuarat tertinggi mereka, sudah diadakan suatu pertemuan diantara pemimpin Pas dengan Bersatu ikut sama Mahiaddin sebagai pengerusi PN, dimana dalam pertemuan itu Pas mencadangkan nama Takiyuddin sebagai Setiausaha Agung PN, dan ianya telah dipersetujui oleh Mahiaddin. 

Tetapi apabila masuk dalam mesyuarat Mahiaddin mengumumkan senarai enam nama-nama pimpinan tertinggi PN yang tersedia diatas mejanya. Dalam senarai itu nama Takiyuddin tidak ada diganti dengan nama Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung. 

Kekhilafan inilah menjadi punca kenapa Pas terasa hati dan memberi signal kepada Bersatu dengan mengarahkan Samsuri melepas jawatan Bendahari Agung. Bersambung. [wm.kl.9:43 am 19/12/2024]

Monday, December 16, 2024

Isu Zafrul: SELAMI MAKRIFATNYA

PANDANGAN ISNIN

Zafrul jangan jadi masalah kepada
kerajaan Perpaduan.
ISU yang berlegar disekitar Menteri MITI, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz seperti kian panas dan mulai meruap, perlu semua pihak khususnya Umno dan Keadilan melihat isu ini dengan mata hati yang jernih bukan dengan mata politik yang berbaur, bervariasi. Ia kena ditangani dengan cermat, berhemat dan waspada bersifat jauhari mengenali maknikam.

Isu seperti ini walaupun pernah berlaku sebelum ini, tetapi dalam kes Zafrul ini ia sedikit berlainan dan spesifik. Justeru ia kena ditangani dengan cermat, dan berhati hati seperti bidalan yang baru saya cipta ini, “kalau hendak menanak gadung, jangan gadung tidak masak, kayu api habis, periok pula rosak.”

Maksudnya jika hendak melakukan sesuatu perbuatan, menuruti perintah untuk melakukan bagi merealisasikan perintah atau agenda, biar ia berjalan lancar, tidak menjejaskan keharmonian yang ada, apa lagi sampai mendatangkan masalah baru.

Tentang Zafrul ini presiden Keadilan Anwar Ibrahim sudah pun membuka mulut mengesahkan hal ini, ada perundingan peringkat awal, katanya. Ertinya isu perpindahan Zafrul dari Umno ke Keadilan ini wujud dan ada asasnya. Bagaimana pun sebelum itu presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan dia tidak tahu, dan Zafrul tidak memberi tahunya. Mungkin Zahid simpan untuk tidak mendahului Anwar.

Apakah perundingan berlaku antara Zafrul dengan Anwar sahaja? Dan kenapa kalau itu berlaku. Mustahil kalau Umno tidak menghidunya. Sebagai orang yang dilihat baik dan bertaraf profesional tidak manis dan sepatutnya menyembunyikan sesuatu daripada ketua. Kalau itu berlaku, ia tidak munasabah dan tidak jujur kalaupun tidak boleh dituduh khianat.

Dan seperti ada sesuatu yang hendak diralat oleh Zafrul bila dia sendiri mengatakan dia tidak tahu keahlian dalam parti.

Di sini kenapa saya bilang isu ini kena lihat dengan mata hati bukan mata politik. Sebab seperti ada sesuatu yang misteri disebalik perkara ini. Seperti peralihan itu bukan atas kehendak peribadi Zafrul, tetapi seperti ada kuasa dan desakan dari pihak lain, manakala Anwar pula tidak dapat berbuat apa apa melainkan kena uruskan kehendak itu.

Walaupun peralihan itu sesuatu norma dalam politik dan bersifat subjektif, tetapi ia tidak baik dalam hubungan politik Keadilan dengan Umno. Jika ia tidak dilakukan secara telus, dibimbangi ia boleh dianggap perbuatan menikam kawan oleh Umno. Semisalnya kalau peralihan Zafrul itu kerana desakan dan arahan, atau kemahuan pihak lain, sepatatnya pihak yang ingin melaksanakan hasrat itu memanggil kedua-dua pihak menjelaskan mauduk dan duduk perkaranya. Presiden kedua-dua buah parti itu perlu dipanggil atau dirundingkan.

Kerana rundingan itu tidak teluslah menyebabkan timbul pertanyaan dan kemarahan dari kalangan ahli Umno. Sudah ada ahli Umno mencadangkan agar kerjasama politik antara Umno dengan PH dikaji semula. Idea ini merbahaya dan akan menjadi umpan lazat kepada pembangkang untuk mengail rakyat. Setiausaha Agung Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan nada tidak senang dengan kejadian mencuri ahli partinya yang dikebimbangi boleh berlaku perbalahan.

Munasabah bagi Umno kalau mereka marah dan terkilan dengan agenda itu. Ibarat kita memelihara dan membela lembu liar, bersusah payah buat kandang dan cari rumput makanan,  selepas ia besar gemuk dan sado tiba-tiba diambil orang begitu saja tanpa sebarangan bayaran dan rundingan.

Chemistery yang mereka miliki akan mampu
selesaikan masalah.
Kita faham mereka yang marah dan terkilan kerana melihat dari lahiriah semata mata tanpa menyelami apa berlaku di dasar sana sampai Zafrul perlu sertai Keadilan. Kalau setakat hendak mengekalkan dia dalam kabinet apakah tidak boleh dengan mengekalkan dia dalam Umno. Cara itu lebih harmonis.

Rahsia dan maknawi ini yang mereka perlu dikorek dan mengetahuinya untuk mendamaikan jiwa. Jika kedudukan dan maknawi ini difahami, kita yakin isu ini tidak berpanjangan dan bersambung dengan masalah-masalah merewelkan keadaan.

Pertamanya, apa yang perlu difahami kenapa Zafrul perlu pindah parti. Apakah Keadilan sahaja menjamin kedudukannya, dan tidak Umno? Jika dilihat atau ditafsirkan yang mahukan Zafrul atas sebab-sebab keistimewaanya, tidakkah boleh dibincang dengan baik dengan Umno memandangkan Zafrul masih menjadi ahli parti itu, dan pernah bertanding atas tikit BN. Saya yakin jika dibuat secara tertib, Anwar sedia melaksanannya tanpa menimbulkan masalah kepada hubungan baik Keadilan dan Umno.

Dan begitu juga dengan Anwar, kita tidak fikir dia begitu memerlukan Zafrul begitu sekali seolah olah tiada tokoh lain untuk menggantinya sebagai menteri MITI. Siapakah Zafrul kepada perjuangan reformasi selama ini. Jika Zafrul dianggap excellent dalam bidang kewangan dan ekonomi masih ramai orang lain yang setanding dengannya dalam Keadilan atau Umno yang kini hanya meriba tangan dan menanam anggur sudah bertahun.

Lantaran itu dalam hal ini saya melihat Anwar terjempit dengan keadaan yang agak menyukarnya untuk tidak melaksanakan agenda itu.

Tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada, dan air tidak akan mudik ke hulu jika bumi tidak senget. Begitu juga dalam kes Zafrul ini Anwar tidak jadi seserius itu melayaninya kalau tiada apa-apa.

Namun kita yakin dan percaya kepada kebijaksanaan dan kearifan memahami masalah oleh kedua pemimpin Keadilan dan Umno terutamanya Anwar dan Zahid untuk menghuraikan permasalahan ini. Sejauh mana kemampuan mereka menghadapi isu ini bakal menjadi penentu keeratan hubungan ahli bawahan kedua dua buah parti tersebut hingga pilihan raya umum akan datang dan seterusnya menjamin kesejahtraan kerajaan Perpaduan ini. [wm.kl. 11:28 am 16/12/202].