Sunday, May 17, 2026

Apa motif sebenar tindakan Umno Johor?

SUSUPAN MALAM

DUA peristiwa politik berlaku hari ini cukup mendekam sukma, terutamanya bagi rakyat biasa yang menjadi pemerhati, pengikut dan pengundi. Namun kedua-dua peristiwa itu tidak berbekas apa-apa kepada politis kerana mereka sudah "mangli" dengan sebarang tindakan dan aksi politik pelik-pelik serta luar tabii.

Hubungan Anwar dengan Zahid bukan setakat
murid dengan guru.
Dua peristiwa itu berlaku hampir serentak. Satu penegasan PH untuk sedia berhadapan melawan Umno di Johor. PH tidak sedikit pun merasa lemah dan takut dengan kenyataan atau pendirian Umno Johor yang ingin bertanding disemua 56 kerusi di negeri itu dalam pilihan raya akan datang.

Umno melalui pengerusi perhubungannya, Onn Hafiz Ghazi membuat kenyataan itu kira-kira 24 jam sebelum berlangsungnya konvensyen PH di Johor hari ini. 

Keadaan itu jelas disengaja, sebagai isyarat kepada PH, yang antara lain sudah dikhabarkan akan membuat ketetapan dan membincang persediaan menghadapi pilihan raya negeri Johor serta termasuk kerjasama dengan Umno di konvensyen itu. 

Menariknya dan menjadi tanda tanya, kenyataan Onn Hafiz itu yang juga MB dibuat selepas Umno mengadakan mesyuarat di Istana di Johor sempena ulang tahun ke- 80 Umno. Sebelum ini sudah terdengar desas desus yang Umno akan bergerak secara solo tetapi situasinya masih kabur.

Apabila ia diumum sendiri oleh pengerusi Umno Johor tanpa bantahan daripada Umno Malaysia, maka jelas apa yang terhasrat dihati Umno Johor tercapai. Umno Johor mendabik dada merasakan mereka kuat dan mampu menghadapi pilihan raya bersendirian. Hari ini Umno menguasai 40 kerusi daripada 56 kesemuanya

Kerana kenyataan Umno Johor itu dilihat serius, maka Anwar Ibrahim selaku pengerusi PH ketika menggulung ucapan di konvensyen petang tadi, menyatakan kesediaan PH untuk melawan sesiapa sahaja.  Apa dilakukan Anwar seperti, "gayung bersambut kata berjawab". Bagi Anwar beliau anggap kenyataan Onn Hafiz itu sebagai suatu ugutan yang tidak sepantasnya dilakukan, memandangkan Umno bersama dalam kerajaan Perpaduan di pusat.

Dengan mengutip kata-kata pemimpin PH, Presiden Amanah, Mohammad bin Sabu yang berucap
sebelum itu, Anwar menegaskan PH sedia untuk berkawan dengan sesiapa saja, tetapi dalam masa sama kalau kawan hendak lawan, kita sedia berlawan. Perdana Menteri itu berbidalan, sekiranya sudah letih dan penat berada dalam kerajaan Perpaduan, kita serahkan kembali mandat kepada rakyat biar mereka menentukan.

Anwar tidak sedikit terkesan dengan keputusan Umno Johor itu walaupun amat berat dan terkilan dengannya. PH kata Anwar sedia berhadapan dengan sesiapa sahaja, pengalaman dan sejarah dilaluinya menjadi PH kental, dan orang PH di dalam tubuhnya mengalir darah reformasi yang tidak gentar melawan bila dicabar.

Peristiwa Johor itu mengilan kita semua yang sedang asyik masyuk dengan perjalanan kerajaan Madani yang baru melangkah ke tahun ketiga, dan sedang menilai satu persatu perubahan (reform) dilakukan. Merasa sayang sesudah baru merasai kepuasan sebuah kerajaan yang adil, prihatin rakyat dan melakukan perubahan sistem pentadbiran, setelah keluar dari penjara hegemoni Umno-BN, terkilan dengan keputusan Umno itu. Seandaianya benar berlaku pertembungan antara Umno dengan PH ia satu kemalangan buat rakyat yang cintakan damai dan ketenangan. 

Tetapi kerana begitu hakikat politik ia tidak dapat dihindarkan.

Dari sudut lain keputusan itu adalah hak Umno Johor tanpa perlu perbincangan atau mendapat restu daripada Kuala Lumpur. Hak itu tidak boleh dipersoalkan PH kerana itu hak mutlak parti itu. Kalau pun presiden membenarkan, tetapi ia kita rasa secara terpaksa. Bagaimana pun kita yakin ia tidak mendapat restu Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden, kerana Anwar ada menyebut hubungan pimpinan Umno pusat dengan PH dalam kerajaan adalah baik baik saja.

Justeru disisi lain kita nampak apa dilakukan Umno Johor itu dilihat seperti mahu menyusahkan Zahid serta merenggangkan presiden Umno itu dengan Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai gurunya. Seakan ada pihak yang cemburu melihat hubungan dan keakraban itu. Dan apa yang berlaku di Negeri Sembilan usaha untuk menumbangkan Aminuddin Harun tempoh hari sebagai titik awal untuk diecerkan ke Johor dan negeri-negeri lain. 

Kesimpulannya tindakan Umno Johor mahu bertanding bersendirian itu sebahagian daripada usaha untuk memisahkan Zahid dengan Anwar kemudian mengugurkan Zahid sebagai presiden. Soalnya siapakah dalang disebalik permainan itu. Yang pastinya ia tentu ada dalang. Apakah Umno Johor masih merasakan ia sebuah pertubuhan yang teristimewa di negeri itu dan Umno Johor masih merasakan dia berbeza dengan Umno di negeri lain walaupun pernah tewas tahun 2018. [wm.kl.8:16 am 17/05/2026]

No comments: