Sunday, May 17, 2026

NUM Bentuk gelombang permurnian fahaman politik

RENCANA AHAD

TANPA diwar-warkan dan publisiti besar-besaran dimedia eletronik dan media sosial, semalam telah berlangsung satu majlis yang sangat penting dan bermakna dalam usaha memurnikan pemikiran siasah atau politik negara ini. Majlis dimaksudkan itu ialah, Muzakarah Ulama Trangganu, ia berlangsung di Pondok Bukit Puteri Besut, dengan tema Tajdid Syiasi Malaysia.

Walaupun muzakarah semalam seperti terkhusus di kalangan ulama dan agamawan asal Terangganu, tetapi skop atau temanya melebar dan mencakupi ke seluruh negara.

Muzakarah itu dianjurkan oleh Nadwah Ulama Malaysia (NUM), satu badan yang bertindak sebagai pemantau, pencerah, penyelesai serta penjernih pemikiran siasah (politik) mengikut Islam dan syariah. 
Nampaknya NUM yang dipengerusikan bekas MP Kuala Nerus, Ustaz Datuk Dr Mohd Khairuddin Aiman Razali, mengambil inisiatif ini setelah menyedari cara orang Melayu berpolitik muasir ini kian merbahaya apabila tergelecah dari fahaman atau aliran syiasi, sehingga berlaku perbalahan sesama sendiri sampai ke tahap caci maki dan hina menghina adakalanya mentakfiri sesama sendiri. 

Memerhati kepada tajuk atau tema itu, menggambarkan usaha NUM itu ikhlas untuk membebaskan ikatan pemikiran politik khsusnya yang bernuasakan Islam di negara ini yang sudah tersasar dan kejap tersimpul dalam pemahaman dan anutan yang menyeleweng. Lebih tambah membahayakan lagi apabila wujud penataan (ta'ah amya) secara mambabi buta dan taksub dan wala kepada seseorang tokoh dan parti politik berlebihan.

Peranan dan tanggungjawab dimainkan oleh NUM ini sangat murni dan baik sekali.

Antara tokoh ulama atau tokoh agamawan kontemporari yang hadir dan mengambil bahagian sebagai pembahas dan berwacana ialah, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz, Dr Wan Jin Wan Husin, Ustaz Khairul Ikhwan, Haji Aziz Abbas, Ustaz Ahmad Syukri Yusof, Ustaz PU Faiz dan lain-lain. Seramai 100 dari kalangan ilmuan dari berbagai lapisan hadir di majlis tersebut.

Muzakarah semalam telah merumuskan lapan resolusi untuk dihayati dan dilaksanakan.

1. Memperbaharui naratif politik Malaysia dengan menegaskan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang meletakkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang wajib ditaati selagi selaras dengan hukum Syara’, manakala persaingan parti-parti politik dalam pilihan raya hendaklah difahami sebagai medan menawarkan gagasan, dasar dan inisiatif terbaik bagi memperkukuh pelaksanaan nilai-nilai Islam menurut keperluan semasa negara.

2. Menyeru seluruh umat Islam agar menolak politik perpecahan, budaya fitnah, ekstremisme dan normalisasi politik kebencian demi memperkukuhkan perpaduan ummah berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

3. Menegaskan keperluan Tajdid Siyasi Malaysia melalui pembinaan politik berintegriti, berakhlak, berteraskan ilmu, amanah, maqasid syariah dan kepentingan rakyat serta negara.

4. Menolak segala bentuk pelampau dan penyalahgunaan nama Islam serta tokoh-tokoh mulia Islam bagi tujuan kepentingan sempit pihak-pihak tertentu sehingga mencemarkan imej Islam.

5. Menyeru para ulama memainkan peranan sebagai pendamai ummah, pembimbing masyarakat dan penghubung perpaduan merentas perbezaan kelompok.

6. Mendesak pembinaan budaya politik matang yang menolak fitnah, provokasi, penghinaan dan ketaksuban melampau, sebaliknya mengangkat adab, hikmah dan tanggungjawab bernegara.

7. Menekankan kepentingan pendidikan siyasah rakyat berasaskan ilmu, kefahaman Perlembagaan, kenegaraan dan nilai Islam demi masa depan Malaysia yang lebih harmoni dan stabil.

8. Menggerakkan secara tersusun wadah dan platform tajdid siyasi bagi memperbaharui tekad, wacana dan amalan politik Islam yang bersendikan persaudaraan, khidmat bakti, kebajikan serta pembangunan negara, sekali gus menggantikan budaya politik lama yang berasaskan permusuhan, kebencian, kepentingan diri dan sikap memperkecilkan agenda pembangunan ummah dan negara.

Menurut Dr Mohd Khairuddin Aiman, muzakarah di Besut itu merupakan permulaan atau peluncuran
program berkenaan yang selepas ini ia akan diadakan disemua negeri, terutamanya negeri-negeri yang mempunyai ramai penduduk Melayu, seperti Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang, kerana di negeri ini fenomena kekhilafan itu besar. Kemudian ia akan bergerak ke seluruh negara. 

Beliau berpendapat, masalah pertelingkahan politik dan khilaf dalam memahami syiasi (politik) yang boleh menimbulkan masalah harus diselesaikan segera dengan baik. Kekhalifahan ini perlu diuruskan dengan penuh hikmah dan bijaksana tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Dalam hal ini NUM akan bertindak ke arah itu dan mengambil tanggungjawab menanganinya.  

Bagi memurni dan meluruskan kekhilafan yang berlaku secara mulanya tidak disengajakan ini, hanya boleh dilakukan secara bersama, bergerombolan. Ia tidak boleh lagi dilakukan oleh satu kumpulan kecil atau orang perseorangan. Ini kerana ghalibnya perubahan atau pembaharuan (tajdid) itu mudah berlaku apabila ia digerakkan secara global.

Lantaran itu katanya, NUM akan membentuk gerombolan dengan mengundang seberapa banyak pihak yang telah menginsafi akan bahaya masalah kekhilafan memahami syiasi ini untuk sama bergerak dalam satu ketumbukan bagi membentuk gelombang permurnian kekhilafan ini.

Usaha NUM ini sepatut disokong dan didokong oleh semua mereka yang sayangkan perpaduan, dambakan kedamaian, menyintai keselamatan negara serta merindui akan kekukuhan ukhuwah Islamiah. 

Bagi saya, usaha NUM ini dan majlis permulaan di Besut semalam lebih bererti dan bermanfaat berbanding dengan majlis atau program lain, seperti Sumud Flottila, ataupun himpun untuk mengumumkan hala tuju politik seseorang ataupun himpunan parti-parti politik yang penuh sarat dengan prejudis dan oportunis. [wm. kl. 9:36 am 17/05/2026]

No comments: