Friday, October 31, 2014

Tengku Razaleigh sedia jumpa PasMa

RILEKS MALAM                                                                             

Tengah hari tadi saya berjumaat bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa rakan yang setiap Jumaat akan bersamanya di masjid Nurul Hidayah, Pandan. Selepas solat Jumaat, menjadi kebiasaan Tengku Razaleigh apabila tidak kesuntukan masa akan mengajak untuk makan tengah hari. Hari ini masanya agak luang dan kami sempat makan tengah hari di sebuah restoran di Kampung Pandan.

Amalan Tengku Razaleigh menjamu rakan hari Jumaat.
Agak lama juga saya tidak bersua dengan ahli Parlimen Gua Musang itu. Paling akhir ialah pada pertengahan Ramdhan lalu ketika hadir majlis iftar dan bersolat terawih di rumahnya. Tidak bermakna apabila lama tidak bertemu saya alpa kegiatan sosial dan politiknya.

"Lama tak berjumpa," begitulah hembur Tengku Razaleigh sebaik bertembung muka di bibir pintu pejabat alias rumahnya, sebelum ke masjid. "Sibuk sangat ke?" sambungnya lagi. Begitulah bahasa sapaan mesra Tengku kepada sesiapa yang dianggap sebagai rakannya.

Wednesday, October 29, 2014

Najib patut bagi medal kepada Wahidah

AIRMATA MALAM                                                                                         

Kediaman Wahidah dibakar. 
Saya sungguh terkesima melihat gambar sebuah rumah milik setinggan kampung Chubadak yang dibakar hangus oleh aparat seperti dipaparkan dalam Malaysiainsider malam tadi. Mata saya tanpa disedari tiba-tiba digenangi air jernih apabila melihat gambar api sedang memamah rumah setinggan itu. Genangan menjadi berat apabila terpandang pula pemiliknya, Wahidah Mat Salleh, 73 yang kesayuan melihat rumahnya dibakar tanpa bisa berkata-kata lagi.

Wahidah mampu melihat 
Rumah Wahidah itu dikatakan rumah terakhir yang dimusnahkan oleh aparat, setelah lebih 160 buah rumah lain sudah lenyap dan hilang dari bumi kampung Chubadak, Sentul Kuala Lumpur. Beliau merupakan satu-satu pemilik dan penduduk kawasan setinggan dibangunkan lebih 50 tahun itu yang bertahan hingga ke saat akhir.

Sebelum ini rumah asalnya sudah pun dimusnahkan oleh pihak berkuasa, tetapi ia dibina semula secara gotong royong oleh para aktivis mahasiswa yang simpati dengan nasibnya. Orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya menghulur derma untuk tujuan itu.

Semalam aparat terus menjadi keparat, bertindak membakar untuk memusnahkan tempat tinggal Wahidah agar ia bebas untuk dibangunkan dengan projek yang sudah dirancang.

Tuesday, October 28, 2014

Menanti keputusan Istana Keadilan

CATATAN DI PUTRAJAYA                                                                            

Hari ini Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bersabit dakwaan liwat II. Seperti biasa perbicaraan bersabit kes apa sahaja terhadap Anwar ia akan mendapat perhatian umum. Begitu juga dengan perbicaraan hari ini, mendapat perhatian bukan sahaja dari dalam negara tetapi di luar negara juga.
Istana Keadilan: Sejauh mana merealisasikan keadilan.

Ratusan wartawan telah mengerumuni Istana Keadilan di Putrajaya untuk mengikuti perbicaraan maha penting tersebut bagi menentukan kerjaya politik Anwar. Wakil media luar negara juga turut sama hadir untuk membuat liputan. Terjahan begitu ramai petugas media menunjukkan kes membabitkan Anwar itu penting dan bermutu tinggi.

Anwar, suka atau tidak menjadi subjek dan objek untuk menarik perhatian dunia ke negara ini. Anwar telah menjadi objek wisata penting bagi Malaysia.

Monday, October 27, 2014

Abdul Hadi perlu kenal species PasMa

MENGIRINGI MENTARI                                                                                 

Kata presiden Pas Abdul Hadi Awang beliau kabur apakah matlamat dan perjuangan PasMa. Dan beliau juga tidak tahu PasMa ini daripada species apa. Menggunakan perkataan species itu memberi konotasi dan rasa Abdul Hadi alergik kepada kewujudan PasMa.

Phahrolrazi Mohd Zawawi
Abdul Hadi Awang
Saya rasa tidak berapa payah sangat untuk presiden parti agama itu mengenali apakah species PasMa itu dan apakah matlamat penubuhannya. Kalau tidak menjadi kesalahan saya hendak jelas jenis species PasMa itu dan juga tujuan penubuhannya seperti mana saya memahaminya dan difahamkan.

Mereka yang menganggotai PasMa adalah juga daripada species Pas. Ertinya anak beranak dan keturunan Pas juga. Phahroralrazi Mohd Zawawi yang kini dianggap sebagai presiden PasMa, adalah bekas Exco Kanan Kerajaan Pas Kedah dan pada waktu ini masih menjadi wakil rakyat Pas di Kedah. Beliau merupakan Adun Pengkalan Kundur dalam kawasan Kuala Kedah.

Friday, October 24, 2014

Anwar akan gagal dalam rayuan dan ke penjara?

NALURI JUMAAT                                                                                                 

Apa yang berada di hadapan rakyat yang mengambil berat kepada politik hari ini ialah menanti apakah keputusan rayuan Anwar Ibrahim terhadap hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya bersabit kes meliwat pada tahun lalu. Mahkamah Persekutuan akan bersidang pada 28 dan 29 Oktober ini untuk mendengar rayuan Anwar itu dan membuat keputusan.

Anwar Ibrahim: Saya optimis.
Ramai orang mengira Anwar akan gagal dalam rayuan itu dan beliau akan dikirimkan ke penjara sekali lagi.

Dengan memerhati dari senario kes itu ditangani, seperti mana dakwa Anwar ia bermotif politik, memberi induksi jelas bahawa Anwar akan direhatkan dalam penjara sekali lagi. Ada yang mengatakan lima tahun atau lebih. Pihak pendakwa telah memohon mahkamah menambah hukum ke atas Anwar. Anwar dikenakan lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu.

Sebelum itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebas dan melepaskan Anwar daripada dakwaan liwat yang dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman 20 tahun penjara.

Thursday, October 23, 2014

Tidak rugi kalau Mara atau Felda bantu pelajar persendirian di Mesir

PANDANGAN MALAM                                                                                   

Dua hari lepas saya bersarapan pagi dengan seorang wakil rakyat BN asal Kelantan. Walaupun antara kami sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi sesekali ada juga kami bersua muka. Dan bila bersua muka banyaklah perkara diperkatakan, ada yang serius mengenai masalah negara dan politik serta soal-soal yang rengan termasuk juga hal ehwal keluarga. Kebetulan saya dengan wakil rakyat berkenaan ada bau-bau bacang.

Entah kenapa, topik yang turut terbual pagi itu ialah mengenai nasib pelajar persendirian dalam bidang perubatan (doktor) di Timur Tengah khususnya di Mesir. Wakil Rakyat itu menimbulkan soal nasib pelajar persendirian itu yang tidak mendapat bantuan atau pun perhatian daripada pihak kerajaan.

Beliau telah mengajukan masalah ini kepada Menteri Pendidikan untuk dipedulikan dan tidak diabaikan begitu sahaja memandangkan kesemua mereka yang melanutkan ilmu perubatan di Mesir terdiri daripada anak berbangsa Melayu. Menurutnya adalah wajar kalau kerajaan mempedulikan nasib mereka atas semangat nasionalisme.

Wednesday, October 22, 2014

Tindakan tatatertib ke atas Saari "cacat" pelembagaan?

KOSENTRASI                                                                                                    

Saari Sungib
Seorang daripada dua ahli Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) yang digantung keahlinya kerana menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor akan mengemukakan rayuan berkaitan perkara itu pada Isnin depan.

Menurut laporan Saari, akan mengemukakan rayuan itu sendiri ke Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut. Tindakan Saari itu suatu yang terpuji dan membuktikan yang beliau tidak ada niat untuk merosakan parti seperti ditohmahkan sesetengah pihak termasuk sebagai tali barut Umno.

Sekiranya beliau ada nawaitu sudah tentu beliau tidak mengemukakan rayuan dan beliau boleh memilih parti komponen Pakatan lain seperti PKR atau DAP.

Tuesday, October 21, 2014

Diskusi dan kritikan terhadap buku saya, satu penghormatan

SARI BUDI                                                                                                         

Jarang sekali buku saya diberi penghormatan seperti penulis besar dan hebat lain, dengan mendapat sorotan dan ulasan sebegitu rupa. Sepanjang saya menerjunkan diri dalam dunia penulis buku politik, hanya sekali sahaja saya mendapat penghormatan yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup. Majlis yang saya maksudkan itu ialah perlancanran buku saya berjudul "Tuanku Sultan Ismail Petra: Idealisme dan Keperihatian Kepada Agama dan Bangsa", yang diterbitkan pada tahun 2001.

Sebahagian yang hadir pada wacana di Alor Setar.
Untuk buku itu saya mendapat penghormatan dua majlis, perlancaran oleh oleh Tuanku Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra pada sebelah paginya manakala majlis santapan malam sempena pelancaran buku berkenaan pada malamnya.

Majlis itu penuh kemeriahan. Majlis makan malam diriai dengan persembahan nyanyian Brorey Romantika daripada Indonesia yang dibayar sebanyak RM10,000 untuk tiga buah lagu. Betapa tidak gembiranya, semua pegawai tinggi kerajaan, hadir selain daripada MB, TMB, para Exco dan orang-orang kenamaan lain.

Ismail Hussein: Hilang sejalur sinar

BELASUNGKAWA                                                                                          

Saya bersama Allahyraham pada tahun 2002.
Seorang lagi sasterawan dan pejuang bahasa terbilang negara telah pergi meninggalkan kita dan negara buat selama-lamanya. Tepat jam 9:20 minit malam tadi, bekas Ketua Satu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Ismail Hussein telah kembali ke Rahmatullah.

Allahyaraham menghembuskan nafas dalam usia 82 tahun dengan meninggalkan seorang balu Rogayah Abdul Rashid dan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan.

Ismail Hussein merupakan seorang Profesor antara tokoh akademik yang sangat mencintai bahasa dan menjadi pejuang sastera. Lebih separuh daripada hidupnya dihadiahkan untuk memajukan kesusteraan dan persuaratan bangsa negara.

Monday, October 20, 2014

Jangan kita berbalah fasal anjing

DAKWAT SENJA                                                                                              

Nasib baik juga ada isu anjing kalau tidak perjalanan (penerbangan) pulang saya dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sore tadi menjadi panjang. Isu anjing menyebabkan pernerbangan selama 1 jam 10 minit itu menjadi pendek. Semacam saya berasakan saya tiba di Subang sebelum kapal terbang itu mendongak ke udara. Tau-tau pengumuman kapal akan mendarat berkemundang di atas kabin menyedarkan lamunan saya.

Gambar Hiasan.
Semua itu ialah kerana isu anjing yang membengkak dan panas dalam kepala.

Sejak selepas chechk-in sebaik saya membaca facebook dan mengintai beberapa blog dan portal berita sementara menanri kapal tiba, kepala saya sudah tersimpul dengan isu anjing - program I Want to Touch a Dog yang diadakan di Petaling Jaya itu meyendak dalam minda. Otak serabut membaca pelbagai komen dan pandangan yang bernafas memperli, mengejek dan juga memaki hamu program berkenaan.


Friday, October 17, 2014

Cabaran Pesuruhjaya Pas Terengganu terhadap Phahrorazi tidak bijak

BINGKAS ULAS                                                                                               

Pesuruhjaya Pas Terengganu Satiful Bahri Mamat mencabar bekas Exco Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi yang dianggap menjadi presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) agar menubuhkan parti baru dan keluar daripada Pas untuk menguji sejauh mana kewibawaanya.

Satiful Bahri Mamat
Phahrolrazi Mohd Zawawi
Satiful Bahri kurang senang dengan Phahrolrazi yang menggerakkan NGO berkenaan yang pada tanggapannya untuk menyaingi Pas. Katanya tindakan Phahrolrazi itu yang menumpang Pas sebagai pohon dedalu yang menumpang hidup di pokok lain.

Anih dan ajib juga kenapa Satiful Bahri begitu "murih" sekali kepada PasMa. Sebelum ini Pas Terengganu membuat kenyataan melarang ahlinya menyertai PasMa. Kenapa memaksa Phahrolrazi menubuh parti baru untuk berdepan dengan Pas. Apakah dia lupa sejarah Phahrolrazi dan juga tujuan PasMa itu ditububuhkan. Cuba fahami dan hayati untuk apa PasMa itu ditubuhkan?

Thursday, October 16, 2014

Azmin mula semak projek diragui ketelusannya di Selangor

ULASAN MALAM                                                                                           

Menteri BesarSelangor yang baru Mohamed Azmin Ali sudah mula membuat semakan terhadap beberapa projek yang diluluskan ketika Abdul Khalid Ibrahim menjadi MB Selangor yang mana diragui akan ketelusannya. Salah satu projek yang menjadi perhatian Azmin ialah pembinaan loji rawatan air, Langat 2.

MB Selangor Azmin
Semakan yang dibuat oleh Azmin terhadap projek itu, ialah pembelian alat rawatan air untuk projek itu yang terlalu mahal dimana ia tidak diperlukan memandangkan air yang hendak dibersihkan tidak mengalami pencerman teruk sehingga ke tahap 4.

Azmin persoalankan, kenapa kerajaan perlu menggunakan Granular Actived Corban (GCA) iaitu proses dual media, satu spesifikasi menggunakan teknologi yang tinggi dimana memerlukan nilai bayaran yang tinggi.

Persoalnya, walaupun GAC digunakan di negara maju, ia dipersoalkan kerana seolah-olah memberi maksud punca iar yang disalurkan daripada Pahang ke Selangor tercemar di tahap 4.

GST Tengku Razaleigh juga tidak setuju

SUSUPAN PETANG                                                                                         

Bukan sahaja ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak setuju dan sangsi dengan pelaksanakan GST bakal membebankan tanggungan rakyat, tetapi bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah juga mempertikaikan pelaksanaan GST.

Tengku Raqzaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh meragui dengan pelaksanaan cukai itu yang dicadangkan pada April tahun depan, dengan menganggap ianya tidak patut kalau bertujuan untuk membayar hutang kerajaan.

Menurut ahli parlimen Gua Musang itu juga masalah cukai bukan perkara mudah kerana ia melibatkan wang rakyat, dan kalau ia digunakan untuk kumpul duit bagi membayar hutang kerajaan ia sesuatu yang salah.

Beliau bimbang bila GST dikenakan dalam keadaan sekarang menyebabkan kos kehidupan akan meningkat dan ini membebankan rakyat. Tengku Razaleigh memberi pandangan itu dengan mengambil kira kemampuan rakyat.

Buku saya sudah panas, saya sudah dikecam

SELANG MASA                                                                                                

Buku - Inside Story: Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah, sudah panas. Sudah ada orang kritik dan membuat tohman mengatakan saya cuba memutarkan fakta dan banyak melakukan penipuan. Tidak perlu untuk saya menjawab tuduhan berkenaan di sini, tetapi pembaca yang bijak dan tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak akan dapat menilainya dengan baik dan penuh rasional.

Sehubungan itu dua program telah diaturkan untuk membedah ataupun memperkatakan buku saya itu. Satu akan berlangsung di Senawang Negeri Sembilan pada 18 Oktober ini manakala satu lagi akan berlangsung di Alot Star Kedah.

Mungkin majlis itu ada manfaat kepada mereka yang keliru atau pun rasa tidak puas dengan buku berkenaan untuk berhadapan dengan saya secara bersemuka baik untuk memperbetulkan mana-mana fakta yang salah ataupun memohon penjelasan mana-mana fakta yang kurang jelas atau tidak yakin yang terdapat dalam buku berkenaan.


Wednesday, October 15, 2014

Tamrin hantar surat keluar Pas

TERKINI TERLEPAS                                                                                       

Saya baru menerima panggilan telefon daripada Tamrin Ghaffar yang memaklumkan beliau baru sahaja menghantar surat memaklumkan telah menarik dairi dari menjadi ahli Pas. Katanya surat itu diserahkan dengan tangan di ibu pejabat Pas Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Saya nak maklumkan kepada you saya baru sahaja menyerahkan surat penarikan diri saya sebagai ahli Pas di pejabat Pas di Jalan Raja Laut," kata Tamrin tenang. Surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Pas Mustafa Ali itu diterima oleh salah seorang kaki tangan ibu pejabat Pas.

Dalam pada itu menurut Tamrin beliau juga bertemu dengan beberapa pemimpin Pas di parlimen minggu lalu sambil memberi pandangan berhubung masalah atau kelamahan dalam kepimpinan Pas beliau membayangkan rasa kurang selesa beliau dengan Pas ekoran perkembangan dalam parti agama berkenaan terutamanya dengan sikap presiden.

Keputusan Tamrin itu diambil sesuai dengan apa yang saya catatkan dalam blog dua hari lepas. Kepada Tamrin diucapkan selamat bebas sebagai ahli politik tanpa parti. [wm.kl.12:58 pm 15/10/14]

Tuesday, October 14, 2014

Tidak perlu larang ahli Pas sertai PasMa

SUSUPAN PENTANG                                                                                      

Larangan tidak rasmi (berbentuk personal) telah dikeluarkan oleh pemimpin Pas agar ahli parti agama itu tidak terlibat dengan kegiatan Persatuan Ummah Sejahtra Malaysia atau PasMa. Setiausaha Majlis Syura Ulamak (MSu), Nik Zawawi Nik Salleh dan Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, antara pemimpin yang mengeluarkan nasihat agar ahli Pas tidak terlibat. Agak garang juga nasihat mereka?

Tidak ada alasan kemas yang diberikan melainkan kerana rasa bimbang dengan hala tujuan PasMa yang dianggap berusaha untuk menjatuhkan presiden Abdul Hadi Awang. Sebenarnya ahli Pas tidak perlu dilarang daripada melibatkan diri dengan PasMa. Pas tidak perlu takut dengan kemunculan PasMa yang semua orang jelas akan tujuan dan maksudnya.

Kita harus percaya kepada matlamat PasMa adalah untuk menjadi benteng kepada Pas agar tidak keluar dari Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat suatu pakatan yang perlu diperkuatkan sekiranya mahu melihat perubahan politik dan pentabiran negara ini. Pakatan Rakyat bukan hak sendirian berhad sesiapa.

Bukan senang untuk ke Makkah

KISAH NAIK HAJI                                                                                      

Semua orang Islam bercita-cita untuk mengerjakan Haji ataupun naik Haji. Naik Haji merupakan rukun ke lima dalam rukun utama dan wajib menjadi kepercayaan dan keyakinan umat Islam. Empat rukun utama lain ialah pertama, Syahadat, kedua, Solat lima waktu, tiga, berpuasa di bulan Ramadhan dan keempat, mengeluarkan Zakat fitrah.

Rukun kelima iaitu Haji merupakan yang agak longgar kerana ia menetapkan kewajibannya kepada mereka yang mampu sahaja baik dari sehi kewangan dan jasmani.

Seorang Islam yang sempurna tidak akan merasakan keIslamanya syumul sekiranya mereka tidak mengerjakan Haji. Lantaran itu umat Islam yang insaf dam mahu menyempurnakan dirinya akan berusaha sedaya upaya untuk ke Makkah. Sekiranya keadaan jasmani mereka tidak mengizinkan (ada mempercaya Haji mereka boleh dilakukan dengan caca badal, atau upah), akan diupah. Biasanya mereka berkemampuan tetapi tidak sempat mengerjakan Haji akan melakukan badal Haji.

Monday, October 13, 2014

Harap Tamrin tidak tinggalkan Pas

HARAP HARAP                                                                                                

Sewaktu berkhalwat di Tanah Suci Makkah saya menerima SMS daripada sahabat saya Mohd Sobree Shafei yang memaklumkan yang sahabat bernama Tamrin Ghafar (foto) hendak keluar Pas. SMS Sabree itu juga menyatakan Tamrin "marah-marah" kepada saya kerana ke Makkah tanpa memberi tahunya. Memang saya mengaku, saya ke Makkah tanpa memberi tahu sesiapa secara rasmi kecuali meminta restui ibu di kampung.

Apa hendak saya tarik perhatian di sini bukan soal ke Makkah tidak memberi tahu kawan, tetapi desas desus mengatakan anak bekas Timbalan Perdana Menteri itu hendak keluar Pas. Kenapa dan apakah beliau serius? Atau pun sekadar acahan sahaja kerana kurang berpuas hati dengan sesuatu yang berlaku muasir ini dalam Pas.

Sebenarnya sebelum berangkat ke Makkah, Tamrin sudah meluahkan rasa kurang senang dia dengan Pas. Beberapa catatannya dalam whasaap dan SMS memberi gambaran dia sudah serabut dengan Pas. Dia terejut dan tidak sangka dengan yang berlaku bila dipadankan Pas sebagai parti Islam. (Sebenarnya parti agama).

Sunday, October 12, 2014

Saari, Hasnul perlu rayu keahlian mereka


BUAH PERTAMA                                                                                            

Keputusan Pas mengambil tindakan ke atas dua Adunnya Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) mungkin timbul rasa tidak puas hati sesetegah pihak dalam Pas. Kedua Adun berkenaan juga tentu berasakan tidak adil tindakan dikenakan ke atas mereka.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas hari ini memutus menggantungkan keahlian mereka selama setahun, bagaimana pun keahlian mereka sebagai ahli Pas masih kekal. Mereka mempunyai masa 15 hari untuk merayu kepada Majlis Syura Ulamak (MSU).

Saya sudah kembali dari Makkah

PEMAKLUMAN                                                                                                

Tepat jam 2:10 petang semalam pesawat SV 832 yang membawa kira-kita 400 orang penumpang kebanyakan jemaah Haji termasuk saya, selamat mendarat di lapangan terbang KLIA Kuala Lumpur. Ketibaan agak lewat hampir satu jam. Bagaimana pun Alhamdulilah di sepanjang penerbangan selamat dan tidak ada apa-apa kejadian menggerukan terjadi.

Bergambar dengan rakan sebilik selepas bertahalul.
Cuma beberapa minit selepas roda pesawat itu meninggalkan landasan, di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah kepala saya terkenangkan nasib MH370 dan juga MH17, pesat yang hilang dan sebuah lagi yang dibedil sampai hancut lebur. 

Semasa di Makkah tatkala menguntaikan beberapa doa sempat juga saya memunajakkan agar Allah menyelamatkan mangsa pesawat berkenaan dan mana-mana yang telah kembali ke Rahmatullah diberikan kesejahtraan rohnya di dunia dan akhirat. (Khas yang beradama Islam).