Showing posts with label Tengku Razaleigh Hamzah. Show all posts
Showing posts with label Tengku Razaleigh Hamzah. Show all posts

Monday, June 3, 2024

Tengku Razaleigh terlalu baik jadi mangsa kejujurannya sendiiri

 ULASAN MEMOIR KU LI

Menerima hadiah MKU205 
daripada Khir Nagdiron.
ALHAMDULILAH baru selesai baca dan menghayati buku Memoir KU LI 205 kerana terlalu ralik menulis memoir sendiri dengan ahli politik Malaysia, menjadikan pembacaan MKL 205 ini terinsut-insut sedikit. 

Pembacaan silih berganti dengan menulis, menulis satu bab, baca memoir ini satu bab. Selalu saya kalau sedang menulis saya tidak akan campur dengan pembacaan bahan lain, sebab ia boleh menganggu kemunculan idea.

Hanya baru semalam dapat memberi tumpuan, menghayati dengan tenang dan serius. Terima kasih kepada sdr Mohd Khir Nagdiron yang menghadiahkan buku ini. Nasib baik terjumpa dengan Khir dihari peluncuran buku Wagyu Bukan Sekadar Lembu karya Husam Musa, (28 Mei 2024) dapat buku ini. 

Memang pun saya berhajat untuk mendapatkan buku ini, saya sudah pun sedikit penasaran apabila tidak hadir dihari peluncuran tempoh hari yang dilakukan oleh Musa Hitam, kerana tiada maklumat mengenai majlis itu. Tiba-tiba sdr Khir menghadiahkan memoir ini, ia sangat membahagiakan saya, bagaikan orang mengatuk disorong bantal saya menerimanya.

Terima kasih dan tahniah juga kepada penulisnya Zainatulniza Abdul Kadir dan seluruh karyawan penerbitan buku yang sangat berharga ini. Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM Alumni) bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Tengku untuk mengusahakan penerbitan memoir ini. 

Ia satu penghargaan tinggi kepada penulis dan seluruh karyawannya, kerana bukan senang untuk Tengku memberi kepercayaan dan peluang menulis memoirnya. Tengku seorang yang sangat merendah diri dan tidak suka pencapaian dan kehebatannya ditonjolkan, kerana itu beliau menolak permintaan beberapa penulis sebelum ini yang ingin menulis memoirnya. Seingat saya hanya ada sebuah bukan tentang Tengku berjudul Razaleigh: Cita Cita dan Perjuangan oleh Ranjit Gill. Buku itu sajalah menjadi kamus kecil mengenai Tengku.   

Dengan terbitnya memoir ini sedikit sebanyak segala rahsia, kehebatan dan pencapainnya dapat diketahui umum. Merka yang sebelum ini terintai-intai citera politik Tengku di sebalik tabir akan dapat melihat secara nyata dengan ada memoir ini. Memoir ini memberi suatu maklumat baru, atau mengesahkan seribu cerita tentang Tengku yang diketahui secara lisan sebelum ini. Kalau pun tidak kesemua sekali, tetapi sebahagian bab penting terkandung dalam memoir ini. Tidak mungkin dalam sebuah memoir dapat merangkul semua peritiwa dan ingatan, sebab itu selepas ini harus ada lagi memoir kedua atau ketiga Tengku.

Sesebuah memoir itu adalah pernyatan jujur tidak melindungi kebenaran dan sedia mendedah kepahitan. Tiada tokok tambah dalam memoir kecuali kekhilafan fakta. Memoir adalah sebuah cermin besar yang telus dan bening. Justeru sekiranya dalam memoir ini ada menyentuh mana-mana individu dan pihak, maka ia dianggap sebuah maklumat  baru yang kemudian perlu dijawab jelaskan. Keindahan dan kehebatan sesebuah memoir itu apabila ia disanggah dan diperbetulan oleh  mereka disebut dalam memoir itu, menjadi polemik yang akan menyempurnakan lagi ingatan. 

Ada beberapa sudut atau segmen dalam memoir ini terkena dan terkait langsung kepada seseorang, biar saya sebut langsung, Mahathir Mohahamd dan Musa Hitam. Kedua mereka mereka adalah rakan, sahabat dan pesaing Tengku dalam politik UMNO. Kebetulan kedua mereka masih ada dan sihat.

Dalam memoir ini Tengku mendedahkan hubungan beliau dengan Mahathir sebagai kawan dan politician yang dikagumi dan dihormatinya kerana Mahathir lebih tua daripadanta. Dia punya hubungan baik dan sangat menghormat Mahathir. Namun apa dilakukan itu ia seperti tidak dihargai Mahathir, apabila Mahathir seperti mempermainkannya. Inilah yang menyebablkan perasaan kita terhimbau dan berbaur sedih, marah dan geram sepanjang membaca ingatan ini.

Ada hal-hal disebut Tengku perkara personal yang boleh menghitamkan kanvas hidup Mahathir sebagai negarawan terutama dalam hal perebutan jawatan dalam UMNO, macam mana Mahathir mempermainkannya. Dalam kata bahasa kesat telah menipunya beberapa kali secara politik. Antaranya menurut Tengku, Mahathir berjanji untuk melantiknya sebagai timbalan perdana menteri sekiranya dia jadi PM. Sebelum itu Mahathir menyatakan dia tidak berpihak dalam menyokong mana-mana calon yang bertanding merebut jawatan timbalan presiden UMNO di antara dia dengan Musa Hitam, hakikatnya Mahathir berpihak kepada Musa.

Memoir ini juga menyebut bahawa Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn tidak senang dengan Mahathir Mohamad. Ingatan disebut Tengku ini mencalar kesucian Mahathir yang menuntut penjelasan daripada bekas PM itu. Ini saya katakan, sesebuah memoir itu mendedahkan sesuatu yang kita ingat, tetapi dilupai oleh mereka yang lain dimana menjadi haknya untuk mempenyempurnakan ingatan itu. Sebuah memoir yang baik bukan menceritakan segala kebaikan kita tetapi kebaikan orang lain juga.

Mengenai tanggapan dan dakwaan Tengku kepada Mahathir itu kita berharap ia akan dijawab oleh Mahathir di masa akan datang. Inilah saya katakan keindahan sesebuah memoir.

Apakah benar begitu atau sebaliknya terhadap apa-apa yang dinukikan itu. Dalam memoir Mahathir sebelum ini beliau tidak pernah menceritakan secara rinci perihal perebuatan jawatan dalam UMNO khasnya di antara Musa dengan Tengku Razaleigih serta peranan yang dimainkan beliau. Mahathir seakan mengabaikan pergelutan dalam UMNO. Nah, kali ini apabila Tengku mengungkit kisah silam yang hitam itu memberi peluang untuk dijawab oleh Mahathir.

Tidak puas membaca.

Bab memoir dengan Tengku 
Razaleigh dalam proses editing.
Tidak puas saya membaca memoir setebal 339 muka surat yang mengandungi 15 bab ini. Teknik
penulisan juga menarik kerana ia diselang seli dengan neratif dan petikan kata Tengku. Kesemua bab dibentangkan menarik penuh dengan fakta, ratusan bahan rujukan, ia menceritakan permulaan penglibatan Tengku dalam politik sejak belum merdeka tahun tahun 1957 hingga 1982, kira-kira 25 tahun. Tempo atau periode itu tidak mencukupi kerana Tengku membabitkan diri lebih lama dan panjang daripada itu kira-kira lebih 60 tahun. Tengku tidak "koma" selepas tewas dengan Musa tetapi bersambung lebih hebat selepas itu apabila beliau menentang Mahathir. 

Kalau boleh dinamakan kekurangan, "sedikit" kekurangan memoir ini ialah penyajian gambar-gambar dalam bentuk hitam putih itu kurang berkualiti dan memuaskan kerana siaznya (mungkin) sengaja dikecilkan. 

Tengku seakan menghentikan pengisahannya sejak kalah dalam merebut jawatan Timbalan Presiden dengan Musa Hitam tahun 1981. Beliau kalah sebanyak 205 undi. Kenapa buku ini ini dinamakan Memoir 205 ialah kerana Tengku kalah 205 undi dengan Musa Hitam untuk jawatan timbalan presiden angka itu sangat singnifikan baginya, mengagalkan beliau menjadi timbalan perdana menteri yang memungkinkan akan menjadi PM.

Memoir ini selain daripada dapat mengetahui perjalanan runcing Tengku dalam UMNO, ia memberi pengajaran kepada umum khusunya mereka mahu berkecimpung dalam politik serta mahu mengenali dan mempelajar ilmu politik. Dengan membaca memoir Tengku ini, kita boleh belajar bagaimana rencamnya dunia politik itu, busuk dan kotornya aksi orang politik serta mengetahui peri kejujuran seseorang dan juga nilai persahabatan dalam politik. 

Kejujuran dan ketulusan dalam politik kadangkala menjadi musuh menyebabkan seseorang itu akan kecewa tidak mendapat apa yang dikehendaknya. Bahawa politik itu perlu ada pengkhianatan, menikam belakang dan tidak jujur kepada diri sendiri, baru ia berjaya. Prinsip matlamat menghalalkan cara (Machiavellisme) harus ada dalam politik jika mahu berjaya. Walaupun cara itu salah, bertentangan dengan moral dan agama, tetapi itulah poliotik yang dilakukan oleh rakan dan sahabat Tengku, (Musa dan Mahathir) yang kemudian membawa kejayaan mereka mengatasi Tengku. 

Intipati memoir 205 ini mendedahkan bagaimana licit dan licinnya dua sahabatan Tengku, Musa Hitam dan Mahathir, disamping mendedahkan moral politik dan tangungjawab negarawan seperti Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn. Mereka itu tulus dan ikhlas dengan Tengku, malahan makrifat dengan alam politik sampai mereka mengenali siapa yan jujur dan tidak. Misalnya Hussein Onn lebih mempercayai Tengku daripada Mahathir, malah sudah pun menawarkan jawatan PM kepada Tengku namun kerana nilai budinya tinggi ditolak.

Secara ringkas intipati dan masej memoir ini saya dapat menyimpulkan begini untuk dijadikan pengajaran politik;

a) Jangan terlalu merendah diri dan khlas dalam politik kerana ia tidak akan dikenang dan dihargai. Jiwa hamba yang tulus dalam dunia politik sangat sedikit.

b) Apabila ada peluang dalam politik, terus sambar jangan berfikir banyak kali apa lagi memikirkan nasib orng lain. Utamakan diri sendiri terlebih dahulu baru memikir nasib orang lain. Sebab dalam politik tiada tawaran kedua kali, ertinya tidak ada pemenang loteri ditempat pertama dua kali. Dalam politik perlu selfish bukan saja selfie.

c) Jangan sama sekali percaya kepada seseorang hatta dia adalah kawan baik kita sendiri, kerana dalam politik, sumpah dan janji bukan untuk ditepati,  tetapi untuk dimungkiri. Janga merasaka mustahil dengan tindakan orang politik.

Tengku adalah seorang yang sangat ikhlas, tidak mementingkan diri dalam perjuangannya (UMNO). Beliau terlalu baik dan mempercayai orang. Beliau menjadi mangsa kebaikan dan kejujurannya sendiri. Sikap atau pendekatan sebegini menyebabkan beliau  berada dipihak kalah dan merugikan. Namun dengan sikap, pembawaan dan keikhlasan serta keperyaan pada prinsipnya itulah menjadikan Tengku seorang yang mempunyai WISDOIM yang tinggi. Tengku adalah cermin besar untuk dilihat dan dicontohi oleh anak bangsa. 

Atas jasa, kebaikan dan wibawa itu adalah elok kalau kerajaan Madani dibawah pimpin Anwar Ibrahim hari ini menganugerahkan gelaran darjah tertinggi negara yang membawa gelaran TUN sebagai tanda menghagai insan kamil ini kalau pun tidak mahu menjemput Tengku ikut berperanan dalam kerajaan sesuai dengan pengalaman dan kepakarannya yang ada. [wm.kl. 8:53 am 03/06/2024]

Thursday, June 14, 2018

Harap Tengku Razaleigh tidak termakan hasut

PENDAPAT

HENDAKLAH saya memberi sedikit komen dan ulasan berkaitan jawatan presiden Umno. Jawatan itu kini kosong selepas ia ditinggal paksa oleh Najib Razak sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan “kubra” BN dalam Piraum 14 lalu.

Ekoran peninggalan Najib itu maka Zahid Hamidi yang sebelum ini, menjalankan tugas-tugas timbalan presiden mengambil alih tanggung jawab ke atas Umno. Beliau sekali lagi mengambil alih untuk menjalankan tugas-tugas sebagai presiden Umno. Tanggungjawabnya sebagai timbalan presiden bersifat sementara kerana ia tidak pernah diendorse dalam perhimpunan agung Umno.

Tampaknya Zahid terus naik pangkat secara mudah dalam Umno. Ini mungkin berkat Ramadhan tahun ini.

Sunday, March 27, 2016

Apakah upah setimpal Najib untuk Tengku Razaleigh?

SESUDAH SUBUH

Tengku Razaleigh tandatangani deklarasi 
sokong Najib bersama Umno Kelantan.
Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi mempamerkan politik tersendirinya, keluar dari mainstrem dan cuba berdiri atas prinsip yang ramai orang tidak faham. Pada saat orang mengharap beliau bersama rakyat untuk menggerudi supaya Najib Razak berhenti daripada menjadi PM, beliau bertindak memberi sokongan kepada Najib.

Orang tidak menimbulkan persoalan dan prajudis kepadanya kalau beliau bersikap tegas dan konsisten daripada awal berhubung kedudukan Najib. Pada satu masa Tengku Razaleigh menunjukkan ketidaksetujuan kepada Najib ekoran pelbagai masalah dihadapi Najib yang membebankan rakyat dan negara.

Wednesday, July 15, 2015

Tengku Razaleigh seru henti bertengkar yang tidak berfaedah

PERUTUSAN                                                                                                      

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyeru rakyat Malaysia khasnya mereka yang prihatin dengan masalah negara agar berhenti berbalah serta bermain politik sebaliknya merapatkan saf dan berkerjasama mempertingkatkan keupayaan dan potensi dalam membangun negara.

Tengku Razaleigh Hamzah
Dalam perhatian Tengku Razaleigh, perbalahan dan pertengkaran tidak memberi apa-apa faedah kerana ia tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku. Beliau merujuk kepada beberapa isu kewangan yang melanda negara dan sangat menekan rakyat seperti 1MDB dan GST yang sudah menjadi buah mulut.

Tengku Razalegh membuat seruan itu dalam perutusan khas sempena menyambut Hari Raya Aidifitri 2015 yang dikeluarkan malam ini.

Berhubung dengan kemelut kewangan seperti isu 1MDB, beliau berharap semoga akan ada budiman yang bermaruah untuk memberi keterangan dan penjelasan bersabit isu itu untuk mententeramkan keadaan.

Thursday, October 16, 2014

GST Tengku Razaleigh juga tidak setuju

SUSUPAN PETANG                                                                                         

Bukan sahaja ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak setuju dan sangsi dengan pelaksanakan GST bakal membebankan tanggungan rakyat, tetapi bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah juga mempertikaikan pelaksanaan GST.

Tengku Raqzaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh meragui dengan pelaksanaan cukai itu yang dicadangkan pada April tahun depan, dengan menganggap ianya tidak patut kalau bertujuan untuk membayar hutang kerajaan.

Menurut ahli parlimen Gua Musang itu juga masalah cukai bukan perkara mudah kerana ia melibatkan wang rakyat, dan kalau ia digunakan untuk kumpul duit bagi membayar hutang kerajaan ia sesuatu yang salah.

Beliau bimbang bila GST dikenakan dalam keadaan sekarang menyebabkan kos kehidupan akan meningkat dan ini membebankan rakyat. Tengku Razaleigh memberi pandangan itu dengan mengambil kira kemampuan rakyat.

Sunday, July 20, 2014

Tengku Razaleigh yang tidak pernah berdendam..

CATATAN                                                                                            

Tengku Razaleigh disayangi pengundinya. Foto 2013.
Malam tadi untuk kesekian kalinya saya beriftar Ramadhan di rumah Tengku Razaleigh Hamzah. Alhamdulilah saya termasuk dalam senarai tetamu Ramadhannya. Hampir setiap tahun sejak lebih 10 tahun lalu saya diundang berbuka dan berterawih di rumahnya. Hanya kalau saya kebetulan tidak ada dalam Malay sahaja, saya akan absen majlis penuh bahagia dan berkat itu.

Sepanjang Ramadhan menjadi amalan Tengku Razaleigh mengundang rakan-rakan dan kerabatnya berbuka di rumahnya. Sebagai seorang pemimpin politik dan pernah menjadi jemaah menteri, beliau mempunyai ramai kawan dari berbagai golongan, politician, bisnesmen, korporat dan rakan-rakan sosial lain seperti ketua-ketua Ngo, penulis dan pemerhati politik.

Sunday, September 8, 2013

Tengku Razaliegh Boleh Jadi Presiden Kalau Ahli Umno Berani

PANDANGAN SUBUH                                                                          

Jumaat lalu Tengku Razaleigh Hamzah telah mengadakan sidang akhbar di rumahnya di Langgak Golf Kuala Lumpur. Jarang sekali Tengku memanggil sidang akhbar. Apabila beliau membuat sidang akhbar adalah hal-hal tertentu yang beliau merasakan penting untuk diperkata dan diperjelaskan. Ideanya untuk membangun negara dengan memberi pandangan dan sebagainya juga hanya tersalur menerusi sidang akhbar.

Kenapa dikatakan penting, kerana kalau tidak penting beliau tidak panggil sidang akhbar, beliau boleh bercakap kepada kawan-kawan rapatnya sahaja kemudian mereka akan tolong sampaikan kepada wartawan atau direct kepada sasarannya.

Dalam sidang akhbar itu beliau bercakap mengenai beberapa topik termasuk isu semasa. Soal kenaikan bahan bakar (petrol dan diesel) 20 sen seliter. Baginya kenaikan itu wajar dan sesuai kerana rakyat tidak perlu bergantung sangat kepada subsidi kerajaan. Perkara ini sudah lama menjadi pegangan Tengku Razaleigh, rakyat harus independent dari bergantung kepada kerajaan.

Tuesday, April 2, 2013

Tengku Razaleigh Boleh Bantu PR Memerintah

DIALOG MALAM                                                                                                            

Malam tadi semasa keluar minum dengan seorang teman (yang insya-Allah akan bertanding dalam pilihan raya akan datang) saya terserempak dengan salah seorang Jeneral (B) askar yang baru menyertai PKR. Bersamanya tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menjadi penggerak acara Sumpah Pemuda yang digerakkan oleh bekas ketua AMK yang kini sudah menjadi usang dan sedang memakan hati berulam jantung dalam Umno.

Razaleigh: Ada undi penentu.
Pemuda berkenaan bertanya saya secara terus terang mengenai situasi negara hari ini dan iklim politik kontemporari. Dia mahu saya menjawab secara jujur sebagai seorang pencerat dan penulis politik kerdil. "Abang bagaimana pandangan abang mengenai situasi keseluruhannya?" Soal beliau.

"Maksudnya dalam PKR atau pun keseluruhan negara?" tanya saya inginkan kepastian dari sisi mana yang diingini.

"Seluruh negara, kedudukan terkini?" katanya menjelaskan isi maksud persoalannya. Saya melihat kepada Jeneral yang baru berkubang dalam politik itu. Saya tidak mahu dia terkejut dengan jawaban saya yang boleh menjungkitkan punggungnya. Semangatnya untuk menumbangkan UBN jangan pula terjejas dengan jawaban saya. Saya pula suka berterus terang walaupun cara itu tidak disenangi. Bagi saya berterus terang lebih baik dari segala-galanya.

Saturday, July 28, 2012

Lagu Mana Tengku Razaleigh Hamzah?

IFTAR POLITIK

Orang-orang ini yang melakukan pengkhinatan kepada parti dan pecah amanat terhadap rakyat dan pengundinya apabila mereka meninggalkan parti dan mengoyakkan lambang yang membawa kemenangan mereka dalam pilihan raya umum ke-12 lalu mungkin tidak perlu ditanya lagi mengenai nasib mereka pada pilihan raya akan datang.

Hujung jatuh mereka sudah dapat diramalkan awal-awal lagi, selepas ini mereka akan jadi seperti kerangka layang-layang atau wau yang putus tali dan tersangkut didahan tinggi. Mereka tidak akan dipeduli sesiapa lagi.
Tengku Razaleigh meletakkan dirinya dalam berteka-teki.

Mereka akan kering begitu saja dan tinggallah kerangka di atas dahan kering itu yang tidak sudi pun disentuh dan disapa sesiapa, hatta burung hantu. Ada sekurang-kurang tujuh atau lapan orang yang kini hayat politiknya macam wau terdangkut di dahan tinggi.

Antara mereka ialah Inchek Ibrahim Ali, (Pasir Mas) yang bertanding atas lambang Pas. Sebelum ini beliau berjanji akan bersetia dan menyokong Mursyidul Am Pas, kemudian berpaling tadah sambil memancar kencing kepada tokoh spritual Pas itu. Setiap hari dan masa beliau disumpah dan dihina oleh penyokong dan ahli Pas.

Yang lainnya ialah wakil rakyat 9/10 yang bertanding atas tikit PKR di Kulim - Bandar Baru. Hanya semata-mata kerana untuk menjaga elaun dan mendapat sedikit upah wakil rakyat 9/10 ini sanggup mengkhinati dan pecah amanat kepada partinya. Untuk menunjukkan dia benar hampir setiap kali bercakap dalam dewan bergubal dan bersalut pembohongan demi pembohongan.

Yang lain lagi, Abu Zaharin, Cina bernama Teng Beng, Wee Chee Keong dan lain-lain. Sudah pasti selepas ini mereka tidak akan bertanding lagi dan kalau pun bertanding peluang untuk menang setipis kulit bawang merah. Kalau bawang besar kulitnya tebal sikit.

Atas perbuatan mereka itu bukan saja rakyat dan pengundi yang memberi undi kepada mereka, membenci dan 'murih merana' tetapi saya rasa kerusi di parlimen yang mereka duduki juga ikut sama menyampah dan menyumpah mereka. Bangunan parlimen juga benci meluat melihat muka mereka dan mendengar suara mereka melakukan pembohongan dan fitnah di dewan yang mulia.

Kalaulah pintu pagar parlimen dapat bercakap dan bergerak pasti, mereka ini akan dikejar hingga ke Chow Kit Road oleh pintu pagar parlimen. Usahkan ahli parlimen lain, cicak dan lalat yang tersesat masuk dalam bangunan parlimen juga melarikan diri apabila ternampak wajah mereka bimbang takut berjangkit penyakit munafik mereka. Buruk...sekali.

Biarlah mereka dalam bungkusan sejarah buruk dan busuk. Dunia politik selamanya akan menyebut dan mengenang mereka sebagai seorang politician munafik dan oportunis. Kalau mereka mati perbuatan mereka itu tetap akan disebut dan dijadikan sepadanan hidup manusia politik. Demikianlah mereka akan dikeji bagaimana orang mengeji para diktator dan penjenayah agama dan makhluk lainnya.

Usah sebut dan kenang mereka lagi. Tetapi bagaimana dengan seorang lagi ahli Parlimen yang kedudukan dan pendiriannya kini tidak menentu. Hitam pun tidak putih pun bukan. Dia dimaksudkan itu Tengku Razaleigh Hamzah ahli Parlimen Gua Musang. Kedudukan Razaleigh menjadi tanda tanya, apakah dia akan bertanding lagi dalam pilihan raya akan datang ataupun bagaimana?

Kalau bertanding apakah dia akan terus menggunakan lambang dacing atau pun lambang lain? Umno seakan memberi laluan kepada Razaleigh. Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed ketika ditanya mengenai hal Razaleigh mengatakan tidak ada masalah kalau Razaleigh berhasrat terus bertanding atas tikit Umno. Umno sendiri mahukan kepada Razaleigh kerana dia mampu mengekalkan kerusi Gua Musang dan memberi mata kepada Umno Kelantan.

Itu perkiraan Umno terhadap Razaleigh. Umno membuat perhitungan begitu kerana parti itu merasa takut dan terus mengenang zaman kehebatan Razaleigh sebelum ini. Walhal kalau pun Umno mempertaruhkan Razaleigh belum tentu lagi anak raja itu dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi sebanyak tujuh atau lapan kali itu. Perlu diingati dalam pilih raya 1999 Razaleigh menang dengan majoriti jauh lebih rendah dengan dicapai sebelum ini.

Kenapa Umno begitu takut dan bimbang dengan Razaleigh? Di Gua Musang Umno ada banyak tokoh yang boleh diletak untuk menggantikan Razaleigh. Keadaan Razaleigh di Gua Musang kini tidak ubah seperti Quran buruk di mana masih ada pengaruh dan keramat tersendiri. Sampai bila Umno mahu menjaga Quran buruk berkenaan?

Itu dipihak Umno dalam melihat Razaleigh. Tetapi bagaimana dengan pendirian dan prinsip ahli parlimen itu sendiri. Satu masa beliau dilihat tidak sejalan dengan Umno, tetapi di dalam masa lain masih mengharap kepada Umno. Pada ketika lain beliau mengeluarkan kenyataan negatif mengenai Umno Kelantan dan keupayaan Mustapa Mohamed sebagai ketua.

Sebaliknya dimasa lain dia tetap mahukan Umno menang di Kelantan. Semasa merasmikan mesyuarat PIBG di Paloh beliau dilapor berkata menyeru orang ramai supaya memberi kemenangan kepada Umno. Sikap dan pendirian Razaleigh ini membingunkan sesetengah orang.

Bagaimana pun yang pastinya beliau ada agenda dan 'buah kilas' tersendiri. Beliau tentu sudah ada perhitungan untuk diri dan politiknya. Cuma bagi saya, saya nampak bekas menteri kewangan itu begitu sayang dengan Umno walaupun dia mengetahui Umno tidak sayang kepadanya. Apa yang dinanti oleh Razaleigh ialah keputusan pilihan raya umum nanti. Ada sesuatu yang beliau berharap kepada keputusan pilihan raya itu. Keputusan pilihan raya akan menjawab segala teka teki mengenainya.

Pada hemat saya Razaleigh menanti Umno tidak mendapat keputusan dua pertiga. Keputusan itu nanti akan ditafsirkan sebagai kelemahan Najib Razak sebagai pemimpin. Waktu inilah nanti Razaleigh akan muncul bagaikan dewa dari langit akan menawarkan diri untuk menyelamatkan Umno. Jadi boleh disimpulkan Razaleigh kini sedang menahan luka di pergentingan. Dan beliau layak untuk berbuat demikian memandangkan ketulusan dan keikhlasan perjuangan dalam Umno. Jika ahli dan penyokong Umno sayang dan cintakan Umno, Razaleighlah yang perlu memimpin parti itu.

Masalahnya apakah telahan dan ramalan beliau itu akan menjadi kenyataan. Bagaimana pula kalau selepas ini Umno menang cemerlang atau pun hilang kerajaan sama sekali. Dia garis mana ketika itu untuk Razaleigh berdiri? Kita tunggu sajalah kerana detik penentu itu bakal muncul juga? [wm.kl.11:30 pm 28/07/12]

Sunday, April 1, 2012

Catatan Akhir Mac 2

Tengku Razaleigh Tetap Disayangi Di Gua Musang

Desakan beberapa orang budak Umno Gua Musang supaya Tengku Razaleigh Hamzah berundur atau tidak dipilih menjadi calon tidak memberi bekas apa-apa kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu. Bahkan beliau tidak pun mahu komen bila ditanya mengenai hal itu.

Beliau sendiri sudah mengtehui ada 'semut-semut gatal' di Gua Musang yang mahu mengigit kakinya. Semut-semut itu tanpa disembor racun atau pun dihalau, ia akan lari dengan sendiri kerana kehebatan dan pengaruh peribadinya di Gua Musang. Budak-budak itu tidak pun berani untuk berhadapan dengan Tengku Razaleigh.

Terbukti desakan itu tidak memberi bekas. Setiap kali pulang ke Gua Musang beliau disambut seperti biasa oleh rakyat Gua Musang. Kewujudan beliau begitu lama di Gua Musang tidak memungkinkan untuk beliau akan diundur atau pun mengundurkan diri. Sebabnya mudah.. beliau berada di Gua Musang bukan untuk dirinya tetapi untuk rakyat jelata. Kenapa beliau memilih Gua Musang bukan Kota Bharu menjelaskan akan pengorbanan dan keprihatinan beliau kepada rakyat.

Semasa bersembahyang Jumaat di masjid Razaleigh (masjid yang dinamakan dengan namanya) di bandar Gua Musang saya dapat merasai akan kasih dan sayang rakyat kepada beliau. Kerendahan diri beliau dalam berhadapan dan melayani kerenah rakyat menyebabkan rakyat merasakan kewujudannya di mana-mana di bumi Gua Musang.

Paling merujakan bagaimana Tengku Razaleigh merendah diri dan tidak merasai yang beliau seorang anak raja atau pun wakil rakyat yang perlu dilayani dengan istimewa. Beliau boleh duduk bersela bersama rakyat di mana-mana saja seperti orang lain juga untuk berbincang dan menyelesaikan apa-apa masalah baik masalah umum atau masalah peribadi.

Pintu rumahnya juga senantiasa terbuka dan menjadi sebagai pejabat kebajikan. Sesiapa pun boleh datang menemuinya dan mengadu sebarang masalah.

Di masjid Gua Musang Jumaat itu saya tengok sendiri bagaimana pembawaan beliau yang tidak hipokrit dan rengkas. Tengku Razaleigh duduk bersela untuk mengadakan mesyuarat mini dengan para jawatankuasa masjid Razaleigh dan juga jemaah membincang cadangannya untuk membesar dan membaiki masjid berkenaan yang sudah berumur lebih 50 tahun.

Saya percaya beliau boleh membuat keputusan sendiri kalau pun tanpa merujuk kepada rakyat. Tetapi beliau membelakngkan kuasa itu sebaliknya mahu kata putus dari jawatankuasa dan jemaah.

"Amba ada cadangan hendak besarkan masjis ini dan memperbaiki memandangkan keadaanya sudah agak uzur dan selalu dilanda banjir. Jadi ambo hendak tanya tuan-tuan apakah yang sebaiknya untuk dilakukan.

"Apakah kita hendak perbaiki masjid ini atau pun kita bina yang baru. Untuk membina masjid baru tapaknya di tengah bandar dan tidak jauh dari sini," begitu kira-kira Tengku mengemukakan cadangannya.

Menurutnya wang untuk tujuan pembinaan itu sudah pun ada. Tidak pula dijelaskan dari mana sumbernya, namun ramai mengira wang itu adalah wangnya sendiri. Sudah menjadi rasmi dan amalannya beliau berbuat kebajikan secara senyap dan tidak menguar-uarkan kalau dia bertelor emas sekali pun.

Beliau duduk selimpuh bersama ahli jawatankuasa masjid dan mendengar pandangan balas. Beliau tidak pun membantah dan menyerah seratus peratus atas pilihan dan kehendak rakyat. Akhirnya khariah masjid bersetuju agar dibina masjid baru sambil mengekalkan masjid sedia ada untuk digunakan oleh khariah berdekatan.

Kehadiran beliau ke masjid petang itu tidak diketahui oleh kebanyakan ahli jawatankuasa. Pengumuman atau pun cadangan itu mengejutkan ahli khariah masjid.

Saya sempat bertanya beberapa orang tua yang menjadi jemaah di masjid berkenaan. Semuanya terkejut dan merasa syukur. "Begitulah perangai Ku (panggilan mesra rakyat Gua Musang) sejak dulu hingga sekarang Ku tidak suka menunjuk-nunjuk apa yang diberikan kepada rakyat," kata salah seorangnya.

Saya bertanya kepada salah seorang yang lain mengenai tindakan budak-budak Umno yang tidak mahu kepada Tengku Razaleigh... jawabnya, biarlah budak-budak itu masuk ke dalam Gua Musang dulu dan tilik muka mereka di dinding gua. Lepas berbuat begitu dia akan kenal dan tahu siapa dia Tengku Razaleigh berbanding dengan dirinya. Saya rasa budak-budak itu jenis budak cabuk yang makan cacing," katanya.

Saya tak faham apa maksud makan cacing itu.

Tidak diumum berapa peruntukan membina masjid baru itu tetapi ia dipercayai kalau tidak menandingi masjid Kesedar tetapi tentu ia sama taraf dengan masjid berkenaan. Pembinaan katanya akan dimulakan secepat mungkin dan ia bakal menjadi satu lagi mercu tanda baru Gua Musang. [wm.kl.6:06 pm 01/04/12]

Friday, March 23, 2012

Ulasan Politik

Tengku Razaleigh Hamzah
Tidak Perlu Tanding Atas Lambang Bulan

Tahun 1978 saya pernah menyatakan kepada beberapa orang kampung saya, suatu hari kelak Tengku Razaleigh Hamzah akan menyertai Pas. Salah seorang pengamat politik kampung saya (Wan Ahmad Wan Yaacob - Allahyarham) menggeleng kepala dan sambil menjebeh mulut menolak ramalan itu. Katanya; tidak mungkin Tengku Razaleigh akan menyertai Pas.

Saya tidak tahu kenapa saya ada naluri berkata demikian. Walhal usia saya ketika itu dalam belasan tahun. Kalaupun saya sudah berjinak dengan program politik, menghadiri ceramah-ceramah perdana Pas, belum layak untuk membuat ramalan berkenaan. Dalam usia remaja saya masih jauh dengan pimpinan politik mana-mana parti serta mengetahui maknawi siasah. Saya hanya penulis pingitan yang melapor hal ehwal kampung saja.

Mungkin ia instinct seorang budak pada masa itu.

Lagi pun tahun 1978 Umno baru sahaja berjaya menumbangkan Pas dengan cara huduh - tektik jahat setelah meMagerankan Kelantan terlebih dahulu. Peristiwa dan insiden tahun 1978 sudah menjadi pengetahuan umum dan ia terpacak kemen dalam kepala rakyat Kelantan khasnya yang berusia 50 tahun ke atas. Kejahatan UBN itu tidak akan lenyap dari minda rakyat Kelantan.

Mana mungkin Tengku Razaleigh akan menyertai Pas? Saya masih ingat tempat dan waktu saya meramalkan itu. Sehingga kini Tengku Razaleigh belum menyertai Pas. Tetapi tahun 1990 beliau pernah mengadakan pakatan politik dengan Pas di Kelantan. Pakatan itu sungguh memeranjatkan.

Hasilnya pakatan menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) itu membawa kemenangan bersejarah sehingga Umno tidak mendapat satu kerusi pun dalam pilihan raya umum 1990.

Nik Abdul Aziz saking gembira dan 'terkema' (tahukah terkema, terkejut dan terperagah) dengan kemenangan itu tidak dan tahu untuk mengulas bagi menjustifikasikan. Beliau hanya mampu berkata kemenangan itu adalah hasil bersatunya manusia di bumi dengan malaikat di langit. Kenyataan Nik Aziz itu ramai yang merasa ia melampau sehingga meletakkan malaikat juga menyokong Pas. Tetapi itu hakikatnya. Sijahil mengejek kata-kata Nik Aziz.

Permaufakatan Tengku RAzaleigh dengan Pas menubuhkan APU tidak siapa menyangka. Tetapi itulah yang terjadi kemudiannya. Jadi sekarang ini apakah ada kemungkinan baru, beliau akan menyertai Pas? Mustahil untuk Tengaku Razaleigh menyertai Pas, tetapi tidak mustahil kalau dia ada pakatan lebih signifiken dari itu di masa akan datang.

Keadaan politik bekas Menteri Kewangan itu kini tidak menentu. Beliau seakan hilang punca dan nasab politik dalam keadaan delima. Angin kepada Umno nampak sudah begitu menipis. Kritikan-kritikannya berhubung royalti minyak Kelantan dan juga sikap serta tindak tanduk pemimpin Umno yang hilang jiwa juang, menyebabkan dia jadi confius dan muak dengan Umno.

Lantaran itu ia membawa kepada persoalan apakah beliau akan terus diserahkan oleh Umno untuk memikul tanggungjawab di Gua Musang dalam pilihan raya umum akan datang. Kalau mengikut tradisi dalam Umno... tidak mungkin lagi mana-mana ahli yang mengkritik parti diberikan laluan. Saya percaya kalau orang lain sudah lama Umno pecat atau mengenakan tindakan disiplin kepada Tengku Razaleigh. Tetapi Umno nampaknya begitu berhati-hati dengan ahli Parlimen Gua Musang ini.

Bagi Tengku Razaleigh dia sudah pun membuat perhitungan sebelum mengkritik Umno atau mengambil jalan melencung dari lorong fikir partinya itu. Bahunya seakan sudah sanggup memikul apa yang dicincangnya. Tengku Razaleigh bukan kecil anak. Dia sendiri mungkin menyedari Umno tidak menganggap dia penting dan merupakan aset lagi.

Justeru itu barang kali timbul ramalan dalam pilihan raya akan datang dia tidak dicalonkan bertanding Najib. Beliau sudah sudah mengumumkan akan tetap bertanding kalau pun Umno tidak sedia memberi watikah sebagai calon kepadanya. Mungkin Tengku RAzaleigh sudah dapat menghidu apa yang bakal berlaku.

Pendirian ini merupakan sikap semulajadi Tengku Razaleigh. Beliau tidak perlu meminta dan menangih apa-apa kepada Umno. Dia juga tahu bahawa Gua Musang adalah kerusinya yang tidak mungkin boleh diusik sesiapa pun. Maksudnya beliau boleh menang kalau bertanding atas tikit apa saja di kerusi yang diwarisi turun temurun itu.

Pas dalam hal ini belum bincang kedudukan Tengku Razaleigh tetapi tidak akan menolak kemungkinan membantu alias bekerjsama dengannya. Contoh sudah berlaku di Pasir Mas macam mana parti itu memberi lambangnya kepada seorang manusia yang sebelum ini memaki hamun kepada Pas dan Tok Guruku Nik Aziz.

Apatah lagi Tengku Razaleigh jauh lebih bari dan bertatasusila daripada manusia itu, kalau Pas sedia memberi laluan dan bekerjasama untuk kemenangan kedua-dua pihak (Tengku RAzaleigh dan Pas) ia tidak memelikkan.

Bagaimana dalam hal ini saya ingat memberi isedikit pandangan kepada Pas. Pas tidak perlu memberi lambangnya kepada Tengku Razaleigh. Kalau Pas memerlukan semangat Tengku Razaleigh untuk mempertahankan kerajaan negeri, Pas tidak payah menyerahkan bulan kepada anak raja itu. Pas boleh sokong Tengku Razaleigh dengan cara tidak meletakkan calon di Gua Musang.

Cara ini rasanya lebih baik dan bijaksana. Iya juga menyelesakan Tengku Razaleigh untuk berkempen para setiawannya. Tidak nampak sangat Tengku Razalegih terjempit dengan keadaan. Lagi pun pengaruh dan keperibadian Tengku Razaleigh di Gua Musang tidak siapa dapat mengatasinya. Umno tidak ada calon untuk berdepan dengan beliau. Kalau setakat Yusuf Abdul Ghani (Nenggeri), atau Saufi Deraman tidak 'rak' untuk berlawan dengan Tengku Razaleigh.

Campur semua tokoh-tokoh hebat Umno Gua Musang menentang Tengku Razaleigh, mereka akan kalah. Malahan sebahagian besar orang Gua Musang yang mengenali Dewan Undangan Negeri adalah atas restu dan bantuan Tengku Razaleigh. Tidak semua mereka itu sedia untuk memberi kulit setelah memamah kacang Tengku RAzaleigh. Apa lagi kalau Pas sedia bekerjasama memberi laluan dan sokongan tanpa meletakkan calon untuk berhadapan dengan Tengku Razaleigh, kemenangan awal-awal lagi boleh diramalkan. [wm.kl.7:30 pm 23/03/12]

Thursday, March 1, 2012

Rencana Khas

Umno Kelantan Melutut Kepada Tengku Razaleigh?

Menurut maklumat dari Fb Sdr Sobere Shafei petang semalam Mustapa Mohamed bersama Awang Adek Hussein dan Annuar Musa telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tengku Razaleigh Hamzah di kediamannya di Langgak Golf, Ampang. Kurang pasti apakah tujuan kunjungan hormat itu, apakah mereka ingin memberi tahu Tengku Razaleigh bahawa nama anak raja Kelantan itu masih disenarai sebagai calon BN di Gua Musang atau apa?

Atau kunjungan itu ada kena mengena dengan pemergian Najib Razak ke Kelantan esok dalam rangka kerja sekaligus berkempen.

Mungkin 'tiga pahlawan' Kelantan itu datang bersembah lutut untuk meminta Tengku Razaleigh pulang meraikan Najib di Kelantan. Kalau Tengku Razaleigh ada sama mungkin keadaanya lebih gah lagi. Maklumlah Tengku Razaleigh orang lama kalau dia berada dalam majlis Najib boleh menambahkan seri kepada Umno.

Di celah-celah ini saya hendak tanya sedikit, kenapa Annuar Musa yang mengiringi Mustapa dan Awang Adek untuk berjumpa Tengku Razaleigh. Atas kapasiti apakah beliau ikut sama ke Langgak Golf? Kenapa tidak Norzaidi Omar selaku setiausaha badan perhubungan Umno atau pun Hanafi Mamat selaku Bendahari Umno? Kenapa Annuar Musa. Dia tidak ada apa-apa jawatan dalam badan perhubungan Umno Kelantan kecuali sebagai ketua bahagian Ketereh.

Apakah kerana Annuar Musa kini selaku Presiden Kafa yang mana dia mendakawa kira-kira 200,000 penyokong pasukan gedebe merah Kelantan telah menyokong Umno? Begitukah. Dan kalau benar begitu apakah kena mengenanya penyokong pasukan bola Kelantan dengan Umno? Tidak semestinya orang yang membeli tikit untuk tengok pasukan red warriors Kelantan akan menyokong Umno.

Annuar nampaknya telah cuba hendak menjual dirinya seorang yang hebat mengurus pasukan bola sepak dengan kecerahan suka bola sepak di Kelantan akhir-akhir ini. Tetapi sekali lagi... mengurus bola tidak secara automatik boleh mengurus parti. Telah lebih 10 tahun Annuar Musa menjadi timbalan pengerusi Umno Kelantan, Umno tetap juga kalah. Umno tidak mengalami apa-apa perubahan, statik dari segi sokongan. Keadaan itu membuktikan Annuar gagal dalam politik. Dia sendiri sudah tiga kali kalah.

Apapun bagus kalau Mustapa, Awang Adek atau Annuar Musa teringatkan Tengku Razaleigh. Seharusnya begitulah kalau Umno ingin kuat dan bercita-cita untuk merampas Kelantan. Pemimpin masa kini perlu mendekati dan mendampingi pemimpin veteran yang berjasa seperti Tengku Razaleigh dan lain-lain itu. Tanpa kerjasama dan komitmen Tengku Razaleigh agak mustahil untuk Umno dapatkan Kelantan. Rahsia kekuatan Umno masih ditangan Tengku Razaleigh. Hakikat ini kena diterima.

Sepatutya mereka bertiga tidak 'buat huduh' kepada Tengku Razaleigh. Mereka tidak patut melupai Tengku Razaleigh. Sepatutnya mereka mengunjungi Tengku Razaleigh bukan hari tetapi sejak lama dulu. Mereka perlu dekat dan belajar daripada bekas Menteri Kewangan itu bagaimana hendak mencabar Pas. Mereka perlu menjadikan Tengku Razaleigh sebagai biduwanda tua yang memiliki seribu kemahiran.

Saya telah catat dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, dalam sejarah hidup Tengku Razaleigh beliau telah berjaya menjatuhkan dua kerajaan di Kelantan. Pada tahun 1978 beliau telah menumbangkan kerajaan Pas ketika. Dan pada tahun 1990 bersama Pas beliau telah menumbangkan kerajaan Umno yang dibinanya pada tahun 1978.

Tidak siapa dapat nafikan kejayaan-kejayaan ini adalah hasil daripada kerja dan strategis halus politik Tengku Razaleigh.

Sejarah itu sepatutnya dikenang oleh Mustapa, Awang Adek dan Annuar Musa yang boleh dianggap sebagai anak dan adek Tengku Razaleigh. Sayangkan mereka terlupa dan tidak melihat kehebatan Tengku Razaleigh itu. Mereka 'semabu mata' dengan pandangan dan kata-kata Mahathir Mohamad yang mengecam dan 'buat huduh' kepada Tengku Razaleigh. Annuar Musa terutamanya terbelit dalam air ludah Mahathir.

Tengku Razaleigh seorang yang gentleman dan berhemat tinggi. Dia masih terima kunjungan tiga 'pahlawan botol' itu. Beliau masih sediakan air dan kueh mueh. Kalau saya jadi anak raja itu, usahkan jamu kueh, terima masuk ke dalam rumah pun tidak. Cukuplah dengan apa yang mereka lakukan kepada Tengku Razaleigh selama ini yang melupai asal usul dan masinnya budu saat Tengku Razaleigh turun gelanggang menentang musuh.

Wajar kalau Tengku Razaleigh berbuat begitu. Apa yang mereka bertiga itu dan para pemimpin Umno Kelantan tidak lakukan kepadanya. Annuar Musa jika boleh diungkitkan dialah orang yang mengkhinanti dan derhaka kepada Tengku Razaleigh Hamzah. Dialah orang yang berkata, "saya sayangkan Tengku Razaleigh, tetapi saya lebih sayangkan Umno", ketika berlaku perlawanan di antara Tengku Razaleigh dengan Mahathir untuk merebut jawatan presiden.

Apa maksud Annuar Musa itu. Dia rela membelakangkan kawan dan sahabat dari negeri sendiri dan mengangkat Mahathir setinggi langit. Nah, hari ini ketika Umo Kelantan tercungkap-cungap untuk merampas Kelantan mereka menebalkan muka datang berlutu di depan Tengku Razaleigh.

Begitu juga dengan Mustapa Mohamad dan Awang Adek, lebih kurang sama dengan perangai dan jahat budi Annuar Musa. Semasa Tengku Razaleigh bercadang hendak mencabar Abdullah Badawi untuk jawatan presiden kerana beliau nampak Abdullah tidak mampu memimpin parti dan kerajaan, kedua ketua bahagian ini tidak sudi pun memberi pencalonan kepadanya. Mereka lupa nama Tengku Razaleigh tetapi ingat nama Abdullah.

Mengenang perbuatan dan jahat budi itu sepatutnya Tengku Razaleigh tidak melayani mereka apa lagi untuk memberi nasihat dan formula terbaik dalam politik. Tetapi Tengku Razaleigh bukan seperti saya yang memang tidak boleh masuk parti politik; Tengku Razaleigh seorang yang berhemat, tinggi budi dan sedia melupai perbuatan huduh orang ke atasnya. Inilah kelebihan dan keistimewaan Tengku Razaleigh yang saya lihat kontras dengan dirinya sebagai anak raja yang selalunya sepatutnya ego dan sombong.

Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, kenapa huduh perangai orang Umno Kelantan terhadap Tengku Razaleigh? Saya juga mencari apakah dosa Tengku Razaleigh terhadap Umno Kelantan sehingga kebaikan yang dibuatnya tidak diingati. Sikap huduh perangai inilah yang melemahkan Umno. Kalau mereka sepadu dan sepakat menyokong sesama mereka, sudah lama Umno Kelantan berjaya merampas Kelantan. Atau pun sudah lama negeri Kelantan mendapat seorang perdana menteri sama seperti Johor, Pahang dan Kedah.

Saya masih ingat sewaktu kali pertama Tengku Razaleigh hendak melangkah ke jawatan nombor dua beradu kekuatan (bertanding) dengan Musa Hitamn, (1982) orang Kelantanlah juga yang mengkhianti Tengku Razaleigh. Bahagian Rantau Panjang yang dipimpin Hussein Ahmad (Hussein Serama) awal-awal mencadangkan nama Musa Hitam.

Begitu juga dengan Muhammad Yaacob (Allahyarham) yang boleh jadi MB kerana Tengku Razaleigh juga tidak menyokong Tengku Razaleigh. Seorang lagi ialah Ketua Umno bahagian Kuala Krai Dr Nik Hussein Abdul Rahman. Orang-orang inilah menjadi penentang Tengku Razaleigh, kawan melupai kawan.

Manakala kali kali kedua Tengku Razaleigh mencuba, kali ini untuk jawatan nombor satu berlawan dengan Mahathir, (1987) orang Kelantan juga tidak memberi sokongan padu kepadanya. Sekali lagi Hussein Ahmad menjadi sang bota jaguh menolak Tengku Razaleigh. Dan kali ini ia dikuti sama oleh Annuar Musa.

Saya pernah menghimbau perkara ini, kegagalan Tengku Razaleigh untuk menjadi pemimpin nombor satu negara disebabkan sikap rakannya sendiri dari Kelantan. Kekecewaannya ialah kerana pemimpin Umno Kelantan tidak dapat melihat dan membezakan di antara intan dengan kaca. Mereka lebih terpesona dengan kaca dari luar Kelantan dengan intan yang berada di bawah telapak kaki mereka. Pemimpin Umno Kelantan dari dulu dan kini tidak merupakan jauhari yang mengenali maknikam.

Seperti dikatakan tadi, tindakan Mustapa, Awang Adek dan Annuar berjumpa Tengku Razaleigh elok untuk Umno Kelantan. Tetapi kalau Tengku Razaleigh tidak memenuhi kesemua kehendak mereka jangan marahkan beliau. Sebab sebagai manusia Tengku Razaleigh juga ada hati dan perasaan. Sebaik-baik Tengku Razaleigh dia juga ada sejuris perasaan amarah. Apa lagi selalu terjadi saat Umno Kelantan berada dalam keadaan bahaya, air di paras hidung barulah ada orang terhegeh-hegeh datang untuk meminta sufaat dan berkat darinya.
tang meminta tolong nya.

Iya Tengku Razaleigh baik, humble, berhemat dan berbudi pekerti tetapi dia juga ada prinsip dan maruah yang menjati dirikan dia sebagai seorang pemimpin bersifat negarawan. Kalau mereka bertiga jujur menjelang perhimpunan agung Umno yang melibatkan pemilihan nanti cadang dan sokonglah Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan presiden? Bolehkah? [wm.kl.8:36 pm 01/03/12]

Tuesday, November 15, 2011

Ulasan Komenter

Tidak Layakkah Tengku Razaleigh Jadi PM?

TOKOH Umno yang menjadi dalang dan bertindak sebagai producer bersama di sebalik penayangan video lucah di Cercosa Seri Negara membabitkan Anwar Ibrahim, Abdul Rahim Tamby Chik mendedahkan beliau ada maklumat pihak tertentu merancang untuk memprojekkan Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri.

Menurutnya beliau ada maklumat yang pihak tertentu berusaha mempelawa ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk jadi perdana menteri sekiranya pembangkang menang.

Katanya bagi menjayakan usaha itu pihak terbabit sedang mengenal pasti sekurang-kurangnya 20 ahli politik Melayu berpengaruh bagi bertanding di beberapa kawasan tertentu. Kawasan yang menjadi pilihan ialah kawasan majoriti kaum yang ditandingi UBN.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu jika usaha ini berjaya ia akan mewujudkan keadaan 50:50 diantara BN dengan Pakatan Rakyat. Di mana suasana ini membolehkan Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon PM bagi menyelamatkan kaedaan.

Menerima apa yang Rahim kata itu, ia boleh dianggap sebagai satu teori atau formula untuk mengatasi kemelut politik negara ketika ini jika keadaan dikatakan itu berlaku. Tidak mustahil dengan suasana dan perkembangan hari ini, kedudukan – pencapaian pilihan raya umum ke 12 tahun 2008 masih kekal. Dalam kata lain status quo yang ada akan kekal.

Sekiranya ini berlaku ia akan menjadi keadaan bertarik tali di antara BN dengan Pakatan Rakyat. Dalam suasana terjempit beginilah seorang calon atau pihak yang bakal menjadi alternatif diperlukan. Kalau Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon, watak itu rasanya tidak salah kerana semua orang kenal siapa beliau. Beliau dikenali bukan saja di negara ini tetapi dunia luar juga. Kehebatan dan kepakarannya ialah dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Bahkan dari segi senioriti dan juga wibawa, beliau jauh berwibawa daripada dua perdana menteri sebelum ini. Tetapi sayang nasib tidak menyebelahi politik beliau. Negara sebenarnya kerugian lebih 10 tahun waktu kemuncak era pembangunan Malaysia.

Kita tidak mahu menafikan apakah teori itu akan berlaku, munasabah atau tidak. Dalam politik semua tidak mustahil dan pemainnya harus bijak mengatur strategi untuk berjaya dan mencapai cita-citanya. Untuk mencapai kuasa dalam politik orang politik perlu menjadi persis nelayan yang akan menggunakan apa jua kaedah dan alatan untuk memerangkap ikan di lautan dalam.

Kalau itulah caranya di pihak Tengku Razaeligh, ia tidak menjadi kesalahan. Beliau sendiri sudah tidak berharap kepada Umno lagi kerana parti itu baginya sudah jauh dari matlamat perjuangan asal. Bagaimana pun sebagai seorang yang setia kepada parti, bekas menteri kewangan itu akan tetap bersma dengan Umno dan tidak akan serit dan letih untuk memulihkannya demi orang Melayu dan negara. Baginya Umno lebih sentimental daripada Semangat 46.

Bagaimana pun apa yang menyesalkan kenapa Rahim harus perlu mempertikaikan usaha pihak tertentu itu. Apa hak beliau. Katanya teori itu tidak boleh dipakai kerana perancangan berkompromi seperti itu boleh menggugat kestabilan politik dan menjadi pemerintanh negara ke tahap lemah pada masa akan datang. Kestabilan politik, politik mana... politik Umno?

Arif juga Rahim tentang itu. Tetapi pelik kalau Rahim memperakui perancagan itu yang meletakkan Tengku Razaleigh sebagai host, boleh melemahkan Umno kenapa bekas naib Presiden kanan Umno suatu masa dulu itu dibiarkan begitu sahaja. Umno telah menjadikan Tengku Razaleighs sebagai kupang tembaga. Setelah Tengku Razaleigh dirisik orang baru terasa kehilangan.

Kenapa jadi mengelabah pula dan beriya berkempen agar menolak usaha itu. Sekiranya Tengku Razaleigh tidak layak untuk menjawat jawatan itu, masakan masih ada sebilangan cerdik pandai dan rakyat mengharapkan itu dari Tengku Razaleigh? Akhir-akhir orang ramai seakan melupai akan usia Tengku Razaleigh, mungkin disebabkan keadaan Umno yang berkucar kasir dan hilang identiti awalnya.

Saya yakin Tengku Razaleigh sendiri sudah tidak pelahap untuk mengejar jawatan itu. Kalau pun dia bercakap mengenai politik atau turun padang adalah misi untuk membantu politik bangsa dan negara tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Misalnya penubuhan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) adalah sebagai wadah atau platform untuk membolehkan beliau memberi pandangan kritis kepada Umno itu sendiri dan juga pihak lain.

Rahim harus ingat Tengku Razaleigh tidak keluar dari Umno. Umno adalah parti pilihannya. Kalau pun yang cuba menyingkirkan beliau ialah kalangan para 'berjois' dari Umno sendiri. Para pembodek yang tidak mempunyai nili diri dan kekuatan peribadi saja yang tetap merasakan Tengku Razaleigh sebagai pencabarnya. Mereka ini adalah yang tidak mengenal diri sendiri dan buta warna alam politik.

Tindakan Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46, adalah pengorbanan paling bsar buat Umno, khasnya Mahathir bin Mohamad. Bayangkan kalau Semangat 46 masih hidup sewaktu Anwar dipecat, mungkin Tengku Razaleigh suah menjadi PM. Tetapi takdir telah ditentukan bahawa sebelum Mahathir pecat Anwar (yang kemudian mendatangkan musibah), Semangtat 46 sudah pun dibubarkan. Melihat realiti itu seakan Mahathir hanya menanti Tengku Razaleigh bubar Semangat 46 saja untuk bertindak ke atas Anwar.

Kepada Rahim Tamby Chik dan mereka yang menerima teori itu jangan resah dan gelisah. Tidak perlu ada kempen memburukkan Tengku Razaleigh atau merendahkan usaha itu. Sebagai sebuah parti yang berpengalaman Rahim dan Umno harus serahkan kepada rakyat. Sama ada Tengku Razaleigh layak, masih relevan atau tidak untuk menjadi orang nombor satu negara, serahkan saja kepada rakyat. Tengku Razaleigh sendiri pernah mengakui beliau sedia menjadi hamba rakyat.

Dari sisi lain kebimbangan Rahim itu memberi petanda bahawa gerakan pihak yang mahu menjadikan Tengku Razaleigh sebagai PM, menunjukkan bahawa imej dan keperibadian anak raja Kelantan itu ternyata lebih baik, sempurna serta tetap relevan dengan bakal-bakal perdana menteri selepas Haji Najib dan tokoh Umno lain termasuk juga Rahim Tamby Chik. [wm.kl.8:19 pm 16/11/11]