RENCANA
SETELAH 70 tahun merdeka dan melalui 15 kali pilihan raya umum, dalam tempoh itu juga kita sudah mempunyai 10 orang Perdana Menteri seharusnya politik kita sudah matang. Seharusnya kita sudah merentasi sempadan politik kepartian dalam mencari dan memilih siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri tidak seharusnya lagi dilihat sebagai hak eksklusif mana-mana parti politik, apatah lagi satu-satu parti sahaja. Sebabnya mudah, antara parti politik yang ada di negara ini, tidak banyak bezanya dari segi matlamat dan pendekatan pemerintahan.
Walaupun terdapat perbezaan ideologi dan pendekatan, dari segi amalan serta praktis kepimpinan, mereka lebih kurang sama sahaja. Ini kerana sebahagian besar pemimpin politik Melayu masih terikat dengan skema pemikiran dan politik keMelayuan yang hampir serupa. Mereka mengutip ciri-ciri kepimpinan Rasulullah SAW tetapi tidak betah menurutinya.
Ambil contoh Pas dan Umno. Pas memperjuangkan ciri-ciri dan prinsip keagamaan, manakala Umno memperjuangkan kepentiungan kaum dan kedaulatannya. Tetapi dari segi amali dan pendekatan politik, kedua-duanya mempunyai persamaan.
Kedua-duanya terikut mengamalkan politik yang meletakkan matlamat menghalalkan cara. Pas tidak mengikut kehendak agama seratus peratus, begitu juga dengan Umno tidak mengikuti adat dan nilai Melayu keseluruhannya.
Ini bermakna perbezaan ideologi tidak semestinya mencorakkan identiti dan amalan politik masing-masing. Semua parti mendakwa mahu membawa keadilan dan kebenaran. Amar makruf nahi mungkar. Matlamat itu menjadi asas perjuangan hampir semua parti politik di Malaysia. Persamaan praktis itulah yang mengsirnakan matlamat dan kaedah asas mereka.
Begitu juga dengan PKR, DAP dan parti-parti lain. PKR walaupun bersifat multirasial, merangkumi pelbagai kaum dan etnik, manakala DAP membawa pendekatan politik demokratik, tujuan asas mereka tetap sama dengan Umno dan Pas, iaitu membawa kemaslahatan serta kebaikan kepada negara dan rakyat. Persamaan itu seperti bahan (cecair) yang sama hanya dibezakan oleh wadah atau bekas berlainan sahaja.
Justeru, parti politik tidak seharusnya lagi menjadi asas utama untuk memilih seseorang sebagai Perdana Menteri. Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendabik dada dan mendakwa calon daripada parti mereka sahaja paling layak atau paling baik untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.
Apabila kita memahami asas dan keadaan itu, dalam konteks ini, asas untuk memilih seorang Perdana Menteri, haruslah berdasarkan ciri-ciri peribadi dan keupayaan kepimpinannya. Antaranya kewibawaan, idealisme, keilmuan, profesionalisme, kebijaksanaan serta keperibadian yang unggul.
Dalam keadaan negara yang semakin terdedah kepada pelbagai kerosakan dan elemen negatif, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa serta kelemahan integriti dalam pentadbiran, kita memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai ketegasan, saksiah dan komitmen luar biasa terhadap soal integriti.
Kita memerlukan seorang pemimpin yang obses dengan usaha membanteras rasuah yang sudah menjadi sistemik dalam negara ini. Seorang pemimpin yang tegas tetapi bijaksana, mempunyai diplomasi tinggi, berwawasan dan tidak mudah tunduk kepada tekanan politik kepartian jahiliah.
Seperkara lagi kerana realiti negara ini majmuk, pemimpin yang hendak diangkat menjadi PM biarlah mempunyai sifat dan sikap bertanggungjawab, (akauntabiliti) yang memahami nuasan neagar ini. Mereka mestilah berjiwa penyatu, sayang menyangi semua kaum dan tidak ada hasad dengki, pilihan kasih dan diskriminasi.
Makanya, dalam memilih seorang Perdana Menteri, jangan lagi terlalu menghitung dan mengira dari parti mana seseorang itu datang. Sebaliknya, lihatlah kewibawaannya, kebijaksanaannya atau wisdom, serta komitmen dan kesungguhannya untuk membangunkan negara dan membela rakyat.
Diera pasca kemerdekaan yang memasuki tujuh dekad ini, negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang mampu merentasi sempadan parti, bukan seorang yang sekadar menjadi wakil kepada kepentingan parti yang melahirkannya.
Perubahan zaman dan tantangan masa, kita memerlukan pemimpin bukan sahaja berani tetapi ampuh mempertahankan identiti bangsa dan realiti warna negara.
Justerus sudah sampai sampai masanya kita memilih Perdana Menteri berdasarkan sifat negarawan yang ada pada dirinya, bukan berdasarkan parti yang berada di belakangnya. [wm.kl. 5:35 pm 27/11/2026].
No comments:
Post a Comment