Thursday, July 31, 2025

RUU kawal salah guna agama dalam politik perlu digubal

PENDAPAT

DAO qunut nazilah sekali lagi menjadi isu dan pertikaian apabila ia sekali lagi dibaca pada tempat yang tidak relevan. Seorang ahli Parlimen daripada Pas telah membaca doa itu pada perhimpunan Turun Anwar 26 Julai lalu yang diaminkan ribuan orang termasuk bekas PM Dr Mahathir Mohamad yang pernah menyifatkan Pas lebih bahaya daripada komunis.

Sebelum ini ahli parlimen itu juga telah membaca doa qunut nazilah dalam parlimen yang diaminkan beramai-ramai ahli parlimen pembangkang. Perbuatan itu pertama kali berlaku dalam sejarah parlimen Malaysia.

Pembacaan doa qunut nazilah itu diselar oleh ramai orang termasuk para agamawan yang melihat perbuatan tersebut melampau tidak wajar kerana digunakan untuk kepentingan politik partisan. 
Tujuan dan maksud asal serta sejarah doa itu dibaca Nabi S.A.W juga menyimpang. Doa itu dibaca pertama kali oleh Nabi selama sebulan apabila umat Islam dizalimi dan meminta Allah melaknat mereka yang menzalimi.

Sebuah riwayat menyebut Nabi S.A.W membaca doa itu apabila 70 sahabat Quraa, penghafal Quran yang dikirim untuk menyampai risalah Allah mati dibunuh oleh kafir. Kerana peristiwa dikenali Bi’r Ma’unah itulah maka doa itu dibaca meminta agar penzalim itu dilaknat.

Apabila ia dibaca pada himpunan tersebut, berapa orang sudah mati kerana kezaliman kerajaan Madani hari ini. Setahu kita tiada seorang pun meninggal kerana kezaliman, bahkan tiada seekor ayam atau pun kambing berjanggut yang mati disebabkan kezaliman kerajaan. Jadi untuk apa dan relevankah doa itu dibaca? Perbuatan inilah dilihat sebagai biadab dan mempersendakan agama.

Seorang mudir pondok mengkritik perbuatan itu menganggap ianya songsang kerana apa yang patut didoa diberikan hidayah bukan minta diturunkan bala ke atas kerajaan sesama muslim.

Tindakan tersebut jelas melampau dan menyalahi tata cara dan rukun berdoa serta jahil mengenai falsafah doa qunut nazilah itu. Tindakan songsang ini serius dan tidak wajar dibiarkan kerana secara tidak langsung ia mencemar kesucian Islam, memperkotak katikan agama boleh menimbulkan huruhara disamping menyebabkan bukan Islam mentertawakan umat Islam negara ini jika tidak dikawal.

Lantaran itu semua pihak perlu mengambil perhatian serius, Majlis Agama Islam negeri-negeri, para Mufti, Jabatan Agama serta Majlis Raja Raja yang mempunyai tanggungjawab mutlak ke atas agama Islam di negara ini perlu prihatin. Perbuatan biadab dan tidak tamadun (jahiliah) itu tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang teguran dan tindakan. Jangan lewat bertindak ke atas kemungkaran usah sampai nasi menjadi bubur.

Sehubungan itu dirasakan sudah sampai masanya suatu undang-undang atau peraturan khas mengawal salah guna agama untuk kepentingan politik perlu digubal digubal di parlimen demi menjaga kemurnian agama Islam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Mentega) Mohd Na'im Mokhtar boleh mengambil tanggungjawab menggubal undang undang ini, beliau harus memulakan langkah ke arah itu bukan hanya setakat mengeluarkan kenyataan berupa teguran terhadap apa-apa perbuatan seumpama itu. Untuk tujuan itu mungkin pihak Jakim boleh mengajurkan satu simposium untuk membincangnya secara serius dan komfrenhensif.

Pihak-pihak bersangkutan seperti pakar perlembagaan, Jabatan Peguam Negara, polis, majlis agama, Ngo atau gerakan Islam perlu dipanggil untuk menelaah perkara ini. Jika perlu parti-parti politik juga hendaklah duduk bersama untuk merancang RUU ini agar ia mudah diterima dalam parlimen kelak.

Jangan ada mana-mana parti mencurigai pembentang RUU ini, tetapi ia hendaklah terbuka melihat untuk kepentingan bersama dalam menjaga kesucian Islam. Semua kena sedar bahawa agama itu tidak boleh dijadikan alat, dipersendakan, menjadi bahan kempen untuk kepentingan politik secara melulu. Bagaimana kita menghormati al Quran sebagai mujizat Nabi, nah begitu juga dengan nama atau apa-apa yang berkaitan dengan Islam perlu dijaga.

RUU ini rasanya lebih baik dan utama serta mudah untuk diterima umum ketimbang RUU Mufti Wilayah Persekutuan bagi memperkukuhkan institusi agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan yang dibentangkan 2 Julai 2024 tahun lalu. RUU itu menjadi kontroversi kerana ia lebih memihak untuk mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jemaah yang berpegang kepada aliaran asyiariyah dan muturidiyah. 

Walaupun RUU itu sudah dibaca buat kali pertama di Parlimen, tetapi tidak diteruskan untuk bacaan seterus dan dibahas. Dalam hal ini Mufti Wilayah yang baru Shaibul Samaah Ahmad Fauwaz Fadhil perlu memerhati cadangan ini dan memberi nasihat sewajarnya sambil mengambil iktibar apa yang berlaku ke atas RUU Mufti Wilayah sebelum ini.  

Adapun RUU untuk menjaga nama baik Islam ini, saya rasa akan mendapat sokongan majoriti rakyat yang mahu memastikan Islam tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik. Mereka yang kesal dan kecewa dengan pengeksploitasian agama untuk kepentingan politik akan menyokong. Kalau pun ada bantahan datang daripada Pas sebab ia merugikan parti itu. Tetapi yakinlah tujuan dan matlamatnya baik untuk memurnikan Islam.

Semua orang kena faham akan bahaya apabila agama dieksploit untuk kepentingan politik banyak keburukan dan mudarat berlaku, lebih malang ia boleh menimbulkan pergaduhan. Misalnya kejadian takfiri, (mengkafirkan) satu pihak lain yang pernah berlaku, sampai ada yang terkorban adalah terhasil daripada perbuatan memperalatkan agama untuk mendapat kuasa sewenang-wenangnya.

Penerusan perbuatan tersebut membahayakan kepada perpaduan di kalangan umat Islam khasnya berbangsa Melayu. Mereka yang dangkal ilmu dan mempercayai seratus peratus kepada penceramah, para asatizah yang taksub dengan pegangan politik akan menimbulkan sengketa dan perpecahan.

Harapnya Mentega akan memberi perhatian kepada cadangan ini dan jadikan sebagai legasinya selama menjadi menteri dengan membentang RUU ini. [wm.kl. 11:08 pm 30/07/2025]


No comments: