Wednesday, November 18, 2009

Mata Yang Memandang

Kenapa Gerak Tidak Dibantu?

PAGI semalam saya berbual dengan sdr Mohd Nazree Mohd Yunus, Pengerusi Gerak Malaysia, Sudah lama janji nak ketemu anak muda ini tetapi kerana masa selalu tidak mengizinkan menyebabkan ia tertangguh beberapa kali. Allamduliah pagi semalam kami diberikan ruang oleh Tuhan untuk berjumpa dan berbicara agak panjang termasuk topik diluar NGO yang dikepalainya.

Sebenarnya sudah lama saya memerhati anak muda ini. Saya suka melihat perwatakannya yang lemah lembut dan bersopan. Penampilannya sedarhana dan menyerlahkan jiwa tapanya serta seorang anak muda yang pandai memberi hormat kepada orang yang lebih tua darinya. Betapa beliau sanggup datang dari Seremban untuk ketemu saya!

Memang saya suka memerhati mengenai gerak laku dan daya fikir dan tindak anak-anak muda negara ini yang ada bakat dan potensi untuk menjadi pemimpin dalam apa jua bidang sekalipun. Salah seorangnya ialah Nazree ini.

Saya memerhati Nazri sama seperti saya memerhati perkembangan, Asraf Dasuki, Dr Azri Zainul Abidin, Khairy Jamaluddin, Shamsul Iskandar, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Nik Abduh Nik Aziz, Norizan Sharif dan lain-lain.
Satu masa saya memberi perhatian khusus kepada Ezam Mohd Noor, Azmi Ali, Sallahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail, Mukhriz Mahathir, Husam Musa, Nasharudin Mat Isa dan lain-lain. Kenapa saya berbuat begitu kerana saya melihat mereka inilah akan menjadi pemimpin di masa depan.

Ternyata sebahagian daripada mereka sudah pun mula mengirai sayap sebagai pemimpin dan tokoh hebat. Cuma sayang sdr Ezam Mohd Noor saja lagi yang belum berpeluang untuk berkokok dan menyanda minda kepimpinannya di Parlimen. Jadi kemampuan Ezam secara rasminya berdasarkan pemegangan jawatan belum teruji.

Selalunya bila saya berjumpa dengan anak-anak muda saya akan membandingkan pemikiran dan daya intelektual dengan pemikiran saya dan minda veteran. Saya mencari perbezaan antaranya dan mana yang lebih jitu dan akurat. Tetapi apa yang seronoknya kalau pegangan (akidah) perjuangan antara mereka dan saya sama dan sekata, ini lebih menyeronokkan lagi.

Sepanjang pertemuan semalam saya banyak bertanyakan soal Gerak, satu-satunya NGO yang membenteras rasuah di negara ini. Seperti mana umum tahu Gerak dipelopori penubuhanya oleh Ezam Mohd Noor. Jadi saya kira Nazree adalah anak buah dan penyambung kepada perjuangan Ezam yang murni menerusi Gerak. Saya yakin dari segi spritual dan gerak kerja (bersistemetik) ada kepada anak muda ini. Nazree mungkin juga pengkagum Ezam!

Ternyata dalam keadaan serba serbi terhad, Gerak masih terus bergerak dan memainkan peranannya meskipun ianya sudah dilepaskan Ezam. Nampaknya Gerak dapat memainkan peranan seperti mana awal penubuhnya. Gerak akan menjadi watch dog, untuk menjamin rasuah tidak akan berleluasa. Peranan Gerak masa ini saya lihat begitu penting dan menjadi pagar secara batiniah kepada mana-mana institusi, individu politik khasnya.

Beberapa pengbongkaran dan laporan rasuah yang dibuat oleh NGO ini menjadi perhatian umum dan menimbulkan keinsafan kepada banyak pihak. Antaranya ialah mengenai laporan rasuah lembu korban oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, laporan rumah agam kepunyaan bekas MB Selangor, Mohamad Khir Toyo dan beberapa lagi.

Secara peribadi saya bangga dengan apa yang dilakukan Gerak. Diharap Nazree akan terus menggerakkan Gerak seperti mana yang dihasratkan itu. Saya yakin kepada kesungguhan dan komitmennya untuk menegakkan kebenaran. Dalam konteks ini mewujudkan sebuah pentadbiran yang telus dan bersih. Kemampuan Gerak bergerak dalam keadaan dhaif menunjukkan keseriusan dan ketinggian iltizam Nazree dan kawan-kawan di Gerak.

Melihat kepada usaha murni Gerak ini, barang kali perlu ianya dibantu dan diberikan pengiktirafan. Untuk menjadikan Gerak lebih efektif dan berperanan dengan lancar dan luas, apa salahnya kalau ada pihak tampil membantunya khususnya dari segi kewangan dan dana.

Untuk tujuan ini mungkin badan-badan korporat yang peka terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa, atau institusi-instusi kewangan berunsur Islam seperti Majlis Agama Islam, Bank-Bank Islam, Pusat Zakat dan sebagainya boleh fikirkan untuk mengeluarkan wang zakat ataupun apa-apa peruntukan kepada Gerak. Kerana apa yang diperjuangkan Gerak ada untuk kebaikan sejagat.

Saya rasa kalau Gerak dibantu badan ini akan berperanan lebih luas lagi. Daripada peruntukan diberikan kepada NGO berstatus sosial, sukan dan hiburan elok kalau Gerak juga tidak di kesampingkan. Malahan bagi saya dalam konteks untuk membentuk kerajaan bersih dan telus Gerak yang perlu diutamakan.

Saya percaya kalau bantuan diberikan kepada Gerak ianya akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya kerana keperibadian dan komitmen ditunjukkan pengerusinya kini sungguh membanggakan. Saya yakin hari ini Nazri dan rakan-rakannya menggerakkan Gerak tanpa sebarang elaun. Dan engin menggerakkan gerak hanya semangat dan ultizam serta niat untuk berbuat kebaikan kerana Allah semata-mata.

Jadi apa salahnya kalau mereka ini dibantu! [d'kota kl 9:00 am 18/11/09]

Tuesday, November 17, 2009

Susupan Malam

Kemungkinan Besar Pilihan Raya Kecil Kota Siputeh

[kemaskini] SEMALAM Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur telah memutuskan kerusi DUN Siputeh, Kedah dimenangi Abu Hassan Sharif telah kosong. Serentak itu Hakim Azizatul Khair Osman mengarahkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan.

Spekaer DUN Kedah telah mengistyharkan kerusi itu menjadi kosong apabila Abu Hassan tidak hadir persidangan sebanyak dua kali tanpa memaklumkan sebab-sebab ketidakhadirannya. Bagaimana pun pengistyharan itu dibatalkan oleh SPR yang mengekalkan Abu Hassan sebagai Adun Kota Siputeh.

Speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail telah mengemukakan semakan keputusan SPR itu di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas). Keputusan mahkamah itu hari ini berpihak kepada speaker dan membatalkan keputusan SPR.

Walaupun Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) itu telah memutuskan demikian namun ramai yang kurang yakin pilihan raya kecil akan diadakan. Ini kerana Adun, Abu Hassan dan partinya (UBN) telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa) Kuala Lumpur.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan menerima rayuan, UBN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu ini bermakna kerusi itu tidak menjadi kosong dan kekal kepada penyandangnya sebelum ini, Abu Hassan.

Apa menyebabkan ada yang membayangkan pilihan raya tidak akan diadakan kerana berpandukan kepada apa yang berlaku di Perak terhadap kerusi Behrang dan Changkat Jering tidak lama dulu. Kedua kerusi itu telah disityharkan kosong oleh speaker tetapi Mahkamah Tinggi telah mememutuskan sebaliknya. Keadaan itu menyebabkanb tidak ada pilihan raya kecil di kedua Dun berkenaan.

Berpandukan kepada apa yang berlaku di kedua kerusi itulah menyebabkan ada sesetengah pihak tidak yakin pilihan raya kecil bakal diadakan di DUN Kota Siputeh.

Dalam hal ini perlu diingat apa yang berlaku di Kedah itu berbeza dengan apa yang terjadi di Perak. Adun, Changkat Jering, Mohd Othman Jailu, dan Adun Behrang, Jamaluddin Md Radzi disiytharkan kekal sebagai Adun di kedua kerusi itu kerana mahkamah mendapati pengistyharan dibuat speaker Dun Perak tidak sah.

Perlu diingat kes di Kedah ini berlainan dengan kes di Perak itu di mana ia berhubung ketidakhadiran tanpa memaklumkan kepada speaker. Sebalinya apa yang berlaku di Perak dulu ialah mengenai kesahihan surat perletakan jawatan oleh kedua Adun itu yang dibuat tanpa tarikh.

Mahkamah mendapati surat kedua Adun itu tidak terpakai kerana ia menghalang hak asasi dan kebebasan bersuara di negara ini. Keputusan itu juga dibuat berpandukan terhadap apa yang berlaku di Sabah sebelum ini.

Memandangkan perbezaan yang jelas itu menurut seorang pengamal undang-undang di Kuala Lumpur, besar kemungkinan pilihan raya di DUN Kota Siputeh akan diadakan kerana kemungkinan Mahkamah Persekutuan akan menolak rayuan dikemukakan Abu Sharif dan UBN. Mahkamah akan mendengar rayuan Abu Hassan itu Jumaat ini. [wm.kl. 9:40 pm 17/11/09]

Selepas Subuh

Kisah Di Gua Bukit Tunggal Negeri Tadahan Wahyu

MENANTU kesayangan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bijak bistari bernama Ariffahmi Abdul Rahman telah diserang bertalu-talu oleh seorang bloger bernama Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau Kickdefella. Walaupun mulanya mereka sahabat baik, tetapi perbalahan tidak dapat dikekang lagi. Paling anihnya lagi bloger berkenaan dibayar gaji oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di mana Ariffahmi sebagai CEOnya.

Saya tidak kenal searifnya dengan kedua orang ini, baik Ariffhami dan juga Syed Azidi. Pertama kali saya melihat wajah dan lagak Ariffhami ialah semasa menghadiri muktamr Pas di Ipoh dua tahun lepas. Dalam pertemuan itu beliau judis kepada saya dan melarang saya memotret gambarnya. (Kerana itu dalam posting saya, saya tidak akan masukkan gambarnya). Saya mengenalinya setelah diperkenalkan oleh Ustaz Yahya Othman.

Saya tahu Ariffhami kurang senang dengan saya bila saya pertikai perlantikannya untuk jadi pegawai besar di PMBK. Dia juga kurang senang bila saya tulis mengenai kisahnya disoal siasat oleh SPRM. Selepas pada itu saya tidak pernah berjumpa, dan hanya pernah melihat kalibatnya di balai Islam Lundang semasa debat antara Khairy Jamaluddin dengan Husam bin Musa. Saya yakin Ariffahmi hadir malam itu untuk memberi sokongan moral kepada Exco yang pernah menjadi kesayangan hamba berkenaan.

Begitu juga dengan Syed Azidi. Saya tidak kenal dan maklum sangat mengenai diri dan latar belakang dan gaya hidupnya. Tetapi dalam perhatian saya dia seorang yang mempunyai daya hormat yang tinggi kepada seseorang. Saya dan dia pernah 'bertugas' bersama semasa demonstrasi Bersih, sama-sama kena hujan dan asap pemedih mata. Saya masih ingat bergitu berjumpa kami berpelukan dan melaga pipi. Saya yakin kalau kami berjumpa hari ini perilaku sama akan berlaku.

Hari ini kedua orang yang saya ketahui menjadi wazir di raja kepada Husam ini bergaduh dan bercakar, lebih buruk daripada anjing dengan kucing. Dalam hal ini nampaknya yang bersikap menjadi rimau Syed Azidi, manakala Ariffhami hanya mengambil sikap mendiamkan diri.

Apakah punca perbalahan mereka masih menjadi misteri. Belum terdedah cerita sebenarnya. Tuduh menuduh dan nafi menafi berlaku antara keduanya menerusi blog dan media cetak. Apakah puncanya seperti mana berlaku kepada penyamun dalam gua Bukit Tunggal dalam filem Nujuk Pak Belalang, yang berbalah disebabkan pembahagian harta disamun tidak adil?

Apakah mereka berdua penyamun? Satu untuk kau... dua untuk aku, dua untuk kau, 17 untuk aku! Begitukah. Kalau begitu ianya sangat malang kerana berlaku di negeri Tadahan Wahyu.

Sejak beberapa hari kelmarin khabarnya macam-macam cerita mengenai Ariffhami telah dikeluarkan. Nampaknya penerbitan itu berkala dan bersiri yang payah tamat. Entah benar, entah tidak segala laporan, walahualam. Kalau mengambil iktibar atas apa yang pernah bloger itu lakukan ke atas saya, ianya perlu ditapis dan dipertimbangkan dengan akal yang sihat. Hendaknya jangan mudah kabur mata melihat dan membaca apa yang ditulis oleh Syed Azidi itu.

Walaupun ada bukti-bukti yang disertakan, visual, audio dan sebagainya ia masih boleh dipertikaikan. Zaman ini zaman canggihnya dan apa juga akan terhasil dengan kerja kreatif manusia. Apakah ia relevan ataupun tidak. Seperti mana yang dipalu ke atas saya dulu banyak dokumen hampas yang tidak relevan menyebabkan saya melupainya begitu saja dan kekadang tergelak membaca apa yang sdr Kick lakarkan.

Saya tidak berniat hendak perpanjangkan hal ini, apa lagi cuba memberi persepsi buruk terhadap bloger berkenaan, nanti orang mengatakan saya mengambil peluang untuk memburukkan bloger tersebut. Sebagai seorang penulis dan blogger saya menghormati blogger tidak kira sesiapa saja asalnya ia menulis dengan betul dan penuh profesional. Memanglah senjata penulis atau bloger ialah dengan pena. Bila mereka terdesak atau untuk membela diri mereka akan menggunakan pena sehingga kehabisan tinta.

Biarlah dia lakukan apa yang dia hendak lakukan kerana dia lebih mengetahui akan benar dan tidaknya. Bergomollah di gua Bukit Tunggal itu sampai pecah dan runtuh batu tidak mengapa. Asal jangan tertimpa kepala saya dan orang lain sudahlah. Tetapi saya percaya, setiap tuduhan itu akan dijawab, kalau bukan hari ini, esok, kalau bukan oleh tuan yang hak, mungkin keadaan dan masa akan menjawabnya. Atau kalau tidak terjawab hari ini ianya terjawab di Mahsyar bagi mereka yang beriman dengannya.

Sekiranya Ariffhami didapati bersalah atas segala tuduhan itu, itu adalah pengajaran buatnya. Sebagai ahli politik segala kerenah dan asam garam ini akan mendewasakan beliau. Saya yakin hari ini pun dengan apa yang berlaku Ariffahmi sedang menelaahnya sebaik mungkin. Mungkin juga beliau sudah mengetahi bahawa langit itu sebenarnya tinggi dan bumi itu sebenarnya rendah.

Sebab itu dalam jelumun politik masa kita duduk atas bongok tinggi, (tempat tinggi) jangan merasa kita selamat dan bah tidak akan telan kita. Jangan persenda dan lupa orang yang berada di tempat rendah. Kalau kita tidak akan dibaham bah mungkin pula kilat dan guruh menjadi ancaman kepada kita. Kerana di langit ada fenomena itu. Sebaik-baik manusia jadilah yang tawaduk dan pemurah.

Cuma apa yang menjadi kemusykilan saya di sini ialah mengenai sikap orang bernama Husam bin Musa. Saya kenal dan pernah rapat dengan orang ini. Bloger berkenaan adalah bloger peliharaan dan yang menjaga hal ehwal dan penggilap politiknya di Kelantan. Semua orang tahu yang lensa kamera bloger itu hanya mampu menangkap dan menyambar wajah Husam saja dan tidak yang lain.

Sejarah pengambilan bloger berkenaan juga sedikit sebanyak ada dalam pengetahuan saya. Semasa saya baik dengan Husam semasa menjadi ‘hamba’ untuk menghantar atau mengambil atau menantinya di hotel dan apartment, dia ada menceritakan mengenai bloger berkenaan. Dia memuji akan kehebatan dan daya kreatif blogger berkenaan dan hendak diajak berkerja di Kelantan dengan tawaran gaji agak lumayan.

Bagi Husam dia tidak perlu tahu siapa bloger berkenaan. Mungkin bloger berkenaan menceritakan asal usulnya kepada Husam, dan tidak diketahui saya! Bahawa dia ahli parti itu dan pernah berkerja di situ dan di sini. Namun bukan itu perkiraan Husam, yang penting dia dapat melaksanakan kerja untuk kepentingannya dan kebaikan Pas Kelantan. Ternyata Kickdefella berjaya menjalankan tugasnya dengan molek belaka.

Latar belakang itu menampak bahawa bloger berkenaan dibawah jagaan Husam bin Musa dan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Maknanya dialah yang menjadi remote kepada bloger berkenaan. Ini juga bermakna dia berkuasa penuh dan bertanggungjawab dalam membawa bloger berkenaan bermukim di Kelantan. Apa juga kebajikan dan apa-apa keperluan bloger berkenaan dibawah tanggungjawabnya.

Ada kemungkinan juga Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah ditakrufkan sebanyaknya mengenai kehadiran seorang yang kreatif sepertinya.

Begitu juga dengan CEO, PMBK, bernama Ariffahmi Abdul Rahman itu juga adalah orang yang rapat dengan Husam. Bahkan kemasukan Ariffhami diperbadanan itu dikatakan atas cadangan dan idea Husam. Seperti mana dimaklumi perestuan Husam untuk membawa Ariffahmi di situ untuk menjaga projek Bandar Baru Tunjung. Bermakna kedua orang ini adalah orang yang berkerja di bawah hegemoni politik Husam. Mereka yang menjadi pendokong dan penyokong Husam nombor wahid.

Apa yang anihnya dan musykilnya, apabila dua harimau Husam itu bergaduh kenapa beliau hanya diam membisu? Apakah beliau tidak berusaha menyelesaikan masalah mereka dan membiarkan ia selesai sendiri. Di sinilah pada saya kesilapan dan fiil Husam. Beliau tidak cuba menyelesaikannya menyebabkan berlakulah perbalahan sehingga parah seperti hari ini dan terheret sama ke atas batu jemala Nik Aziz dan keluarganya.

Saya percaya dan yakin kalau Husam bertindak ia tidak akan menjadi masalah. Kalau Husam cepat menyelesaikan masalah, dua orang ini ia tidak sempat berborak. Tetapi kerana lambat bertindak maka terjadilah apa yang terjadi. Yang bekah kini sudah carik luas 'terbahar'.

Saya sedikit pun tidak hairan kalau ini berlaku. Kerana sedunia sudah mengetahui dan mengenali sifat dan perangai Husam. Bagi mereka yang berkawan, bersahabat, berkerja dengannya akan mengetahui fiil dan perangai ini. Tetapi mereka yang tidak mengenalinya, yang melihat dari bawah panggung politik tetap menganggap Husam adalah paling baik dan paling bijak dan segala paling...

Pada saya Husam seperti bunga tahi ayam bila dilihat dari jauh ianya indah, cantik dan wangi. Tetapi bila sudah mendekatiknya maka akan terhidulah kebusukan dan kehamisannya. Dan saya sangat yakin baik Ariffhami dan juga bloger berkenaan sedikit sebanyak sudah mulai menghidu apakah bau sebenarnya Husam bin Musa.

Apa yang saya tulis dan anologikan terhadap kerja-kerja Husam sebelum ini mungkin sudah terjawab dan bagi mereka yang merasainya mungkin akan berkata benar. Eloklah... kalau begitu kerana kebenaran itu sentiasa berada di belakang. Kekadang apa yang kita nampak kabur di mata umum.

Pun begitu saya masih berharap untuk meredakan keadaan supaya bekas kawan saya itu akan muncul dan mengambil tanggungjawab untuk menghentikan peperangan di PMBK itu. Panggilah kedua anak buah itu dan bersemuka. Sebaik-baik pengadilan ialah di hadapan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Panggilah dan bersemukalah segera bersama dalil dan bukti serta sumpah laknat! [wm.kl. 7:30 am 17/11/09]

Monday, November 16, 2009

Salam Buat Tok Guru

Tok Guru: Di Hadapan Ada Dua Persimpangan

SAYA merenung dan berfikir panjang dengan apa yang menimpa ke atas batang tubuh Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat sehari dua ini. Saya menghela nafas dan mengeluh sendiri. Kesal dan terkilan. Sedih! Daun-daun dukacita luruh melambak ke dalam diri.

Sedih kerana ia menimpa batang tubuh peribadi persis Tok Guru. Kenapakah dalam usia sebegitu dan perjalanan jihadnya sudah hampir rapat ke langit, tiba-tiba ada musibah begitu. Kenapa ada yang tergamak melakukannya? Sungguh saya tidak mengerti? Apakah ini takdir atau satu suratan keran ada sejuta hikmah disebaliknya? Atau pun satu kecelakaan kerana kelalaian, atau musibah itu ujian terakhir dari Tuhan buatnya?

Saya percaya Tuhan tidak mencetuskan sesuatu kejadian dan takdir itu dengan sia-sia saja tanpa ada hikmah disebaliknya? Dan saya juga percaya atas kemusyidulannya, beliau kini sedang meraba-raba hikmat Tuhan di sebalik semua yang berlaku itu.

Kesedihan dan simpati terhadapnya tidak dapat diselindungkan. Bukan saja saya, malahan orang ramai juga. Saya sedih kerana mengenangkan kemuliaanya pada saya tidak sepatutnya beliau menerima perhinaan demikian rupa. Saya membayangkan bagaimanakah kudratnya yang sudah lemah itu untuk menghadapi musibah seperti itu. Tentulah beliau sendiri sangat sakit untuk menerimanya? Dalam keadaan hari ini sewajarnya kalau beliau dibahagiakan semahunya, dan tidak diganggu dengan kejadian-kejadian yang hina dan menyentuh perasaan begitu.

Dan kenapa saya katakan musibah itu menyedih dan menyesalkan, kerana ia benar-benar menyerabutkan Tok Guru. Betapa pun kuat tahap kesabarannya namun saya yakin, tidur, makan, masa solat, masa rihat Tok Guru terganggu dan terbagar-bagar dengan fitnah itu.
Musibah itu juga bukan saja melukai dan mencela dirinya sebagai pemimpin, tetapi mencelakan seluruh kredibiliti dan intergritinya sebagai seorang yang diagung-agungkan. Seorang bertaraf tok guru yang disanjungi. Secara tak langsung juga ia mencalarkan partinya kerana statusnya sebagai Mursyidul Am Pas. Dan tidak dapat tidak ia juga tercalar nama baik keluarga dan keturunannya.

Sebelum ini beliau bukan tidak menghadapi bebanan berat. Bohonglah sebagai manusia tidak maksum beliau senantiasa bahagia dan berlapang dada. Tuhan senantiasa turunkan beban ke atas sesiapa saja untuk mengujinya. Begitu juga dengan Tok Guru. Bukankah ada firman yang bermaksud, kamu tidak boleh mengaku sebagai beriman selagi tidak diuji. Makanya musibah itu adalah satu ujian penuh berhikmah sekali.

Tok Guru memang sering diuji dan ujiannya lebih besar daripada apa yang ahli dan penyokong bawahan terima. Bahkan sejuta masalah sepanjang lebih 60 tahun perjuangannya beliau telah melalui dan merasai pahit dan getirnya. Tetapi apa yang dapat saya rasanya ia tidak seberat musibah berlaku hari ini.

Apa tidaknya, saat azan hendak dilaungkan dan ayam lembu dikorbankan untuk diadakan kenduri bagi mengiringi keberangkatan beliau ke tanah suci bersama isteri dan keluarga tercinta, tiba-tiba ia terpaksa dibatalkan.

Pembatalan itu bukan kerana uzur syarie, tetapi kerana fitnah liar yang membakar keadaan. Inilah merujakan dan mengilankan dirinya dan seluruh kerabat keluarganya dan rakyat yang menyanyanginya di Kelantan.

Musibah fitnah yang berlaku bulan Zuhkaedah ini adalah peristiwa paling pahit buat Tok Guru kerana ia membabitkan terhalang niat sucinya untuk bertamu ke rumah Allah. Perjalanan ke manakah paling suci kalau bukan ke Makkah, Madinah dan Baitumuqadis? Pun begitu kegagalan pemergian itu rasanya tidak sepedih taburan fitnah dan konotasi yang dilemparkan ke atasnya.

Saya pernah melihat sendiri bagaimana satu masa Tok Guru berada dalam keadaan resah dan gelisah. Saya pernah melihat bagaimana beliau menggelupur ditikam gunda dan kecemasan. Peristiwa ini saya lihat pada malam keputusan pilihan raya umum 2004. Ketika itu beliau bersendirian di sebuah bilik di pejabat Pas, Jalan Dato’ Pati Kota Bharu. Saya nampak beliau begitu resah dan gelisah menanti penghukuman rakyat.

Saya nampak di dahinya ada peluh kecil merecik. Sepinggan buah anggur di hadapannya tidak disentuh. Beliau sangat cemas dan gelabah. Beliau bergelacar mencari bilik air untuk mengambil wuduk. Beberapa kali dia berpusing tidak ketemu bilik air, sehinggalah saya menunjukinya.

Malam itu saya tahu Tok Guru cemas bukan kerana takut kehilangan pangkat dan kedudukan kalau Pas tewas. Tetapi apa yang membimbangkan benih Islam yang baru ditanam di Kelantan ketika itu akan musnah kalau kerajaan Pas tumbang. Itulah menyebabkan dia jadi cukup cemas dan bimbang pada malam itu pada perkiraan saya. Beliau lebih memikirkan soal Islam daripada dirinya sendiri.

Tetapi perisitwa yang dihadapi hari kini benar-benar mencabarnya. Ia berbeza dengan keresahan dan kebimbangan di malam keputusan pilihan raya 2004 itu. Fitnah yang berlaku hari ini memalu dan benar-benar mengilankannya. Beliau seorang tok guru telah dilempar dengan najis fitnah melampau. Diarak dan disorak di seluruh pelusuk negara oleh media sebagai ulama rasuah!

Jutseru itu dalam hemat saya peristiwa yang berlaku kini akan memberi implikasi moral dan politik terhadap Tok Guru. Musibah ini menekan psikologis Tok Guru sebagai seorang murabbi. Dan rasanya inilah niat dan tujuan petulang mencetuskan soal penajaan haji sehinggakan mengundang SPRM ke pejabat MB itu. Dalam melihat ini bagi saya ia semacam ada konspirasi halus untuk memburukkan Tok Guru sebagai MB dan pemimpin Pas bertaraf ulama itu.

Makanya menyimpul secara mudah apa yang berlaku itu Tok Guru sudah tidak ada banyak pilihan lagi. Beliau tidak seharusnya boleh terus berdiam atau memakan ubat-ubat lama untuk merawat sakit hatinya kini. Bagi saya Tok Guru hanya ada dua pilihan saja kini sama ada hendak ke kanan ataupun ke kiri. Di hadapannya ada dua persimpangan, yang perlu beliau pilih.

Ke kiri bermakna beliau harus berhenti dan beristirehat. Berundur dari kerusi menteri besar Kelantan dan juga melepaskan jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan. Memilih jalan kiri bermakna beliau harus meninggalkan Kota Darulnaim dan boleh terus kekal di pejabat Pas untuk memberi kuliah agama setiap Jumaat.

Untuk memilih jalan ke kiri, ia sesuatu yang mudah dan simple bagi Tok Guru. Cukup melafaz sepatah ayat dan menyediakan sepucuk surat. Perjalanan melalui ke jalan kiri tidak memerlukan bekalan yang banyak. Jalan ini tidak penuh dengan onak dan duri seperti ke jalan kanan. Beliau tidak perlu peduli apa yang berlaku kepada Pas selepas itu. Biarlah Pas menjadi dagang tanpanya. Bukankah Tok Guru sendiri pernah melafazkan Muhammad s.a.w. sendiri tidak pernah menunjukkan sesiapa bakal menggantinya!

Dan saya yakin, dengan sunatulahlah sepohon yang direstui Tuhan meskipun ia patah, ia akan tumbuh kembali. Kalau pun yang tumbuh itu tidak terus subur, dan hanya ceding, kemudian ia tetap akan membesar menjadi dahan dan batang yang kuat juga satu masa nanti. Tok Guru juga asalnya dari tunas dan ceding. Apakah bersara adalah pilihan sesuai buat Tok Guru?

Sebaliknya kalau beliau ingin memilih jalan kanan, meneruskan tugas dan tanggungjawab dan amanah Allah ke atasnya, maka Tok Guru kena berbuat sesuatu. Beliau tidak boleh bertahan dengan ubat-ubatan atau bekalan yang ada hari ini. Jalan kanan penuh seribu liku ini menuntut beliau perlu memejam mata untuk melakukannya.

Sekiranya beliau ingin meneruskan tugas dan tanggungjawab selagi kudrat masih ada, Tok Guru harus berani dan sedia membuat pembersihan dan penyucian. Beliau harus nekad melakukan pembersihan dalam dua aspek, parti dan dalam kerajaan.

Tok Guru harus sedar dengan apa yang menimpa dirinya kini bukan saja kerana adanya anak Quraisy sesat. Tetapi masalah hari ini disebabkan wujudnya juga Haman yang tamak kepada kedudukan dan harta benda dan tidak sabar untuk menyinggahi tahkta. Inilah elemen yang mengharu birukan Pas dan kerajaan kini.

Iya.. mungkin mereka yang alergik dengan Umno dengan mudah menuduh semua kerja buruk ke atas Tok Guru dilakukan oleh orang Umno kerana mereka musuh yang nyata. Tetapi orang lupa bahawa segala butir-butir dan lafaz ratib dan zikir memburukkan Tok Guru itu orang Umno tidak tahu menghafalkan kalau bukan orang dalam sendiri yang memberi tahu dan mengajar lafaz dan taranumnya.

Saya sangat percaya dan yakin berpandukan kepada teori politik serta dengan bukti-bukti berbentuk lisan, analisa yang dilakukan bahawa kerja memburukan Tok Guru turut sama melihatkan anak Haman dan bukan saja tertumpu kepada anak Quraisy. Anak Quraisy hanya si perantau yang tersesat jalan yang tumpang mencari makan di bumi warisnya. Jangan persalahkan beliau.

Dalam konteks ini apa yang perlu disalahkan orang yang memberi pelindungan, memberi minum air dan membawa anak Quraisy bertaman dalam rumah. Yang memberi makan dan ikut membawanya ke majlis-majlis cukur kepala, melihat penginokulasian depu, tanam padi organik dan sebagainya yang melibatkan Tok Guru.

Pembersihan dan penyucian yang perlu Tok Guru lakukan, paling utama ialah dalam parti. Badan perhubungan Pas perlu dirombak dan disusun semula. Sedar atau tidak sedar pembentukan badan perhubungan Pas hari ini adalah diuruskan oleh satu kepala saja. Ia bukan satu pembentukan mencerminkan keazaman dan kesepakatan pemuka-pemuka Pas Kelantan. Pembentukan itu lebih kepada usaha untuk mencapai maksud seseorang. Kerana dalam pembentukan itu ada agenda busuklah menyebabkan Pas Kelantan kini berpuak-puak atau 'bertanah rancangan'.

Untuk mengemaskan Pas, mungkin Tok Guru boleh mengembalikan semula beberapa veteran Pas yang masih dihormati rakyat. Mereka mungkin tidak profesional tetapi sentuhan politik mereka masih bergetah dan mudah berjelira kepada rakyat serta masih dihormati kawan dan lawan.

Sekiranya veteran ini menduduki badan ini Tok Guru atau sesiapa saja tidak perlu merasa curiga kepada kehadiran mereka. Mereka tidak akan membuka agenda untuk mengatasi Tok Guru atau berperasaan untuk mengganti Tok Guru melainkan menumpahkan tenaga kepada parti. Mereka ini sudah teruji akan kesetiaan dan kewala'kan mereka dalam menerima kepimpinan Tok Guru sebagai pemimpin Pas dan MB selama lebih 30 tahun. Mereka juga sudah tua dan kehadiran mereka boleh dijadikan sebagai bomoh dan pawang di raja.

Nama-nama seperti Omar Mohamad, Abdul Halim Abdul Rahman atau Muhammad Iraq boleh dipertimbangkan. Mungkin mereka sudah usang dan lapok, tetapi pada saya lebih baik Tok Guru menggunakan perkakas usang dan lapok yang jelas keasliannya ini daripada menggunakan perkakas baru dan moden tetapi diperbuat dari plastik atau pun getah yang tidak tahu menghayati roh perjuangan Islam dan Pas. Mereka ini boleh digandingkan dengan pemimpin pelapis yang ada hari ini yang profesinal dan memiliki ilmu agama yang mantap seperti Ahmad Yaacob, Mohd Amar Abdullah dan lain-lain.

Kedua yang perlu disusun semula ialah kerajaan Kelantan, ini termasuklah Exco dan juga badan-badan berkanun (GLC) Kelantan. Pergolakan dan keadaan tidak tenteram di Kelantan hari ini berpunca daripada pengagihan potfolio yang tidak seimbangan di kalangan Exco. Maksud tidak seimbang di sini ialah kerana ada yang terlalu banyak memegang potfolio komersil sehingga tidak termampu untuk melaksanannya.

Keadaan ini menyebabkan berlakunya lambakan kuasa. Lambakan kuasa ini sangat bahaya menyebabkan ada Exco tertentu lumayan dan mewah. Situasinya ini juga mendedahkan kepada penyalahgunaan kuasa dan kewangan. Di sinilah saya melihat pengagihan kuasa Exco ini kurang dicermarti dan inilah yang menimbulkan masalah.

Bagaimana sekiranya kalau anggota Exco perlu diganti, maka Tok Guru perlu memerhati kepada kesemua Adun-Adun dan mengesan kebolehan mereka masing-masing. Hari ini Pas tidak kasik dengan Adun seperti tahun 2004. Hari ini Pas ada 37 orang Adun yang boleh dipilih untuk menjadi Exco. Dalam pemilihan itu bukan saja mereka yang pakar dalam bidang iktisad dan pengurusan tetapi hendaklah yang jelas iman dan takwanya serta menghayati filsafah Pas.

Selain daripada menyusun semula barisan Exco atau potfolio, seperkara yang Tok Guru kena perhati dan semak ialah peranan, tanggungjawab para pegawai di pejabatnya. Perlu diingat pegawai di pejabatnya adalah cermin yang sentiasa mematurkan wajah dan pemikiran siasah Tok Guru.

Kalau cermin ini robek dan sopek maka renyot dan sumbinglah wajah dan fikrah Tok Guru.

Misalnya dalam tilikan saya dan juga sudah menjadi cakap-cakap di luas sana mengenai Setiausaha Politik Tok Guru, Annual Bakri Haron. Sudah lama posisi ini tidak diubah. Apa yang nampak hari ini Annual Bakri tidak memberi input yang baik atau gagal berperanan sebagai penasihat politik kepada Tok Guru menyebabkan ada kalanya pemahaman Tok Guru terpesong. Apakah ada virus tertentu yang bermukim dalam kepala setiausaha politik ini?

Yang jelas, Anual Bakri sudah terlalu lama berada di situ . Kerana itu mungkin Anual Bakri juga sudah hilang sentuhan berbiasa bagaimana untuk menyubur dan memberi pandangan praktikal mengikut mazhab asal parti kepada Tok Guru. Bagi saya selagi penyair ini berada di pejabat MB itu maka selama itulah Tok Guru sesekali akan terlena dengan syair-syair Siti Meriam @ See Wei Leong Abdullah dan Hikayat 1001 malam. (Siapa Siti Meriam, akan diceritakan di lain masa). Mungkin nama Wan Nik Wan Yusuf bekas MP Bachok boleh dipertimbangkan untuk mengganti tempat Annual Bakri.

Selain itu juga apa yang perlu disemak dan disucikan oleh Tok Guru ialah badan-badan atau syarikat milik kerajaan (GLC). Peranan dan para pemain di GLC juga perlu ditukar ataupun diganti kerana ada sesetengah pemain di GLC ini hanya membantu diri sendiri tanpa mempedulikan rakyat. Dalam erti kata lain Tok Guru kena melakukan overhaul sempena genapnya 19 tahun pentadbirannya sebagai MB.

Semoga Tok Guru diberikan hidayah dan taufik untuk memilih antara dua persimpangan yang kini berada di depannya. Saya percaya kedua jalan itu amat getir untuk dipilihnya tetapi itulah takdir yang harus berlaku! Saya berdoa semoga Tok Guru diberikan kekuatan seperti mana saya seirng meminta Tok Guru doakan saya diistiqamahkan Allah dalam perjuangan yang hakiki! [wm.kl. 10:00 am 16/11/09]

Sunday, November 15, 2009

Celoteh Murai 58

Burung Cak Raya Dan Hantu Raya

KEDUA-DUA makhluk ini, burung cak raya (panggilan orang kampung Murai kepada burung tempua) dan hantu raya adalah makhluk peliharaan. Burung cak raya makan padi dan bunga-bunga rumput saja. Dia boleh terbang dan mengeluarkan bunyi mengasyikkan. Kalau di desa sarangnya di atas pokok kelapa.

Manakala hantu raya makanannya darah, bangkai dan barangan mahal memerlukan perbelanjaan yang besar. Hidupnya berprestij dan punyai taste yang tinggi. Dia tidak tahu makan beras atau padi.

Hantu raya tidak ada sayap, tetapi ia boleh membantu kerja-kerja tuannya untuk mencapaikan hajat. Misalnya untuk menganggu anak bini orang, memecahkan perpaduan, meretakkan hubungan menanti dan mertua dan sebagainya. Semua kerja terkejut ini dia boleh melakukannya. Inilah kelebihannya.

Hantu raya ni dia akan duduk diam dan sentiasa menurut perintah tuanya kalau perutnya memboyot. Selamanya keperluannya makan minum, etntertainment dan sebagainya dipenuhi dia akan jadi baik.

Banyak yang Murai dengan kisah-kisah mengenai hantu raya. Kononnya bila dia sudah lapar, dia akan mengganas. Dia akan merayau-rayu masuk bandar ke ke luar bandar dan juga masuk kampung ke luar kampung. Dia akan merampas dan membaham apa saja yang ada untuk mengisi perutnya. Dia tidak ada etika dan kenal etika hidup.

Bukan itu sahaja dia juga jahat. Dia akan khianat dan mengugut sesiapa yang dia mahu. Dia tidak kira siapa, termasuk tuannya sendiri. Semua ini berlaku kerana tuan tidak pandai menjaganya. Tidak peduli akan kehendaknya. Bahayanya juga kalau sudah terdesak si hantu raya ini akan sanggup memakan tuannya itu. Dia apa peduli yang penting perutnya buncit.

Di sini inginlah Murai nak ingat kepada anak cucu kalau nak pelihara, baiklah pelihara burung cak raya. Biarlah dia kecil, tidak dapat dijadikan alat menganggu dan tahu buat kacau. Kalaupun dia tidak diberikan padi atau bunga rumput dia akan mati sendiri. Dan kalau dia dilepaskan dia tidak akan ganggu sesiapa. Paling-paling dia akan terbang jauh macam Murai meninggalkan kampung halaman untuk memasuki kloni baru buat cari makan di tempat orang.

Murai: Suka berkawan dengan burung cap raya.

Friday, November 13, 2009

Airmata Kota Bharu

Anak Quraisy Mana Halang Tok Guruku Ke Makkah?

RASANYA tidak ada berita dan kejadian paling duka di Kota Bharu hari ini melainkan berita mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini. Berita berkenaan sudah pasti mengejutkan banyak pihak, walaupun ia adalah satu peristiwa biasa saja. Jarang sekali Tok Guru menangguhkan kerja-kerja baik begitu. Kalau menangguhkan (ditangguh) untuk merasmikan projek kambing di Rong Chenak, kira-kira tiga tahun lalu memang saya ada mendengar ceritanya.

Khabarnya Tok Guru mengumumkan berita itu semasa kuliah mingguannya di bangunan Pas, di Jalan Dato' Pati pagi ini. Antara lain berita agensi dipetik, Nik Aziz berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana media massa banyak mempertikai pemergiannya ke tanah suci kali ini yang ditaja oleh pihak tertentu.

"Saya tidak pelahap sangat untuk pergi ke Makkah dengan ditaja, saya pun ada duit sendiri," begitulah katanya. Katanya lagi, kenapa beliau menerima tajaan itu kerana ingin memenuhi hasrat si penaja itu saja. Entah berapa lama, orang berkenaan ingin memenuhi hasrat ingin mengerjakan haji bersama Tok Guru.

Isu pemergiannya ke tanah suci yang ditaja oleh sebuah syarikat ini meletus berangkaian dengan meletusnya perang dalam PMBK iaini ekoran perbadanan itu memecat salah seorang pegawai kontraknya beberapa hari lalu. Semacam isu ini ada sangkut paut dengan perang di perbadanan berkenaan.

Di sini saya tidak mahu mengulas apakah tindakan Tok Guru menerima tajaan itu salah ataupun tidak. Apakah ia merupakan rasuah atau tidak? Biarlah SPRM yang dikatakan sudah membuka fail siasatan menentukannya. Namun saya cukup yakin niat Nik Aziz baik dan tidak ada unsur-unsur jahat di dalam hatinya bila menerima tajaan ke Makkah itu. Saya percaya dan yakin kepada beliau sebagai seorang Tok Guru berpandukan kepada pengalaman saya sendiri bersamanya.

Saya tahu dan orang lain juga tahu akan kemuliaan dan kejujuran beliau. Beliau seorang yang lurus dan ikhlas. Seorang bersangka baik walaupun terhadap maling. Beliau sering menganggap orang juga sama ikhlas dengannya. Dalam konteks ini kalau Nik Aziz kena tipu yang celaka dan kejamnya ialah si penipu itu. Disebabkan kerana kejujuran dan kemuliaan ini maka beliau sudah beberapa kali kena main dan terperangkap dengan kebaikan itu.

Walaupun Tok Guru bak di panah petir dengan pengkhianatan itu, saya percaya beliau sedikitpun tidak ugah dan menyesal dengan apa yang berlaku, melainkan rasa benci atas provokasi dan orang yang berniat jahat menganggu urusan ibadat dan kerjanya itu. Tok Guru tidak menangis kalau tidak dapat ke Makkah. Tetapi mungkin air matanya menitis mengenangkan ada manusia yang tergamak menyusahkan dia.

Kini ramai orang melihat apa yang berlaku, salahnya Tok Guru. Media masa dan UBN menggambarkan Nik Aziz seorang pengamal rasuah, korup dan jahat seperti pemimpin UBN. Memang banyak pemimpin UBN yang menerima tawaran seperti itu. Itulah maksudnya. Tetapi percayalah, orang di luar sana yang menerima beliau sebagai seorang tok guru tidak termakan dengan hasutan demikian. Sebaliknya kalau UBN dan sesiapa cuba terus memainkan isu ini orang berkenaan pula akan dibelasah.

Memang ada banyak perkara yang saya tidak setuju dengan Tok Guru. Tulisan-tulisan saya dalam blog, percakapan dengan orang-orang tertentu saya menyebut dan meluahkan rasa kecewa saya dengan Tok Guru. Bahawa akhir-akhir ini Tok Guru dalam kaca mata saya melakukan kesilapan atau aksi melampau terutamanya berhubung dengan maslahat politik yang merosakkan syaksiahnya sebagai pemimpin. Saya mengkritik beliau dengan tujuan menegur agar beliau sedar dan insaf. Tetapi belum pernah dalam hidup saya selama 40 tahun mengenalinya menyusahkan Tok Guru seperti mana dialami hari ini.

Seribu kali saya berjumpa Tok Guru saya tidak akan menyampaikan sesuatu yang boleh meluka dan merungsingkan dia. Selalu apa yang saya bawa ialah berita-berita gembira dan menyenangkannya. Jadi apabila ada orang tergamak mengkhianatinya, menyusahnya, atau memerangkapnya sehingga beliau terpaksa tangguh pemergian ke Makkah ia adalah satu perbuatan kejam yang sukar dimaafkan. Pengkhianat itu wajar dikutuk sehingga ke akhirat.

Tok Guru tidak menyebut siapakah pengkhianat itu. Mungkin beliau sudah tahu tetapi tidak mahu menyebutnya. Beliau masih memelihara maruah orang jahat walaupun dia jahat. Inilah mulianya Tok Guru. Namun bagi orang luar, khasnya yang menyanyanginya kena tahu siapa yang memasang perangkap dan mengkhianati Tok Guru. Mereka ini tidak boleh dimaafkan. Mereka inilah yang menjadi musang berbulu ayam yang akan membakar reban bila tidak dapat telor emas yang diidamkannya.

Mereka harus dihalau dari bumi Kelantan agar kembali ke tempat asalnya, kalau dia bukan orang Kelantan. Atau kalau orang itu berada di bawah ketiak Tok Guru sendiri, dia hendaklah dilempar dan ditohok jauh. Hanyutkan dia ke Laut China Selatan atau biar dia dimakan oleh jerung dan yu sahaja.

Firasat saya sangat jelas apa yang berlaku kepada Tok Guru adalah satu perancangan. Saya sudah sebut sebelum ini ada agenda untuk menjatuhkan Tok Guru dalam manis. Namun di sebabkan mereka ini hidup laksana penyamun yang berselindung dalam tong menyamar jadi minyak urat, minyak cenonok dan minyak unta (macam dalam filem Ali Baba Dengan 40 Penyamun), maka Tok Guru sendiri tertipu dengannya.

Tok Guru pun selama ini jadi asyik dan ralik apabila mendengar dendangan lagu-lagu ala Padang Pasir dan Hindustan orang ini. Tok Guru jadi terlupa kepada urusan lain bila asyik memakan buah-buahan dan hidangan ayam percik dan kambing bakar yang dihulurkan oleh orang ini. Betapa sayangnya Tok Guru melayan orang ini sampaikan sahabat-sahabat lama tidak berani mendekati dan dihalang kerana bimbang takut menghidu wap ayam percik atau kambing bakar.

Bukan itu saja mana-mana wazir atau pegawai juga turut dipecat dan disingkirkan oleh Tok Guru kerana tunjuk ajar dan suruhan orang ini. Tok Guru semacam terkena nasi kukus!

Saya sudah maklumkan hal ini kepada orang-orangnya. Bahawa Tok Guru harus berhati-hati dengan musang berbulu ayam atau si penyamun minyak cenonok ini. Namun nasihat dan kata-kata saya sebelum ini ditejeh dan dijuah. Saya dibidas dengan pelbagai nesta termasuk agen Umno mahu memecah belahkan Pas. Ketika orang tidak nampak apa yang sudah saya nampak dengan mata kepala sendiri.

Tok Guru sendiri lena dengan hal ini. Satu hari Tok Guru pernah meminta saya memohon maaf kepada orang berkenaan. Namun saya tidak sedia mematuhinya kerana saya yakin tindakan saya benar. Saya enggan mematuhinya, saya menyerang orang itu kerana saya sayang dan ingin bela Tok Guru. Alhamdulilah, bila saya berkeras dengan keputusan saya, dia hanya diam tanpa berkata apa-apa. Selepas itu saya tidak pernah pun dengar Tok Guru marah atau terkilan dengan kelakuan saya itu.

InsyaAllah saya akan mencerita dan mendedahkan secara nyata dan jelas bagaimana tektik dan teknik si pengkhianat ini lakukan untuk memburukkan reputasi dan menjatuhkan maruah Tok Guru sebagai ulama. Anda juga akan tahu siapakah anak Quraisy yang menghalang Tok Guru ke Makkah itu. Siapakah mereka, dia ialah si penyamun yang menyamar menjadi minyak cenonok, minyak unta yang bersembunyi dalam tong. [wm.kl. 6:00 pm 13/11/09]

Terkini Dari Kelantan

Tok Guru Batal Ke Makkah

TERKINI Tok Guru Nik Aziz telah membatalkan hasratnya untuk mengerjakan haji tahun ini. Beliau bersama isteri dan keluarganya, mulanya di jangka akan ke Makkah pada Rabu ini.

Perkara ini di maklumkan sumber terdekat MB itu sekejap tadi. Katanyan Tok Guru mengumumkan pembatalan itu hari ini. Ulasan lanjut akan menyusul selepas ini.
(***kl. 12:13am 13/11/09)

Thursday, November 12, 2009

Rencana Khas Bai'ah

Bai'ah Kenapa Pemimpin Pas Kehilangan Kata-Kata

KADANG KADANG saya jadi hairan bin ajaib bin aneh binti bingung dengan sikap Pas. Kadang kala Pas jadi terlalu berani dan adakala Pas jadi amat naif sifatnya. Ada kalanya Pas mendahului masa, ada kalanya Pas jauh membelakang zaman. Pas boleh jadi terlalu moden dan Pas juga jadi terlalu kolot.

Paling mengejutkan Pas juga kadangkala kehilangan keyakinan diri sendiri dan tenggelam dalam ombak dan buih politik yang mereka sendiri ciptakan. Kenapa?

Misalnya mengenai isu bai'ah talak tiga yang kalut diperkatakan kini, Pas benar-benar hilang keyakinan diri dan sifat sebagai sebuah parti dikatakan Islam. Barang kali andaian saya bahawa Pas sedang memasuki ke gerbang perubahan ke arah liberal macam Umno semakin hendak menjadi kenyataan.

Saya tidak fikir pemimpin Pas menjadi pening dengan tembakan 1 Malaysia oleh Najib Razak. 1 Malaysia tidak memberi apa-apa bekas pun. Kalau Pas mabuk gadung kerana terhidang oleh sesama mereka, mungkin ada kulihanya.

Jelas sekali Pas tidak konsisten dan tegas dalam soal bai'ah talak tiga. Kesian saya melihat Pas mengenai hal ini. Kenapa Pas tidak mahu menjawab dengan tegas berhubung isu bai'ah talak tiga ini? Kenapa Pas harus malu dan berdolak dalih. Pas seakan kehilangan kata-kata untuk menjelaskan perkara ini secara gentlemen.

Cuba perhatikan kepada jawaban-jawaban para pemimpin Pas mengenai isu ini. Ia seolah perkara baru yang belum terjadi dalam parti berkenaan di mana masing-masing mencari sudut atau juring paling baik untuk bercakap. Ada sikap lepas tangan dalam soal ini. Pemimpin Pas jadi terpinga-pinga dalam isu ini walhal mereka tahu. Sikap ini mengelirukan orang ramai dan memburukan reputasi Pas sebagai sebuah badan siasah.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat kata ba'iah talak tiga tidak ada dalam kepalanya. Katanya ia tidak pernah kedengaran di negeri itu (Kelantan) dan ia sengaja ditimbulkan orang yang dengki dengan Pas. Memahami jawaban politik Nik Aziz itu bahawa bai’ah tidak berlaku dalam parti berkenaan. Nik Aziz bermaksud tidak mahu isu itu dibabitkan dengannya.

Berlainan pula dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Hadi pula kata, soal bai'ah sudah selesai. Jawaban itu cuba nak mengelak dan bersifat kabur. Selesai apa. Apa yang orang ingin tahu apakah bai’ah talak tiga ini wujud atau tidak dalam Pas seperti mana didakwa oleh media itu. Itu saja? Jawaban Abdul Hadi itu tidak memberi kepuasan kepada umum dan menjawab persoalan yang dibangkitkan.

Menteri Besar Kedah, Azizan Razak pula berkata amalan bai'ah yang dilakukan selama ini untuk menguatkan parti. Beliau tidak juga mengiya apakah ada lafaz taklik talak tiga atau tidak. Secara gurauan beliau menolak dengan berkata, talak tiga tidak ada, nak tambah bini ada. Cara Azizan menjawab juga berhelah dan ingin menafikan apa yang didakwa.

Manakala Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula lebih berhati-hati dalam memberi jawabannya. Katanya setahunya majlis syura ulama tidak pernah membuat arahan mengenai bai’ah itu. Maknanya tidak adalah.

Sementara Mustafa Ali pula meminta agar Presiden menyiasat akan kesahihan mengenai tuduhan itu. Jawaban ini juga cuba hendak menutup punggung yang sudah tertonggeng!

Jawaban-jawaban yang berbunga-bunga itu menunjukkan semua pemimpin kanan Pas mengelak dan tidak mahu bertanggungjawab. Masing-masing ingin membersihkan diri bahawa mereka tidak terlibat dengan amalan berkenaan. Masing-masing tidak mahu mengaku. Tetapi percayalah sikap begitu bukan merupakan satu sikap untuk menyelesaikan isu yang sedang semarak itu.

Dalam zaman teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan dan mulut orang (termasuk ahli dan pemimpin tertinggi sendiri) tidak boleh dikunci, ini apa-apa rahsia pun bukan mudah untuk ditutup. Orang ramai sudah pun mendapat bukti-bukti berhubung perkara itu. Baik Nik Aziz, Abdul Hadi, Salahuddin atau sesiapa saja tidak boleh menamatkan isu itu dengan memberi jawaban berhelah dan pengecut begitu.

Kerana apa, kerana semua orang sudah tahu. Berlambak dalam you-tube, blog sudah ditulis dan didedahkan mengenai amalan bai’ah ini. Bukti yang ada bukan kenyataan tetapi lengkap dengan audio visual. Semuanya tidak boleh dipadam dan dinafikan. Kalau pemimpin Pas cuba hendak berhelah dan tidak mahu berdepan dengan isu ini ia memburukkan lagi keadaan. Lama kelamaan orang ramai hilang kepercayaan kepada intergriti pimpinan Pas selama ini.

Justeru pada saya cara paling baik ialah pemimpin Pas sepakat dalam soal ini sama-sama bertanggungjawab. Mengaku! Jangan keluar jawaban berbeza antara satu sama lain. Isu bai’ah ialah isu berbau. Setiap yang berbau tidak dapat disembunyikan.

Dari Mursyidul Am Pas, Presiden, Naib-Naib Presiden, Ahli Majlis Syura dan ketua Dewan-Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda, hendaknya duduk sekali dan menyatakan perkara ini seiya sekata. Jangan ada yang memberi jawaban yang berbeza. Perbezaan dalam memberi jawaban menggambarkan kecacamerbaan Pas.

Saya hairan kenapa kalau pemimpin Pas tidak mahu tegas dan mengaku hal ini.
Dalam posting dulu saya sudah menyoal apakah bai'ah itu salah? Kalau ia tidak salah kenapa harus ditakutkan. Kalau ia dapat mengukuhkan Pas, Pas harus berbangga dengan amalan itu. Soal ianya tidak masuk akal, kolot, jahil dan apa-apa gelaran oleh UBN itu sudah biasa. Sampai ke bila pun apa juga strategi dan taktik Pas untuk mengukuhkan parti itu dan berkuasa tidak akan disetujui oleh UBN, dan begitu juga sebaliknya.

Kalau UBN beranggapan Pas menggunakan agama untuk kepentingan politik dengan isu ba’iah ini, apa peliknya, sejak dulu lagi Pas melakukan begitu.

Abdul Hadi sendiri mengakui akan keampuhan bai’ah ini sehingga menyebabkan kerajaan Kelantan yang menang dengan kelebihan dua kerusi dapat bertahan hingga habis parlimen penggal ke 11. Saya bersetuju dengan pengakuan Abdul Hadi itu.

Seorang wakil rakyat Kelantan pernah mengakui kepada saya mengenai bai’ah itu. Beliau tidak mengaku beliau turut melafazkan atau tidak, tetapi katanya, beliau jamin wakil rakyat Pas tidak akan lompat kerana adalah satu rantai yang mengikat mereka.

Nah, ini menunjukkan ba'iah itu begitu ampuh dan sakti kepada Pas. Jadi kalau begitu rupa kenapa Pas harus takut?

Saya katakan, kalau apa yang Pas buat itu bertentangan dan menyalahi dengan akidah islam, maka Pas perlu betaubat. Taubat dibenarkan dalam Islam. Imam Ghzali menulis kitab khasnya mengenai Taubat. Baca dan taubat.

Hendaknya pemimpin jangan bersikap dolak dalih mengenai hal ini. Perkara sudah pun terdedah, mengaku sajalah. Mengaku sesuatu yang benar itu tidak menjadi kesalahan walaupun ianya sangat pedih untuk diterima. Saya jamin kalau Pas mengaku, ia disetujui oleh ahli Pas. Wajar kalau bai’ah itu diadakan pada zaman manusia yang sudah tidak boleh berpegang kepada janji dan ikrar.

Soal ia bai’ah itu menjadikan isteri sebagai cagaran, pada logik saya kira itu wajarnya. Kerana cagaran untuk sesuatu yang besar ialah barang yang tinggi nilainya. Isteri adalah nilai paling tinggi untuk seorang suami. Kalau cagaran itu (taklik) itu hanya kehilangan kerbau dan lembu saya rasa, hari-hari ada wakil rakyat Pas yang menyeberang ke dalam parti lain.

Saya percaya muslimah Pas juga memahami situasi ini. Tidak timbul dakwaan mengatakan Pas mengeksploitasi wanita. Bahkan wanita harus berbangga kerana mereka dijadikan cagaran yang tinggi nilai untuk perjuangan. Dan sebenarnya soal jatuh talak ini bukan saja harus berlaku disebabkan peraturan politik itu, ia boleh berlaku di luar dunia politik pun.

Kepada pemimpin Pas duduklah berbincang, maufakat cari kata sepakat dan sama-sama mempertahankan konsep bai'ah atas nawaitu untuk mengukuhkan parti yang mereka yakini sebagai haraki atau jemaah Islam. Dan sekiranya mereka merasakan amalan itu bercanggah dengan aqidah Islam, maka bolehlah dibuangkan saja. [wm.kl. 7:45 pm 12/11/09]

Mengiringi Fajar Pulang

Kenapa Cemas Bila Anwar Nak Serang Najib?

BELUM apa-apa Umno nampaknya sudah kelam kabut dan beberapa soldadunya terpaksa melepaskan peluru sebelum pihak Anwar Ibrahim dan PKR memulakan perang. Baru saja terdengar PKR menyusun rancangan untuk menyerang Perdana Menteri, soldadu kelas tiga Umno sudah pun membedil. Kenapa begitu sekali? PKR belum pun lagi memulakan hanya baru berbincang mengatur strategi dalam mesyuarat. Entahkan betul ataupun tidak strategi itu.

Bila Umno bertindak sebelum wisel dibunyikan menampakkan Umno dalam keresahan dan kegelabahan. Keresahan ini menjukkan kurang cerdiknya parti berkenaan dan sekaligus menggembarkan betapa berbisanya Anwar Ibrahim. Biasanya pihak yang merasakan dirinya kuat tidak mudah panik.

Tindakan beberapa orang pemimpin parti itu yang mengecam Anwar bolehlah dianggap bedilan dari soldadu kelas tiga menggunakan peluru getah. Antara mereka yang sudah mengecam Anwar ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohammad Hassan, Noh Omar dan ketua puteri Umno, Rosnah Rashid Shirin.

Kata Mat Hassan, langkah PKR hendak serang Perdana Menteri itu menunjukkan parti itu sudah berpecah dan hilang tumpuan. Tindakan itu juga menurut Mat Hassan kerana Anwar ingin mengalihkan perhatian terhadap isu pendakwaanya di mahkamah.

Manakala Noh Omar pula Anwar terpaksa berbuat begitu kerana sudah merasai dengan dengan perubahan dibawa Najib. Kata Noh, rakyat sudah menerima kepimpinan Najib dan rakyat sudah mengenali Anwar Ibrahim?

Benarkah apa yang digambarkan kedua soldadu kelas tiga ini? Bahawa pentadbiran Najib diterima rakyat? Najib dapat memulihkan keadaan ekonomi negara dan dasar dan polisi Najib diterima rakyat?

Kalau apa yang mereka katakan itu benar kenapa harus rungsing dengan strategi yang diaturkan itu? Rakyat tidak akan termakan dengan apa yang akan dilambungkan oleh Anwar terhadap Najib. Kalau rakyat sudah memerut dengan Najib, Anwar bilang apa pun rakyat tidak akan peduli.

Bimbangnya, apa yang Mat Hassan dan Noh Omar katakan itu hanya bayangan dan ilusi mereka saja. Ia tidak lebih daripada satu perasmian acara untuk membodek pemimpin atasan di mana di sebaliknya membawa niat tertentu. Mereka perlu mengatakan yang indah-indah kepada bos mereka untuk selamatkan diri. Umum orang tahu apa yang berlaku di sekitar Noh Omar dan Mat Hassan waktu ini.

Kedua pemimpin ini sedang diperhati oleh Najib. Indeks KPI mereka sedang dinilai. Jadi mungkin kerana nilai indeks mereka rendah maka ia perlu ditambah dengan acara bodek dan pujipuja kepada Najib?

Rakyat kini sudah cerdik dan bijaksana membuat penilaian. Baik terhadap apa yang akan Anwar dedahkan ataupun melihat apa yang Najib lakukan. Keduanya sedang diadili oleh rakyat dengan penuh prihatin. Rakyat juga bukan jenis soldadu kelas tiga. Mereka akan tetap memilih intan dari kaca.

Misalnya dakwaan Najib kini berjaya memulihkan keadaan ekonomi negara. Ia bukan saja boleh diucap tetapi rakyat mahu melihat realitinya. Mungkin Noh tidak perasaan hari ini boleh dikatakan setiap hari ada perniagaan ditutup? Kalau ekonomi pulih perniagaan tidak akan ditutup. Ukuran rakyat tersangatlah mudah.

Rakyat pula diberikan subsidi beras RM30 dibawah skim Raskin - beras untuk orang miskin. Apakah erti skim itu kalau bukan kerana negara ini berada di tahap membimbangkan? Seumur hidup belum ada skim sebegini tetapi ia diwujudkan di zaman Najib. Apakah ini melambangkan negara maju ataupun negara susah.

Begitu juga dengan ketelusan dan intergriti Najib sebagai seorang pemimpin. Iltizam dan slogan 1 Malaysia yang diuar-uarkan Najib bukan saja didengar dan diterima rakyat, tetapi ianya dinilai rakyat dari semua sudut. Rakyat mengcongak apakah slogan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan itu dipraktikan ataupun hanya retorik semata-mata. Bukan itu saja natijah kepada slogan itu juga sedang dikaji apakah ia menguntungkan nasib bangsa dan negara.

Diluar mungkin indah dan menarik slogan berkenaan. Tetapi dari dalam, di kalangan nasionalis, ahli akademik dan pejuang bangsa merasakan amat pahit untuk menghayati slogan itu apa lagi menelannya. Slogan ini sedang memakan diri Umno dan Najib. Ia umpama racun yang membunuh konsep awal dijana Umno.

Yang nyatanya dalam konteks ini slogan Najib itu masih boleh dipertikaikan. Masih ada sudut-sudut yang jelas, Najib belum merealisasikan. Beliau lebih mendahulukan Umno daripada rakyat. Maknanya masih ada diskriminasi yang diwarisi oleh Najib dari dasar aparteid Umno.

Apa yang berlaku di Kelantan dengan wang royalti minyak yang ditukarkan kepada wang ehsan, menampakkan akan kecanggungan dan kemungkaran ini slogan Najib.

Di sini bukan persoalan royalti ditukar kepada wang ehsan, tetapi apakah wang itu kelak terjamin akan sampai dan dinikmati rakyat Kelantan seluruhnya? Seperkara lagi, sekiranya Najib telus sepatutnya beliau bukan saja memberi wang ehsan kepada rakyat Kelantan tetapi menyerahkan kepada kerajaan untuk menguruskannya. Inilah baru tepat slogan rakyat didahulukan.

Najib sering kali mengkhabarkan dia terbuka dan akan berlaku adil. Tetapi dalam isu royalti minyak Kelantan ini nampak beliau tidak dapat melaksanakan keadilan seperti mana diharapkan.

Mungkin orang akan melihat cara Najib melayan Pas berbeza berbanding dengan perdana menteri lain sekiranya beliau tidak kedekut dengan menyerahkan semua wang ehsan (royalti) itu kepada kerajaan Kelantan. Kalau Najib tidak bersedia berbuat begitu bermakna beliau juga dua kali lima saja dengan bekas PM terdahulu.

Tetapi apakah Najib rela dan ikhlas berbuat demikian? Inilah yang sedang diperhati dan dinilai oleh rakyat.

Sekiranya serangan peribadi yang hendak dimulakan Anwar seperti mana didakwa itu, Umno tidak dapat mempertahankan Najib. Sebab jelas dan nyata Najib tidak berbuat seperti mana yang dikatakan. Khusus bagi rakyat Kelantan pula akan melihat apakah Najib ikhlas dengan mengunakan wang royalti minyak itu untuk rakyat atau untuk Umno.
Perilaku Najib terhadap ini merupakan ujian pertama buatnya setidak-tidaknya oleh rakyat di Kelantan. Lulus atau gagal slogan Najib itu juga terjawab di sini. [wm.kl. 7: 30 12/11/09]

Wednesday, November 11, 2009

Celoteh Murai 57

Politic Is The Art Of Possibilities

SEMALAM berbalah hari ini berbaik, kelmarin musuh hari ini kawan baik. Begitulah dunia politik yang dikatakan politic is the art of possibilities. Dalam dunia politik ini serba mungkin dan tidak ada yang mustahil. Murai mendengar bidalan ini sejak dari dalam persekolahan lagi. Pertama kali Murai dengan pengucapan ini keluar dari mulut arwah Datuk Mohd Asri Muda.

Kata Asri tidak ada yang mustahil dalam politik. Ertinya ia serba mungkin. Jadi kita tidak boleh berpegang kepada ajaran alias teori-teori politik. Murai sendiri ada sebuah kata-kata hikmah khas mengenai politik ini. Bagi Murai; sumpah dan janji orang politik tidak boleh dipercayai, tetapi jangan merasa aneh dengan tindakan orang politik.

Kalau ada orang politik berjanji usah ditelan bulat-bulat. Bagi Murai orang politik berjanji bukan untuk ditunaikan melainkan berkemungkinan untuk dimungkiri. Murai cukup faham falsafah ini. Dalam setengah abad usia Murai telah melalui berbagai pancaroba politik termasuk menghimpun segenap janji-janji politik. Sebab itu Murai tidak kecewa menghadapi perangai dan ulah orang politik. Sebab sudah dapat membaca niat sebelum lafaz.

Jangan sesekali rasa mustahil. Kalau hari ini kita boleh tidur sebantal esok bergaduh sampai lafaz talak tiga, dan lusa boleh bercina buta untuk berbaik kembali. Itulah dunia politik yang harus difahami. Ianya rencam dan bervariasi, berbunga-bunga dan penuh aroma. Justeru mereka yang tidak tahan akan terpesona dan akhirnya kojol dalam dunia politik.

Orang politik boleh memisahkan isteri dengan suami, kawan dengan kawan, anak dengan ayah, murid dengan guru dan sebaliknya. Sebab itu dalam menerima keyakinan orang politik kena berhati-hati, kena waspada. Kalau nak tengok sikap oportunis orang politik tengoklah perangai si buta yang angkuh dan sombong yang akan melemparkan tongkat selepas mereka selamat menyeberang jambatan. Tongkat itu akan dikenang semula bila ia ingin kembali ke belakang atau sesudah terdesak sesat di tengah jalan.

Dunia politik juga macam dunia budak-budak. Dan politik Malaysia bagi Murai macam budak main pondok-pondok. Contoh terbaru mengenai 'pergaduhan' antara Zulkefli Nordin dengan Sivarasa menerusi kenyataan akhbar. Keduanya saling kecam mengecam antara satu sama lain. Nah.. hari ini mereka telah berbaik semula. Isu cabar mencabar itu sudah pun selesai, bilamana Anwar Ibrahim campur tangan.

Murai tengok telatah dua orang ahli Parlimen ini tak ubah macam bocah-bocah di Tadika. Mereka bergaduh berebut sebiji gula-gula, tarik menarik lengan baju apabila orang tua mereka datang meleraikan, mereka berbaik dan ketawa semula. Gula-gula yang sebiji itu akan dikulum bersama, bergilir-gilir.

Makanya politik di Malaysia ini memerlukan lebih ramai lagi bapak-bapak yang tahan sabar, bijaksana dan bertolenran macam Anwar itu? Bayangkan kalau tidak ada orang seperti Anwar dalam PKR mungkin parti itu sudah bertaburan seperti cermin jatuh ke batu kerikil.

II

Murai ada terdengar dalam berita di radio tengah hari tadi si Salentia ada mencadang supaya Kemeterian Belia dan Sukan buat akta khas untuk kawal penonton bola sepak yang liar dan samseng. Aduh... bijkasana dan berpandangan jauhnya si Salentia ini. Syabas diucapkan kepadanya atas cadangan itu. Jarang wakil rakyat bergeliga macamnya.
Cuma yang Murai sikit musykil ialah kenapa Salentia tidak mengemukakan cadangan untuk mewujudkan akta bagi menghalang mana-mana wakil rakyat yang lompat parti. Bagi Murai undang-undang atau akta ini lebih afdal daripada nak kawal penyokong bola sepak itu. Eloklah kalau Salentia memikirkan perkara lebih utama daripada pekara remeh temeh seperti cadangan mewujudkan akta kawal penyokongnya. Bagi Murai yang perlu dikawal wakil rakyat seperti Salentia berbanding dengan penyokong liar. Untuk masa akan datang berfikirlah perkara-perkara yang aulia dan penting jangan menghabiskan air liur di parlimen saja.

Murai: Senatiasa nampak gajah dan kuman depan mata.