Thursday, July 21, 2011

Susupan Pagi

Video Bersih Versi Polis Mana?

POLIS Di Raja Malaysia (PDRM) mengatakan ada video yang disiarkan dalam portal atau blog pro pembangkang diubahsuai dan ada pertindihan suara. Ketua Polis Negara, Ismail Omar kata ia sengaja dibuat untuk menunjukkan kekejaman polis terhadap para peserta Bersih.

Mungkin ada benar juga kata-kata ketua polis negara itu. Zaman ini semua manusia kreatif dan inovatif. Orang ramai boleh menggunakan segala peralatan canggih itu untuk melakukan apa saja. Banyak program-program atau sistem mengubah suai apa saja yang boleh didapat secara percuma. Sebab itulah ada setengah orang sukar untuk mempercayai sesuatu itu walaupun benar.

Misalnya video lucah mengenai Anwar Ibrahim, pihak tertentu mengatakan ianya 99.099 peratus ianya adalah benar Anwar Ibrahim. Tetapi kerana kecanggihan segala macam peralatan yang boleh dimanipulasikan menyebabkan ada yang tidak percaya.

Ada yang menganggap video berkenaan palsu dan ia dihasil dari kemampuan manusia berbuat begitu.

Dalam kes video himpunan Bersih yang ditunjukkan dalam blog dan sebagainya, tidak mustahil ia juga palsu atau pun ada penambahann melampau. Tetapi pokok pangkalnya setiap apa yang didedahkan itu ada asas-asasnya. Ada fakta. Untuk membuat penambahan mesti ada subjek asalnya.

Kalau ia diubah untuk mengindahkan mata memandang saja, seperti sambal dan sayur untuk menambahkan selera makan saja. Yang penting nasi.

Polis tidak perlu bercakap panjang dan cuba meminta media massa membuat huraian bagaimana hendak menunjukkan polis berada dalam pihak yang baik dan penuh kemanusiaan dalam himpunan itu. Polis ada video, nah tunjukkan video berkenaan. Sama-sama kita saksikan. Mungkin lokasi atau gambar yang dirakam itu juga turut dirakam oleh ratusan video atau kamera lain.

Bila ia ditayang nanti sama-sama kita saksikan apakah ianya ada perbezaan atau sama? Rakaman siapa yang tulen dan siapa yang diubah suaikan ataupun dipendekkan. Atau di dalam video polis itu juga diubah dengan menggunakan perlatan canggihan dan kreatifviti jurugambar atau juruanalisa jabatan Polis di Raja Malaysia.

Bercakap banyak tidak ada guananya. Kini bila polis lambat menanyangkan filem dari versinya menyebabkan timbul prasangka, kenapa lambat sangat. Sepatutnya filem versi Polis di Raja dikeluarkan lebih awal dari tayangan liar di blog dan portal berita.

Kepada semua hendaklah ingat kebenaran tidak dapat diselindungkan walaupun anda mungkin ada makenisme canggih untuk melindunginya. [ttdi.kl 11:18 am 21/07/11]

Wednesday, July 20, 2011

Mengapai Mentahari

Ke Mana Dan Untuk Apa Amanah Merdeka

SEJAK dari semalam saya menerima tidak kurang 10 SMS yang memaklumkan Tengku Razaleigh Hamzah akan melancarkan sebuah Ngo yang dinamakan Angakatan Amanah Merdeka (Merdeka). Perlancaran itu akan berlangsung di Dewam Aditorium Mermorial Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj Jalan Dato' Onn Kauala Lumpur jam 9:30 Jumaat, lusa.

Sebelum ini saya sudah membuat satu pengeposan dua minggu lalu mengenai sebuah Ngo akan dilancarkan tanpa menyebut namanya dan hanya menyebut ianya dikepalai oleh tokoh politik veteran negara ini.

Tidak ada maklumat lanjut siapakah yang menganggotai Amanah Merdeka ini. Tetapi saya yakin dan percaya mereka terdiri daripada ahli politik Umno yang sudah tidak yakin lagi dengan perjuangan Umno untuk membawa kemajuan dan kesejahtraan kepada negara ini. Mereka juga terdiri daripada para bekas pegawai tinggi kerajaan tidak lagi yakin dengan perjuangan Umno dan juga kepimpinan Najib Razak sebagai PM.

Siapa-siapakah mereka? Memang ada beberapa orang veteran Umno yang bersama Tengku Razaleigh dan menjadi penyokong setianya. Mereka ini termasuklah anak-anak pemimpin Umno yang kini sudah tidak ada lagi percaya kepada Umno yang dilihat sudah jauh menyimpang dan menyeleweng dari prinsip asal perjuangannya.

Persoalannya kini apakah matlamat penubuhan Ngo itu? Apakah ianya akan bergerak menjadi pemangkin kepada Umno ataupun akan bertindak menjadi penentang kepada Umno? Apakah Amanah Merdeka yang dikatakan berpaksi kepada amanah Tunku Abdul Rahman itu akan bergabung dengan pembangkang dalam pilihan raya nanti?

Logiknya mereka, khasnya Tengku Razaleigh tidak akan beriya-iya untuk memimpin Ngo itu kalau bukan untuk memperbetulkan Umno Umno, atau kalau masih sayang dan percaya kepada Umno. Semasa saya mengadakan temuramah khasnya dengan Tengku Razaleigh untuk Siasah, tidak lama dulu beliau sudah memberi gambaran serba sedikit mengenai masa depannya dan ketidakyakinan beliau kepada Umno.

Saya dapat tangkap dari gambaran secara bersiasah itu menunjukkan Tengku Razaleigh tidak akan bertanding atas tikit BN lagi. Beliau seolah-olah memberi gambaran yang beliau sudah tidak menaruh harapan besar lagi kepada Umno sekiranya beliau berhasrat menjadi perdana menteri atau pun kalau ada usaha untuk mendolorkan beliau ke kerusi berkenaan. Justeru satu mekanisme baru perlu dicari sebagai alternatif.

Dalam hal inilah mungkin mereka yang menyokong Razaleigh dan meletakkan harapan besar kepadanya mermelukan sebuah wadah lain dari Umno untuk mencapai tujuan itu. Manakala bagi menyertai Pakatan Rakyat ia dilihat agak kontras dengan jiwa putera raja dari Kelantan itu. Makanya Ngo adalah adalah jalan tengah terbaik dan tidak melampau.

Apa pun sama-sama kita tunggu dan lihat sendiri bagaimana suasana pelancaran dan sambutannya nanti pada Jumaat ini. Semua dijemput hadir. Tetapi terus terang saya katakan di sini kalau Inchek Ibrahim Ali juga termasuk dalam barisan penting Ngo ini mungkin saya akan membatalkan hasrat kerana kehadiran Ibrahim boleh merosakkan niat yang murni ini. [wm.kl.11:25 am 20/07/11]

Sesudah Subuh

Kenapa Takutkan The Malaysian Insider?

GOLONGAN yang mahu menggunakan 'parang', 'golok', 'lembing' dan segala macam senjata lapok dan buruk untuk membela puaknya sendiri terus bertempik dan menjual tapai basi.. kali ini dengan mengarahkan muncung golok tumpulnya kepada protal berita The Malaysian Insider. Golongan ini mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan ke atas protal berita tersebut.

Kata golongan ini protal berita tersebut banyak menimbulkan perkara yang boleh memecah-belahkan kaum di negara ini. Saya rasa tidak perlu sebut nama golongan tersebut, kerana bila saya gunakan istilah 'mereka yang menggunakan senjara lapok dan tradisional' untuk melawan pihak lain semua sudah faham dan arif siapa gerangannya.

Baru ini mereka menjadi gila menyerang S Ambiga Sereevasan kerana menganjurkan Bersih. Mereka bercakap macam hala lintar kononnya akan memanah mati Ambiga dan mengagalkan beliau daripada mengadakan himpunan Bersih. Maka bertepuk tanganlah segemuruhnya para pengikutnya yakin Bersih gagal. Tetapi apa kesudahannya Bersih jalan terus, puluhan ribu hadir manakala para pelakar yang kuat berbunyi tetapi tak ada kilat dan api ini hilang entah ke mana bersembunyi ke dalam lubang cacing. Pengecut!

Mengenai tindak tanduk The Malaysian Insider, saya tidak menafikan ada kalanya ia banyak menyiarkan berita atau laporan bersikap provokatif dan yang berunsur menghina Melayu dan Islam. Itu sudah stail media yang tidak ada idealisme Melayu dan Islam. Ia dikenalikan oleh bukan aktivis Melayu dan Islam. Jadi tidak hairan kalau mereka bersikap begitu. Menjayakan agendanya adalah tanggungjawab mereka.

Tetapi dalam dunia langit 'terkebek' (terbuka) maklumat dihujung jari hari ini bolehkah hendak nafikan akan hakikat itu. Hari ini sesiapa pun tidak dapat menyekat maklumat dari masuk ke dalam kepala rakyat. Maklumat hari ini seperti air dan angin, dua unsur halus yang akan menyelinap di mana saja ruang dan lubang yang ada. Orang yang cuba menyekat maklumat adalah orang bodoh yang hidupnya di bawah tempurung bulu dan hidup di tepi payah busuk saja. Kerana mereka tak ubah seperti menceduk air dengan raga yang berlubang seperti mana dilakukan oleh para psikiatrik.

Menyuruh kerajaan sekat The Malaysian Insider, samalah seorang budak kecil yang kalah bertarung dengan kawannya yang meminta ayah membantunya. Apakah itu adil dan satu sikap gentleman dan berani namanya? Kalau kita benar pejuang bangsa yang hebat, pedokong agama yang alim dan istiqamah lawanlah dengan menggunakan akal. Hujah hendaklah dibalas dengan hujah, provokasi balaslah dengan provokasi bukannya cuba berhelah dengan mencari bantuan-bantuan lain.

Salah seorang mereka yang tidak senang dengan protal itu ialah ketua kepada sebuah pertubuhan yang sudah jadi perkasam. Dia juga ada media massanya sendiri. Kenapa tidak digunakan media massa itu untuk menjawab segala tindakan huduh The Malaysian Insider itu. Carilah penulis atau pemikir terdiri daripada 'sasterawan angsa tenguk panjang' atau pun para 'profersor cermin mata' yang sering keluar dalam tv itu untuk menjawabnya?

Kebetulan mereka orang Melayu yang mengaku agama Islam tetapi jarang pakai songkok dan kopiah. Saya menjadi malu dengan cara orang Melayu hendak mempertahankan diri dan tamadun sengetnya seperti mana dilakukan itu. Sikit-sikit nak guna golok parang, sikit-sikit nak mengadu kepada kerajaan. Sikit-sikit desak polis tangkap. Kerajaan juga kadang kala menjadi senget sama kerana terkalu terikut dengan desakan dan puak-puak ini.

Golongan berkenaan juga menghina The Malaysian Insider mengatakan protal berita itu tidak sehebat mana kalau dibandingkan dengan Utusan. Nah... kalau Utusan hebat apa perlu takut lagi... serah dan gunakan akhbar itu untuk membela Melayu dengan melawan dan menjawab segala tohmohan dan kejahatan dilakukan The Malaysiaan Insider itu?

Barang kali mereka tahu sejauh mana wibawa Utusan yang mereka bangga-banggakan itu. Utusan sendiri pun nafasnya kini sudah semakin sempuk dan pembuluhnya darahnya mengecut. Malahan Utusan yang dianggap sebagai akhbar keramat itulah juga yang menyebabkan permasalahan yang mereka bangkitkan itu menjadi puncanya. Cara pemberitaan Utusan menjadi pembunuh secara senyap kepada Melayu sendiri. Pada saya yang perlu dsiasat bukan orang yang berperanan dalam The Malaysian Insider, tetapi orang yang berperanan di dalam Utusan itu dulu. Otak dan kepala mereka dulu perlu diperbetulkan.

Apakah Utusan tidak bersikap rasis? Berat sebelah dan berlaku adil dalam laporannya? Tenguk apa yang akhbar itu lakukan kepada pembangkang. Apa yang mereka lakukan kepada Anwar Ibrahim dan Nik Aziz. Akhbar itu menyula orang-orang ini hidup-hidup tanpa mereka melakukan penzinaan kepada agama bangsa dan negara?

Apakah kerana akhbar ini bernama Utusan Malaysia yang diterbitkan oleh Utusan Melayu Sdn Bhd maka kita harus menerima apa yang disogokkan walaupun ia sebenarnya lebih jahat dan jijik daripada protal berita berkenaan lakukan? Tidak... kita tidak boleh berpegang atas alasan kerana kita Melayu maka apa yang dilakukan akhbar Melayu kandati jahatnya kita tengok dan rasa sendiri maka kita perlu menyokongnya. Tiada guna mengaku Melayu kalau kita tidak mempunyai kekuatan dalaman dan wisdom.

Percayalah usaha pihak berkenaan mendesak kerajaan bertindak ke atas The Malaysian Insider tidak akan ke mana. Malahan desakan dan tindakan itu menampakkan kebodohan mereka sendiri saja. Desakan itu samalah mereka selak kain tepi longkang. Utusan pula yang menyiarkan pandangan dan desakan mereka itu ikut sama akan terpalit dengan pemikiran bodoh yang berlandaskan nafsu yang tidak dididik di rawat sebaik mungkin. Usaha untuk membunuh protal berita itu samalah para dukun yang berikhtiar untuk menangkap toyol bubuh dalam dalam 'jebur'. (Baca baik-baik jebur... bukan jubur).

Berhentilah melawan orang dengan golok dan parang tumpul atau kering berkarat, marilah kita melawan dengan otak dan kepala. Asahlah kepala tak perlu asapkan dupa atau kemenyankan kan keris lembing lama. Zaman sekarang ini zaman orang berperang di medan siber. Orang juga sudah tidak takut kepada suara (pelakar) yang tidak mengeluarkan api yang boleh membakar. Sesungguhnya kesaktian jin dan bota adalah dongengan saja. Apakah khabr Mat Maslan lama tak dengan suara? [wm.kl.8:00 am 19/07/11]

Tuesday, July 19, 2011

Susupan Petang

Tolak Anugerah Ibrahim Ali

[kemaskini] SEPERTI mana kata Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man tindakan UITM menerima cadangan untuk Ibrahim Ali mengadakan Anugerah Ibrahim Ali untuk beberapa ketogori boleh menyebabkan mereka yang berjasa kepada penubuhan institusi penganjian tinggi itu tersenyum. Sebenar ia bukan saja tersenyum tetapi menyebabkan nama UITM juga akan menjadi buruk, busuk dan hanyir kalau anugerah itu dilaksanakan.

Iya siapalah Ibrahim Ali sehinggakan UITM perlu mewujudkan anugerah atas nama Ibrahim Ali. Apalkah jasa-jasa besar beliau kepada UTIM. Ibrahim Ali selalu mendabik dialah orang yang berjuang menaikan taraf UITM dari institiut kepada universiti. Beliau galak menyebut dan mengulang hal itu tanpa menyebut langsung nama orang lain. Betulkah?

Nilai sendiri apa jenis manusia ini sebenarnya. Arwah Tun Razak pun tidak pernah mewujudkan anugerah untuk apa-apa kategori semasa beliau masih hidup. Anugerah Tun Razak yang diadakan hari ini adalah diuruskan oleh badan-badan tertentu sebagai mengenangi kehebatan Tun Razak dalam memimpin negara dan membawa pembangunan.

Mahathir juga tidak pernah iseng memberi apa-apa anugerah atas namanya. Rasanya Mahathir hebat lagi berbanding dengan Ibrahim Ali. Bila Inchek Ibrahim berbuat begitu ini bermakna beliau mahu menjual dirinya sebagai hebat sampai ada anugerah atas nama dirinya. Perbuatan Inchek Ibrahim itu seperti masuk bakul angkat sendiri. Selalunya begitulah sikap dan perangai orang yang tidak mendapat sokongan dia akan berusaha untuk mengangkat dirinya sendiri agar dilihat oleh orang ramai.

Mereka yang tahu maruah dan juga moral politik seorang Inchek Ibrahim tidak akan sedia untuk menerima anugerah itu. Cemarkan tangan saja. Saya tidak fikir ada orang mementingkan maruah dan intergriti yang sedia menerima anugerah bernilai RM5,000 walaupun orang itu bangsat sekali pun. Apalah sangat hendak dikira RM5,000 kalau dibandingkan dengan cemar dan kotor terpaksa diterima dengan menerima anugerah itu. Hanya orang yang ngor... saja atau pelahap duit akan sedia mengambilnya.

Di sini saya ingin memesankan kalau ada anak buah saya dicalonkan menerima anugerah itu agar menolaknya. Biarlah tidak makan duit Inchek Ibrahim pun tidak mengapa. Rasanya kita boleh hidup lagi dan hidup kita tidak akan jatuh darjat kalau tidak menerima anugerah Inchek Ibrahim. Dan darjat kita juga tidak akan naik kalau menerima anugerah berkenaan.

Dengan ada berbagai pehak yang membantah perwujudan anugerah itu oleh UITM, elok kalau IPTA itu mengkaji balik keputusan untuk mewujudkan anugerah itu. Pihak senat UITM patut mengkaji semula demi menjadi wibawa IPTA itu. Jangan mudah terpadaya dengan Ibrahim yang hendak menjual dirinya yang sudah semakin tidak lakukan sekarang ini menerusi anugerah berkenaan. Sebagai sebuah IPTA yang sudah ada prestaj tersendiri jangan sesekali hendak dilomori dengan kotor bernajis dengan anugerah itu. [wm.kl.7:32 pm 18/07/11]

Monday, July 18, 2011

Sesudah Subuh - Balesungkawa

Dr Lo' Lo': Mutiara Yang Tidak Akan Hilang Sinarnya

Dr LO' LO' binti Mohd Ghazali adalah satu nama besar dalam Pas. Meskipun kedudukannya dalam parti Islam itu khususnya dalam Dewan Muslimat bukan ditempat teratas, tetapi dewan itu seakan sinonim dengan namanya, Dr Lo' Lo'. Nama ini mula disebut dalam Pas sekitar tahun 90-an dan mulai mewangi pada awal akhir tahun 90-an. Kelopak perjuangannya mula berkembang dan disedari tatkala meletusnya era reformasi.

Era reformasi menerjahkan namanya ke tengah-tengah gelanggang. Era ini menguji kekuatan mental dan ketabahan feminis beliau sebagai seorang pejuang. Orangnya bertubuh kecil molek, berwarna putih kuning menjadi sekuntum bunga di dalam Pas. Kelihatan manja tetapi tegas. Ia menjadi daya tarikan, istimewa kepada anak-anak muda terutamanya kaum wanita. Kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan (profesional) telah memberi rangsangan kepada anak-anak muda lain untuk menuruti jejak langkahnya menyimbah peluh di padang perjuangan.

Kesungguhnya beliau berjuang dalam Pas, menjadi aktivis muslimat Pas yang gigih, tekun dan membawa Pas keluar dari kepompong muslimat pingitan sebelum ini ke jalan baru tidak boleh dialpakan. Beliau telah merintis membuka ruang lebih luas dalam Pas untuk kaum hawa mengibarkan panji Islam, duduk tinggi atau memberi pengorbanan sama besar dengan lelaki bersama rakan-rakan lain, Dr Siti Mariah Mahmud, Siti Zailah Yusuf dan lain-lain.

Sepanjang hayatnya beliau mendominasi dalam bidang kebajikan terutamanya dalam aspek kesihatan sesuai dengan kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan. Jika tidak silap saya Dr Lo' Lo' juga pernah ikut sama memberi bantuan kemanusiaan, rawatan dan perubatan dalam tragedi gempa bumi di Yogjakarta tahun 2006.

Pada pilihan raya umum ke-11 (2004) beliau diberikan tanggungjawab oleh Pas bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Perak tetapi tewas. Ketewasan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya. Malahan kekalahan kali pertama itu menjadi perangsang untuk beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kekalahan dan pengalaman pertama itu mengajar beliau erti perjuangan menerusi berpilihan raya.

Siapa percaya pada tahun 2008, beliau seorang wanita yang lemah lembut boleh menang di sebuah kerusi bandaraya yang mempunyai berbagai lapisan masyarakat. Dr Lo' Lo' mengalahkan calon BN, Jamaluddin Aziz di kerusi Titiwangsa dengan majoriti 1,972. Kemenangan itu meletakkan namanya sebagai ahli Parlimen wanita pertama daripada Pas yang menang untuk mana-mana kerusi dalam Wilayah Persekutuan. Satu sejarah.

Nama yang sememangnya sudah bercahaya kerana Lo' Lo' itu sendiri bermaksud mutiara atau permata cepat mengharumkan Dr Lo' Lo'. Kerajinannya mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen menjadikan beliau popular dan disanjungi kawan dan lawan kerana komitmennya kepada tanggungjawab dan amanah. Isu-isu yang diambil bahagian ialah mengenai hak wanita dan juga isu-isu mengenai kepentingan Islam dan kebajikan insan.

Sebagai wakil rakyat wanita beliau tidak terelak terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah politik yang dilakukan lelaki. Lo' Lo' tidak dikecualikan atas persoalan gender. Kawasan Titiwangsa adalah pernah dimiliki oleh Sulaiman Mohamad, seorang politician Melayu yang dikenali sebagai samseng kampung dusun. Walaupun Sulaiman tidak lagi menjadi penghulu di situ namun Dr Lo' Lo' tetap menghadapi cabaran dan sindiran yang diwarisi dari Sulaiman yang diteruskan oleh penguasa Umno seterusnya.

Sekali lagi serangan dan kritikan terhadapnya selaku wakil rakyat oleh Umno tidak menjadi kudis gatal. Kemunculan Menteri Wilayah Baru Raja Nong Chik yang beriya untuk merampas Kampung Baru yang perlahan-lahan telah bertukar menjadi kubu untuk Pakatan Rakyat dan cuba merombak sokongan kepada Dr Lo' Lo' merupakan cabaran terhebat buatnya. Dr Lo' Lo' pernah dipersendakan oleh Raja Nong Chik kerana beliau seorang perempuan. Kalau tidak silap Dr Lo' Lo' pernah meminta Nong Chik meminta maaf kepadanya atas satu perbuatan Nong Chik yang kurang tamadun.

Keberaniannnya juga terserlah. Beliau mencabar untuk bersekemuka dengan sesiapa saja demi kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Dalam berdepan dengan isu rampasan Kampung Baru beliau ke hadapan. Perjuanganya menjaga hak warisan orang Melayu Kampung Baru diperjuangkan sampai ke denyut-denyut nafas terakhir. Dalam keadaan beliau sudah sakit di mana seharus rakyat dilupakan namun beliau masih membela dan mempertahankan hak rakyat Kampung Baru. Beliau tidak rela Umno menzalimi penduduk Kampung Baru.

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) pada sidang Parlimen Mac lalu sesuatu yang menggembirakan beliau. Penangguhan itu sedikit sebanyak adalah kerana kelancangan beliau menentang agenda berstrategi Umno itu. Dr Lo' Lo' tidak habis-habis memberi peringatan agar agenda untuk membangunkan Kampung Baru biarlah dilakukan secara adil dan hak orang Melayu di situ terbela selamanya.

Ternyata iltizam beliau kepada tanggungjawab dan amanah parti itu tidak pernah diabaikan. Walaupun beliau tidak dapat menyuarakan kepada Parlimen kerana dihalang kanser namun beliau tidak berputus asa. Jalan lain dicari bagi menyampaikan isi hatinya. Rakan-rakan seperjuangnya senantiasa membantu dan mewakili beliau bagi menyampai apakah yang tersekang di dadanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub pernah diwakilkan untuk menyampaikan ucapannya di Parlimen.

Meneliti dan mengimbau sejarah perjuangan dan keulitan serikandi ini, benarlah apa yang diungkapkan oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya; Dr Lo' Lo' adalah seorang mujahidah yang istiqamah di dalam perjuangan.

Mengapa tidak seperti dikatakan tadi beliau tidak mudah berputus asa dan berwalang durjana demi memastikan perjuangan partinya tegak di atas muka bumi ini. Selain itu beliau juga seorang yang rajin, ada masanya melebihi pejuang lelaki sendiri.

Saya ada secebis pengalaman dalam hal ini, melihat sendiri bagaimana rajin dan seriusnya beliau dalam perjuangan pada berkempen pilihan raya kecil bagi memastikan calon Pakatan Rakyat. Semasa berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pauh yang melibatkan pertandingan Anwar Ibrahim, Dr Lo' Lo' adalah seorang tenaga kempen utama. Bagi memastikan kemenangan Anwar beliau telah turun naik ke pejabat-pejabat kerajaan untuk memberi risalah dan mendekati pengundi.

Beliau ada menceritakan bagaimana beliau dihalau keluar dari pejabat tetapi tidak diendahkannya. Hak demokrasi dan kebebasan bersuara dipergunakan seterusnya. Beliau memberi tahu ada kalanya beliau terpaksa bertengkar dengan kakitangan pejabat sebelum dapat meninggalkan risalah. Selamba saja beliau memberi tahu apa yang berlaku ke atasnya.

Pada pilihan raya kecil itu beliau juga turut sama mendekati para peniaga di sebuah pasar. Beliau melalui dari lorong ke lorong menemui segenap penjual di dalam pasar berkenaan. Sambil bertanya khabar beliau menghulurkan risalah kepada para peniaga. Cara diplomasi yang tinggi dan lemah lembut menyebabkan para peniaga senang menerima kunjungannya. Ini terbukti bila mana ada peniaga yang membelanjakan beliau dan rombongan untuk minum.

Demikian juga pada siri-siri kempen pilihan raya kecil lain atau acara refomasi. Wajah dan kelibat beliau akan senatiasa sahaja ternampak. Mengingati akan kerajinan beliau dalam membantu rakan dan memastikan kemenangan, teringatlah saya kepada seorang lagi ahli Parlimen yang seingat saya tidak pernah miss menjadi host kempen pada pilihan raya kecil. Orang yang saya maksudkan itu adalah Dr Mohd Hatta Ramli. Kalau dalam lelaki Pas ada Hatta yang rajin, komited maka dalam muslimat Pas ada Dr Lo' Lo' yang ulit dan tidak mengenang letih dan istiqamah.

Semalam jam 10:15 minit 15 Syaaban 1432 bersamaan 17 Julai 2011 dalam usia 54 tahun permata Pas yang bergemilang memancar sinar itu sudah pun tiada lagi. Dia sudah dipanggil pulang ke pangkuan penciptaannya untuk selamanya. Pas dan kita semua hanya diberikan pinjam sekejap saja permata penuh berazimat itu. Demikian takdir Allah, kita kena pasrah.

Namun sinar yang pernah hadir dan memberi cahaya kepada kita tetap akan terlekat kejap di sanubari. Kewujudannya ia bersama kita sebagai menandakan bahawa kita pernah bersama dalam mengibarkan panji-panji kebenaran ini dan selorong menuju ke mardtillah, insyaAllah.

Kalau kita semua benar sayang dan mengkagumi ratu jihad ini, ayuh.. terus kibarkan panji-panji ini yang ditinggalkan kerana ia akan meneduhkan rajuna itu di ambang Syurga. Penerusan perjuangan adalah doa kudus untuk Allahyarham. Al Fatihah. [wm.kl. 6:02 am 18/07/11]

Catatan Tengah Malam

Dr Lo' Lo' Kembali Ke Rahmatullah

AKHIRNYA debaran kebimbangan mengenai keadaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Dato' Mohamad Ghazali yang dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu terjawab dan berakhir juga. Tepat jam 10:56 malam ketika sedang santai di kopitiam bersama seorang kawan tiba-tiba masuk satu email ke dalam telefon mengkhabarkan Dr Lo' Lo' telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 10:15 malam. Allahyarham telah menutup kitab hidupnya dalam usia 54.

Tangan saya jadi menggeletar ketika memutar tumbol telefon untuk membaca pesanan yang dimuatkan dalam email berkenaan. Pengirimnya bernama Wan Mohd Azli Wan Ahmad.

Sumber yang baru diterima itu jelas dan sahih. Ia bukan lagi berita palsu dan fitnah yang ditaburkan sepanjang pagi tadi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan berhati haiwan.

Pagi tadi beberapa bloger yang tidak bertanggungjawab atau pun twist yang kurang berhati-hati telah melaporkan yang Dr Lo' Lo' sudah kembali ke Rahmatullah sedang saat itu Dr Lo' Lo' masih bertarung dengan maut dan bernafas.

Nasib baik saya dapat menhubungi Dr Mohd Hatta Ramli untuk mengetahi keadaan sebenarnya. Setahu saya Dr Hatta adalan di antara orang yang perihati mengenai keadaan Dr Lo' Lo' dan beliau adalah di antara pemimpin Pas yang paling akhir menziarahi Dr Lo' Lo'.

Maklumat dari Dr Hatta saya muatkan dalam blog dan sekaligus membatalkan laporan palsu mengatakan Dr Lo' Lo' sudah tiada lebih awal dari waktu yang ditetapkan Khalidnya.

Berkali-kali saya membaca pesanan menerusi email dari Wan Mohd Azli itu. Saya berharap ianya palsu lagi kali ini. Biarlah Dr Lo' Lo' masih bersama kita bagi meneruskan perjuangan yang masih panjang yang baru dimulai olehnya. Walaupun beliau sudah nazak tetapi harapan tetap berbunga di hati untuk melihat Dr Lo' Lo' terus bersama kita semua.

Saya cuba menghubungi beberapa pemimpin Pas. Sekali lagi Dr Hatta yang berjaya dihubungi. Beliau masih dalam majlis (retreat) bersama pemimpin Pas, khabarnya diadakan di Ampang. "Dr betulkah Dr Lo' Lo' sudah tiada?" tanya saya dalam nada pelahan dan mengharap jawaban tidak. 'Iya..." jawabnya pendek.

Jawaban Dr Hatta yang pendek dan padat itu cukup kejam meragut jiwa saya. Ia bagaikan kilat dan pelakar yang memancar membakar seluruh indera saya. Harapan saya untuk melihat Dr Lo' Lo' bersama meneruskan perjuangan sudah tiada lagi. Dia telah dibawah pulang ke penciptanya.

Berpandukan kepada maklumat email itu yangf memberi tahu jenazah akan dibawah ke masjid al Aqram saya cuba menghubungi beberapa orang kawan untuk membawa saya ke Masjid Al Aqram di Dato' Keramat. Saudara Rushdan Mustafa yang sering menjadi 'driver' peribadi saya kebetulan dalam perjalanan ke Petaling Jaya. Mengenangkan dia dalam perjalanan saya tidak memaklumkan kepadanya dan terpaksa mencari kawan lain.

Nasib baik saudara Zulaimin Kazin, taukeh Kopi Janda dapat dihubungi. Sebegitu memaklumkan bahawa Dr Lo' Lo' suah tiada dan menyatakan hajat untuk menziarahi jenazahnya, Zulaimin yang sejak petang lagi ikut sama memantau keadaan Dr Lo' Lo' tanpa banyak cerita terus datang mengambil saya di kedai kopi di Taman Permata.

Sewaktu saya dan Zulaimin sampai sudah ada beberapa puluh orang di perkarangan masjid yang sedang menunggu jenazah Dr Lo' Lo'. Di antara kenamaan yang awal tiba ialah ahli parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giok, (maaf kalau namanya salah ejaa maklumlah ni dah pagi) Adun Pandan Jaya, Iskadar Abdul Samad serta Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail.

Yang turut juga kelihatan dan terawal sampai ialah bekas Ketua Muslimat Pas, Ustazah Jamilah Ibrahim bersama rakannya. Beliau juga nampak kurang sihat dan mengagahkan diri untuk datang melawat.

Sementara ahli Parlimen Pas yang tiba untuk menanti ketibaan jenazah ialah Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Yusuf yang tiba bersama timbalannya Siti Mariah Mahmud. Mereka sampai hamoir serentak dengan ketibaan jenazah.

Jenazah tiba dari hospital Selayang kira-kira jam 12:20 minit malam yang disambut oleh orang ramai dan juga sanak saudara Allahyraham. Jenazah kini tenpatkan di masjid al Aqram untuk menerima orang ramai yang akan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Berpuluh orang sedang membaca yassin dan berdoa di samping jenazah.

Agak anih juga tiada kelihatan pemimpin besar Pas yang berada di perkarangan masjid menanti ketibaan jenazah Dr Lo' Lo'. Apa yang berlaku sebenarnya semua pemimpin tertingi Pas sedang mengadakan permukiman di sebuah hotel di Ampang menyebabkan mereka 'sukar' untuk meninggalkannya. Boleh jadi kehadiran Siti Zailah dan Siti Mariah sebagai mewakili mereka - pemimpin jantan.

Adalah baik dan molek kalau para pemimpin meninggalkan seketika retreat berkenaan dan ramai-ramai ke perkarangan masjid untuk menziarahi jenazah dan membaca Yassin sekali seorang sebagai menandakan kasih dan simpati atas apa yang berlaku. Bagaimana pun tanpa disedari ramai lawan Dr Lo' Lo' dalam pilihan raya lalu Abdul Aziz turut hadir untuk memberi penghormatan sebaik berita kematian Dr Lo' Lo' sampai ke pengetahuannya.

Menurut maklumat jenazah akan dikebumikan esok di tanah perkuburan Dato Keramat yang terletak tidak sampai satu km dari masjid al-Aqram. Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Aziz yang sudah dimaklumkan katanya akan datang untuk sama-sama menyembahyahi jenazah Dr Lo' Lo' esok.

Catatan balesungkawa Dr Lo' Lo' akan disiapkan esok, insya-Allah. [wm.kl. 1:56 am 18/07/11]

Sunday, July 17, 2011

Sebelum Maghrib

Kenapa Polis Lambat
Tayang Rakaman Kekejaman Bersih?


Udin anak Yassin meminta polis segerakan penyiaran rakaman video mengenai himpunan Bersih bagi membuktikan polis tidak bertindak gasan dan ganas terhadap peserta himpunan Bersih.

Kata Udin polis perlu segera tampil mengemukakan bukti dalam bentu visual dan odio itu bagi menangkis tohmohan pembangkang yang mendakwa polis bertindak gasan dan ganas.

Kata Udin peristiwa himpuan Bersih yang dihalang polis telah dieksploitasikan oleh pembangkang dan juga bloger yang pro pembangkang.

Saya menyokong penuh gesaan Udin anak Yassin itu. Polis patut segera menayangkan video berkenaan. Kenapa tunggu lama-lama sangat. Di dalam laman sosial sudah berbagai versi video himpunan berkenaan dipaparkan. Semuanya menunjukkan akan kerakusan polis dalam menghuraikan himpunan yang disifatkan haram itu.

Bukan saja video yang dirakam oleh ametur tetapi juga yang dirakam oleh jurugambar dari stesen televisyen dari seluruh dunia. Dalam semua klik-klik video itu menujukkan akan kerakusan dan keganasan polis.

Apakah polis sedang menyunting rakaman-rakaman yang dibuat bagi disesuai dengan dakwaan dan penafian pihak polis yang bertindak mesra rakyat. Mungkin lakonan semula dilakukan oleh polis bagi menyiapkan rakaman berkenaan menjadi sebuah rakaman mesra polis?

Ribuan baju Bersih dirampas akan dipakai oleh polis untuk tujuan rakaman berkenaan. Pasukan polis Bersih itu akan menyerang dan melanyak polis kemudian dirakam. Apakah filem itu sedang diproses menyebabkan ia tidak ditayang lagi?

Tidak mustahil kalau polis membuat sandiwara dalam hal ini. Mana tahu dalam kem di Pulapo atau di mana-mana polis membikin filem kekejaman himpunan Bersih palsu terhadap polis itu. Mungkin dalam filem itu nanti akan ada anggota polis yang membantu peserta himpunan yang terjatuh atau sebagainya.

Kalau tidak ada mengada kenapa lambat sangat rakaman vidoe itu hendak dikeluarkan. Bersih sudah pun berlalu seminggu. Semua orang segenap masyarakat sudah menontonnya. Rakaman segera itu lebih benar dan genue kerana tidak mungkin ia dilakun semula.

Kelambatan menyiarkan rakaman ini menyebabkan orang ramai akan hilang kepercayaan kepada polis. Kalau pun rakaman itu benar sekalipun disebabkan ia memakan masa lebih seminggu untuk ditayangkan kepada umum, menyebabkan ia akan dikatakan sebagai lakonan semula.

Kerja-kerja melakukan lakonan semula ini adalah kepakaran polis dalam usaha mengecam suspek terhadap sesuatu kes. Adalah lebih baik kalau polis bercadang membuat rakaman di luar lokasi sebenar tidak diteruskan kerana kalau rakaman itu menjelaskan kecacatan maka padah buruk akan menimpa pasukan polis. Implikasi dari itu, Menteri Dalam Negeri, ketua polis negara dan timbalannya wajar melepaskan jawatan sebab mereka tidak layak memikul tanggungjawab itu. [wm.kl.7:12 pm 17/07/11]

Perhatian

Khabar Dr Lo' Lo' Sudah Meninggal Tidak Benar

Khabar dari beberapa twitter dan facebook mengatakan ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali sudah meninggal dunia tengah hari ini adalah tidak benar. Pengarah Pilihan raya Pas yang juga kawan Dr Lo' Lo' Dr Mohd Hatta Ramli yang dihubungi sekejap tadi memaklumkan Dr Lo' Lo' masih ada.

"Beliau masih ada tetapi keadaanya kritikal, petang semalam saya menziarahinya," kata Dr Hatta yang menyesali beberapa laporan menerusi twitter.

Adalah diharap semoga para tweet dan bloger berhati-hati dalam membuat laporan atau pun mengkhabartkan berita seumpama ini kerana ia adalah fitnah dan boleh menyinggu hati banyak pihak.

Sebaik-baik berita mengenai kematian atau kemalangan seseorang hendaklah dipetik dari sumber yang boleh dipercayai. Sama-sama kita mendoakan semoga Allah akan menyelamatkan Dr Lo' Lo' dan kita pula tidak tergolong dalam golong penyebar berita fasik. [wm.kl.2:07 pm 17/07/11]

Ulasan Ahad

Festival Makanan Cheng Ho
Proses Mengantarabangsakan Kelantan

WAKTU ini di Kota Bharu sedang berlangsung Festival Makanan Antarabangsa - Kelantan Cheng Ho. Venuenya ialah di perkarangan Bazar Tok Guru yang terletak di jalan Sultanah Zainab. Perasminya dilakukan oleh MB, Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin, Jumaat. Ekspo akan berlangsung selama 9 hari. Semua Exco dan pegawai tinggi kerajaan hadir pada majlis perasmian.

Saya tidak dijemput secara rasmi untuk menghadiri festa berkenaan tetapi tahu dari beberapa orang rakan dan juga wakil rakyat yang kerap menghubungi saya. Semasa berjumpa dengan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan yang baru Zulkefli Mamat sehari sebelum himpunan Bersih, di Kuala Lumpur beliau ada memberi tahu tetapi tidak mengundang secara rasmi.

Katanya buat masa ini beliau sibuk dengan persiapan untuk mengadakan festa Cheng Ho yang akan mempamirkan makanan pelbagai dari negara di seluruh dunia khasnya China.

Bagi penulis maklumat itu sudah cukup untuk membolehkan saya bertindak ke atasnya, sama ada untuk datang melihat sendiri atau pun bertanya khabar mengenai ekspo julung-julung kali diadakan itu. Rasanya ekspo makanan antarabangsa kedua ini adalah kesinambungan expo Cheng Ho: Perdagangan dan Persahabatan sebelum ini yang mempamirkan pelbagai bidang perniagaan yang boleh digemblingkan di antara dua buah negeri Kelantan dan China.

Kalau tidak mendapat maklumat awal khasnya dari Zulkefli itu mungkin saya hampir tidak mengetahui festa berkenaan. Ini kerana tidak banyak publisiti berhubung festival berkenaan. Dalam blog-blog juga tidak kedapatan hanya blog atau Facebook individu pemimpin Pas Kelantan saja yang ada. Semacam ada usaha atau untuk tidak mengwar-warkan festa itu agar ianya diketahui secara meluas oleh orang ramai. Kenapa?

Tetapi ketika mendengar siaran radio sewaktu berkereta ke pasar Kota Bharu, petang Khamis ada terdengar juruhebah mengwar-warkan mengenai festival berkenaan yang memanggil orang ramai mengunjunginya.

Apakah publisitinya hanya diadakan di Kota Bharu dan amat terhad? Satu perkara yang saya perhatikan publisiti ini terus menjadi masalah di Kelantan. Program kerajaan tidak disebar luaskan menyebabkan program yang bagus dan berkualiti itu tidak sampai ke pengetahuan rakyat. Apakah kerjasama dari kalangan sesama jabatan kerajaan sendiri tidak berlaku?

Jadi kebetulan saya di Kota Bharu sempat menjenguk festa berkenaan. Saya sampai sesudah upacara perasmian yang dilakukan Tok Guru Nik Aziz sudah pun selesai. Buku cenderamata atau katalog mengenai festa berkenaan tidak dibekalkan. Justeru tidak ada maklumat mendalam berhubung festa berkenaan. Cuma saya difahamkan ianya disertai oleh banyak buah negara luar khasnya dari China yang membawa berbagai menu atau jenis makanan bagi diperkenalkan kepada rakyat Kelantan. Sebanyak 260 buat booth telah ditempat dan memperkenalkan berbagai jenis makanan.

Penyertaan juga bukan saja Cina dari Kelantan tetapi Penang, Ipoh, Kedah juga ada. Sementara penyertaan dari luar negara dari Kemboja, Vietnam dan terbesar ialah dari China. Selain mempamirkan berbagai jenis masakan Cina, masakan Arab, India, Bangladesh dan lain-lain juga dipamerkan. Pengunjung yang ke festa berkenaan berpeluang untuk merasakan pelbagai jenis makanan yang diperbuatkan dengan berbagai cara dan teknik manual serta merasai makanan dengan berbagai-bagai citarasa.

Semasa saya singgah di khemah utama yang menempatkan ruang vvip makan - menguji citarasa makanan, kebanyakan pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan sudah pun meninggalkan lokasi festa. Yang kelihatan ialah Zulkefli Mamat kalau tidak salah selaku Pengarah festa berkenaan dan juga pengerusi induknya, Husam Musa dan beberapa kenamaan lain. Semasa di luar tapak eskpo saya terserempak dengan Exco Wanita dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar yang sudah mahu berganjak pulang.

Sempatlah berbicara sepatah dua dengan Zulkefli Mamat yang kemudian beredar bersama isteri dan anaknya untuk membuat lawatan ke gerai pamiran. Husam yang ternampak saya duduk berbual dengan Pengetua Mahaad Perempuan, Mansor Daud, menghampiri meja dan bertanya dengan bahasa basa basinya, sampai bila? Beliau yang mengiringi isterinya yang membawa sejabil satay kemudian meninggalkan, kerana waktu Asar sudah menjelma.

Husam yang mengenakan baju cheongsam berbatik hijau larak nampak segak. Mukanya juga sumringah dengan misai sejemput diluruh bibir mulut bahagian atas. Gembira sekali nampaknya mungkin kerana festa berkenaan mencapai sasarannya, mendapat sambutan ramai.

Apa tidak sambutan pada hari pembukaan cukup membanggakan. Orang ramai berduyun-duyun dengan keluarga masing-masih datang untuk merasai masakan berbagai jenis makanan yang disediakan. Paling unik ialah apabila antara pengunjungnya adalah kalangan Cina yang sudah lanjut usianya yang datang dipapah oleh anak masing-masing.

Pengunjung Kelantan juga begitu teruja melihat bagaimana makanan dihasilkan secara manual yang penuh kemahiran. Booth yang menempatkan sajian mee dari China dilingkungi penuh orang ramai kerana ada demonstrasi membuat mee secara manual dengan hanya menggunakan tangan.

Festa makanan itu mungkin banyak kecacatan kecil kalau hendak dise

lak, seperti suasananya tidak begitu kondusif kerana diadakan di ruangan yang sempit tanpa aircond. Tetapi seperti kata Zulkefli Mamat semasa berjumpa dengannya di KL pemilihan tempat itu adalah untuk mempromo Bazar Tok Guru yang menjadi isu sebelum ini. Ternyata tujuan itu berjaya mencapai sasarannya bila mana ribuan datang ke perkarangan bazar berkenaan.

Sudah tentu nama bazar itu menjadi lebih harum kepada pengunjung l

uar. Peserta luar akan mencatat dan merakam gamabr bazar berkenaan dan disebarkan kepada umum menerusi berbagai alat dan kemudahan yang ada. Selepas ini isu bazar berkenaan yang dilakar huduh oleh segelintir orang akan hilang dan yang akan timbulnya ialah sebuah pusat membeli belah yang akan popular dan menjadi sebutan ramai.

Bazar Tok Guru akan menjadi land mark dan mercu tanda baru di Kelantan. Kalau Pasar Siti Khatijah atau pasar Wakaf Che Yeh dapat mencatatkan namanya dalam peta pelancongan di Kelantan dalam sekelip mata saja, Bazar Tok Guru dipercayai akan lebih cepat penularan popularitinya. Tunggu lagi peniaga perlulah mesra dan tidak akan mengenakan harga yang bukan-bukan kepada pelancong.

Untuk festa Cheng Ho kali kedua, tahniah sekali lagi kepada Zulekfli Mamat dan Husam. Ternyata pengabungan tenaga dan idea mereka berdua berjaya membawa impak ke Kelantan khasnya dalam bidang perdagangan dan pelancongan.

Saya sebenarnya seronok melihat cara Zulkefli bekerja dan berpolitik. Beliau tidak mengikut arus emosi seperti kebanyakan yang lain. Walaupun antara keduanya ada yang tak serasi tetapi masa-masa penting begitu mereka sepakat duduk bersama. Mereka sedia melupakan kepentingan diri demi membangun Kelantan dan merealisasikan amanah Tok Guru.

Apa dilakukan oleh Husam dan Zulkefli, persefahaman demi rakyat dan negeri sepatutnya ditiru dan dicontohi oleh pemimpin lain. Saya yakin dan percaya kalau semua pemimpin bersikap profesional dan persefahaman begitu, ia menyukarkan untuk kerajaan Kelantan digugat oleh mana-mana unsur politik jahat.

Exco lain yang masing-masing ada portfolio sendiri hendaklah bergerak mengantarabangsa Kelantan seperti mana dilakukan Husam dan Zulkefli Mamat. Saya jamin mereka juga berjaya asalkan sedia menerima pandangan orang lain dan mengenepikan perasaan jengkil sesama sendiri. Sekali lagi tahniah kepada Husam yang saya kira bukan saja mempunyai idea yang menarik tetapi berani untuk mengimplimetasikan sesuatu yang orang lain rasa tidak boleh.

Pemimpin yang kreatif berani beginilah yang menjadi harapan rakyat untuk memimpin mereka dan perlu disokong sepenuhnya. [wm.kl.1:00 t/hari 17/07/11]

Susupan Pagi

Pas Patut Sokong Tindakan Kerajaan Kedah

SETIAUSAHA Agung merangkap presiden defacto Pas Mustafa Ali berkata Pas akan mendapat penjelasan Menteri Besar Kedah, Azizan Razak berhubung langkah kerajaan Kedah akan menguat kuasakan melarang pusat hiburan dan karoke di negeri berkenaan beroperasi di sepanjang bulan Ramadhan nanti. Larangan itu berdasarkan enakmena hiburan 1997.

Penjelasan itu akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas yang terdekat. Apabila Mustafa mengatakan demikian ini bermakna langkah kerajaan Kedah itu ada masalah. Mungkin ada pihak yang menentangnya. Sebelum ini pun timbul masalah apabila kerajaan Kedah cuba menguatkuasakan beberapa dasar dan polisinya yang menempati jalur perjuangan Pas.

Salah satu dasar yang ditetang ialah pengekalkan kouta pemilikan rumah kepada bumiputera sebanyak 50 persatus. Dasar berkenaan bagi memastikan mana-mana rumah baru yang dibina akan menjadi milik bumiputera dan tidak akan terlepas kepada pihak lain. Pengenalan dasar ini memandangkan kouta yang dihak kepada bimiputera terlepas kepada bukan bimputera.

Yang menimbul masalah ialah rakan Pas sendiri, PKR dan DAP yang suka membantah apa-apa yang hendak dipraktikan oleh Pas Kedah. Ia menjadi tambah buruk apabila Umno yang berhajat untuk merampas Kedah mengambil kesempatan menimbulkan pelbagai provokasi sehingga wujud pergaduhan sesama sendiri.

Bantahan atau pun kritikan sesama sendiri sepatutnya tidak berlaku. PKR dan DAP seharusnya faham akan perjuangan asal Pas. Yang penting di sini PKR dan DAP yang diwakili kaum bukan Islam memahami akan perjuangan Pas dan bukannya cuba menentang secara membuta tuli. Sebaiknya PKR dan DAP menterbiah ahlinya untuk memahami perjuangan Pas dan juga tanggungjawab sebagai kerajaan dalam konteks politik.

Ada kalanya dalam hal ini Azizan Razak terjempit dan menghadapi dilema dalam dua keadaan ini. Kalau beliau tidak melunasi hasrat perjuangan parti beliau akan dikritik oleh ahli, sebaliknya kalau beliau memberanikan diri beliau akan dikritik oleh rakan politiknya sendiri. Inilah dilema Azizan dan ujian besar buatnya sebagai khalifah di bumi Kedah.

Dalam hal ini saya nampak Pas Malaysia perlu menyokong apa juga tindakan atau keputuan-keputusan kerajaan Kedah, terutamanya dalam usaha mendaulat dan meletakkan syariah Islam ditempat sewajarnya di negeri berkenaan. Sikap hanya menyerahkan apa yang berlaku kepada Azizan secara bersendiri adalah tidak baik dan tidak menggambarkan kesepaduan dalam perjuangan. Tentunya dalam keadaan 'yatim' begitu kerajaan Kedah memerlukan dokongan semangat dan moral yang kuat dari semua orang Pas.

Misalnya kalau Azizan memperkenalkan sesuatu yang ada hubungan dengan Islam Pas Malaysia hendaklah menyokong dan memberi semangat kepada kerajaan Kedah bukannya bersikap tunggu dan lihat atau pun meminta Azizan bersikap terbuka kerana terlalu menghormati rakan politik. Satu segi tindakan itu betul tetapi kalau selamanya Pas perlu menghormati rakan yang sengaja tidak mahu memahami ia adalah tindakan salah. Dalam berbaik dan berkawan Pas perlu juga perlu mengawasi kalau-kalau ada kawan yang memakan kawan.

Apabila Mustafa Ali mengatakan bahawa Pas akan menerima pandangan Azizan bermakna Pas Malaysia tidak peka dan prihatin kepada apa yang berlaku di Kedah. Di sini tidak ada tindakan bersama di antara Pas Malaysia dengan Pas Kedah. Anihnya semacam wujud pengasingan di antara kerajaan Pas dengan parti atau jemaah induknya. Hakikat ini bukan saja berlaku di Kedah tetapi di Kelantan juga. Walhal kalau mengikut kaedah berjemaah, apa-apa tindakan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pas hendaklah disampaikan dulu kepada jemaah induknya. Setidak-tidak presiden perlu mengetahuinya.

Sudah sampai masaaya Pas Malaysia harus mengawal atau mematau apa-apa polisi dan dasar Pas di setiap negeri dan bukannya dilepaskan kepada negeri berkenaan saja. Perjuangan Pas adalah untuk menegakkan apa yang dijadikan matlamatnya, bukannya bertindak bersendirian selepas mana-mana wilayah atau negeri menjadi kerajaan. Perjuangan yang besar dan berat harus dipikul oleh banyak bahu.

Dengan cara ini baru orang dapat merasaikan bahawa tindakan dan keputusan Pas dalam hal ehwal agama tidak bercanggah di antara satu sama lain. Selama ini kerana tidak ada pengawalan dan kuasa menentukan dasar oleh Pas Malaysia ke atas negeri-negeri diperintahnya menyebabkan berlaku percanggahan di antara satu sama lain.

Percanggahan inilah menyebabkan Umno selalu mentempelak Pas sebagai tidak tegas dalam apa-apa hal. Kalau Pas sudah menyelaras mengenai dasar dan polisi ini, Mustapa Ali tidak payah-payah lagi untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan orang mentafsirkan Pas bercelaru dengan mengatakan akan meminta Pas Kedah menjelaskan tindakan itu.

Dengan mudah orang akan memahami bahawa langkah Azizan Razak itu tidak diketahui ataupun dimaklumkan kepada Pas Malaysia, dan ia bertindak secara bersendirian. Salahnya juga di sini kerana presiden Pas sangat lemah dan boleh dijadikan kereta lembu yang pedatinya sudah haus oleh kalangan Pas sendiri.

Berbalik kepada langkah kerajaan Pas Kedah itu ia hendaklah disokong oleh semua pihak. Bukan saja Ngo-Ngo Islam tetapi Pas negeri-negeri juga harus membuka mulut. Jikalau rakan politik Pas menentangnya, maka mereka perlulah diserang setelah pendekatan secara baik dengan memberi penerangan tidak dapat mengusaikan masalah.

Sangat tidak baik kalau apa-apa polisi bersabit dengan agama dan Islam dilakukan secara bersendirian sedangkan perjuangan Pas itu sebuah perjuangan global dan syumul untuk menegakkan ciri-ciri Islam yang kini di re-brandingkan dengan nama baru "Negara Berkebajikan". [wm.kl.10:40 am 17/07/11]