Monday, May 14, 2018

Kabinet - jangan cicirkan Husam

SESUDAH SUBUH

Husam Musa diharap jadi
penawar duka untuk Pantai Timur.
KETEWASAN kubra Pakatan Harapan (PH) 59 - 0 di Kelantan dan 40 -  0 di Terengganu sesuatu menyedihkan. Bertambah sedih apabila rakannya di negeri-negeri sebelah Barat banjaran Titiwangsa menang besar.

Bukan setakat menang besar, tetapi boleh menguasai negeri-negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Makin membaca dan menganalisa kehebatan PH di sebelah Barat itu, makin berat jiwa menanggungnya. Mereka menang besar manakala kita pula kalah parah. Kosong, telur tembelang.
Jika kekalahan itu menimpa hati orang yang lemah ia boleh menyebabkan jantung menjadi lemah tiba-tiba dan tidak mustahil membawa maut.

Tetapi syukur para pejuang PH di Kelantan dan Terengganu kuat dan ampuh. Mereka sudah berjaya melalui ujian perjuangan apabila kekalahan itu tidak ada seorang pun calon-calon yang kalah itu menyeberang kepada parti menang.Bahkan sudah ada calon yang menyembelih lembu mengadakan kenduri kesyukuran serentak menyambut ketibaan Ramadhan.

Para pejuang PH di Kelantan dan Terengganu tidak seperti orang-orang Umno di Johor, Perak, atau Sabah yang mudah goyah dan berputus asa bila kalah lalu terus menyeberang mencari pulau kemenangan untuk menyelamatkan diri. Inilah kelebihan orang-orang PH berbanding dengan orang-orang Umno yang dididik dengan materialistik.

Namun duka tetap duka, dada tetap bergetar dengan rentak dan irama kepiluan. Air mata tetap mengalir tetapi darah juang yang ada dalam tubuh tidak menampakkan kedukacitaan mereka kepada umum lantaran kekalahan yang dinesta itu. Saya yang berada di titik tengah ini turut pun sama menjadi sebak dan sedih dengan apa yang berlaku di Kelantan itu khasnya. Walaupun sudah menduga tetapi tidak menjangka keputusannya seburuk demikian.

Pun para pendukung PH Kelantan tidak menunjukkan kesedihan dan aliran air mata, kandatipun fitrah sebuah kekalahan itu dapat dirasai. Kepiluan yang menimpa dada hanya Tuhan sahaja yang ketahui. Cuma ia terpadam perlahan-lahan apabila melihat dan mendengar sorak sorai para sahabat mereka di negeri lain sebelah Barat banjaran Titiwangsa yang merayakan kemenangan.

Kedukaan dan kesedihan itu menipis apabila, menonton seorang demi seorang Menteri Besar PH mengangkat sumpah untuk mengederai kerajaan Harapan.

Dari konteks Parti Amanah Negara pula ia terubat apabila Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari mengangkat sumpah menjadi KM Melaka. Adly adalah Pengerusi PH Melaka dari fraksi Amanah. Kesediahan terus beralun pergi apabila selepas itu Mohamad Sabu, Presiden Amanah pula dilantik mengisi tiga menteri kanan selaku Menteri Pertahanan. Dua posisi diberikan kepada pemimpin PH (Amanah) itu (setakat ini) menjadi penawar.

Mungkin kalau Salahuddin Ayub jadi mengangkat sumpah menjadi MB Johor, kegembiraan dan kelukaan itu makin menghujung. Keseronokan akan bertambah-tambah. Namun apa diharapkan itu tidak diizinkan Allah. Salahuddin tidak diangkat menjadi MB walaupun pada awalnya beliau yang disebut-sebut dan diharapkan oleh rakyat bangsa Johor untuk menjadi ketua memimpin negeri itu.

Hakikatnya hati dan jiwa rakyat Kelantan terhiris halus khususnya ahli-ahli PH sebenarnya tidak dapat dikambusi dengan apa-apa jua kegembiraan. Biarpun jiwa mereka kuat tetapi perasaan malu membelit diri mereka tetap ada. Maka kesedihan dan kepiluan itu harus diubati. Ia memerlukan penawar serta ubat untuk mengeraskan semangat para pendukung PH di Kelantan bagi meletakkan negeri itu juga setara dengan negeri-negeri di sebelah Barat banjaran Titiwangsa.

Penawar itu juga perlu untuk membela diri mereka yang diejek dan dinesta dengan kekalahan itu.

Penawar mengubat duka

Apakah ubat dan penawar terbaik untuk menguat semangat PH Kelantan? PH Kelantan tidak boleh terus bergunda gulana maka ia perlu diubati segera. Harapan rakyat yang tinggi kepada PH perlu dipenuhi. PH telah menawarkan janji terbaik buat PH Kelantan dari segenap aspek kehidupan yang mana tawaran itu perlu dilaksanakan walau dengan apa cara sekalipun.

Mereka harus dihormati dan kehendak mereka dipenuhi. Mungkin Pas yang menang besar di Kelantan dapat melaksanakan apa yang dicta-citakan. Tetapi ia tetap tidak sama dengan apa yang diterima daripada tangan pemimpin PH sendiri. Dalam kata lain PH perlu melaksanakan sedaya yang ada.

Satu-satu ubat atau penawar buat pendukung PH di Kelantan ialah dengan mengangkat salah seorang pemimpin PH di Kelantan untuk menjadi anggota kabinet. Pengangkatan ini bukan setakat itu sahaja, tetapi ia juga akan menjadi penghubung di antara Kota Bharu dengan Putrajaya.

Dalam hal ini, Husam Musa adalah pilihan paling tepat untuk dijadikan jambatan penghubung itu selain pengerusi parti gabungan seperti Abd Aziz Kadir dan Kamaruddin Md Noor. Ketapan Husam bukan sahaja kedudukan selalu Pengerusi PH Kelantan, tetapi pengalaman dan track rekod beliau semasa berada dalam kerajaan Allahyarham Nik Aziz selama ini membantu beliau untuk berfungsi seperti diharapkan itu.

Sebagai bekas pemimpin kerajaan Husam sangat mengetahui apakah keperluan rakyat dan kelompongan yang tidak akan tertimbus oleh kerajaan Kelantan yang ada kini.

Keperluan dan harapan kepada Husam nanti bukan sahaja untuk terus menyuntik semangat kepada PH, tetapi beliau juga diharap menjadi pemimpin PH bukan sahaja untuk Kelantan bahkan untuk negeri-negeri di Pantai Timur. Husam jika diletakkan dalam kabinet beliau boleh membela dan membangunkan negeri-negeri di Pantai Timur itu dengan kepakaran dan kebolehan yang ada.

Saya tidak fikir kehadiran Husam nanti akan terus dibenci dan disumpah oleh pihak yang kini menguasai Kelantan, Terengganu dan Pahang kini. Bagi kerajaan pembangkang di ketiga-tiga negeri itu sangat memerlukan bantuan daripada pusat untuk membangun rakyat di negeri itu. Mereka juga boleh meserasikan diri dengan Husam. Nah, dalam hal ini Husam boleh memainkan peranannya.

Atas keperluan dan kepentingan itulah diharapkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyisihkan Husam daripada menganggotai kabinet Malaysia Baru yang sedang dipancukan sekarang ini. Sudah pasti dengan semangat dan pendekatan baru Dr Mahathir tidak mudah seperti dahulu untuk menganaktirikan kerajaan pembangkang di ketiga-tiga negeri itu. [wm.kl.7:08 am 14/05/18]

10 comments:

amanmalaysia said...

Malu la sikit bila bercakap. Mu semalam yang kecek Rakyat Kelantan kan suka berpuak. Orghe ke kire set set mu gi kanan

Jsman Tori said...

Husam kena jadi ketua JKuaaa megurus peruntukan dan royalti myk yg akan diberi kpd kerajaan Kltan. Pastikan setiap sen sampai kepada rakyat bukan belanja oleh negwri utk parti.

Unknown said...

Sama sahaja seperti UBN jika peruntukan royalti diurus wakil pusat seperti JPP dizaman BN dulu2...dimanakah maruah rakyat negeri berdaulat yg memberi mandat kepada PAS mengurus tadbir negeri mereka jika semangat negeri yg membentuk federalisme tidak dihormati oleh pusat?untuk mengandaikan setiap sen duit royalti tersebut tidak sampai kepada rakyat agak separuh masak dan cetek...dengan segala jentera penguatkuasa (SPRM&PDRM) berada dihadapan kerajaan Pusat PH maka agak mudah untuk menyiasat penyelewengan yg mungkin akan dilakukan kerajaan PAS Kelantan dan itu yg lebih bijak bg menunjukkan kerajaan PH lebih bagus melayani negeri dibawah federal...melainkan kegusaran itu lahir dari idea Tun M seperti dicatat dlm buku memoir doktor umumnya yg bimbang PAS Terengganu menggunakan wang royalti dengan baik dan pasti menjadi popular dan mengembangkan pengaruh ke seluruh malaysia dan untuk itu royalti terengganu mesti ditarik pada tahun 2000 dahulu bg mematikan langkah pentadbiran PAS...jika itu bakal diulangi oleh PH maka ianya amat malang...wasalam

P/s: harap disiar...tks

Ridzuwan said...

Betul sangat. Puok pas dia berpuok puok.. Dia akan aniayai yg bukan puok dio.

Unknown said...

Setuju dengan perlantikan husam sebagai ahli kabinet yg akan menyambung hubungan dengan pusat..
Takan lah duit royaliti nak bagi pada lebai.. lebai pasti enjoy kat luar negeri.. biar nik amar pi cari sendiri duit nak urus negeri...

Unknown said...

Yes...harap royalty tu beri pada husam..bkn pd kerajaan kelantan..

Syed Alwi Aljufri said...

Husam Musa sebenarnya wajib di berikan jawatan dalam kabinet Pakatan Harapan oleh kerana beliau mempunyai bakat besar,berkarisma dan ada leadership quality.
Justru atas dasar ini maka beliau tidak harus dipinggirkan......!!

Ray said...

Lantik yg menang je. Kalah tak payah lantik. Rakyat kelantan tak perlu pembangunan. Rakyat kelantan menikmati pembangunan di luar kelantan. Bila ngundi pulang sokong pas. Kemudian pulang ke luar kelantan menikmati pembangunan luar kelantan, tinggalah mak.ayah di kelantan yg tak perlu pembangunan. Biarkan orang kelantan itu pilihan mereka

Unknown said...

Lebih Lunak jika duit royalti diberikan terus kpd Kelantan.kjaan negeri perlu berbaik-baik dgn kjaan pusat.namun jika tiada kesepakatan.blhla melantik husam atau sesiapa yang layak untuk hal royalties tersebut.seorang wakil dari Kelantan Dan terengganu penting untuk membawa suara harapan rakyat di dua negeri ini.mereka yg balik mengundi kerana tidak mahu bn menang.ITu saja.tidak kisah siapa yg pegang pusat(bukan bn) Kelantan perlu dikekalkan kpd pas.

jim said...

biar husam jaga duit royalti....jaga shj....tetapi kerajaan kelantan yg tentukan hala tuju pengunaan duit...sbb takut di salah gunakan...buang semua yb yg ortodok....lantik exco yg pro husam yg masih ada dlm pas...