Wednesday, February 18, 2026

Terkenang pandangan Allahyarham Subky Latiff

RENUNGAN 


Ketika mengunjungi Allahyarham
Haji Subky Latiff.
ALLAHYARHAM Haji Subky Abdul Latiff pernah berkongsi satu pandangan yang masih terlekat
kukuh dalam ingatan saya hingga hari ini. Perbualan itu berlaku sewaktu saya menziarahinya, ketika PAS sedang melalui musim pemilihan yang agak hangat, melibatkan tokoh-tokoh utama yang dilihat berpotensi besar menjadi pemimpin masa depan parti.

Sebagai seorang tokoh lama dalam PAS, Allahyarham menyuarakan kebimbangannya terhadap kemungkinan pemilihan yang sengit itu mencetuskan perpecahan. Lebih membimbangkan, menurut beliau, ialah risiko apabila individu yang sepatutnya dipilih sebagai pemimpin akhirnya tersingkir bukan kerana kelemahan, tetapi akibat sentimen, emosi dan sikap berpihak dalam kalangan ahli.


Pandangan itu disuarakan bukan untuk menghalang proses pemilihan—kerana pertandingan sememangnya dibenarkan dalam PAS—tetapi lebih sebagai luahan pengalaman dan pemerhatian seorang penulis serta wartawan politik berkaliber. Sebelum terjun sepenuhnya dalam politik, Allahyarham Subky dikenali sebagai wartawan politik yang tajam analisisnya. Tulisan-tulisannya sering dinanti oleh peminat dan pemerhati politik kerana ketajaman hujah serta kritikannya yang bernas.


Kegusaran beliau berasas. Untuk melahirkan seorang pemimpin yang benar-benar kompeten dalam sesebuah parti politik bukanlah perkara mudah. Ia memerlukan masa yang panjang—kadangkala bertahun-tahun, malah ada yang mengambil masa sehingga sedekad. Seorang pemimpin tidak lahir dengan “sim salabim”, sebaliknya melalui proses penempaan yang panjang, penuh ujian dan cabaran.


Atas sebab itu, Allahyarham berpendapat bahawa “membunuh” pemimpin yang ada—atas apa jua alasan—adalah sesuatu yang amat merugikan dan malang. Kata-kata itu saya setujui sepenuhnya. Daripada ribuan ahli, bukan mudah untuk melahirkan seorang pemimpin yang benar-benar berbakat, berkebolehan dan berwibawa. Sebelum berada di puncak, mereka telah melalui pelbagai onak duri, melengkapkan diri dengan pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan tersendiri.


Menghayati pandangan Allahyarham Subky itu, saya teringat pula kepada situasi yang sedang berlaku dalam Keadilan ketika ini. Tindakan bekas Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, yang kelihatan mengkritik dan menyerang Presiden parti, Anwar Ibrahim, stelah tidak menjadi timbalan presiden memberi gambaran seolah-olah Keadilan sedang berdepan ombak besar.


Apa yang berlaku kini berpotensi mencetuskan perpecahan dalam parti. Meskipun di peringkat pimpinan ia belum begitu ketara, namun dalam kalangan ahli dan penyokong bawahan, perpecahan itu jelas kelihatan. Satu kelompok menyokong pendekatan dan keberanian Rafizi, manakala satu kelompok lain tidak senang, malah menganggap tindakannya tidak wajar dan seolah-olah mengundang masalah kepada parti.


Selain berisiko merosakkan perpaduan parti, tindakan tersebut juga meletakkan Rafizi sendiri dalam keadaan berbahaya dari segi politik. Jika pertelingkahan ini berlarutan dan akhirnya membawa kepada tersingkirnya Rafizi daripada Keadilan, ia merupakan satu kerugian besar—bukan sahaja kepada parti, malah kepada Rafizi sendiri dan negara.


Sebelum ini, ramai meletakkan Rafizi antara sebagai calon utama pemimpin masa depan. Ketika Keadilan berada dalam keadaan damai, beliau sering digambarkan sebagai pengganti Anwar. Dari segi keupayaan, strategi, keberanian dan populariti, Rafizi memiliki hampir semua sifat yang diperlukan untuk mengambil alih kepimpinan dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang. Tambahan pula, perlembagaan Keadilan mengehadkan jawatan presiden kepada dua penggal, dan Anwar kini berada dalam penggal keduanya.


Berdasarkan realiti itu, ketika ini tiada sosok lain yang boleh menyaingi Rafizi, meskipun beliau kini berada di luar hierarki kepimpinan parti selepas tewas dalam pemilihan. Kekalahan tersebut bukan penamat kepada perjalanan politiknya. Namun, jika akibat konflik semasa ini beliau terus tersisih, kerugian itu amat besar.


Hakikatnya, seperti yang diingatkan oleh Allahyarham Subky Abdul Latiff, bukan mudah untuk melahirkan seorang pemimpin seperti Rafizi. Realiti semasa menunjukkan bahawa pemimpin lain dalam Keadilan hari ini masih belum mencapai tahap keupayaan beliau, sama ada dari segi strategi, tindakan, sokongan akar umbi mahupun populariti.


Dari satu sudut, Rafizi hampir menyamai kehebatan Anwar. Namun, kekurangan utama beliau ialah ketiadaan sokongan fundamental yang tersusun sejak awal, seperti yang dimiliki Anwar melalui platform perjuangan awalnya dalam ABIM, gerakan pemuda UMNO dan jaringan sokongan antarabangsa yang luas. Kekurangan itu bukan kelemahan mutlak, tetapi faktor yang perlu ditangani dengan kebijaksanaan.


Akhirnya, peringatan Allahyarham Subky wajar dijadikan cermin: pemimpin yang ada jangan dimusnahkan oleh emosi, sentimen dan pertarungan tidak berkesudahan, kerana harga yang perlu dibayar terlalu mahal—oleh parti, oleh individu, dan oleh negara. [wm.kl. 12.05 pm. 18/02/2026].

No comments: