Sunday, December 28, 2025

Perlis dapat MB Baru, kemelut berhenti rehat, Pas kantoi...

ULASAN SORE

KEMELUT politik Perlis "berhenti rihat" sekejap, apabila sekejap tadi, Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, 57 telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dihadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamallulail.

Abu Bakar Hamzah, 57 selain Adun Kuala Perlis, juga merupakan pengerusi Bersatu dan timbalan pengerusi Perikatan Nasional Perlis. 

Dikatakan "berihat sekejap", kerana apakah pelantikan wakil rakyat daripada Bersatu itu akan disokong oleh Pas yang sebelum ini mencalonkan sekurang-kurang dua Adunnya untuk mengganti bekas MB Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan.

Shukri Adun Sanglang merupakan wakil daripada Pas menjadi wakil rakyat pertama menjadi MB Perlis. Beliau meletak jawatan apabila lima Adun Bersatu bersama tiga Adun Pas menarik sokongan kepadanya.

Kerana ingin menyelamatkan Shukri, serta menghalang Besatu daripada "merampas" kerusi MB daripada Pas, parti agama itu membuat tindakan secara drastik menggugurkan keahlian tiga Adunnya yang ikut menanda tangan SD menolak Shukri.

Sehubungan itu juga Speaker Dun Perlis telah mengumumkan tiga Adun Pas yang hilang keahlian itu turut kehilangan kerusi diwakili masing-masing dan berlaku kekosongan luar jangka ditiga Dun. Mereka ialah Saad Seman (Chuping) Mohd Redzuan Hashim (Gua Sanji) dan Fakhrul Anwar Ismail (Biontong). 

Pemakluman kekosongan itu kepada SPR ditangguhkan oleh Speaker atas alasan Speaker mempunyai tempoh 21 hari.  

Dengan tindakan itu juga Pas yang sebelum ini mempunyai sembilan (9) kerusi Dun tinggal enam (6) kerusi. Jumlah itu hampir sama dengan kerusi Bersatu yang ada lima (5) kerusi dan jika dicampur dengan kerusi pembangkang satu, kedudukaannya sama 6 : 6.

Apakah pelantikan Abu Bakar itu mendapat restu daripada Pas? Ini persoalan yang bukan mudah dijawab. Pas sebelum ini tidak senang dengan aksi lima Adun Bersatu, mendesak Bersatu agar mengambil tindakan ke atas kelima Adunya itu yang menanda tangani (SD) menolak Shukri. 

Dengan mengambil kira sikap asal Pas itu, besar kemungkinan mereka tidak sedia menyokong Abu Bakar dan sedia untuk menjadi pembangkang di Dun Perlis. Jika ini berlaku bermakna kemelut politik Perlis belum mutamad sepenuhnya berkemungkinan akan terus bergelora yang boleh memungkinkan DUN Perlis terpaksa dibubar?

Bagaimana pun terlalu awal untuk diulas si sini, mungkin Pas mendapat ilham dan wahyu baru setelah sedar tersilap langkah memecat keahlian tiga Adunnya yang bertujuan untuk menyilang Bersatu itu. Tindakan yang memakan diri sendiri itu mungkin menyedarkan Pas makna dan erti politik yang memerlukan bukan sahaja istiqamah, tetapi fatanah juga. Sikap tergesa-gesa dan terburu nafsu telah mengkantoikan mereka.

Sekiranya Pas insaf dengan kesilapan itu yang telah memakan diri sendiri, mereka perlu memberi sokongan kepada Abu Bakar dan sedia untuk bersama dalam kerajaan diketuai Bersatu itu. Kerana sokong atau tidak Bersatu boleh berdiri sendiri apabila seorang wakil PH sedia bersama. 

Kita tunggu dan lihat rupa diri sebenar Pas. [wm.kl. 5:25 pm 28/12/2026]


No comments: