Saturday, September 28, 2019

Sultan Ismail Petra, sultan yang prihatin

BELASUNGKAWA

Almarhum Sultan Ismail Petra
(1949 - 2019)
SULTAN Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra telah mangkat hari ini kira-kira jam 8:11 pagi di hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu Kelantan.

Baginda tutup usia dalam 70 tahun setelah gering beberapa lama.

Baginda menaiki takhta kesultanan Kelantan pada 30 Mac 1979 sehingga 30 September 2010. Penurunan baginda daripada takhta kesultanan Kelantan menimbul sedikit kontroversi. Baginda diganti dengan putera sulungnya Sultan Muhammad Ke V yang kini berkuasa di kerajaan Kelantan.

Selama 31 tahun bersemayam di singgahsana kerajaan Kelantan, banyak jasa dan budi baginda curah untuk negeri rakyat Kelantan. Baginda dikenali sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat dan Sultan yang mengambil berat kepada perjalanan kerajaan Kelantan.

Kehidupan sederhana baginda yang pengasih dan penyayang ke atas segenap lapisan masyarakat menjadikan baginda disayangi segenap lapisan masyarakat berbagai kaum di Kelantan.

Sepanjang baginda menduduki takhta dan bergelar Al Sultan Kelantan baginda seorang yang tidak meletakkan diri baginda sebagai seorang bangsawan yang jauh dan renggang dengan rakyat. Tidak suka berprotokol.  Sepanjang hayatnya baginda sering turun ke bawah, memasuki kampung dan desa untuk bertanya khabar rakyat.

Menerima anugerah cenderamata daripada
Almarhum. Kelihatan Tengku Muhammad Fakhry.
Apabila Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi MB Kelantan, (mulai tahun 1990 - 2014) baginda dilihat Sultan yang sejoli dengan Nik Aziz yang bergelar Tuan Guru. Selama menaungi Nik Aziz sebagai MB, baginda memberi kerjasama sebaik-baiknya untuk pembangunan dan kemakmuran Kelantan.

Polisi, dasar serta slogan "Membangun Bersama Islam" diperkenalkan Nik Aziz mendapat perkenan dan sokongan baginda sehinggakan Kelantan ketika itu benar-benar dilihat sebagai negeri tadahan wahyu dan agung dengan julukan Negeri Serambi Makkah.

Bagaimana pun bak kata orang gading mana tidak retak dan bumi mana tidak ditimpa hujan, berlaku juga peristiwa kurang enak di antara mereka berdua. Hubungan Almarhum dengan Allahyarham Nik Aziz menjadi renggang seketika kerana salah faham.

Satu masa baginda enggan menyambut salam bekas MB itu dimana sejak peristiwa itu hubungan MB dengan Istana tidak berapa lendik dan dilihat runcing. Namun Alhamdulilah suasana keruh itu tidak lama keadaan kembali jernih kembali. Hubungan dan kerjasama antara Istana dan Kota Darulnaim bertaut kembali.

Pertautan itulah memberi gambaran baginda bukan seorang yang "murih" tanpa usul periksa dan tahu menilai baik dan buruk serta senantiasa meletakkan keutamaan rakyat dan negeri di depan.

Sebagai catatan ringkas belasungkawa ini saya ingin cungkil sejuring kisah dan cerita saya dengan Almarhum sebagai kenangan terindah saya dengan baginda yang satu-satunya buat seabadinya.

Allahyarham sedang sembah ucapan. 
Peristiwa itu ialah apabila Almarhum sedia mencemar duli untuk meluncurkan buku saya merupakan antologi titah ucapan baginda yang berjudul Tuanku Ismail Petra: Keprihatinan Kepada Agama, Bangsa dan Negara pada 22 Jun 1995.

Almarhum dua kali turun mencemar duli semasa meluncurkannya dan pada majlis santapan malam sempena peluncuran itu sebagai meraikan saya di sebelah malamnya.

Saya rasa bangga dan bertuah menjadi satu-satunya penulis yang diraikan sendiri oleh Sultan Kelantan.

Replika buku saya yang diluncurkan oleh Allahyarham
yang akan menjadi kenangan abadi.
Pada upacara peluncuran semua pembesar negeri Menteri Besar, timbalan dan Exco hadir begitu juga dengan pegawai-pegawai tinggi lain Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri, dan lain-lain. Paling menggembirakan lagi turut sama berangkat adalah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, dan juga Tengku Muhammad Fakhry yang ketika itu selaku Tengku Bendahara Kelantan.

Pada majlis makan malam Almarhum telah menganugerahkan saya satu persalinan (cenderamata) sebagai penghargaan di atas penghasilan buku berkenaan. Persalinan itu merupakan sepasang songket (samping) tenun tangan yang tinggi nilainya. Saya masih simpan songket itu dan jarang sekali memakainya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda dan menempatkan di maqam orang-orang soleh dan terpuji. Yang turut berdukacita dan al Fatihah. [wm.kl.11:47 am 28/09/19]

No comments: