Saturday, August 8, 2020

Apa keperluan Dr Mahathir tubuh parti baru?

Mahathir umum tubuh parti baru.
ULASAN

SELEPAS Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  menerima permohonan Muhyiddin Yassin  sekaligus menepis saman Dr Mahathir Mohamad dan beberapa yang lain bagi membatalkan tindakan Bersatu memecat mereka daripada parti itu, bekas Perdana Menteri itu telah mengadakan sidang akhbar memberi tahu yang beliau akan tubuhkan sebuah parti politik baru. 

Parti baru itu bersifat bebas dan mendukung dasar-dasar perjuangan yang dibawa oleh bekas partinya sebelum ini Bersatu, dan parti baru itu bersifat parti Melayu. Parti itu nanti akan menjadi parti Melayu keempat di negara ini selepas, Umno, Pas, Bersatu. Walaupun Mahathir sebelum ini berkata orang Melayu dipecahkan dengan wujudnya berbagai parti, tetapi beliau sendiri nampaknya lupa kepada apa dikatakan itu. Sudah tua...

Penyakit Melayu sebelum ini yang mudah lupa sudah menghinggapi diri Mahathir pula yang sudah berusia 95 tahun. Mahathir sebagai OT95 sendiri sudah lupa mengenai dirinya, apa yang dikatakan, tetapi ramai di kalangan kita mengingati apa yang pernah diucapkan itu.  

Pengumuman rengkas semalam itu yang ditemani beberapa pemimpin Bersatu (MP) yang tidak bersama Muhyiddin bukan mengejutkan kerana itulah pilihan terbaik buat Mahathir dan orang-orang bersamanya bagi meneruskan perjuangan. Tidak ada pilihan lain lagi baginya setelah gagal kekal dalam Bersatu dan gagal menguasainya. 

Penubuhan parti baru itu diakui sendiri oleh Mahathir bagi membolehkan beliau serta yang lain mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang kerana mereka tidak lagi akan dibenarkan oleh Bersatu kerana sudah tidak menjadi ahli parti itu. Pengakuan itu menjelaskan semangat Mahathir untuk berkecimpung dalam politik masih kuat dan beliau masih berselera untuk berperang.

Dari sisi lain penubuhan parti baru itu sebagai wadah meneruskan perjuangannya yang tersisa.Ia juga sebagai penawar atau aktiviti riadah untuk dirinya yang mana akan sihat dan bersemangat kalau terus bermain politik. Politik bagi Mahathir bukan sangat untuk mencapai agenda perjuangan, tetapi lebih kepada untuk menyihatkan diri. Politik adalah satu bentuk senaman baginya. 

Justeru tidak hairan kalau dalam suasana dan keadaan politik negara sudah mempunyai banyak pertubuhan politik beliau bercadang untuk menubuh satu lagi parti.  

Difahamkan bakal dilantik jadi presiden parti itu adalah anaknya, Mukhriz manakala beliau sendiri  sebagai pengerusi. Kedudukan atau pun struktur itulah yang dimahui Mahathir sebelum ini dalam Bersatu. Apabila ia gagal maka perlu parti baru dengan struktur yang sama yang tidak tercapai dalam Bersatu itu demi merealisasikan apa yang diangan-angankan. Terlihat semacam penubuhan parti baru itu sebagai bekas untuk anaknya Mukhriz terus berpolitik. 

Berbagai telahan.

Ekoran itu orang membuat berbagai telahan dan andaian dengan parti baru Mahathir itu? Apakah ia boleh hidup atau pun sebaliknya. Sesiapa pun bebas membuat ramalan dan menenung nasib parti yang belum dilahirkan itu.

Tetapi apa yang mengejutkan semasa mengumumkan hasratnya itu, Mahathir mengatakan parti baru itu tidak akan bersama mana-mana gabungan sedia ada. Ia tidak akan bergabung dengan PN maupun PH. Parti itu itu akan bergerak sendiri secara bebas. Kesediaan itu menunjukkan Mahathir yakin parti itu boleh survive. Langkah bersendirian itu satu langkah berani.

Saya tidak yakin kalau parti baru itu akan bergerak secara solo dan tanpa kawan yang ia boleh memastikan kelangsungan hayatnya. Kerana itu saya mengira akhirnya kelak, ia akan bergabung juga dengan mana-mana parti lain (atau gabungan) yang lebih besar. Walaupun Mahathir memberi tahu ia tidak akan bergabung dengan mana-mana, tetapi itu adalah kenyataan politik semata-mata yang pernah berlaku sebelum ini dan tidak boleh dipegang. Dalam dunia ini tidak ada satu pun kerja yang boleh dibuat secara bersendiri kecuali berkhayal.

Dalam kondisi rakyat Malaysia yang sudah memahami keperluan politik multi-racial mana-mana parti politik perlu kepada penggabungan dan kerjasama dengan mana-mana pihak. Hatta parti agama (Pas) sendiri yang sebelum ini, (semasa jadi pembangkang), angkuh untuk kekal bersendirian tanpa bergabung dengan parti bersifat liberal, atau mahu memiliki Syurga seorang diri, tetapi sudah mengubah nada selepas jadi kerajaan, kerana mereka sudah menyedari hakikat yang perlu ditempuhi.

Perhatikan nada para pemimpin Pas sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan kini. Isu perkauman seperti sudah dikendurkan, demikian juga dengan sikap obsesinya untuk melaksanakan Hudud juga sudah hanyut ke Laut Cina Selatan dengan berbagai alasan diberikan. Setiap apa yang ditegas dan diperjuangkan sebelum ini sudah tidak kedengaran lagi. Pas sudah jadi macam tikus jatuh ke genak. Semua itu menunjukkan perubahan sikap dan pendekatan politik Pas yang realistik dengan situasi negara ini. (Baguslah, tetapi itu munafik).

Oleh sebab itu parti Mahathir juga nanti terpaksa mencari rakan kongsi. Terlalu awal di sini untuk saya nujum dan memfirasat siapakah bakal menjadi rakan kongsi parti Mahathir nanti. Tetapi yang tidak mustahil, parti itu akan terbuka seperti nasib wanita janda yang akan menerima sesiapa sahaja sebagai semua kerana demi meneruskan kehidupannya. Bila sampai masa Mahathir akan membuat perhitungan dengan parti atau gabungan mana dia harus menyatu.

Untuk melalui pilihan raya secara bersendiri tidak mungkin kerana parti itu tidak ada kekuatan. Kalau sekali pun ramai ahli Bersatu bersama Mahathir dalam parti baru kelak, ia tidak mampu menjelmakan sebuah jentera pilihan raya seperti berlaku dalam PH dahulu. Kemenangan 13 kerusi parlimen Bersatu dalam Piraum lalu adalah menumpang kekuatan jentera pilihan raya PKR dan DAP. 

Pun begitu kehadiran parti baru itu telah dilihat oleh pemimpin pembangkang. Anwar Ibrahim dalam memberi reaksi awalnya walaupun mendengar Mahathir tidak akan bersama mana-mana gabungan tetapi tidak menolak sekiranya ada permohonan daripada Mahathir kelak, ia akan dipertimbangkan untuk bersama PH. Anwar cukup memahami suasana dan kondisi politik bahawa tidak boleh hidup secara bersendirian. 

Cuma perlu dingatkan disini sekiranya Mahathir berjaya menubuh parti dan berhajat untuk berkolaborasi dengan PH, pastikan bahawa beliau (OT95) bukan lagi menjadi kepala atau pun orang yang mempunyai suara untuk memutuskan sesuatu. Mahathir hanya boleh dibenarkan berada dalam PH dengan parti baru itu tetapi jangan diberikan ruang dan kuasa tetapi harus jadi pengikut sahaja. 

Pemerhati sekarang ini melihat apakah kesan penubuhan parti baru itu kepada PN dan PH. Dalam hal ini saya melihat kesan yang mungkin dirasai ialah kepada parti-parti berasaskan Melayu yang sinonim dengan parti baru Mahathir itu. Kalau dalam PN ia adalah parti Bersatu dan Umno. Manakala dalam PH ia tidak memberi kesan kepada baik PKR ataupun DAP, cuma mungkin sedikit terkesan kepada Amanah. 

Kesimpulannya bagi DAP dan PKR, mereka tidak perlu bimbang dan cemas dengan kewujudan parti baru Mahathir itu kerana ia bukan saing mereka sebenarnya, tetapi saingan kecil buat Umno, Pas, Bersatu dan juga Amanah. Parti baru Mahathir itu malahan melabakan mereka. 

Dan tanpa parti baru Mahathir itu bergabung dengan mana-mana parti, amat mustahil ia boleh menjadi king maker bagi menentukan kerajaan akan datang, kerana bukan mudah untuk menang sekurang-kurang 30 kerusi ataupun mengekalkan enam kerusi yang dimiliki sekarang ini. Kerana itu parti baru Mahathir itu kalau secara solo ia hanya pengacau daun sahaja, lebih kurang macam parti Putra Malaysia. 

Ohya dalam pada itu ada juga kemungkinan tindakan Mahathir membentuk parti baru itu sebagai persiapan ke arah pembentukan satu lagi gabungan parti politik. Kemungkinan ini tidak boleh ditolak. Mahathir tentu membaca masalah dan hambatan yang bakal dihadapi oleh Bersatu dalam PN sekarang ini yang dicemburui oleh Umno. Suasana itu boleh menyebabkan Bersatu tidak akan dilayan dengan sempurna menyebabkan mereka akan ditepis keluar saat pilihan raya nanti. 

Nah, begitu juga dengan kumpulan serpihan PKR (kumpulan 10 budak hitam) pimpinan Azmin Ali. Kumpulan itu juga akan berhadapan dengan masalah bakal ditepi oleh Umno kerana mereka adalah melukut di tepi gantang dalam PN ataupun cebisan sampah di birai sungai politik sahaja. 

Bersatu, kumpulan Azmin akan bercakaran dengan Umno dan Pas dalam perebutan kerusi. Menanti percakaran itu berlakulah maka menyebabkan Mahathir menubuhkan parti baru  berkenaan untuk dijadikan lukah yang akan dipasang di pergentingan untuk mengaut ikan atau sampah takala banjir berlaku. [wm.kl.12:04 pm 08/08/20]

No comments: