Sunday, November 7, 2021

Sah pertandingan tiga penjuru, pilihan raya mendebarkan

ULASAN MINGGU 

Perubaan pertama PN.
MENJELANG penamaan calon Pirane Melaka ke-15 esok, sudah sah tiga komponen BN, PH dan PN akan berentap antara satu sama lain di semua kerusi. Semalam semua ketiga-tiga komponen itu telah mengumumkan nama calon masing-masing. 

BN mengumumkan mereka akan bertanding di semua 28 kerusi dengan pecahan Umno bertanding 20 kerusi sementara McA  tujuh (7) dan MiC satu (1). Pengumuman itu dibuat di ibu pejabat Umno oleh timbalan presidennya Mohamad Hassan. 

Begitu juga dengan PN mengumumkan mereka meletakkan calon di semua 28 kerusi dengan pecahan Bersatu bertanding 15 kerusi sementara Pas enam (6) kerusi dan Gerakan tujuh (7) kerusi. Penyertaan PN dalam pilihan raya negeri itu adalah pertama kali. Pengerusi PN Mahiaddin mengumumkan dalam satu majlis di Shah Alam Selangor. 

Manakala PH juga mengumumkan akan meletakkan calon di semua 28 kerusi dengan pecahan Keadilan 11 kerusi, Amanah sembilan (9) dan DAP lapan (8). Pengumuman dibuat oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim secara on line. 

Ertinya seramai 84 orang calon membabitkan ketiga-tiga komponen berkenaan akan berentap. Adalah dipercayai akan ada beberapa calon daripada parti lain dan juga bebas yang akan ikut menyerahkan borang penamaan calon. Bagaimana pun penyertaan mereka dilihat sekadar untuk membolehkan penyokong ke Melaka untuk makan asam pedas sahaja. 

Tampaknya ketiga-tiga komponen menurunkan calon bukan Melayu untuk lapan kerusi yang didominasi oleh bukan Melayu. 

Walaupun semua komponen mengumumkan calon, tetapi muktamadnya esok. Mungkin akan berlaku keciciran atau perubahan kecil disaat-saat akhir. Tetapi jika dilihat kepada semangat ketiga-tiga komponen parti itu ia sudah pasti berlawan tiga penjuru. 

Pertandingan tiga penjuru menjadikan Pirane Melaka itu menarik dan mendebarkan. Rakyat Melaka, khasnya pengundi mungkin terpaksa membuat semakan dan kajian mendalam untuk memilih mana satu parti atau gabungan yang akan diberikan mandat untuk mentadbir Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sudah pasti pola pengundi kali ini berbeza berbanding pilihan raya negeri sebelum ini ekoran perubahan dan perkembangan politik semasa. Apakah disebabkan kerencaman politik yang menyebabkan politik sudah dilihat tidak bermoral, boleh mempengaruhi pengundi Melaka untuk tidak keluar mengundi? Ini satu perkara yang akan diberikan perhatian dan sedikit sebanyak memberi gambaran demokrasi kita kurang sihat. 

Ada kemungkinan pengundi yang mementingkan moral dan demokrasi tulen akan mengambil sikap mendiamkan diri atau tidak menghiraukan pilihan berkenaan? 

Dalam konteks Melaka itu, apakah pengundi Melaka akan kembali memberi mandat kepada BN yang sebelum ini memerintah negeri itu sehingga ditumbangkan PH dalam Piraum ke-14 lalu. Atau pun pengundi Melaka akan membuat penebusan besen (balas besen) dengan memberi mandat kepada PH, untuk menyambung pemerintahannya yang terbantut akibat rampasan kerajaan dilakukan BN sebelum ini?

Ataupun mungkin juga pengundi yang akan turun nanti, akan memberi kepercayaan kepada PN yang merupakan gabungan baru dibentuk Bersatu yang didalamnya ada Pas, Gerakan dan Star. Gabungan itu dibentuk hasil pengkhianatan dilakukan Mahiaddin Yassin terhadap kerajaan PH.

Insya-Allah setelah selesai penamaan calon esok saya akan membuat ulasan awal perjalanan pilihan raya berkenaan dan cuba menyorot secara mendalam komponen manakah yang berpotesi untuk membentuk kerajaan Melaka selepas 20 November nanti. [wm.kl.9:45 am 07/11/2021]

No comments: