Tuesday, January 20, 2026

Satira dalam sebuah belantara MESYUARAT TANPA RESOLUSI

SESUDAH SUBUH

SANG Singa tersenyum lebar penuh kepuasan sambil memutar-mutar misainya. Tiba-tiba ilham itu bertandang dalam benaknya sungguh memberangsangkan. Ilham ini hadir sewaktu ia dalam keadaan lemah, tidak sekuat seperti dahulu. Dahulu dialah raja, gagah dan tidak tunduk kepada sesiapa. Semua haiwan lain tabik hormat kepadanya, bukan sangat kagum, tetapi kerana taringnya. Setiap keputusan dan ketetapannya akan diterima sekalian warga belantara. Siapa membantahnya akan menerima padah, diusir atau dibaham.  

Berdekad dia menjadi raja.

Apabila memburu rusa atau kijang untuk santapan, dengan satu terkaman sahaja haiwan itu terkulai dalam pelukannya kemudian disayap-sayapkan. Tetapi tidak lafi kini, mengejar seribu langkah belum tentu dapat, bahkan ia akan terkulai jatuh kecapekan tergolek sampai patah gigi dan taring.

Dalam keadaan begitulah, ilham itu cambah dimindanya. Sekali pandang ilham itu baik untuk semua. Sekiranya cadangan itu berjaya dilaksanakan, menguntung semua pihak. Ia memberi manfaat kepada semua, terutamanya dirinya. Ia harus kompromi dalam keadaan lemah begitu, tidak perlu agah sombong lagi. Cadangan itu merupakan agenda kehidupan buat predator, matlamat tersirat untuk memerangkap Sang Kancil.

Sang Kancil perlu ditangkap kemudian diusir, kalaupun tidak dijadikan lauk, dimasak lemak cili api dimakan beramai ramai, dagingnya sedap dan manis. Kancil perlu diambil tindakan kerana ia sudah melampau dan besar kepala, melanggar garisan merah. Semua haiwan dipermain dan diperbodohkan olehnya dengan penuh tektikal.

Buaya, Beruang, Harimau, Ular Sawa dan lain semua diperkenakan hidup-hidup oleh Kancil. Kalau hendak dikira Kancil tidak mampu untuk mengenakan mereka, kerana kehebatan mereka jauh lebih hebat daripada Kancil yang bertubuh kecil sahaja, (sebab itu ia dipanggil sang kancil, sebenarnya sang kecil). Tetapi kerana kelicitan dan daya tipu helahnya tinggi, maka semua predator kantoi kepadanya. Jadi tidak boleh dibiarkan, Kancil kena diajar sebelum cacing naik ke mata. Untuk mengajarnya semua predator perlu maufakat dan bersatu tanpa mengira bulu.

Atas tujuan itu menyebabkan Singa merasa bangga dengan ilham atau strateginya itu. Ia terus tersenyum lebar penuh harapan.

Kancil kena diajar kerana lagak dan perilakunya itu. Ia sendiri ditipu Kancil hidup-hidup apabila disuruh turun ke dalam telaga buruk dengan alasan langit hendak runtuh, padahal Kancil mahu selamatkan dirinya. Apabila ia turun, Kancil menjentik batu pelirnya menyebabkan ia marah dan melontarnya ke atas. Sampai ke atas Kancil ketawa mengejeknya. Cis.

Buaya pula diketuk-ketuk kepalanya satu persatu ketika beratur untuk membolehnya menyeberangi sungai. Helahnya Nabi Sulaiman mengarahnya membilang jumlah Buaya yang ada untuk diberi bantuan Sara. 

Manakala harimau dibelit ular sawa hampir putus pinggang apabila Kancil memperdayanya mengatakan ular sawa itu sebagai pending Nabi Sulaiman a.s. Begitu juga dengan beruang lari berceludar apabila disengat tebuan, Kancil menipunya mengatakan sarang tebuan sebagai gong Nabi Sulaiman a.s. yang indah bunyinya. Kerana terpedaya dengan kata-kata Kancil itu menyebabkan ia terliur untuk memalunya.  

Peristiwa dan kejadian itulah menyebabkan Singa dan haiwan lain marahkan Kancil. Kerana ia berfikir tidak mungkin dapat diatasi bersendirian, maka timbul untuk mengajak semua haiwan itu berkumpul dan berkolabarasi untuk menangkap kancil. Sebelum ini sudah ada usaha untuk mengajarnya, tetapi tidak berhasil. Sang Arnab awal-awal mengisytiharkan akan menyerang Kancil habis-habisan.

Arkian, berkumpullah Harimau, Buaya, Ular Sawa, Singa, Beruang, Arnab serta beberapa haiwan lain bagi membincang cadangan menubuh gagasan kubra itu bagi mencari satu kekuatan untuk menangkap Kancil yang cerdik lagi pintar itu. Gabungan itu diharap menjadi kali ini sesudah beberapa kali gagal.
Muafakat Singa dengan sang Badak sebelum ini gagal apabila Badak mengencungnya.

Singa sebagai pengerusi, bertanya buah fikiran semua yang hadir. Mula ada yang setuju ada yang tidak. Tetapi apabila Singa membawa naratif bahawa Kancil ini jahat, tidak boleh dipercayai dan mengancam haiwan lain, maka haiwan-haiwan itu bersetuju untuk berkumpul. Lebih menggoda lagi apabila Kancil dianggap ia bukan warga asal di belantara itu.

Perbincangan sampai ke kemuncak. Perdebatan hangat berlaku apabila sampai ke bab, sekiranya Kancil itu dapat ditangkap dan dijadikan lauk, siapa akan memperolehi kepala, kaki, punggung dan argan dalaman. Perebutan berlaku untuk memiliki bahagian-bahagian tertentu Kancil itu. Pada agenda ini menyebabkan mesyuarat jadi kalut malut. 

Perbahasan pembahagian bahagian itu panjang dan hangat. Ada yang sampai merah muka. Buaya menentang apa dicadangkan itu, katanya ia tidak munasabah kalau ia diberikan hanya kaki. Kalau boleh dia mahu semua bahagian kerana ia besar dan makan pun sekali sebulan. Beruang pula menuntut haknya mahukan keempat empat kali, kerana kaki Kancil itulah membuatnya lalai dan terlupa untuk menangkapnya kerana Kancil menunjukkan tariannya. 

Perbahasan hangat dan berlarutan sampai petang membawa ke malam. Perselehengan kian memuncak. Kata putus tidak ada. Masing-masing sudah kepenatan. Keputusan tidak adan, sebaliknya timbul rasa curigai mencurigai antara satu sama lain. Harimau, Ular Sawa, Buaya, Beruang menganggap Singa tidak jujur dengn cadangan yang lebih menguntungkannya. Cadangan itu bukan untuk kebaikan semua, tetapi kerana Singa ada udang di sebalik batu dengan ideanya itu.

Kerana mesyuarat tanpa sebarang resolusi, ia dibubarkan. Sang Kancil yang mengintai perbincangan itu sejak awal menarik nafas lega lalu mengolek punggung masuk ke dalam belantaran dengan tenang. Selamat, bisiknya. [wm.kl. 9:31 am 20/01/2026]. 

No comments: