Thursday, June 21, 2007

Aura Parlimen

Perihal Kenaifan Ahli Parlimen

KEBIJAKSANAAN seseorang wakil rakyat, baik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) maupun Parlimen bukan saja diukur dari aspek petah atau tidak ketika mereka berpidato ataupun segak atau tidak pakainnya ketika ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Ia bukan dinilai samada mereka pandai mematah hujah pihak lawan yang disulami dengan ayat-ayat Quran atau Hadith Nabi atau mampu melemparkan sinikal-sinikal dan cerita Hikayat 1001 malam bagi mempengaruhi orang ramai.

Seorang wakil rakyat diukur dan dinilai pada sejauh mana dia mampu membawa sesuatu usul ataupun isu di Parlimen. Apakah isu itu menarik, tepat dan dapat menarik perhatian anggota ahli Dewan yang lain untuk turut membahas apa yang dibangkitkan. Dan tentulah natijah daripada itu isu akan dapat diselesaikan dan rakyat terbela kerananya.

Kalau isu besar, namun cara persembahan dan kupasannya dangkal, ia tidak menjadi pehatian umum. Isu itu akan berlalu seperti angin lalu saja, nyamuk dan semut pun tidak akan peduli kepada apa yang dibangkitkan itu. Apa lagi di zaman ini Kerajaan sedang dihidapi penyaklit pekak dan bisu lagilah ia memerlukan kelatangan dan keberanian yang luar biasa.

Sesuatu isu besar yang menyangkut kepentingan agama, bangsa dan tanah air seharusnya dibawa secara serius. Perlu ada kajian (homework) yang mantap dan lengkap. Disertai dengan bukti-bukti berbentuk fact dan figure dan tidak hanya dikutip daripada kertas usang surat khabar saja.

Wakil rakyat yang mengutip isu di kertas usang surat khabar adalah wakil rakyat pemalas, kurang berkerja serta tidak tahu buat kerja secara profesional. Wakil rakyat seperti ini layak dipanggil makan gaji buta saja. Kalau dia mengetahui ‘kapasiti’ dirinya wajar kalau dia berundur ataupun menolak pencalonan untuk pilihan raya akan datang.

Seribu dalih

Tidak usahlah menggunakan seribu dalih untuk terus bertanding, - kononnya untuk membela agama atau rakyat atau parti masih memerlukan kepimpinan kita kerana masih banyak lagi orang berkelayakan dan berbobot berbanding kita.

Sebenarnya banyak wakil rakyat bersikap demikian. Pemalas dan datang ke parlimen kerana ingin menuntut elaun saja atau pun untuk memenuhi buku ‘attendance’ dan mengelak daripada dikenakan tindakan tatatertib. Ataupun datang duduk di kantin melayani tetamu untuk minum dan makan tengah hari, kemudian menjelang jam 4.00 petang pulang untuk mendampingi isteri.

Wakil rakyat seumpama ini menjadikan jawatan itu sebagai profesyen untuk cari makan.

Soalan-soalan atau isu yang cuba diketengahkan hanya dipermukaan saja, tidak mendalam dan menyeluruh. Kelemahan ini menyebabkan menteri yang diberi tanggungjawab untuk menjelaskan menjadi hambar ataupun tidak tertekan untuk menjelaskannya.

Apa lagi kalau soal itu dikemukakan secara bertulis, ia akan habis begitu saja. Akibat daripada tidak ada homework, ataupun sayang untuk mengupah pembantu mencari maklumat, maka ia berlalu begitu saja.

Saya masih ingat suatu masa dulu bagaimana seorang ahli Parlimen bernama Ibrahim Ali pernah membawa sekampit beras ke Parlimen ketika beliau membahaskan isu mengenai kualiti beras. Cara dan kerajinan sebeginilah yang diharapkan di mana gara-gara tindakan itu menjadikan Menteri Pertanian pening kepala dan terpaksa menjawab apa yang dibangkitkan.

Suatu hal yang sering berlaku di dalam Dewan hari ini ialah kelemahan wakil rakyat bertindak bijak dalam mengemukakan soalan tambahan. Keadaan ini berlaku kerana kelembaban wakil rakyat itu sendiri. Lembabnya itu pula ada hubung kait dengan malas dan tidak produktif. Kalau diumpamakan sifat Perdana Menteri ialah suka tidur.

Ada kalanya soalan yang dikemukakan baik secara mulut tidak dijawab sepenuhnya oleh menteri. Atau menteri sengaja mencari bahasa yang mudah atau ayat paling ringkas untuk membunuh soalan itu. Di sinilah seorang wakil rakyat memerlukan kepakaran untuk berhujah dan bijak mengemukakan soalan tambahan bagi mendapatkan penjelasan menteri berhubung isu yang dibangkitkannya.

Penonton saja

Untuk bersikap demikian wakil rakyat perlu bijak, sarat dengan maklumat dan bersifat ‘intelligent’. Kalau hanya kaku di kerusi dan hanya jadi penonton sahaja, ia tidak membawa apa-apa faedah dan kemajuan. Kedatangannya sedikitpun tidak memberi manfaat apa-apa dan menghampakan harapan pengundi yang memangkahnya.

Saya merujuk kepada soal yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaaffar berhubung dengan isu dalam Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), mengenai tander pembinaan Kompleks Perikanan di Kuala Kedah, Kedah dan juga mengenai skandal pinjaman sebanyak Euro 10 juta atau RM46 juta.

Meneliti kepada jawaban yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, M Kyavaes jelas soalan itu tidak begitu mendalam dan mendatar sahaja. Ia seperti melepas batuk ditangga saja. Kalau soalan mendatar maka jawaban juga mendatar dan itu disenangi oleh pihak kerajaan, manakala di pihak rakyat tidak sangat berpuas hati dengan sikap begitu.

Sebelum mengemukakan soalan itu, seharusnya ahli Parlimen bersuara lemah lembut itu membuat penyelidikan dan homework secukupnya. Beliau kena faham apakah masalah di sebalik isu itu. Beliau juga kena tahu kronologi mengenai isu berkenaan.

Dalam hal ini beliau kena rajin mencari maklumat, menyelongkar dan mengoreknya di mana-mana dan bukan hanya mengutip di kertas usang surat khabar. Apa lagi kalau soalan itu diajukan sekadar memenuhi kouta soalan yang diperuntukan kepada seseorang wakil rakyat dengan kadar sekian-sekian ia sungguh malang sekali.

Saya kira masih banyak perkara yang bersabit atau boleh ditimbulkan di sebalik isu LKIM yang dibangkitkan oleh Kamaruddin itu. Kamaruddin nampaknya sangat naif dalam hal ini dan seperti tidak bersedia untuk membongkar permasalahan sewajarnya. Apabila pengetahuan cetek dan malas membuat penyelidikan mengenai masalah ini maka jadilah beliau bercakap tidak mengikut rukun.

Latar belakang

Misalnya mengenai pinjaman sebanyak Euro 10 juta atau kira-kira RM46 juta itu seharusnya ada kronologi mengenainya. Sedikit sebanyak Kamaruddin kena mengetahui tentang latar belakangnya. Siapa yang terlibat dan bagaimana pinjaman itu dibuat, serta bank mana yang mengeluarkan pinjaman itu serta untuk apa?

Beliau juga perlu memberi ulasan ataupun bentuk kemungkinan berlaku penyelewengan mengenai pinjaman berkenaan. Kalau Kamaruddin atau wakil rakyat lain dapat membantu mendedahkan isu berkenaan, isu itu akan menjadi lebih menarik dan pihak Kerajaan juga akan tertekan terutamanya menteri yang mengawal LKIM itu.

Meskipun Kyavaes telah memberi jawaban bertulis kepada soalan itu, Kamaruddin harus bijak mencari celah dalam mana-mana ruang perbahasan untuk membangkitkannya. Kebijaksanaan itulah menjadikan soal jawab mengenai isu itu lebih dramatik lagi.

Ataupun kalau beliau mempunyai PR yang baik dengan media, atau dalam erti kata lain pandai tackle media, isu itu boleh didedahkan menerusi media.

Bukankah tujuan ahli Parlimen Tumpat itu menimbulkan isu itu untuk memberi gambaran buruk kepada LKIM. Bahawa berlaku penyelewengan di institusi berkenaan. Yang kemudiannya ia mengheret kerajaan yang mengamalkan konsep Islam Hadhari itu. Bukan begitu?

Saya bersedia membantu Kamaruddin didalam hal ini. Rasanya pengetahuan dan maklumat mengenai perkara itu lebih banyak ada kepada saya daripada Setiausaha Agung Pas itu.

Sukacita diingatkan kepada Kamaruddin didalam hal ini, beliau harus banyak berkawan dan bersikap tebuka baru maklumat masuk kepadanya. Antara perkara perlu dilakukan Kamaruddin ialah berkawan dengan 'talibarut' Umno! Sekiranya beliau hanya berkawan dengan tali barut Pas, nescaya rahsia (maklumat) itu bukan saja tidak diperolehi malah ianya akan diselindung daripada pengetahuan Kamaruddin.

No comments: