Wednesday, May 21, 2008

Susupan Pagi

Pas Perlu Waspada Dengan Mahathir

MACAM-MACAM ulasan dan tafsiran kenapa Mahathir Mohamad sampai terlepas mulut mengumumkan keluar daripada Umno. Ada yang mengatakan pengumuman itu kerana beliau diprovok oleh seorang hadirin pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Alor Star kelmarin.Hadirin berkenaan ialah Ismail Wan Teh (foto).

Ismail adalah ahli Pas dan bekas calon dalam pilihan raya lalu di Dun Kota Seputih. Beliau kalah.Maka seronoklah orang-orang Pas kononya mereka mempunyai saham dengan tindakan Mahathir itu. Orang Pas suka kalau Mahathir tinggalkan Umno dengan harapan ia akan memberi tekanan kepada Abdullah dan mereka akan meraih sedikit kelabaan.

Soalnya benarkah Mahathir memberi keuntungan kepada Pas?Sebelum ini ada yang beranggapan tindak tanduk Mahathir memberi kemenangan kepada Pas. Kalau tidak silap, MB Kedah Azizah Razak sendiri mengakui kemenangan Pas di Kedah kerana Mahathir. Apakah bentuk yang Mahathir sumbangkan untuk kemenangan Pas?

Peringkat awal ketika Mahathir bergerak untuk mengkritik dan menghentam Abdullah Pas memberi rangsangan yang cukup membanggakan. Pemimpin kanan Pas ikut sama hadir dalam sebuah majlis di Kelab di Taman Melawati. Ulu Klang.

Tidak cukup dengan majlis itu pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menghadiri majlis makan malam bersama Mahathir di sebuah hotel di Kota Bharu. Selepas itu Mahathir dipanggil untuk memberi ucaptama dalam satu persidangan mengenai Dinar Emas Kelantan di PWTC. Pas telah menggunakan pemikiran dan aura politik Mahathir mempengaruhi orang ramai.

Atas kerjasama ataupun layanan politik Pas kepada Mahathir mungkin telah memberi sumbangan kepada kemenangan besar Pas dalam pilihan lalu khususnya di Kelantan?
Berdasarkan strategi itu tidak hairan kini kalau ada orang berpendapat keputusan Mahathir itu terus memberi keuntungan kepada Pas. Malahan ada orang mula mengira bagaimana Mahathir akan turut berceramah di atas pentas Pas selepas ini. Peristiwa tahun 1969 akan berulang kembali.

Apabila ketika itu Mahathir dipecat daripada Umno beliau menumpang pentas Pas, menghentam Umno.Tentu bukan main seronoknya orang Pas menerima kehadiran Mahathir ketika itu. Mereka mengira Mahathir akan memberi keuntungan dan membantu perjuangan Pas dalam merealisasikan Islam!Tetapi apa jadi selepas itu? Apabila Mahathir menjadi PM tahun 1982, bagaimana keadaan Pas.

Apa yang Mahathir lakukan kepada Pas? Hadiah atau cendermata yang Mahathir berikan kepada Pas atas budibaik Pas kepadanya hanya dengan mengutuk dan mengecam Pas setiap kali perhimpunan agung Umno. Mahathir melihat Pas seolah-olah Barat melihat Osmah Bin Laden.

Kalaupun satu peristiwa yang dapat dilihat Mahathir berlunak dengan Pas ialah ketika majlis Malam Kemanusiaan membela Palastin di Dewan Bahasa dan Pusataka di mana beliau berucap bersama Almarum Mohd Fadzil Noor. Apa yang Mahathir tidak kata dan nesta kepada Pas?

Sampai hari ini Mahathir tidak mengikhtiraf Nik Aziz sebagai ulama atau Tok Guru. Sikap Mahathir itu satu penghinaan kepada Pas walaupun Nik Aziz sendiri tidak merasai apa-apa dengan sikap Mahathir yang mempelecehkannya itu.Bukan itu saja, apa sikap dan pandangan Mahathir kepada institusi ulama?

Apa yang Mahathir tidak kata kepada ulama? Dan siapa yang mengatakan yang Rauslullah s.a.w. tidak bercukur kerana tidak ada pisau cukup? Dan siapakah yang bertanggungjawab atau mencampuri urusan pemecatan Mufti Selangor Almaruh Ishak Baharum kerana cuba mengharamkan pertandingan ratu cantik?

Kata-kata dan perbuatan itu memedih dan menyakitkan hati bagi mereka yang mencintai dan menyayangi Rasulullah s.a.w. dan sunnahnya. Ianya masih terdengar di cuping telinga. Apabila di ukur dari sudut sentimen keagamaan menyebabkan kita terfikir kehinaan yang beliau terima hari ini mungkin disebabkan kifarah Allah atas apa yang beliau lakukan itu.

Hari ini jika Mahathir atau mana-mana pihak mengatur dan meminta untuk Mahathir berceramah atas pentas Pas, mesti Pas akan sambut dengan dua belah tangan. Tidak cukup surau stadium akan disediakan oleh Pas. Pas akan menangguk apa sahaja di air keruh meskipun yang masuk nanti sampah sarap.

Perlu diingatkan sebelum Pas berfikir untuk berbuat begitu elok kalau Pas berfikir sejenak. Melihat dan mengenang apa yang telah Mahathir lakukan sebelum ini. Paling penting ialah apakah sumbangan Mahathir untuk perpaduan Islam dan Melayu. Selama 22 tahun Mahathir tidak pernah berfikir bagi mengurangkan ketegangan Melayu.

Beliau menghalalkan kerenggangan hubungan Pas dengan Umno dengan berpandangan bahawa Parlimen memerlukan pembangkang sebagai check and balance. Jangan nanti kerana terlalu mengharpakan laba, mahu Abdullah berundur cepat, Pas sanggup berbuat apa saja tanpa mempedulikan kepada prinsip dan perasaan orang-orang Pas yang pernah disakiti oleh Mahathir.

Dalam situasi hari ini selepas ketiadaan Mahathir dalam Umno Pas bolehlah berfikir jauh ke hadapan bagaimana untuk memperkuatkan kuasa politik Melayu untuk dua tiga puluh tahun akan datang dengan membuka jalan kerjasama dengan Umno. Kita percaya Abdullah juga dalam saat berhadapan dengan simpang siur politik mungkin lebih mudah untuk diajak berunding berbanding dengan empat tahun lalu.

Manakala bagi saya tugas Mahathir paling afdal waktu ini sebagai mengisi sisa-sisa usianya ialah dengan menjadi mediator bagaimana hendak menyatukan politik orang Melayu baik dalam Umno, Pas dan PKR daripada beliau berterusan menggodam Abdullah. [wm.kl 6:30 am 21/05/08] .

3 comments:

Anonymous said...

Saya ingin tambah sikit. Mahathir merupakan dalang utama kepada kejatuhan kerejaan campuran pimpinan PAS di Kelantan tahun 1978. Beliaulah duri yang menghasut sehingga kerajaan PAS kelantan bergaduh sehingga PAS meninggalkan kerajaan Hussein Onn. Dan seterusnya kalah dalam pilihanraya 78 tersebut. Setiausaha sulit Mahathir ditangkap red handed sebagai mold agen KGB, Mahathir sepatutnya ke Batu Gajah di bawah ISA!!!! Huseein Onn silap keraan tidak mengikut nasihat Ghazali Shafie untuk mengambil tindakan. Yang makan hati Hussein Onn dan kita semua menganggung bahana 22 tahun di bawah PM fahaman sosialis kebangsaan ini.

painah said...

AKu berharap sangat agar Pakatan Rakyat terutama PAS jangan sesekali menerima Tun menjadi ahli parti.

Selama 22 tahun beliau menjadi pm terlalu banyak silap hitung yang dilakukannya. Biarlah Tun dengan agendanya sendiri. Jangan sesekali Pakatan Rakyat termakan umpan manusia licik ini.

Apa yang penting Pakatan Rakyat perlu menjaga kebajikan rakyat yg telah memberi keprcayaan kpd mereka dlm Pru yg berlalu. Umno dan Bn akan terus menyerang Pakatan Rakyat dan media arus perdana akan menjadi dalang mereka.

Sepatutnya bermula dari sekarang (jgn tunggu bila dah parah) MP Pakatan Rakyat aktif membalas tohmahan pemerintah. Terutama kerajaan negeri Selangor yg tak henti di serang dari segala sudut.

Biarkan Tun sendiri, jgn pedulikan dia. Rekod telah membuktikan bahawa Tun tidak punya belas kasihan pd musuhnya d an beliau akan menggunakan bermacam cara untuk memenuhi nafsunya waima memijak kepala orang sekalipun.

Anonymous said...

Tuan,.

Salam..

Saya juga berkongsi sentimen seperti tuan..

PAS jangan lupa apa yang dilakukan Mahathir kepada Kerajaan PAS ketika memerintah Terengganu. Penarikan Royalti Minyak adalah keperitan yang menyumbang kekalahan PAS dan punca Wang Ehsan di"selewengi".

Percayalah keredhaan ALLAH dan keimanan kita dalam perjuangan ini dan moga Mahathir mendekati ajaran ISLAM yang dituntut di usia ini..

Hj