Saturday, June 7, 2008

Reaksi

Ahli Parlimen dan Adun Pembangkang Juga Perlu Dipotong Elaun

MENARIK dan ada nilainya cadangan Ketua Dewan Pemuda Pas, Sallahudin Ayub kali ini. Beliau mencadangkan supaya elaun para menteri dipotong bagi langkah penjimatan wang kerajaan.
Cadangan itu sesuatu yang baik tetapi sukar untuk dilaksanakan! Menteri manalah rela wang elaunnya dipotong. Sebaliknya kalau ditambah tidak ada siapa yang membantahnya.

Di dalam Malaysia ini hanya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang bersedia mengembalikan semula wang elaun yang diperuntukkan kepadanya. Tempoh 10 tahun pertama menjadi MB, Nik Aziz tidak ambil pelbagai elaun khas yang sepatut diterima olehnya. Malahan mulanya beliau bercadang nak pakai kereta Proton Saga sahaja sebagai kereta rasmi.

Tetapi entah macam mana tidak jadi?

Kira-kira hampir RM1 juta wang elaun itu dikembalikan semula kepada Perbendaharaan negeri. Bagaimana pun selepas 15 tahun kemudian tidak terdengar lagi laporan mengatakan Nik Aziz mengembalikan wang elaun keraian yang diperuntukkan kepadanya. Dan beliau pakai juga Mercedez Benz sebagai kereta rasminya. Alasannya kalau beliau pakai Proton Saga, Exco nak pakai apa? Makanya kenderaan MB dengan Exco mesti berbeza.

Kalau Tok Guru tanya saya ketika itu, saya akan jawab Exco pakai motosikal honda sajalah.
Saya tidak tahu apakah ada perbezaan dari segi kualiti dan juga keturunan antara kuda Nabi Muhammad s.a.w dengan kuda para sahabatnya. Begitu juga mengenai unta baginda?

Mengenai cadangan Salahudin tadi saya ingin panjangkan cadangan itu agar bukan saja elaun menteri dipotong sebaliknya elaun timbalan menteri, ahli Parlimen, Adun, Senator juga boleh difikirkan untuk dipotong sama.

Biarlah dalam berkorban untuk bangsa dan negara ini semua pihak terlibat. Kalau setakat menteri dan timbalan menteri saja, hanya mereka dari kalangan parti BN sahaja yang terlibat, ahli Parlimen atau pihak pembangkang terlepas. Kerana itu ia perlu diperluaskan kepada ahli Parlimen, Senator dan Adun agar orang Pas, PKR dan DAP juga turut sama boleh membuat pahala.

Dalam ibadat membuat pahala ini bukan semestinya bernilai ribuan ringgit, tetapi seringgit pun sudah cukup. Yang penting ialah komitmen. Macam mana Tok Guru Nik Aziz tetap mengenangkan derma daripada bekas Menteri Pertanian, Sanusi Junid yang pernah mendermakan seringgit kepada Pas untuk tujuan kebajikan sekitar tahun 70-an dulu.

Saya kira Salahudin kena ralat cadangannya itu dengan turut mengemukakan agar elaun ahli Parlimen dan Senator Pas, PKR juga dipotong, dan cadangan seumpana itu perlu dilanjutkan kepada negeri-negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang. Barulah adil namanya dan tidaklah kita dikatakan hanya cemburu kepada wang orang saja tetapi bakhil kepada wang kita sendiri! [wm.kl 08/06/08]

No comments: