Friday, August 12, 2011

Analisa Isu

Selamat Berjumpa Dengan Gereja

Al Rahman: NAMPAKNYA Pas tetap meneruskan juga keputusan untuk menemui pihak Gereja Methodits seperti mana yang diputuskan oleh Jawatankuasa kerjanya. Pertemuan itu akan diadakan pada 16 Ogos ini di gereja berkenaan di Damansara Utama.

Pertemuan itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu bersama Naib Presiden Sallahuddin Ayub, PPJ Selangor Dr Mohd Rani Osman, Ketua Penerangan Tuan Ibrahim Tuan Man, Ajk Idris Ahmad, Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Dzulkefly Ahmad dan Mujahid Yusuf Rawa.

Akan ikut sama Setiausaha Agung Mustafa Ali.

Pas juga turut untuk mengadakan pertemuan dengan Jais bagi mendapat penjelasan berhubung isu itu tetapi pihak Jais menangguhkan dahulu pertemuan itu. Pas sepatutnya memahami kenapa Jais menangguh terlebih dahulu dan gereja pula yang menyatakan persetujuannya untuk bertemu.

Dari segi tertibnya Pas patut berjumpa Jais dahulu barulah berjumpa dengan gereja.

Saya sudah memberi pandangan mengenai hasrat berkenaan dan serta menyatakan sedikit kebimbangan tentangnya. Pada saya pertemuan itu tidak wajar dan tidak perlu. Saya tidak nampak kenapa Pas harus mengambil bahagian begitu sekali untuk mengambil tahu (menyelesaikan) isu berkenaan yang dilihat sudah berbaur dengan kepentingan politik.

Pas tidak sepatut membelitkan isu itu dengan dirinya. Kalau Pas tidak beriya menyelesaikannya ia tidak memberi apa-apa risiko kepada Pas dan kalaupun ia berjaya tidak banyak laba yang Pas kutip darinya. Orang tidak akan menuduh apa-apa kepada Pas kalau Pas tidak berbuat jauh dari itu.

Kita bimbang kalau silap hari bulan cara Pas itu ianya akan dieksploitasi oleh musuhnya dan makin menjadi masalah kalau pemanipulasian itu tidak sempat untuk dijelaskan di saat-saat pilihan raya umum menjelang tiba.

Saya bersetuju dengan seorang penjenguk blog saya yang mencadangkan elok kalau pertemuan itu diadakan atas nama Pakatan Rakyat bukannya Pas saja. Walaupun Pas parti Islam yang relevan menyelesaikannya isu-isu keagamaan tetapi isu itu bukan saja akan menjejaskan Pas sebaliknya turut sama tempias kepada rakan mereka DAP dan PKR.

Sepatutnya PKR dan DAP ikut sama dalam pertemuan itu dan tidak mengadakan pertemuan secara berasingan. Apa-apa perbincangan Pas dengan gereja dan mana-mana rakannya DAP dan PKR perlulah terbuka dan telus. Jangan pula selepas ini DAP atau PKR mengadakan pertemuan berasingan dengan gereja yang mana pertemuan itu nanti akan timbul pula apa-apa prejudis tidak baik.

Pertemuan Pas itu juga seolah Pas tidak mempercayai kepada Exco Kerajaan Selangor yang juga ahli Pas, Hasan Ali. Hasan telah memberi penjelasa berhubung perkara itu dalam mesyuarat jawatan kuasa kerja tempoh hari.

Disebabkan pertemuan itu akan diadakan di gereja, saya ingin mengingatkan sekali lagi para pemimpin Pas itu agar berhati-hati. Pertemuan itu sudah tentu akan diburu oleh media massa. Media massa akan melaporkan seluas-luasnya mengenai pendekatan Pas itu mengikut selera dan agenda mereka. Bagaimana pun itu tidak membimbangkan.

Apa yang perlu diwaspadakan gambar kunjungan mereka itu nanti akan dieksploitasikan oleh musuh. Sudah tentu musuh akan mengirimkan jurugambar profesional untuk merakam pertemuan itu. Bersalam dengan Paderi atau Pastor tidak menjadi masalah. Itulah gambar kehidupan negara ini yang sebenarnya.

Tetapi apa akan jadi kalau gambar itu nanti dibawa ke kampung-kampung? Misalnya apa jadi kalaiu gambar Sallahuddin Ayub yang sedang bersalam dengan Pastor di bawah ke Kelantan. Mungkin Tok Guru Nik Aziz, Husam Musa faham dengan kunjungan itu tetapi macam mana dengan ustaz-ustaz konvensional? Mereka tentu merasa cuak dan kurang senang dengan pertemuan berkenaan yang akan ditafsirkan Pas bersimpati dengan gereja.

Kalau gambar itu diecerkan oleh musuh kepada orang kampung yang rendah pengetahuan agamanya, ia bakal menjadi masalah kepada Sallahuddin. Tidak paya gambar itu eksklusif sangat, seperti berpelukan dengan Pastor tetapi cukup kalau gambar Sallahuddin atau pemimpin Pas itu berlatarkan gereja berkenaan ia sudah menjadi isu.

Kenapa tidak mengadakan pertemuan di tempat berkecuali bagi mengelakkan fitnah?

Apa yang pernah menimpa Tengku Razaleigh Hamzah tahun 1995 lalu perlu diambil iktibar. Macam mana gambar Tengku Razaleigh memakai 'sigah Kristian' telah dipapar di akhabr menjelang hari mengundi. Gambar berkenanaan benar-benar telah mengelirukan pengundi menyebabkan Semangat 46 yang dirasakan akan menumbangkan BN sebaliknya kalah teruk.

Apapun kerana janji untuk bertemu itu sudah dibuat terus sajalah. Tetapi kena berhati-hati jangan pula niat yang suci dan bersih itu terbalik menjadi musibah kepada Pas. Saya hanya menulis dan berpesan saja berdasarkan perintah Allah; berpesanlah ke arah kebaikan dengan penuh kesabaran. [ukp.kl.7:05 pm 12/08/11]

No comments: